Jumaat, Jun 15, 2007

Tersungkur

Setelah berhempas pulas tadi, saya tersadung dan tersungkur juga.

Tidak sangka pula awal sangat saya jatuh kali ini,

Sakitnya! dan penatnya! bila terjatuh,

Rupanya sayap saya masih belum kuat untuk terbang lebih tinggi

Walaupun gagal untuk buktikan sesuatu tapi saya fikir Allah ada perancanganNya untuk saya sendiri.

Seksanya...ke atas tak mampu ke bawah tak mahu.

Namun,samada luka ini lambat sembuhnya ataupun tidak, saya masih ada perjalanan yang perlu dihabiskan.

Mungkin pada musim depan, saya perlu terbang lebih laju, kibas sayap lebih cepat, dengan teknik penerbangan yang lebih berkesan.

Cuma pada ketika ini, saya hanya mengharap agar hati tenang dan niat asalnya tidak berubah.


(2 exam telah lepas,3 exam lagi menanti)

Selasa, Jun 12, 2007

Binatang peliharaan saya

Saya singgah Siberia, kebetulan terjumpa harimau Siberia nih. Kesian dia, lapar. Jadi saya pun bawa baliklah. Jadi di sini saya nak perkenalkan ShuriMuri, si harimau siberia yang comel.

Sempena ketiadaan saya sementara exam ini, sesiapa pengunjung blog saya kasilah dia makan ya! (dia ada sentiasa dekat side bar)

:)

Sabtu, Jun 02, 2007

Panglima putih

Karya ini ditulis sebagai galang ganti saya sudah lama tidak kemaskini blog ini, juga bakal agak lama tidak menulis apa-apa kerana sibuk peperiksaaan. Juga mengikut trend blog Afiq dengan memaparkan cerpen (tak sabar menunggu cerpen Afiq sendiri), juga blog Kak Sarah yang semakin makin menarik cara penyampaian blognya (saya sendiri pandai komen tapi tak guna juga kalau tak hasilkan apa-apa). Akhir kata, baca cerpen saya ini dan hayatilah intipatinya. Satu lagi karya yang sangat tidak seberapa daripada saya.



Oleh: Fadly Khairie

Pagi hari itu bermula hening, angin daripada bukit bertiup perlahan walaupun nyata puncaknya kemas dilitup salji. Keadaan berbeza di dataran, 3 buah lori tentera bergerak keluar dari kem Abu Bakar. Beberapa orang tentera bersiap-siap untuk ke posisi masing-masing. Nyata selain alam sekeliling mereka, semuanya yang lain tampak pantas.

Namun, baki ketenangan masih bersisa dalam khemah hijau besar yang letaknya nun di hujung kem.

“Kakak, pesakit ini sudah ditukarkah pembalut lukanya?”
“Belum doktor, saya baru hendak buat sewaktu doktor datang tadi”

Doktor Faizal senyum tanda memahami. Pesakit tadi diperiksanya semula, mencari kalau-kalau ada tanda-tanda nekrosis atau edema.

Langsai pemeriksaan tersebut, dia beranjak pada pesakit yang lain pula. Prosedur yang sama diulang.

Dia bermula dengan membaca kes sejarah pesakit tersebut, kemudian diikuti dengan penelitian teliti dari satu sistem ke satu sistem yang lain, dari kepala hinggalah ke kaki.

“Kakak, askar ini yang baru masuk semalamkah?”

“Ya doktor, kalau saya tidak silap, dia bukan orang tempatan, cederanya agak serius, setakat ini masih tidak sedarkan diri”

“Pastikan pemberian antibiotik, analgesic mengikut jadual ya,48 jam pertama ini penting. Berikan perhatian buat masa ini untuk pesakit-pesakit seperti ini. Orang luar lebih-lebih pada musim sejuk ini, kadar lawan penyakit dan immunitinya rendah berbanding askar tempatan”

Jururawat tersebut mengangguk. Tanpa berlengah, terus menjalankan tugas yang diarahkan. Dr. Faizal meneruskan urusannya. Pusingan pemeriksaan ini perlu dia langsaikan sebelum Zuhur.


40 minit sebelum Zuhur, Dr. Faizal membantu pula pesakit mengambil wudhu’ mengunakan penyembur air. Kemudian, dia membantu pula pesakit untuk solat mengikut kemampuan mereka. Untuk solat Zuhur kali itu, dia sendiri yang mengimamkannya. Tidak dilupakan juga, doa penuh tawadhu dan khusyuk untuk semua kemenangan tentera Islam.


“Dr, ada mesej untuk doktor daripada Dr. Aqmal”

“Panjang umur kau Aqmal. Oh, terima kasih ya” ujar Dr. Faizal ketika dia sedang memeriksan depot simpanan darah sebaik sahaja langsai solat zuhur.

Dr. Aqmal merupakan kenalan baiknya sejak daripada universiti lagi, juga merangkap doktor perajuit sama sepertinya. Namun, Dr. Aqmal berkhidmat sebagai penyelia di kem tentera Umar 10 km daripada kemnya. Biasanya untuk penyelarasan ataupun sengaja bertanya-tanya khabar, mereka mengunakan mesej memandang telefon tentera hanya ada pada khemah-khemah utama sahaja

Assalamualaikum Ya Akhi

Bagaimana keadaan di sana?

Kem kami sibuk sedikit. 2 hari lepas jumlah yang cedera lebih daripada biasa. Tentera musuh semakin licik, perajuit kita sampai di kejar hingga ke kawasan melawan arah angin, ramai yang cedera parah.

Tapi jangan risau, semuanya masih dalam kawalan.

Oh ya seperkara lagi, serangan mereka macam ada sedikit pelik kali ini,

Macam ada percikan air selain peluru.

Ada terfikir apa-apa?

Sehingga lain masa,jangan lupa doakan kesejahteraan kami dan semoga Allah sentiasa memberkati kita semua



Amin… sambil dalam hatinya mengucapkan doa keselamatan ke atas sahabatnya itu.
Dr. Faizal melipat semua kertas mesej itu kemas-kemas, dimasukkan semula ke kocek bajunya itu.

Sementalahan itu, dari jauh kedengaran sayup-sayup bunyi kenderaan tentera masuk semula ke dalam kem.

Awal pula mereka balik hari ini, detik hatinya sambil melemparkan pandangannya pada pintu gerbang masuk ke kem.

Pada saat itu mukanya tiba-tiba berubah serius. Lansung hilang girang membaca surat tadi. Serentak dia berlari kencang terus ke arah khemah perubatan.

“Jururawat! Sediakan seberapa banyak tempat yang boleh! Keluar simpanan darah! Siap sedia untuk terima pesakit! Semua doktor, ikut saya!” teriak Dr. Faizal menarik perhatian semua staf di khemah.


“Dr. Faizal, batalion kami di serang hendap. Ramai yang cedera parah! Perlu tindakan segera!” laung Komander Nizam sebaik sahaja turun daripada trak tentera.

“Saya sedia maklum komander. Para doktor sekalian, periksa semua tentera satu persatu. Ikut prosedur kecemasan, bahagikan mereka mengikut kes teruk dan tidak. Siap sedia untuk hentikan pendarahan dan beri analgesic jika perlu” kata Dr. Faizal namun dengan nada yang lebih tenang kali ini.





‘Bismillahirahmanirahim…’

Semua doktor tidak menunggu lama sebaik sahaja arahan diberikan. Dengan lafaz mulia itu maka medan perang bagi mereka sudah pun bermula. Musuhnya, masa. Senjata mereka, ilmu dan kemahiran. Setiap detik tidak boleh dibazirkan, satu saat umpama satu denyut nadi nyawa seseorang.

Cekap. Itu sahaja yang dapat digambarkan pada ketika itu. Semuanya bergerak laju namun penuh etika dan sistematik. Suasana yang kicau bilau penuh dengan hiruk pikuk jeritan kesakitan hilang tiba-tiba bagaikan tergamam mengakui kehebatan yang ada pada setiap unit pasukan perubatan. 20 operasi pembedahan menyelamat berlaku sekaligus, masa setiap operasi di minimumkan sebanyak mungkin. Keutamaan diberikan bagi pengekalan homeostasis, penghentian pendarahan dan menghilangkan kesakitan trauma.

Malam itu, suasana kembali bening semula seolah-olah tiada apa yang berlaku sepanjang petang tadi. Solat Isyak dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawadhu. Sesudah kebanyakan ahli jemaah meninggalkan khemah solat, kelihatan Dr. Faizal duduk berteleku seorang diri di atas sejadah.

“Assalamualaikum” sapa Komander Nizam sambil menepuk bahu Dr. Faizal daripada belakang

“Waalaikumsalam, eh Komander rupanya. Terkejut saya di buatnya”

“Rasanya, bukannya biasa melihat doktor kita seorang ini hilang senyumnya. Apa yang kamu fikirkan” kata Komander Nizam sambil melabuhkan punggungnya duduk di sebelah Dr. Faizal.

“Tak banyak komander, cuma fikir tentang situasi, keadaan dan kemampuan”kata Dr. Faizal dengan matanya tepat memandang ke bawah.

“Tak payah berkomander, kita bukan sedang bertugas sekarang.
Kenapa dengan situasi sekarang? Ubat tidak mencukupi?”

Senyum sebentar, kemudian Dr. Faizal berkata “Betulkah komander, barangkali sekarang angka unit kita yang boleh berperang semakin sedikit bukan?

Komander Nizam terdiam, matanya di alihkan daripada pandangan Dr. Faizal.

“Kalau tak diberitahu, saya sedia maklum. Rakan saya Aqmal baru sahaja memberitahu yang unit mereka juga di serang hendap”

“Jadi apa yang kamu cuba katakan?”

“Saya rasa, saya ingin ke medan perang!”dipegangnya kedua-dua bahu Komander Faizal sedang matanya dibulatkan memandang terus pada Komander Nizam.

“Medan perang?”

“Ya! Medan perang…”Dr. Faizal berkata acuh tidak acuh, kemudian gengaman tangannya dilepaskan, dijatuhkan bahunya perlahan-perlahan. “ Tapi saya kurang yakin, satu ilmu bertempur pun saya tidak ada. Sejak kecil apa yang saya tahu buku, teori, ilmu, dan konsep itu sahaja. Namun, saya tak mahu andai apa berlaku pada tentera kita dan saya hanya boleh jadi tunggul kayu, ditinggal diam disepak tak melawan”kata Dr. Faizal dalam nada sayu.

Giliran Komander pula tersenyum. Masya Allah besar harapan rupanya anak muda ini, bisik hatinya.

“Tapi saya rasa itu bukan masalahnya bukan? Sahabat Nabi dari kecil lagi sudah mula pergi berperang. Zaid sampai sanggup mengheret pedang yang lebih besar daripada. Ya, yang penting adalah keazaman!” hujah Dr. Faizal mengukuhkan kata-katanya.

“Adakah kamu rasa yang kamu tak akan terpelanting waktu menembak? kamu tahu mensasar senapang? Saya bukanlah hendak menjatuhkan semangat tapi kamu sejak awal pendidikan dididik untuk menyelamatkan nyawa manusia, walaupun ini musuh agama kita, kamu rasa kamu ada tenaga yang kuat untuk membunuh?”

“Tapi…”

“Perancangan Allah penuh hikmah wahai Faizal, Ada yang tersirat bila jalan hidup kamu begitu aturannya. Malah kalau kamu nak tahu, sepanjang 20 tahun saya berkhidmat dalam tentera, belum pernah saya nampak satu batallion yang sebegitu cepat kadar sembuh penyakitnya”

“Terima kasih, namun itu semua atas izin Allah jua…”

“Ya, Allah Maha Berkuasa dan Dia juga Maha Mengetahui, Dia lebih tahu apakah kunci kejayaan untuk tentera ini menang. Malah perang yang kita nantikan hasilnya ini masih muda usianya dan saya menjangkakan ia bakal berlarutan. Maka kelansungan itu sangat mustahak. Terlalu awal untuk kita katakan apa-apa lagi dan yang paling penting, jangan sesekali kita berputus asa atas nikmat Allah”

Perbualan itu ditamatkan begitu sahaja apabila Komander Nizam meminta diri meninggalkan Dr. Faizal berfikir. Larut Malam itu juga, Dr. Faizal menulis surat untuk dilaporkan semula kepada sahabat di kem Umar.

Assalamualaikum Aqmal

Barangkali hari inilah, hari paling banyak perkara yang berlaku,

Kem kami juga mengalami nasib yang sama,

Tentera di serang hendap namun alhamdulillah semua dapat diselamatkan.

Oh ya, saya ada satu soalan. Kalau berlaku perkara sebegini lagi, patutkah kita berlari ke medan perang membawa senapang atau kamu kekal di posisi kamu


Surat itu lantas diberikan kepada askar betugas untuk dihantar melalui perangkai tanpa wayar bertugas. Namun, belum pun sempat beberapa langkah Dr. Faizal meninggalkan khemah perhubungan, dia di panggil menjawab telefon.

“Assalamualaikum”
“Waalaikumsalam, ini…”

“Faizal, kalau aku diberi pilihan masa ini, aku pilih untuk setia pada posisi !” ujar Dr. Aqmal memintas kata-kata Dr. Faizal

“Aqmal, ish tiba-tiba pula dia ini. Mengapa pula kamu gunakan telefon. Ini kan untuk tujuan kecemasan dan ketenteraan”

“Sudah pukul 3 pagi, kalau ada pun kecemasan bukan sekarang Insya Allah…
Apapun Faizal, kamu ingat lagi bukan perang Uhud? Kamu tahu bukan antara sebab tentera Islam kalah?”

“Jelas lagi, tentera pemanah mengingkari arahan Rasullah meninggalkan bukit yang patut mereka jaga…” terkedu. Ayat Dr. Faizal tidak diteruskan, menunggu jawapan sahabatnya.

“Jadi, apa akan jadi kalau kita tinggal posisi kita?”

Diam…kedengaran suara batuk-batuk beberapa orang di corong telefon.

“Mungkin ada benarnya juga apa kata kau Aqmal. Terima kasihlah. Aku fikir tentangnya.
Eh Aqmal, kenapa pula ada orang yang batuk di kem Umar?”

“Tak tahulah, barangkali flu biasa-biasa sahaja”dibiarkan sahaja Dr. Faizal menukar topik. Arif benar Dr. Aqmal tentang sahabatnya itu, cakap sekali sahaja sudah lebih dari mencukupi.

“Flu? mana mungkin secepat ini! Semua perajuit kita sudah melalui proses vaksinisasi dan peningkatan tahap immuniti” ujar Dr. Faizal dengan nada penuh kehairanan.

“Astagfirullah, bila kau cakap baru aku teringat. Macam mana aku boleh lupa yang kita yang uruskan skim tersebut.”

“Flu ini tanda ada infeksi, ada yang telah meransang sel-sel epithelium dalam salur pernafasan menyebabkan sel-sel merembeskan lebih mukus, mungkin juga sudah ada inflamasi”

“Nauzubillah, apa kamu jangka pihak musuh sudah mengunakan senjata biologi?”

“Mungkin, tapi melalui apa. Mereka tidak ada medium”

Kedua-dua senyap berfikir. Seluruh minda ligat berfikir, mengorek-gorek segala ilmu yang ada.

“Air!” serentak kedua-duanya berkata.

“Patutlah kau kata ada percikan air pada serangan musuh. Tambah pula askar kita cedera, memudahkan lagi infeksi. Cepat, isolasikan semua unit yang terlibat dalam serang hendap tadi!” gesa Dr. Faizal

“Buat juga untuk unit di kem Abu Bakar, aku dapatkan rasakan perkara yang sama berlaku pada askar-askar di sana” kata Dr. Aqmal sebelum mereka meletakkan gangang, mengakhiri perbualan mereka dan berlari dengan misi baru mereka.

Keesokan harinya, sedang Dr. Faizal menolong menyuntik antibiotik kepada askar-askar dalam khemah isolasi khas. Dia menerima sepucuk surat lagi.

Assalamualaikum Faizal


Fransicella Tularensis, tak sangka musush kita akan mengunakan bakteria ini. Seingat aku, kali terakhir mikroorganisma digunakan pada tahun 1950.

Kadar infeksinya tinggi, lebih tinggi daripada anthrax. Kalau tak dirawat, kerugian besar kita.

Musuh kita semakin licik, mereka hendak serang sistem dalam badan kita yang penuh dengan banyak kemungkinan.

Kami gunakan Streptomycin sebagai ubat utama, mungkin berpindah pada alternatif seperti gentamycin

Nampaknya tugas kita semakin beratlah! Sebab itu kita boleh lari dari posisi kita bukan?”



Dr. Faizal memandang ke arah puncak bukit. Angin dingin bertiup, bertemu dengan mukanya. Sambil memejamkan mata, dikecap erat-erat baju labuh putihnya lambang dia seorang doktor. Kemudian dia menutup pintu khemah yang sedikit terbuka dengan surat terlipat kemas dalam gengaman tangan kanannya. Dalam hatinya dia berkata; Ya Aqmal, tugas kita makin berat dan ia baru sahaja bermula.

Khamis, Mei 24, 2007

Berlari sejarak semula (dengan masa)

Bulan yang memenatkan

Ramai kata tahun ketiga sebagai pelajar perubatan, tahun mengerikan. Tak siapa yang tahu hinggalah dia merasakannya sendiri.

Dan saya setakat ini, sudah pun merasai 70% daripadanya, mengerikan? Ya mungkin, tapi bukanlah mustahil.

2 ujian praktikal( theraphy, surgery) berturut-turut, selangnya 2 hari pula. Ditambah dengan barisan-barisan cikgu-cikgu yang bertanya soalan macam menghambur peluru.

Belum sempat pun, luka sembuh. Datang pula ujian emergency medicine. Lagi satu lagi yang mengerikan. Soalan-soalannya umpama antara hidup dan mati. Memang! Bayangkan

“Between spasmolytic and adsorbent (in food intoxication), which that you should give on the ambulance first?Why?”

Kalau tak A makanya B. Kalau A betul makanya B salah. Kalau A lulus makanya B gagal.

Oh ya, tidak dilupa juga soalan MCQ theraphy dan surgery, bukanlah sampai meragut nyawa tapi terkorban jugalah satu dan dua.

Tak usahlah dikata juga cabaran-cabaran subjek lain yang datang tidak semena-mena dari sisi.


SUNGGUH! Terasa tak terlarat berlari sama laju dengan masa lagi.


Lari

Tika ini, saya suka lari ke suatu tempat.

Disini, dari koridornya, kita boleh duduk sambil lontarkan pandangan pada Sungai Volgo sambil-sambil menunggu matahari terbenam di celah-celah hutan rekreasi yang di pelihara khas.

Kemudian, pandang jauh sedikit dan lihat tasik ladam sambil-sambil dikelilingi dacha-dacha (summer cottage).

Langsai solat maghrib dan Isyak. Juga selepas habis berbual-bual sambil-sambil menjamu sedikit kudapan. Saya akan kembali lagi lagi ke koridor ini. Melihat lagi sungai mengalir sambil kapal-kapal pesiaran berlayar memancarkan sinar kelam dari jauh. Kalau terus lihat ke kanan, akan jelas kelihatan cahaya-cahaya sayup dari bandar Bolhski umpama kunang-kunang layaknya. Sekali-sekala, akan terasa angin dingin malam meniup ke muka. Perasaannya amat segar.

Sambil-sambil menunggu subuh, baca satu atau dua majalah. Banyak sungguh koleksi mereka. Sampai sanggup dibawa jauh dari Malaysia.

Kemudian, habis solat subuh, tunggu sekejap matahari hingga tampak warna-warna merah mewarnai bukit Mamaev Kurgan dicelah-celah tugu besar Mat Rodina. Barulah saya tidur hingga dikecutkan mereka semula pukul 7 keesokannya.

Pemandangan yang indah, juga layanan mereka yang baik. Kalau ada anugerah saya kasi rumah mereka ini anugerah Rumah terbaik : ) . Inilah kvartira (apartment) park kultura kata mereka (Zakiran, Asyraf, Muhana, Theenesh-semuanya tahun 4)

Tiba-tiba saya pulang, pergi ke kelas dan tanpa saya sedari, masa ada semula disebelah saya.

Alhamdulillah...

(2 minggu lagi sebelum peperiksaan akhir)

Khamis, April 12, 2007

Sucikan hati ini...

Semakin saya cuba kehadapan semakin itu juga terjatuh ke belakang. Pada saat ini saya bertanya:

"Adakah saya benar-benar bergerak?"

Sungguh saya tak sangka, membesar, menjadi dewasa, mencari kematangan dan erti hidup adalah sebegini sukar.

Semakin saya cuba jadikan hati ini sebersih-bersihnya, semakin pula saya lumurkannya dengan kekotoran.

Kadangkala saya bertanya sendiri bila saya lihat kawan-kawan saya semakin berilmu, semakin tahu tentang ilmu agama, semakin dekat Tuhan, semakin hargai makna perjuangan. Layakkah saya berjalan bersama-sama mereka


Langsai sudah hari lahir saya. Saya rasa tahun ini penuh kekeliruan buat saya. Jika saya boleh berbangga dengan apa yang saya capai namun saya punya seribu kesilapan untuk saya perbaiki.

Ini bukannya satu kesedihan tapi saya tahu yang saya boleh buat lebih baik. Saya tahu saya boleh yang sangat baik akhirnya saya hanya hasilkan sesuatu yang biasa.

Sabtu, April 07, 2007

Betapa Dunia Pada Hari ini Layak Gembira...



"Harapanku kita jadi teman batini dan ruhi,
Berpaut pada keakraban tauhid dan rabbani,
Malah sejak terbitnya ukhwah ini,
Dengan kau hidang segelas kedamaian,
Sungguh, tak terhirup manisnya kenangan,
Yang sebati antara kerasnya cabaran,
Dan mesranya halwa kejayaan"


Petikan daripada puisi yang saya hadiahkan pada empunya diri-selebihnya milik Afiq, dia sekarang miliki hakcipta, nak lihat atau nak terbitkan kena tanya dia :)



Kalau ada sesiapa bertanya pada saya, siapakah sahabat,saudara dan kawan paling saya hargai maka tak teragak-agak untuk saya katakan insan itu adalah Mohd Afiq bin Mohd Nor.

Walaupun kami hanya bermula sebagai orang asing dengan perwatakan yang kebanyakannya lain, berkenal secara rapat pun adalah tiga bulan selebihnya berjumpa setiap tahun beberapa kali. Namun, setelah tiga tahun dia masih kekal sebagai kawan dalam erti kata sebenar walaupun duduk sebegini jauh adalah sangat membangkitkan rasa syukur saya. Membuktikan kepada saya betapa kalau niatnya daripada awal benar maka barakahnya berpanjangan.

Inilah orangnya mendengar celoteh dan aduan dari seremeh-remeh perkara sampai ke sebesar masalah negara dan ummah dengan penuh sabar. Tak kekok pun menegur saya tanpa sedikit pun terasa singgung di hati dan yang lebih penting kalau saya saya ingat dia saya ingat tentang kewajipan saya sebab ini memang perjuangan kami untuk bangunkan ummah dan bangsa.

Tahun kebelakangan ini saya fikir agak payah sedikit bagi Afiq. Meskipun saya kurang pasti (Cuma mendapat input pada penulisannya, chattingnya, status YM nya, gambar avatar YM nya, kata-katanya dalam telefon) tapi saya rasa ada juga mengugah diri pemuda yang bersemangat tinggi ini.

Makanya besar harapan saya kalau rahmat Allah mencucurinya sempena genap umurnya pada hari ini. Moga terlerai segala masalah dan ceria selalu hendaknya.


"Dan pada setiap hening malam dan subuh pagi,
Aku kirimkan secangkir doa,
Biar mengalir ke kebun usahamu,
Walau liat mahupun tandus pun tanahnya,
Tetap boleh segar pohon impianmu,

Betapa satu lagi tangga kematangan memang untukmu naiki,

Dan sebagai sahabatmu aku katakan

Betapa dunia pada hari ini layak gembira,
Kerana pahlawan yang satu ini setahun sudah kehadapan."


Selamat Hari Lahir Afiq...Memang dunia pada hari ini layak gembira!


Sahabat mu

Fadli KH

p/s: pilih gambar ini sebab, ini gambar paling ikhlas walaupun posing nya sedikit mencurigakan (memang bergaya atau di ambil secara candid)

Fenomena Teh

Tanpa semena-mena universiti kami yang terkenal dengan universiti yang paling banyak membuli pelajar-pelajarnya dengan jangka masa belajar yang lebih lama darpada universiti yang lain, tidak termasuk lagi dengan cuti musim panas yang paling pendek juga denda bayaran ketidak hadiran ke kelas yang semakin meningkat tahun demi tahun TETAPI dengan tiba-tiba bermurah hati memberi teh percuma kepada semua pelajarnya.

Semua orang bagaikan tidak percaya walaupun terpampang besar-besar notis yang di tampal di setiap sudut-sudut kopi. Di tambah pula dengan makcik penjual yang sudah sedia garang menambah lagi keraguaan semua orang untuk mengambilnya. Hingga mulut makcik itu berkata

"Vi ni hatitye chai?" (awak tak nak teh)
(Pelajar terdiam)
"Smatritye vot studentam chai besplatno"(tengok, teh percuma untuk pelajar)

Kemudian barulah seorang demi seorang pelajar mengambil teh. Kini di mana-mana bangku rehat dan meja-meja makan, kita boleh sentiasa lihat pelajar dengan secawan teh. Kata pensyarah kami, perkara ini dijangka berterusan untuk jangka masa yang lama.

Saya rasa ini satu perkara yang amat bagus. Selain daripada mengelakkan dehydration. Teh ini juga merupakan psychostimulant yang selamat, ini seterusnya dapat memastikan pelajar-pelajar masih kekal menumpukan perhatian walaupun di hujung-hujung nyawa hari siang.

Selain daripada itu, teh ini juga mengandungi 'Tannin' sejenis bahan yang mengandungi sifat-sifat sebagai astringent. Dengan membentuk lapisan colloid pada permukaan mucosa, teh sangat bagus terutama kepada golongan pelajar yang pastinya mempunyai tendensi yang amat tinggi terhadap gastritis.

Cuma saya berharap agar kandungan gulanya dapat dikurangkan sedikit. Selain daripada itu saya rasa usaha ini sangat bagus dan wajar diteruskan (tidak dimaklumkan keuntungan kepada kami dapat menjimatkan duit hehe)

p/s: maaf artikel yang caca marba bahasanya, tidak dapat cari istilah-istilah sains dalam Bahasa Melayu, cikgu dulu tak ajar...

Sabtu, Mac 24, 2007

Pertemuan Angin dan Air

Kasih Air dasar tak tercapai,
Kasih Angin lembut bayu melambai,

Setianya Air pada Angin;
Bersua pada hari-hari gembira,
Hari-hari cerah, hari-hari indah,
Juga pada hari-hari penuh pengharapan,
Hari-hari keluh kesah, pabila ramai yang berserah.

Kasihnya Angin pada sang Air;
Jauh kembara berdua luaskan fikir,
Keliling segala sambil menghembus nyaman,
Saat gembira nyata keduanya bahagia,
Sambil yang lain mengukir senyuman,
Bersama nikmati kesenangan.

Bicara Air pada sang Angin;
“Tiba masa kita harus berpisah”
Kendati pun langit tampak berat,
Hati kekal hening, masih sama membenarkan,
Lalu gugur perlahan menguraikan,
Bagai permata kelak jadi begitu berharga,
Sampai sempat terukir urna pelangi,
Lambang cinta dari atma paling suci,
Jadi pelengkap betapa syukurnya bumi.

Bicara Angin pada sang Air
“Sampai masa kita ketemu semula”
Sementara akur fitrah Ilahi,
Memberi ujana makna kehidupan,
Meski tempat berbeda,
Namun laluannya masih punyai tujuan yang sama.

Ukhwah yang terbina atas aturan restu Ilahi,
Citra sakti, dirai langit dan bumi,
Bertemu dan pergi pun masih punyai seri.

Alangkah indahnya ciptaan Ilahi,
Umpama bercerita kepada insani,
Jadi hikmah bagi yang sudi meniliti.

Sabtu, Mac 17, 2007

Persahabatan yang diraikan

Nabi Muhamad s.a.w rasul kita yang tercinta ada bersabda dalam hadisnya

“ Contoh teman yang baik dan sebaliknya adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Maka untuk penjual minyak wangi samada dia akan memberi sebahagian minyak wanginya kepada kamu atau kamu membeli daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu dapat menikmati bau yang menyenangkan daripadanya. Manakala tukang besi pula samada dia akan membakar pakaian kamu atau kamu sendiri akan mendapat bau yang tidak menyenangkan daripadanya”

Sebagai permulaan, saya ingin kita semua tahu bahawa tanpa kita sedari nilai persahabatan itu sendiri semakin hilang nilainya dalam dunia kita sendiri. Saya berikan satu bukti. Lihat maksud friendship antara dua zaman berbeza ini:

friend n. 1. A person whom one knows, likes, and trusts. 2. A person whom one knows; an acquaintance.

Terjemahan daripada dictionary.com, 2000 A.D.

friendship n. the highest degree of intimacy.

Terjemahan daripada Samuel Johnsonís Dictionary of the English Language, 1755 A.D.


Maka dalam dunia yang semakin hilang ertinya ini, apabila semakin ramai manusia menuju kearah individualisme dan negara yang semakin menyanjung semangat kapitalisma. Tidak hairan manusia semakin tidak mengendahkan teman yang ada disisinya.

Pada pendapat saya, manusia tidak pernah lari daripada kesilapan. Serupa mana pun kita tetap punyai perbezaan. Hatta, kembar siam pun masih ada yang berlainan. Maka apabila kita bersahabat, walau macam mana kita teliti dan berhati-hati untuk mengelakkan perselisihan faham , perkara tersebut pasti akan berlaku. Daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar konflik, setiap insan mempunyai persepsi berbeza terhadap sesuatu perkara.

Saya berkata sekadar melalui pengalaman. Pada hemat saya, ketika inilah nilai sebuah persahabatan itu boleh dilihat. Sejauh mana setiap kita menghargai persahabatan yang kita ada, bergantung kepada sehebat mana setiap daripada kita mengambil inisiatif untuk memperbaikinya semula.

Namun begitu, Nauzubillah. Sememangnya kalau boleh pastinya kita mahu mengelakkan konflik. Maka amalkan adab ketika bersahabat

1. Jangan bertengkar dengan sahabat
2. Elakkan perselisihan faham antara sahabat
3. Jangan perlecahkan sahabat
4. Jangan menganggap sahabat kita lebih rendah darjat daripada kita
5. Jangan mempermainkan sahabat
6. Jangan kita memperkatakan sesuatu yang tidak disukai oleh sahabat kita
7. Jaga dan mempertahankan maruah sahabat kita
8. Hormati sahabat kita
9. Jangan lakukan perkara yang tidak disukai sahabat kita
10. Jangan menyebarkan perkara buruk tentang sahabat kita
11. Memaafkan kesilapannya

Senarainya berterusan tetapi inilah antara yang saya ingat semenjak saya belajar pelajaran akhlak sewaktu di sekolah rendah lagi.

Hakikatnya, setiap kali saya memulakan perkenalan, setiap itulah jantung saya berdebar takut-takut dugaan yang mendatang merosakkan apa yang telah ada sekarang. Setiap kali itulah saya berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar ikatan ini berkekalan. Apabila sampai masanya, tatkala datang dugaan dan lebih melegakan apabila persahabatan itu masih kekal selepas itu, maka dialah sahabat yang makin saya hormati, makin saya sayangi dan makin saya hargai.

Persahabatan itu bagi saya umpama kita menjumpai sesuatu yang amat berharga, kita jaganya dengan penuh kesederhanaan (tidak melampau dan tidak pula terlalu mengabaikan) kemudian sampai masa kita lepaskan dan sekiranya ia datang semula, makalah itulah yang kita cari-cari sebenarnya.

Allah berfirman dalam Surah Al Zukhruf ayat ke 67 yang bermaksud

“Teman-teman akrab pada Hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”

Ditafsirkan pula oleh Hafidh Ibn Katheer, mengaitkan ayat ini dengan cerita yang disampaikan oleh Ali bin Abi Talib (r.a):

Tersebut satu cerita, 2 kenalan bersahabat kerana Allah dan salah seorang daripadanya meninggal dunia dan diberikan berita gembira bahawa dia bakal dikurniakan al-Jannah, maka dia teringatkan sahabatnya dan memohon pada Allah

“Ya Allah sahabatku sentiasa mengingatkanku untuk mematuhi Mu and Rasul Mu and menyarankanku agar berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran dan dia memberitahu yang aku akan menemui Mu. Ya Allah janganlah kau biarkan dia sesat dan tersasar sehingga kau tunjukkan kepadanya apa Engkau tunjukkan pada ku dan sehingga Engkau berpuas hati kepadanya sebagaimana Engkau berpuas hati kepadaku”

Maka dia pun diberitahu oleh Allah

“Kalau kamu tahu apa yang (tertulis) untuk sahabatmu, kamu akan ketawa dengan banyaknya dan sedikit sahaja menangis”

Maka apabila sahabat yang satu lagi meninggal dunia, kedua-dua roh ditemukan maka setiap daripada mereka berkata

“Engkaulah saudara, teman dan sahabat yang terbaik”

Lain pula apabila dua kenalan yang mengingkari Allah bersahabat, apabila salah seorang daripada mereka mati, dia akan memohon Allah agar tidak memberikan petunjuk kepada kawannya supaya nasib mereka serupa. Maka apabila kawan yang satu lagi meninggal dunia dan roh mereka dipertemukan, maka berkata mereka antara satu sama lain

“Engkaulah saudara, teman dan sahabat yang paling teruk”

Rasullah s.a.w juga pernah menunjukkan betapa mulianya persahabatan, bagaimana ketika Zaid ibn Harithah syahid dalam peperangan Mu’tah. Rasullah berkata

“ Zaid berjaya dalam jalan Allah seperti yang sepatutnya layak diterima olehnya”.

Anak perempuan Zaid menjumpai Rasullah bersedih melihat mayat Zaid dan bertanya

“ Apakah yang aku lihat?”

Maka Rasullah menjawab dengan linangan air mata

“Seorang sahabat bersedih ke atas sahabat yang lain”

Maka, bersahabatlah kerana Allah, pada landasan dan garis panduan Islam. Saya percaya dan berani jamin persahabatan kerana Allah lebih syahdu daripada cerita-cerita romantik tipikal yang berlambak di pawagam, lebih suci daripada cinta yang kononnya ‘sejati’ yang kerap kali diuar-uarkan, lebih indah daripada perhubungan yang didasarkan pada harta benda, bunga-bunga ros yang pastinya layu malah lebih bermakna daripada kata-kata puitis cinta.

Kalau kurang yakin. Lihatlah sendiri:

‘Kalau mendengar kisah cinta tak tearah, hati kita jadi lemah, hati kita rasa mual tetapi kalau mendengar pertalian atas dasar Allah semangat kita tambah berkobar-kobar, usaha kita bertambah kuat, keyakinan kita tambah utuh’

Cuba dan Alami sendiri

Sekadar pengalaman sendiri yang ingin dikongsi bersama.

p/s: siapa ada membaca puisi Pertemuan Angin dan Air (Syabab PPIM ke- 3), maka ini susulannya.

Khamis, Mac 15, 2007

Selamat Hari Wanita...

"Sudah tertulis lama dalam journal persendirian, tapi masih berfikir-fikir untuk di 'post' kan atau tidak."

9 Mac 2007

Saya kurang pasti samada saya patut menulis pada hari ini atau tidak. Sebetulnya, hari ini sepatutnya cuti umum di sini tetapi memandangkan esok saya punya 3 subjek yang perlu dipandang dengan berat maka membiarkan hari ini bercampur aduk antara rehat ataupun bekerja.

Hari ini hari wanita. Mengikut tradisinya, hari ini merupakan satu hari yang mana seluruh dunia perlu diperingatkan tentang hak-hak wanita. Supaya golongan ini diberi layanan sewajarnya dan diberi tempat yang sepatutnya. Satu pemikiran yang sudah lama klise bagi umat Islam. Bukankah Islam telah lama memberi garis panduan tersebut malah sudah terlebih dahulu mengangkat darjah wanita lebih awal daripada ketika hari ini diumumkan pada tahun 1913 di St. Petersburg.

Meskipun begitu, hari ini sememmangnya satu hari yang mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dilihat. Kita dapat menyaksikan harga bunga melonjak sangat tinggi pada hari ini. Kemana kita pergi kita boleh lihat lelaki membeli bunga dan perempuan membawa bunga.

Walaupun budaya ini pastinya asing pada kami pada awalnya, tetapi memandangkan pensyarah semuanya orang Russia dan majoritinya wanita, maka kami pun perlu membeli bunga; 2 jambangan bunga (3 kuntum ros setiap satunya) kami sediakan untuk 2 orang cikgu Bahasa Russia kami.

2 perkara tentang orang Russia terutamanya wanita, mereka sangat suka bunga dan coklat. Satu jambangan sahaja sudah cukup membuatkan cikgu kami tersenyum lebar sambil bercakap tanpa henti untuk 20 minit. Cukup membuktikan segalanya kan?

Budak perempuan kelas kami pada hari lelaki yang lalu (23 Feb) ada membuat jamuan untuk kami. Maka sebagai syarat, tak sahlah kalau tidak buat benda yang sama untuk mereka pada 8 Mac (Hari Wanita). Lelaki memasak untuk hari wanita juga merupakan satu tradisi bagi lelaki Russia pada hari ini. Mengikut apa yang saya dengar daripada cikgu, pada hari ini lelaki perlu melakukan segala kerja rumah dan membiarkan wanita( terutamanya para ibu) berehat.

Jamuan untuk budak perempuan kelas kami ringkas sahaja. Sekadar pulut dengan rendang, di samping salad, omelet dan kek buah. Kami kata ini konsep ‘Fusion’ (Gabungan Timur dan Barat). Tidak dilupa juga Milkshake dengan jus apple yang dihias dengan buah apel. Sebagai hadiah kenangan-kenangan kami buat satu bentuk budak perempuan mengikut karakter masing-masing daripada coklat.

Habis sahaja saya menulis cerita ini, sudahpun masuk maghrib di sini. Tingkat kami semuanya lelaki. Pagi-pagi tadi dapur kami mengalahkan restoran berasap tanpa henti. Oven, MIcrowave, Mixer, semuanya digunakan. Semuanya ada jamuan. Bila hari berakhir, matahari terbenam maka tinggallah dapur kami umpama tongkang pecah yang karam layaknya. Maka mengamuklah satu-satunya wanita yang masih tinggal Mama kami ataupun pembersih asrama kami. Kami pun cepat-cepat buat apa yang patut dan sebagai penutup kami pun berkata pada Mama ‘S praznikom Mama!’. Dia pun tersenyum dan tak marah lagi. Kami masih budak-budak yang baik.

Kepada semua wanita di luar sana. Selamat Hari Wanita. Sememangnya sebaik-baik hiasan dunia adalah wanita solehah.

Selasa, Februari 13, 2007

Telefon yang berbunyi


Sekadar memandang kepada alat eletronik, dilengkapi dengan butang-butang dan fungsi-fungsi yang nyata telah banyak membantu saya selama ini.

Bila bulan bertukar daripada Januari ke Febuari. Juga semester lama ke semester baru. Tidak lupa peralihan dari musim cuti kepada belajar semula; pengunaan telefon ini juga alami semacam perubahan.

Misalnya dahulunya, waktu cuti tidak pernah pula di’set’kan locengnya pada awal-awal subuh seawal 5.45 pagi, kalau ada pun pada hari-hari saya pergi ke praktikal.

Bercerita tentang praktikal, teringat pula kenangan manis menaiki ambulans sambil berjalan-jalan sekitar Volgograd melawat rumah-rumah masyrakat di sini. Ada sekali itu, saya mengikut ambulans khas untuk kanak-kanak. Yang kelakarnya, ada seorang budak kecil yang demam bila nampak doktor pertolongan cemas (memakai baju biru yang tertulis perkataan skoraya pamosh-pertolongan cemas) duduk diam sahaja tapi bila nampak saya memakai ‘lab coat’ putih melompat macam nampak hantu.

“Mak-mak! Tak nak doktor!” menangis-nangis dia cuba menyorok di belakang emaknya.

Telefon ini juga digunakan untuk mengambil gambar-gambar borang yang kami kena salin semula. Sampai terhafal pula ubat-ubat yang selalu diguna: Analgin, Magnii Sullfatis, Euphylin. Ya, kebanyakan pesakit kami kalau tidak demam pun, darah tinggi, kalau tidak pun sakit-sakit berkenaan dengan jantung.

Sekarang semester baru bermula, setiap Isnin, Jumaat dan Sabtu perlu bangun sebegitu awal. Kadang-kadang perlu juga ditetapkan pada pukul 9.00 malam, setelah tidur sekejap melepaskan penat yang keterlaluan lebih-lebih pada hari-hari yang kelasnya habis pukul 5 ke atas (Isnin, Selasa, Khamis), saya panggil hari-hari ini ‘Hari Kerja Kilang’, seharian ke sana ke mari tanpa rehat. Meskipun begitu, saya begitu menikmati subjek ‘Operative Surgery’ setakat ini, seronok belajar cara-cara mengikat benang semasa menjahit ‘stitching’ cara pakar bedah pada hari pertama; ada video cikgu menunjuk caranya di dalam telefon.

Tema dihadapannya pun sudah ditukar kepada musim sejuk dengan gambar rumah dilitupi salji di atas. Hendak sahaja menukar kepada tema musim bunga, sengaja yang menunjukkan rasa tidak sabar dengan musim sejuk ni. Tapi salji yang kadang-kadang turun membantut keinginan. Sekurang-kurangnya Volgograd masih panas berbanding Moscow. Khabar-khabarnya di sana -10 Celcius.

Dahulunya juga, waktu-waktu begini semasa cuti, SMS banyak dibalas sekadar seronok-seronok. Sekadar bertanya dan bertanya soalan-soalan bergini:

“Petang ni, ada buat apa-apa?”
“Ada apa-apa filem menarik?”
“Nak Makan mana? malam ni?”

Sekarang, bermula sahaja febuari, lenguh pula jari-jari memicit-micit butang-butang kecil. Selalu sangat membalas SMS sampai tutup mata pun, masih menaip. Alhamdulillah, baru sahaja selesai menyiapkan majalah Ulul Albab Kelab UMNO Volgograd yang kedua. Sekarang, masih lagi mengira-ngira bahan-bahan Paramedic PPIM untuk dikemaskini yang semenjak Januari Universiti sudah memberi lampu hijau kepada kami sebagai wakil kesihatan di Hostel. Syukur, kira-kiranya tidaklah kami membuat kerja secara haram di sini.

Masih ada kerja-kerja Mirc (Malaysian Indoor and Recreational Competition) yang menunggu dan yang paling penting SMS bertanya-tanya kerja rumah dan topik-topik yang hendak dibaca. Sibuk macam mana pun saya tetapi menjadi doktor itu impian nombor satu.

Begitulah kisah kehidupan seharian saya yang diringkaskan pada pengunaan telefon.

Meskipun begitu, saya masih menunggu satu SMS yang bakal mempengaruhi keputusan saya seterusnya. Hairannya, kalau dengan orang lain yang lambat membalas SMS, gelisahnya Allah sahaja yang tahu. Tapi dengan seorang ini, saya sabar pula menunggu. Tidak ada harapan saya letakkan, cuma menanti dengan redha jawapannya.

P/S: ada satu butang telefon saya sudah semakin liat untuk di tekan. Alahai! takkan kena tukar baru...

Isnin, Januari 15, 2007

Selamatkanlah Komuniti Kita Ini!

Bismillahirrahmannirahim
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah Al-Hujraat Ayat 6)

Beberapa hari yang lepas kalau siapa yang menyedari saya ada sedikit perselisihan faham dengan Helmi. Hakikat manusia, tidak ada yang sempurna. Alhamdulillah, segala-galanya berjaya diselesaikan setelah perbincangan kecil antara kami. Pergaduhan itu sudah sesuatu yang amat menyedihkan tetapi apa yang lebih menyedihkan adalah sebab musabab perkara ini timbul.

Sedar atau tidak, semua ini muncul daripada rasa ketidakpercayaan yang timbul sesama kami, yang sebenarnya tidak pun berpunca dari diri masing-masing tetapi daripada apa yang orang sekitar bercakap-cakap, mengumpat-ngumpat atau berkata-kata samada secara sengaja atau tidak sengaja. Nasib baik, langkah diambil. Cuba bayangkan kalau masing-masing terus berdiam diri. Sampai tahun terakhir pun sesiapa tidak menyedari perkara sebenarnya yang terjadi.



Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah Al-Hujraat Ayat 9)

Saya tidak mahu berdolak dalih lagi, saya merayu selamatkanlah komuniti Volgograd yang kita semua sayangi ini. Berkata-kata tentang orang lain, mengumpat-mengumpat, berkata buruk tentang mereka, mencari keaiban dan kesalahan orang adalah sesuatu yang amat tidak sihat dan sangat salah di sisi agama. Sedar tidak sedar ia sedang memecah belahkan perpaduan yang kita ada selama ini. Lebih teruk kita melakukannya kepada sahabat kita sendiri, orang yang sama-sama kita harungi pahit manis kehidupan di sini. Sama tersenyum dan menangis.

Apa? Tak sayangkah kita pada kawan kita sendiri. Sukakah kita melihat mereka menangis meratap atau gila mengamuk tak tentu pasal? Seronok kita melihat dua sahabat bergaduh? sampai muncul puak-puak yang masing-masing bertelingkah atas sebab remeh yang entah apa agaknya.
Kemudian kita duduk diam macam tiada apa yang terjadi seolah-olah macam selama ini kita tak pernah bertanggungjawab untuk apa yang terjadi. Sedikit pun tidak ada rasa bersalah.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Surah Al-Hujraat Ayat 11)

Umpama gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, api dalam sekam. Benda ini sedang membunuh kita sebenarnya. Hakikatnya, kalau kita selidik semula semua berita yang sampai boleh dikatakan hampit semua tidak benar. Perkara ini bukan baru sebenarnya, Teringat saya macam mana terkejar-kejar Cerap mengira-ngira perbelanjaan masak setiap kali kenduri di buat di tempat kita.

“Fadli, tengok betul-betulnya aku kira. Aku tak nak lah orang cakap aku buat kerja tak betullah, aku ambil duitlah”

Ataupun tanggapan salah semasa Kak Sya memberi teguran, atau PPIM dan Kelab UMNO yang terpaksa sangat berhati-hati dalam membuat apa-apa, takut-takut disalah sangka.Mana tidaknya, tahu tidak tahu, esoknya macam-macam cerita keluar, entah mana datangnya. Sedangkan benda baik pun boleh disalah erti, inikan benda-benda yang lain.

Saya merayu pada diri saya dan anda semua. Jika ada berita yang kita tidak pasti jangan sebarkan. Jika ada benda yang keaiban: anda mahu menegur, buatlah dengan cara terpuji, jumpa dan berbincang. Jangan pula membawa cerita menjatuhkan maruah mereka dan pergi tanpa sedikit rasa tanggungjawab. Jika kita tidak mampu maka diamkan sahaja.

Allah Maha Adil, hari ini kita bercakap-cakap, mengutuk-ngutuk. Sampai masa roda berputar semula, kita pula diperkatakan, dikutuk-kutuk. Waktu itu baru kita tahu bagaimana rasanya. Persoalannya perlukah kita tunggu sampai perkara tersebut terjadi, Sudah terhantuk tak guna nak mengadah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah Al-Hujraat Ayat 12)

Setiap kali cuti ‘Summer’ saya ke INTEC dan betapa bangganya saya berkata dengan mereka di sana yang kita punya satu komuniti yang sangat hebat, sangat muhibbah. Betapa tanpa embassy pun kita mampu berdiri sendiri. Betapa kita menjaga antara satu sama lain. Saya tidak mahu saya ke sana pada masa akan datang; berkata perkara yang sama tetapi ramai yang meraguinya. Kita sudah pun nak menghantar wakil graduan pertama dari universiti ini. Biarlah mereka pulang dengan rasa lega betapa mereka telah tinggalkan kita dalam keadaan baik.

Untuk kebaikan kita semua saya selaku hamba Allah, teman seperjuangan, adik dan abang: Marilah kita sama-sama berusaha untuk kebaikan semua.

Selamat berjuang.

Ikhlas daripada saya dan saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan

Mohamad Fadli bin Khairie
Januari 2007

Sabtu, Januari 13, 2007

Biarkan Mereka...

Memetik perbualan antara seniman negara A.Samad Said dengan anaknya Helmy Samad yang didokumentasikan dalam blog Helmy Samad-Luluhkan hatiku

"Helmy tahu, perbuatan yang lahir dari keikhlasan selalunya disalah erti.”
Saya tidak ternganga, tetapi terkerut dahi.

Dia tersenyum, “Bapak pernah dan selalu kata orang yang menolak ilmu itu bodoh. Ingat apa yang bapak dapat?”

Saya terangguk. “Mengapa bapak tidak jelaskan?”

Senyum lagi, “Kalau keihklasan semudah itu yang bapak luahkan tidak difahami dan diterima, malah dicerca dan dilabel, fikirkanlah sendiri.”

“Habis, bapak diam saja.”

“Ya, mengapa tidak?”

“Tapi...”

“Helmy, jangan masuk gelanggang mereka yang tidak ikhlas. Jangan masuk gelanggang mereka yang akalnya pendek. Kelak kita jadi bodoh dan tidak ikhlas. Kita akan dikuasai nafsu. Jika itu berlaku, Helmy fikir kita mampu ikhlas?”



Teringat pula kata-kata Zamani dalam blognya(saya terjemahkan dalam bahasa Melayu): Tak perlu dijelaskan, kawan kita tidak memerlukannya dan musuh kita sama sekali tidak akan mendengar.Mungkin bukan musuh(terlalu kasar pula bunyinya) tetapi mungkin mereka yang kurang memahami.

Namun, yalah kalau kita ada sesuatu makanan, orang kata lebih enak kalau dinikmati bersama.

Meskipun begitu, kadangkala manusia ini perlukan bukti baru mereka mahu mengerti, sementara itu, cukuplah Allah untuk menyediakan segala-galanya untuk kita. Allah berikan kita kekuatan,hikmah disebalik peristiwa mahupun teman sejati setia di sisi.

Maka tetapkan hati,jalannya biar satu, jangan membelok-belok lagi.


'Berikan ku tiga saat...Nanti kau faham inilah cinta hati dan ikatan'

Mulanya...(Puisi Saksama Hati)

Datang kita dari daerah-daerah berbeda,
Namun lihat, satu tempat tujunya,
Mulanya kita bertatih,
Bangun, serentak berjalan,
Lalu langkah deras dilatih,

Kami hanya ingin mengatakan sejujur hati,
Berlari pun kita biarlah sama arahnya.

Kerna apakah ertinya meredah lautan,
Andai ada tenggelam tanpa dikesan,
Makanya, apa kegembiraan,
Sekiranya segelintir sahaja bahagia,
Sedang yang lain memendam lara,
Marak prasangka menyala.

Terlupakah kita saat bersama,
Menjejak lapangan yang entah apa janjinya,
Melirik senyuman cuba sama mengerti,
Apa janji dunia menanti.

Makanya, usaha ini janganlah disalah erti pula,
Bangsa kita wataknya menolak permusuhan,
Menyanggah dengan senyum,
Setia dan sabar tiada sempadan.


Bukan niat untuk menaung,
Jauh sekali untuk berlagak sombong,
Cuma ingin menjadi teman,
Sesama meredah pahit maung,
Berharap sedih dan ria berimbang ia.

Merendah kita bukanlah menyembah,
Melonjak juga bukanlah meninggi,
Cuma duduk yang tahu akan dirinya,
Dan tegak masih dengan maruahnya.

Makanya, dipinta suara hati ini diterima,
Suratkan pada air agar tenang tidak
bergelombang,
Hakikatnya di lindungan awan di atas bumi
milik Tuhan saksama ini,Kita berdiri...

Dan Akal itu mesti diperkasa,
Meski badan kerdil, wajanya tidak seberapa,
Meski kudrat jadi penghalang,
Namun jiwa perlu tetap,
Semangat perlu senantiasa tegap.

Supaya mampu tidur luar biasa,
Pun masih mampu bermimpi bahagia,
Lalu bangkit kita sama mekarnya,
Sesama pertahankan perjuangan yang tak
pernah ingin kita hentikan.

Kita ingin makmurkan wasiat ini,
Ke puncak paling peribadi,
Demi kebahagiaan bumi sejagat

Volgograd,Russia
1.1.2007

*puisi ini ditulis untuk keluaran pertama buletin kelab UMNO Volgograd Ulul Albab(permulaan). Tak pasti samada ramai yang menyedari wujudnya buletin, melihat ia bersepah-sepah dan terbiar di bilik dan tak pula ada yang berbincang-bincang tentangnya. Tak boleh menyalahkan sesiapa juga, sudah keluarnya waktu semua orang sudah demam peperiksaan, siapa nak membaca artikel santai? teringat puisi tapi terlupa nama penyakit dengan ubat-ubat adalah sangat tidaklah sesuai.

Tapi saya sangat memohon agar semua orang membaca puisi ini, tinggal di atas kesunyian adalah sangat tidak digemari oleh saya.

Jumaat, Januari 05, 2007

Pengorbanan dan Permulaan...

Tahun baru ini dumulakan dengan serba sederhana. Tidaklah sampai melonjak-lonjak keriangan, tidak juga sampai menangis teresak-esak. Namun cukup sekadar mampu mengukir senyuman tanda syukur kerana masih dipanjangkan umur.

Volgograd, Russia masih sama dengan sambutan tahun baru mereka. Selain menunggu detik 12 malam dan konsert hingga ke pagi, tidak ada apa yang lain. Tapi yang paling meriah dan seronok bila melihat bunga api bermacam-macam warna tak putus-putus. Mana taknya mercun dijual macam menjual ikan.

Tahun ni tahun khinzir semacam mengikut kalendar cina pula. Semua perhiasan tahun baru dalam bentuk binatang ini. Dari sekecil-kecil igrushki sampai lah ke sebesar-besar yang boleh, semuanya khinzir. Jadi tahun ini tak membeli apa-apa. Tahun lepas pun sama sebab tahunnya tahun anjing. Menunggu tahun-tahun depan dengan binatang yang kurang menakutkan sedikit.





Apa-apapun yang lebih penting adalah perayaan Aidiladha. Apa lagi yang lebih menyeronokkan selain dapat bersembahyang raya dan berkumpul beramai-ramai dengan sahabat-sahabat. Dapat melihat lagi, lori sarat membawa biri-biri putih untuk korban. Lagi suka bila mendengar kumpulan nasyid pertama Volgograd membuat persembahan. Malu tapi masih bersemangat!



Ada jamuan kelas keesokan harinya. Jamuan hari raya terbaik rasanya. Saya turut menyumbang rendang istimewa. Ditambah dengan pulut, ayam panggang, chi kut teh, air punch, Brownies, pudding. Macam tak percaya yang kami lakukan semua ini sendiri. Paling mengembirakan sessi membaca kad masing-masing. Terharu dengan ucapan sokongan tak berbelah bahagi sampai tergambar satu perasaan yang tak disangka-sangka.

Bagaikan diminta saya untuk belajar sesuatu pada masa ini. Zulhijjah dan tahun baru. Pergorbanan dan permulaan. Adakah untuk bermula itu kita perlu berkorban? Berapa banyakkah yang perlu dikorbankan untuk sesuatu itu bermula?


Hening pagi aidiladha di satu-satunya masjid di Volgograd,Russia



Saddam Hussein digantung, satu pengorbanan besar bagi dunia umat Islam. Adakah sesuatu akan bermula?

Bagi saya biarlah Allah menentukan. Kalau niatnya masih pada jalan yang benar insyaAllah mana-mana pengorbanan tetap bermakna. Janji Allah tak pernah silap dan tak pernah salah.

Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada mereka yang membantu saya mengharungi beberapa hari susah kebelakangan ini. Afiq kerana tak habis-habis mengingatkan supaya kuat, tak henti-henti mengingatkan tentang niat dan perjuangan. Zamani dengan blognya sejak akhir-akhir ini semacam sedang memberi nasihat kepada saya, tak tahulah kalau kebetulan tapi kalau ya terima kasih banyak, Ia sudah banyak membantu.
Azimah dan rakan serumah-rumahnya (Noor,Dihe,Wadah) yang terang-terangan memberi sokongan sampai habis kredit telefon :) Zakiran yang tegas sekali mengingatkan saya supaya ingat pada pendirian sendiri.



Rakan-rakan kelas Dziannis,Syikin,Zubaidah,Nasrun,Afham,Hanif,Christopher yang sama sekali tidak mengadili situasi sebaliknya membantu dan akhirnya kepada semua rakan-rakan yang percaya pada saya.Keluarga yang sentiasa di sisi dan pastinya yang teratas sekali, rasa syukur kepada Allah atas pengajaran yang sangat bermakna.


Harap-harapnya dipermudahkan perjalanan dan ditenangkan hati ini.

Ahad, Disember 24, 2006

Sejuk!



Satu perkara tentang salji, kalau turunnya pada waktu malam. Kita tak pernah sedar. Mana taknya, kalau hujan ada bunyinya tapi kalau salji apa yang nak berbunyi.

Yang paling saya suka, bangun keesokan harinya kita dapat kejutan. Tiba-tiba semuanya ditutup dengan salji yang putih. Umpama tepung halus diayak di atas kek. Yang lagi saya suka kalau salji pada hari itu turun tanpa ada angin yang kuat, maka kita akan dapat lihat satu taman kristal yang amat besar. Semua salji-salji tersebut akan berkumpul di atas ranting-ranting. Sekali imbas nampak macam pokok-pokok kristal.

Tapi yalah, sudah namanya duduk di Russia. Musim sejuknya tak pernah menentu. 5 hari berturut-turut kita dapat panas sedikit, esoknya terus jatuh sampai ke -7. Dari dalam bilik, kita lihat semuanya nampak tenang, mulalah bercadang-cadang nak memakai baju yang mudah-mudah (палто-winter coat saja tanpa шапка-topi/atau headpon tutup telinga khas saya) . Sampai saja di luar, angin bertiup ganas, rasa macam digigit telinga. Nak patah balik? pastinya tak sempat. Padanlah muka, harunglah satu hari dengan muka yang keras.

2 hari lepas, suhu jatuh tiba-tiba. Ramai kawan-kawan yang selsemalah, demamlah. 3 hari yang lepas pula, saya baru letakkan papan iklan bilik saya dan bilik sab jadi bilik paramedic, membekal ubat-ubat percuma(satu lagi sumbangan PPIM kepada masyarakat). Jadi kebelakangan ini, bilik saya dapat kunjungan tetap tak kira masa. Sila-sila saya tak pernah kisah. Malah saya gembira(bukan sebab mereka sakit!) tapi sebab anda percaya dengan kami. Maknanya sangat besar buat kami.

Jadi, buat pengakhirannya walaupun kawan-kawan saya di negara lain sudah mula bercuti sedang kami belum lagi( sebab krismas di sana 25 dis dan di sini 7 jan) dan bumi Russia makin lama makin sejuk, tapi bagi saya setiap hari tetap hari yang cerah dengan adanya semua yang mengembirakan. Walaupun bendanya tidak banyak tapi kalau itu yang benar-benar kita hargai, tak ada apa lagi yang perlu diminta.

Khamis, Disember 21, 2006

Angin

Ya Allah Ya Tuhanku,
Dengan Nama Mu yang Maha pemurah dan Maha Penyayang,
Datangkan padaku angin,
Agar sampai berita ini padanya,

Bawa bersamanya titisan semangat dari hati ini,
satukan sifatnya biar sebati,
lalu terbang laju,
pantas!

Jika pohon juangnya layu,
biarkan angin itu jadi air,
siram agar tumbuhnya segar semula,
rendang jadi pelindung kepada yang perlu.

Jika sarat mendung di atasnya,
tiup semuanya biar cerah kembali,
agar lapang tidak lagi di landa ribut,
nyaman sentiasa, selesa hendaknya.

Jika gigil jasadnya kesejukan,
jadilah haba selubung dirinya,
Moga bergerak semula,
dapat mengorak langkah besar di hadapan,

Teman,

Kita sedia tahu,
Jalan ini tak pernah mudah,
larinya tak mungkin sentiasa deras,

Namun, kalau tersadung;
Bangun semula,
Jika hendak gunung ditawan,
Andai lautan hendak direntas.

Makanya, dipinta daging yang satu itu
jadi kental, penuh pupukan kesabaran.
Kelak kita sampai,bisa mandi sesama
wangian sinar di tengah tasik asli.

Mengapa jauh di cari kedamaian;
bukankah letaknya di dasar insani,
Mengapa sunyi membawa diri;
teman sejati itu bukan pada lahiriah mata
tapi setia, kekal di dalam hati.

Makanya, di pinta damaikan hati hati ini,
Kami ingin juangkan amanat suci,
demi kesejahteraan seluruh bumi sejagat.

Isnin, Disember 04, 2006

Selamat Hari Lahir Aiza!



Suriram
Suriram
Suriram yang tabah
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis...

dan seterusnya..

petikan daripada 4 baris rangkap pantun dalam kad hari lahir kepada Dihe. Ilham daripada puisi A. Samad Said dalam ucapan jamuan presiden. Tabahnya budak kecil molek ni, sampai terkena air panas, masuk hospital seminggu pun, boleh kembali semula dengan tersenyum.

Katanya Gadis pilihan Volgograd 2006. Mana taknya, setiap hari ada saja melawat, siap dapat macam-macam lagi. Makan hati makcik russia kat sebelah, dengar cerita sampai ada yang meminta ya?

Itulah Dihe, cabaran yang Allah berikan itu bukanlah seberapa berbanding dengan kurniaan yang kadang kala kita sedar. Teruskan usaha.

Selamat hari lahir sekali lagi...

Berperang dengan masa

Kalau ada sesiapa berfikir dan bertanya, kemanalah perginya penulis blog ni, dan berminggu tak menulis. Hidup lagi kah? sudah malas kah? Tak ada idea kah?

Ribuan ampun maaf saya ucapkan atas kelemahan diri yang ada. Baru seminggu yang lepas saya pergi ke Perhimpunan Agung UMNO 2006. Habis sahaja persidangan selama 5 hari terus balik semula ke Volgograd dengan jumlah kelas tertunggak sebanyak 8 hari.

Macam semua sedia maklum atau kepada yang masih tidak tahu, saya perlu mengikuti kelas-kelas tambahan untuk menganti kelas yang tertinggal itu. Bayangkanlah 10 hari hendak di ganti dalam masa yang singkat. Kalau ada masa untuk duduk sejenak dan mencunggap, itu pun sudah cukup bagus.

Sudah lah begitu, ada pula kesan 'jet lag'. Peliknya balik ke Malaysia, gagah pula (rasanya tahu kenapa). Sampai ke sini terus terbayar semua hutang. Kadang-kadang satu malam, tak mampu bangun.

Ringkasnya, saya memanglah sangat berperang dengan masa. Tetapi saya masih ada masa untuk semua orang. Saya mungkin tak mampu nak menulis apa di sini, tetapi kalau ada sesiapa perlukan bantuan, panggil saja saya.

saya sangat berharap ingin menceritakan segala-gala pengalaman di sana. Kalau ada masa, insya Allah saya coretkan semuanya. Buat masa ini, belek-beleklah blog kelab umno Volgograd (ada linknya di side bar), ada saya tuliskan laporan Pak Lah bersama perjumpaan tertutup dengan perwakilan kelab UMNO luar negara. Bacalah, saya sangat syorkan. Saya lihat laporan daripada berita terlalu ringkas, sedangkan amanatnya lebih panjang. Saya siap letakkan petikan ucapan beliau lagi.

Insya Allah saya akan cuba menulis lagi.

Katanya masa itu umpama pedang
Moga-moga pedang itu tidak menghunus
dan saya mampu mengikut rentak
tidak rebah ke tanah
dan berjalan semula...

Rabu, Oktober 25, 2006

Kuih Sepotong (Raya itu kita yang memeriahkannya)

Tak perlu ditanya tentang cuti sebab kami memang tidak diberi, jangan juga ditanya tentang makan di embassy sebab letaknya 2 jam penerbangan dari sini. Apa yang kami ada adalah diri kami sendiri, kudrat dan perasaan kami sendiri. Inilah yang kami lakukan untuk menjadikan Aidilfitiri itu aidilfitri sendiri.


6.10 ptg: Bang maghrib di komputer berbunyi tanda waktu maghrib telah masuk, terus bersahut-sahut orang menyebut 'Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin', makan kurma terakhir yang tinggal cukup-cukup untuk 5 orang.

8 mlm: Sembanhyang Mahgrib bermula, takbir menyusul. Ramai daripadanya budak-budak hostel sendiri. Budak rumah dengarnya ada yang tak boleh masuk (ohrana jahat!), rumah Khairul Laili (Kurly) dengar ceritanya dan lain-lain (rumah Syuk etc secara berjemaah ada membuat takbir secara kelompok (campur dengan rumah-rumah lain).

9mlm: malas nak buka buku. lagipun esok ada Russian Lang. dgn lecture je. 4th year dah memulakn kerja bergotong royong, mereka kena siapkan semua kerja-kerja memasak sebelum tengahhari esok, memandangkan perlu menghadiri lecture dan sebagainya. Bau makanan bersimpang siur; Floor 11 buat daging masak Ros (helmi ketua chef), lontong (Azzid supervise) disamping dengan nasi impit yang dimasak sekawah besar. Floor perempuan 9 tak nak kalah; diorang masak jugak kek dengan kuah kacang.

10 pm: setelah selesai menyibukkan diri di floor, turun ke floor 2nd year dan first year. Tolong Mat We, Daus, Hanif 2nd Year dan rakan-rakan kelasnya membuat begedil. Jadi consultant beramai-ramai (dengan Hanif 3rd Year, Fahidah sebagai ketua mandor) utk 1st year memasak kuah kacang pertama mereka.

11-12 pm: Semua orang masih sibuk dengan kerja masing. Mujur hari ni, mamanya(maid) baik, jadi tak ada siapa yang kena tengking (Rahmat sungguh!). Duduk sekejap membalas semua SMS Hari Raya:

"We have a class tmrw, or even worse-a test! But it doesn't matter coz it is us and our heart tht make the Eid happening not em!-cheer up! Slmt Hari Raya Maaf Zahir Batin." (Asli daripada saya)

Hantar kepada kebanyakan kawan, terhantar ke Afiq MN (lupa pulak yang dia dapat cuti 2 hari cis!)

Lagu-lagu raya masih kuat berbunyi, menyedari kebanyakannya lebih banyak menceritakan tentang kami (perantau etc) daripada suasana raya di Malaysia itu sendiri :). Sedih sangat ke jadi perantau? hehe

Membuka buku Russian sambil menyiapkan kerja rumah (menghafal raskaz Lamanosov).

1 pagi: Tertidur sebab penat walaupun tak tahu apa yang dibuat.

Isnin 23 /10/2006:

6 pagi: Bangun, bersiap2. Pakai baju melayu kuning dengan jeans coklat gelap. Mudar mandir di dapur, tak tahu nak makan apa. Tiba-tiba dapat panggilan open room dari Zamir (Yea!) Cepat-cepat makan sebab kelas pukul 8.

7.35 pagi: terus mendapatkan teksi sebab nak mintak perlepasan daripada cikgu ruski (wlupun peluangnya adalah 10%). Pakcik Hari nih baik charge 60 ruble je( terima kasih pakcik)

8.20-9.30 pagi: Harapan berkecai. Seperti yang disangka perlepasan tak diberi. Memaksakan diri duduk dan belajar 'bersungguh-sungguh' untuk satu jam berikutnya. Dokumentari Lamanosov jadi filem raya pertama kami. :)

10.30 pagi: Kelas Bioethic tak ada minggu nih: membeli belah barang-barng raya di Ramstor (Nasib ada kad, dapat murah skit).

11.00 pagi-3 ptg: Masak sorang-sorang (sebab hari ni bertugas masak utk group makan). rupanya-rupanya semua ahli-ahli group (safwan,syafiq, Sdar-3rd year. Uzair-2nd year) semua ada jamuan. Aisey siapa nak makan ni?

6 ptg-9 malam: Jamuan 4th year year bermula, ramainya yang datang! Suka dengar ucapan hari raya ezzra:

"Selamat Hari Raya, Maaf zahir batin ek. halalkan makan minum, minta ampun. 0-0 ek, macam baby(hehe apa maksud?)"

membuat open room sendiri, menjemput yang lain-lain. Dapat pujian pasal rendang dengan agar-agar (padahal nih kali kedua buat rendang sendiri).



menu: rendang, lontong dengan sambalnya, kek nanas, agar-agar tropica, nasi himpit, kuah kacang.(semua dimasak sendiri, hebat tak? hehe)

'Ada suara-suara yang mengatakan yang raya dah jadi bosan. Kita makan benda yang sama, bersembang dengan orang sama. Ya ke? Rasanya bosan itu perasaan kita sendiri dan hakikatnya perasaan dan keinginan itu masih kuat di hati. Kalau tak, takkan lar ada yang sanggup buat apa sahaja semata nak bersembanyang raya kan?'