Rabu, Ogos 31, 2005

me+kamil+kak suhana


me+kamil+kak suhana
Originally uploaded by Fadly Kharie.
It is me,kamil(my cousin) and our bakal mak su

Isnin, Ogos 29, 2005

Rindu Pada Kenangan Masa Kecil

Tribute to all my cousins: Kak Lin, Kak Ngah, Kamil, Munirah. Moga kalian berjaya dan sejahtera dalam apa jua yang dilakukan.

2 minggu lepas banyak mengimbau kenangan. Meskipun penat tapi segalanya macam seronok sangat.

Alhamdulillah Pak Su selamat bertunang, saya suka dengan tunang Pak Su. Lawa, baik dan manis orangnya. Doa saya agar ianya berkekalan. Sayangnya nanti bila majlis perkahwinan berlansung April tahun depan, saya tak ada pula.

Sesekali bila berkumpul semua pakcik, makcik dan sepupu yang lain, tiba-tiba teringat peristiwa-peristiwa sewaktu kecil-kecil dahulu.

Dulu waktu saya kecil kalau setiap kali cuti sekolah mesti tak sabar-sabar nak balik ke rumah nenek. Perjalanannya sangat jauh, almaklumlah rumah nenek di Negeri Sembilan, rumah kami pula di Selangor. Saya cukup suka bila ayah dah mula masuk ke lebuh raya. Selepas berhenti makan di R&R saya suka tengok pemandangan di luar. Semuanya hijau sahaja tak berusik. Lebih-lebih lagi kalau waktu itu hujan, air-cond pulak menderu di dalam kereta, terasa nyaman saja.

Kalau saya nak bercerita tentang nenek saya, ikhlas saya katakan nenek saya orang lama. Konservatif namanya dalam bahasa moden. Nenek saya tak pernah menyentuh makanan moden yang ada. Burger, hotdog, aiskrim; letaklah berapa banyak pun di dalam peti sejuk, sedikit pun tak akan disentuhnya. Dulu waktu saya masih kecil nenek masih gunakan tungku api untuk memasak, lama juga diletak dapur gas barulah nenek mula beralih angin. Itupun sesetengah masakan, nenek masih masak dengan mengunakan periuk tanah liat dengan tungku apinya. Tapi kami tak kisah kerana yang jelas, efeknya lebih sedap dan sensual. Bila bercakap pasal masakan, pastinya saya teringat masak lemak cili api nenek. Lengkap dengan rasa dan rupa minangkabau yang sebenar. Erm sedapnya.

Waktu saya di sekolah menengah, kadang-kadang ada sedikit rasa rendah diri bila mendengar cerita nenek-nenek kawan-kawan saya yang serba canggih dan moden. Ada seorang tu, neneknya sekarang masih mengendalikan syarikat yang ada kaitan rapat dengan ASEAN. Ada juga cerita yang mereka makan aiskrim bersama nenek merekalah, itulah, inilah. Sedikit pun saya tak pernah nak cerita perihal nenek saya pada mereka. Takut pula semua terdiam bila saya berkata. Terlalu asing bagi mereka mungkin.

Tapi kini tidak lagi, bagi saya apa telah saya alami inilah memberikan satu keunikan pada diri saya . Sekurang-kurang saya alami apa bukan semua orang boleh merasainya. Apa ada pada semua itu jika tidak ada kenangan dan keseronokan kan?

Zaman Kecil Dahulu…

Yang paling saya teringat waktu saya kecil-kecil dahulu ; keakraban sesama sepupu kami. Waktu itu ramai lagi pakcik dan makcik saya belum kahwin (4 orang lagi). Saya hanya ada sepupu dari keluarga Pak Long sj. Kak Lin, Kak ngah Safra, Kamil, Munirah.

Kak Lin tua setahun daripada kakak saya jadi mereka berdua lebih rapat bersama daripada dengan kami. Kak ngah pula tak habis-habis dengan lawaknya. Kamil pula macam adik saya yang ketiga Fathur, nakalnya tak habis-habis.

Rumah nenek saya ada satu kawasan yang amat besar. Meskipun sederhana tetapi saya suka dengan keadaan sekitarnya. Nenek saya ternak semua haiwan, ada lembu, itik, ayam, angsa. Kalau masuk ke dalam sedikit boleh tengok itik berenang dengan anak-anaknya di kolam. Kalau nak berjalan, saya tak pernah bosan. Di pintu masuk ada pokok manggis, pokok rambutan, dan pokok buah bali. Sedapnya tak tergambar, lebih-lebih lagi kalau dipetik terus dari pokoknya. Pastinya pengalamanya berbeza dengan makan buah-buahan yang dijual. Kalau waktu kami balik kena musimnya, pastinya ada sebaldi buah-buahan datang meyambut. Di bawah pokok itu pula diikat sebuah buaian. Di situlah kami suka bermain, lawan siapa yang boleh menghayun paling tinggi. Kalau bosan, kami main lah pula sorok-sorok, ting ting ker. Kamil dulu suka ajak lawan gaduh-gaduh. Selalunya, sayalah yang suka diajaknya. Yelah badan dia kecil je, kalau nak lawan dengan adik saya susah pula nak menang.

Hantar Lembu dan Cari Kayu Api

Tapi satu aktiviti wajib kami semua adalah mengikut nenek kami menghantar lembu ke padang ragut. Sebelum sampai ke sana, kami perlu naik sedikit bukit, turun semula, jalan sedikit lagi sampailah ke satu padang yang sangat besar. Mak kata dulu padang tu sawah padi tapi orang di situ dah tak menanam padi jadi padang itu menjadi padang ragut. Kalau nak ke sana kami semua bawa satu ranting panjang, kalau ada lembu yang lambat kami pukul. Kadang-kadang kalau terpukul kuat sangat, lembu itu terkejut. Waktu itulah kami terdengar nenek kami menjerit. Kemudian kami tertawa beramai-ramai. Lepas itu kami akan duduk beramai-ramai di bawah pokok jambu. Nenek akan bercerita takpun nenek akan check rambut kami kalau-kalau ada kutu. Selebihnya kami bermain-main, berlari-lari di padang. Kadang-kadang nenek bawa kami ke sungai kecil tak jauh dari situ. Airnya sangat sejuk tapi seingat saya kami tak pernah berani mandi di sana.

Kalau satu hari itu kami tidak mengikut nenek menghantar lembu, kami mengikutnya pula mencari kayu api. Waktu itu saya dan sepupu yang lain suka kutip biji buah poko getah rasanya kalu tak silap, kemudian kami jadikan buah untuk main congkak. Sampai saja waktu malam, kami berkumpul dekat-dekat tidur dengan nenek. Nenek waktu itu mula bercerita, bagi nasihat sampailah kami tertidur.

Peristiwa yang tak dapat di lupa

Banyak peristiwa yang kami kongsi bersama. Dulu kami pernah beraya bersama di sana. Saya ingat lagi yang dulu saya dan adik saya ada permainan. Saya ada truck askar dan adik saya ada angsa yang diperbuat dari tiub plastic (susah lah nak describe). Saya ingat lagi yang Kamil bergaduh nak angsa itu juga. Sampai menangis-nangis.

"Kamil tak kira…kamil nak angsa tuh jugak »

« Atoi kasilah angsa tuh sekejap kat Kamil yer, sekejap jer nanti Mak Lang kasi lagi besar yer… » Mak lang puas memujuk.

Tarik menarik berlaku. Saya menawarkan truck saya(baik nyer!) yang nyata tak senilai dengan nilai angsa tersebut.


Penat Mak Lang saya memujuk. Akhirnya kami ambil gambar bersama-sama. Kalau saya tengok gambar itu semula, Kamil masih dengan mata merahnya memegang angsa itu tanda kejayaan.

Satu lagi peristiwa yang tak boleh saya lupa bila satu hari ketika kami semua berjalan-jalan mengelilingi kampung. Tiba-tiba ada budak lelaki dengan gengnya dekat atas bukit nak kacau kami. Oh apa dia ingat kitaorang apa? Kak ngah dengan jayanya menjadi ketua samseng kumpulan. Kami pun apa lagi…lawan balik cakap budak tu. Masing-masing tak nak kalah.

“Apa ko ingat ini kampung ko ke? Ko suka2 nak cakap camtuh?” budak lelaki itu mengertak

“Alah, suka hati kitaorg lah, apa ko ingat ko lelaki kitaorg takut?” kak ngah membalas dengan jayanya.

Akhirnya kami menang juga bila maknya datang dan suruh budak lelaki tu balik. Haha! Kami semua balik dengan gembira ke rumah nenek. Bila kami cerita semula di rumah nenek, habis semua pakcik dan makcik kami ketawa. Kenapa ya?


Kini…

Masa berlalu cepat tanpa kami sedari tanpa kami sedari. Rumah nenek yang dulunya lengkap dengan seni bina minangkabaunya lengkap dengan bumbung melengkung dah bertukar menjadi rumah batu. Pakcik dan Makcik kami dah pun kahwin, saya dah ada pun ada sepupu kecil yang lain. Generasi dan cerita mereka pula bermula. Melihat mereka bermainlah menyebabkan saya tergerak bercerita tentang ini.

Sepupu saya semuanya sudah besar. Kak Lin dah pun menjadi cikgu Bahasa Arab sekarang ini. Kak Ngah yang dulu rugged tu pun dah masuk aliran agama terus ke UIA ambil aliran ilmu wahyu. Kalau jumpa mereka terasa jauhnya perbezaan antara saya dan mereka, susah dah nak dengar Kak Ngah buat lawak macam dulu. Kamil sekarang dah pun masuk tingkatan 5. Semakin hensem rupanya. Mak tak habis-habis memanggilnya Salman Khan (I have no doubt with that). Lain sedikit daripada kakak-kakaknya, dia pergi ke MOZAC( sm sains muzafar syah melaka)masuk ke aliran sains tulen.

Bila kelmarin jumpa dengan Kamil semula terasa seronok sangat. Kami bercerita hal masing-masing sampai ke pukul 3 pagi. Kekok pula terasa bila nak bercakap menggunakan nama bila dah terbiasa ber ‘aku’ dan ber ‘engkau’ dengan rakan sebaya. Kadang-kadang terkeluar juga perkataam aku tu. Dia sekarang dah ramai peminat. Almaklumlah, muka comel macam tu, mana perempuan tak nak kan ? hehe. Apapun all the best to you Kamil. SPM dah dekat, semoga sukses hendaknya. Kalau boleh pergi tempat bangah nanti. Erm barulah saya teringat Kamil ni sebenarnya namanya Zainul Ariffin. Macam mana agaknya boleh jadi Kamil ? entahlah mungkin sama kesnya macam mana saya dapat nama Azhar agaknya…

Bila semua orang dah balik. Terus terang saya katakan saya ada banyak rasa sedih dalam diri ini. Tak tahu bila boleh bertemu semua orang. Rumah yang riuh dah menjadi senyap semula. Dalam hati saya tak habis-habis berdoa supaya tidaklah kami semua ini diputuskan hubungan begitu sahaja. Terlalu banyak yang kami kongsikan bersama untuk dibazirkan begitu sahaja.


Dalam beberapa hari sebelum saya ke Russia, bila saya mengenangkan semua ini. Saya terasa yang pulangnya saya ke Malaysia kali ini seolah-olah bagi membangkitkan semula tenaga-tenaga penggerak yang sebelum ini menolak dan mendorong saya untuk saya kesini. Luka-luka yang ada bagaikan sudah sembuh kembali.

Bagi saya semua ini merupakan satu kenangan yang sangat berharga dan akan saya simpan dan akan saya ingat selama-lamanya.

Rabu, Ogos 17, 2005

Sabak Bernam? ke Shah Alam?

Kalau orang tanya saya dari mana ; Jawapan saya akan terbahagi kepada dua 1. Shah Alam atau 2. Sabak Bernam. Bergantunglah kepada orang yang bertanya, jawapan saya biasanya berbeza mengikut keadaan.

Kalau di Volgograd, kalau orang bertanya mestilah saya cakap saya orang Shah Alam. Mudah sikit kalau memulakan perbualan, bukannya malu nak mengaku orang Sabak Bernam tapi motif perbualan itu bukan pada nak mengetahui saya asal dari mana kan? Kang kalau cakap Sabak Bernam, bertanya pulak orang tu “ Sabak Bernam tuh kat mana?” aduih kena buat karangan fakta pulak nak menerangkan.

Tapi kalau yang bertanya itu saudara, atau orang yang lebih tua saya lebih senang mengatakan yang saya dari Sabak Bernam. Lagi pun itu lebih mudah bagi saya kerana kalau berjumpa dengan orang yang lebih tua, saya yang banyak cakap ni bertukar kepada orang yang sangatlah pendiam dan pemalu, jadi kalau cakap saya dari Sabak Bernam mudahlah sedikit diterima

“Oh budak nih dari kampung”

hehe….

Tak ramai yang tahu saya sentiasa berulang alik dari Sabak Bernam ke Shah alam, saya lebih suka begitu, biarlah saya yang merancang aktiviti saya dan biarlah mereka dengan agenda mereka sendiri. Kalau boleh saya hadir dan kalau sebaliknya, saya tolak dengan sebaik yang mungkin.

Yang tahu biasanya saya di mana ; mungkin Afiq MN rasanya. Afiq nih tahu saya di mana pun disebabkan kalau di Shah Alam tuh, nak ke mana-mana inilah orang yang akan saya ganggu. Sorry Afiq! Jasamu sentiasa dikenang. Uish nak cerita pasal afiq nih panjang pulak rasanya. Kita sambung lain kali lah. Nanti saya buat satu blog penghargaan khas untuk insan bernama Afiq ini.


SEGALANYA BERUBAH

Jadi di sini saya nak jelas status saya kenapa ini terjadi. Nak dijadikan cerita dahulu kami semua tinggal di Sabak Bernam. Sebelum saya ke sekolah menengah, saya tak tahu pun yang ada tempat lain selain Sabak Bernam. Kemudian dengan izin Allah, Abah dilimpahkan rezeki dinaikkan pangkat untuk berkerja di BTP di bawah Kementerian Pendidikan, abah saya jadi Pegawai Teknologi Pendidikan. Susah nak diterangkan apa tugasnya tapi secara ringkasnya abah uruskan sistem bestari katanya. Tak Lama kemudian abah saya pun minta ditukarkan ke Negeri, lebih mudah dan dekat katanya, di Shah Alam jer lagipun.

Seingat saya sewaktu awal-awal abah ditukarkan ke BTP, abah tinggal di asrama PSPN (pusat sumber pendidikan Negeri Selangor). Abah tinggal di situ dengan kenalannya yang juga dari Sabak Bernam. Saya pernah sekali kesitu. Selain dari tempat itu berair-cond, yang lain biasa sahaja: katil bujang dengan almari semata. Sepanjang minggu abah makan diluar sahaja. Abah biasanya balik seminggu; sekali sewaktu jumaat, sabtu dan ahad sahaja. Sepanjang tempoh itu saya nampak badan abah dah susut. Mak kata nak buat macam mana, abah balik penat kalau tak sedar terus tertidur sampai ke pagi kemudian terus ke tempat kerja.

Saya tak ingat selama abah tinggal di asrama, tapi tak lama waktu abah ditukarkan ke PSPN selangor, permintaan untuk menduduki KIP U2 diluluskan. Saya puji dan berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas usaha ini. Rumahnya cukup baik, siap ber ‘tile’ dan perabot. Sememangnya satu kediaman yang selesa. Semasa saya belajar di INTEC dulu saya selalu ke sini. Ada satu bilik di sini yang dah pun saya iktiraf sebagai bilik sendiri. Di sini abah seorang saja yang dah ada anak yang besar macam saya, yang lain semua anak-anak mereka kecil lagi. Mereka cukup hormat dengan abah saya. Kalau waktu cuti mak ada juga ke sana. Yelah, jiran-jiran di blok pun dah bertanya, mana orang rumah?

Mak saya pula masih di Sabak Bernam. Dulu bila saya tanya bila mak nak pindah Shah Alam? Katanya tunggulah adik saya ketiga Fathur lepas SPM dahulu, kemudian mak saya nekad nak memasukkan semua adik-adik saya ke SBP atau MARA. Setiap malam mereka ada latih tubi. Jadual dan peraturan mereka sangat tersusun. Yelah mak pun dah lama menjadi cikgu, pastinya mak arif hal-hal sebegini.


SELEPAS SETAHUN

Setahun dah pun berlalu, Bila saya pulang dari Russia. Saya dapat tahu yang adik saya yang keempat dah pun ke SEMASHUR. Adik saya yang kelima tak kemana. Mak saya kata 5 A dalam UPSR nya A kurus. Saya tergelak sendiri. Yelah perempuan memang tinggi persaingannya. Fathur dah pun ke Matrikulasi.

Yang masih menghairankan, mak saya masih lagi di Sabak Bernam. Abah saya masih lagi di Shah Alam. Kali ini Abah saya balik lebih kerap, 2 kali seminggu. Bila di tanya, jalan dah elok katanya.


MAK, BILA NAK PINDAH KE SHAH ALAM?

Kadang-kadang bila bersembang dengan mak sambil menonton televisyen, mak ada juga menyatakan hasrat nak pindah ke Shah Alam. Kata mak susah nak uruskan hal sorang-sorang. Mak kata banyak yang nak di fikirkan; bil air, api, adik lagi, makanan lagi, kerja lagi. Dulu mak gagahkan juga tapi mak cerita satu hari dugaan yang betul-betul besar tiba:

Mak kata yang dia baru jer habiskan duit betulkan keretanya yang leaking minyak hitam. Lepas tuh mak berhabis duit pulak menjelaskan duit telefon yang berjela-jela( apa nak buat adik saya tuh menunggu result SPM, faham-faham je lah). Nak dijadikan cerita ketika mak saya sedang memandu ke sekolah, ada satu ketika mak saya memandu dibelakang lori yang membawa batu. Tiba-tiba tanpa disangka, entah macam mana batu dari lori itu berterabur dan kena betul-betul pada cermin kereta mak saya. Habis pecah berderai.

« Mak tak tahu apa nak buat waktu tuh, mak telefon abah…mak tak terkeluar perkataan, mak menangis je, kecewa sangat hati mak tuh »

Mak kata waktu tuh, keinginan mak nak pindah ke Shah Alam bertambah-tambah.

“Agaknya macam nih lah rasanya kalau jadi ibu tunggal”

Saya ada suarakan hal nih pada abah, abah tak jawab, abah diam jer. Mungkin abah nak dapatkan rumah betul-betul baru nak bawa satu keluarga pindah. Abah pun baru besarkan rumah di Sabak Bernam. Tak sangka pulak dia akan betukar ke Shah Alam. Saya nampak abah berusaha, abah cari rumah. Kalau saya ada kami cari rumah bersama-sama. Abah tanya pandangan saya.

Tapi baru-baru nih bila kami semua duduk bersama-sama. Lain pula mak cakap.

“Mak memang nak pindah ke Shah Alam. Mak rasa nanti mesti mak kena mengajar sekolah yang jauh dari Shah Alam tapi tak kisahlah. Mak sanggup. Tapi mak risaukan adik kamu yang bongsu tu, dia susah nak cari kawan. Kalau dia tak ada masalah, bila-bila pun mak dah pindah”

Sebelum ini saya sendiri banyak berkempen agar mak pindah sahaja ke Shah Alam. Tak sanggup tengok mak bersusah-susah. Tapi bila dengar masalah adik saya tu pulak. Saya terus terdiam. Saya nampak apa masalahnya adik saya. Tak adil dan sangat kejam rasanya kalau terus nak menseksa hatinya dengan keputusan kami sekeluarga.

Tapi ayah saya pun dah tak boleh lama dah di KIP U2, setiap 3 atau 4 tahun akan ada semakan, penghuni-penghuni lama perlu berpindah untuk memberi peluang kepada penghuni yang lebih memerlukan. Abah ada satu tahun lagi.

Melihat apa yang terjadi menjadikan saya banyak-banyak bersabar. Tak lama lagi saya akan ke Volgograd semula. Tak banyak yang boleh saya lakukan selain menjadi anak yang baik, belajar dengan bersungguh-sungguh dan berdoa agar keluarga saya mendapat yang terbaik. Amin…

Selasa, Ogos 16, 2005

Apa nak buat ni?

Af dah pun habis, erm semakin kosong pulak jadual sehari-hari.
Ikhlas dikatakan selama ini kalau duduk di rumah mesti lah Af tu yang nak ditengok pun (tak berfaedah kan?)

Apa2pun masa kene juga dipenuhi, masang sengang musuh utama yang menyebabkan manusia akan merasa resah dan bingung.

Jadi inilah jadual hidup sayang yang baru:

Bangun pagi seperti biasa, agak pukul 7 pagi bukak radio era sambil-sambil membuka tingkap rumah.


9 pagi: Kemaskan bilik dan apa-apa yang patut

10 pagi-12 pagi: Buka buku anatomi tak pun histology, tengok2 sikit buku especially bab muscle.

12-12.30 tgh hari: lunch makanan yang mak masak, makan sorang-sorang je, mak dah pergi ke sekolah, mak mengajar sessi petang.

12.30 tgh hari: start kereta ambik adik dekat sekolah.

2.00 petang: hantar adik ke sekolah petang

3.00-5.00 petang: aktiviti bebas: kalau tak main game, surfing, takpun jalan-jalan pegi bakery shop, window shopping, kalau lansung tak ada aktiviti tido…

5.30 ptg: ambil adik dari sekolah ptg, angkat kain dari jemuran, tutup semua tingkap, check makanan kalau sikit sangat prepare ala kadar untuk dinner, pastikan semua kucing keluar dari rumah.

6 ptg: hidupkan semua lampu rumah, dinner, hemat diri sebelum malam

8.55 mlm: tgk cerita impian Illyana( minat sangat dgn cerita pendek nih)

9 mlm: tgk buku astro:cari2 kalau ada cerita best, setakat nih follow on cerita regenesis( hallmark) Tru Calling(starworld) Wonderfall(starworld), skrg pun dah start tgk discovery channel dgn national geographic

11mlm: klu tak surfing waktu malam mula, membuka novel

1 atau 2 pagi:tidur

*
Untuk pengetahuan semua, mak saya ada koleksi novel yang teramatlah banyaknya, saya tak baca semua, saya minat kebanyakannya dengan karya Norhayati Berahim, Aina Emir.
Mak saya minat cerita yang bawakan tema cinta keluarga. OK juga saya pun dah muak dengan love story yang kurang realistic. Cinta mengatasi segala-gala hakikatnya bukan segala-galanya. As people say

“Love can’t even pay your bill”

Cinta dengan tema kekeluargaan banyak berkisar tentang budaya, anak, kerjaya. Itu lebih realistik bagi saya.

*
Rumah saya sekarang dipenuhi dengan rambutan yang ranum, salah satu aktiviti tambahan adalah mengutip rambutan-rambutan yang kebanyakannya dah pun masak. Kalau ada masa insya Allah saya ceritakan pokok buah-buahan yang ada di sekeliling rumah dengan sejarahnya tersendiri.

*
Dah lama saya tak ke laut, mungkin dalam jangka masa terdekat ini; nak ke Bagan Nakhoda Omar, laut terdekat dengan rumah, tak sampai 15 minit dah boleh sampai ke sana. Sekarang nih dah banyak ada Water Front.

Semua ini dilakukan di rumah di Sabak Bernam, bukan rumah di Shah Alam. Hehe tertanya-tanya kenapa sampai ada dua rumah, nanti saya cerita kenapa berserta dengan cerita di sebalik dua rumah ini sekali.

Sampai di sini dahulu.

Rabu, Ogos 10, 2005

Sahabat. Друг

Sahabat. Sejauh manakah kita letakkan insan bergelar sahabat ini sebenarnya? Sebanyak mana pula kita peruntukkan ruang dalam hati ini untuk insan ini pula?

Bukannya kita tak selalu dengar orang mengenepikan sahabat semata-mata demi mencapai sesuatu hajat. Lihat sahaja televisyen, senarainya cukup banyak seolah-olah mengajar kita dan meletakkan kedudukan seorang sahabat di sisi seorang manusia.

Manusia membesar dari bayi menjadi kanak-kanak meningkat remaja seterusnya menempuhi alam dewasa dan akhirnya ke usia tua. Dalam proses tersebut ada masa kita tumpukan diri kita pada sahabat tapi ada ketikanya kita palingkan diri kita pada sahabat, ada unsur-unsur seolah-olah perhatian itu sudah beralih arah. Mungkin juga sampai ketika kita kembali semula pada sahabat apabila kita rasa sebesar-besar beban jatuh pada kita. Persoalan yang timbul; adakah sahabat itu perlu bila kita benar-benar sedih sahaja.

Atau adakah sahabat itu hanya sekadar orang yang datang dan pergi? Sekadar pada ucapan Hai! dan berakhir dengan ucapan Bye? Sejauh manakah kita rasakan ukhwah yang telah Allah izinkan untuk terjalin?

Adakalanya bila kita rasakan sahabat itu tak pula memberi seperti apa yang kita harapkan, kita berkata pula

“Macam ni lah kawan, itu pun tak boleh nak tolong”

Kita harus menyoal semula, besar sangatkah yang kita lakukan kepada kawan kita itu sehingga kita layak untuk berkata sedemikian.

Siapa kata sahabat itu tidak penting. Saya tidaklah bermaksud untuk membandingkannya dengan sesiapa tetapi bagi saya sendiri seorang sahabat wajar untuk mendapat tempatnya sendiri dalam diri seorang manusia. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya tergerak untuk berkata sedemikian mungkin juga kerana kehidupan saya dari dahulu di asrama kemudian di Russia jauh dari ibu bapa menyebabkan saya terasa sendiri tentang peri pentingnya insan yang bergelar sahabat itu.

Kita lihat sendiri contoh yang ada pada rasul kita Nabi Muhamad. Betapa akrabnya sahabat dengan Baginda hinggakan pabila mereka berjumpa mereka berpeluk dan pabila mereka berjalan mereka bertautan tangan. Contoh teman terbaik Baginda adalah Saidina Abu Bakar, betapa dalam usaha mengembangkan Islam dari mula-mula ia di wahyukan beliau cukup sabar dan setia di sisi Baginda, malah memberikan apa yang termampu. Begitu besar peranan sahabat baginda hingga sahabat-sahabt ini dijanjikan syurga.

Saya teringat pula satu cerita tentang dua sahabat, seorang ini sangat baik budi pekertinya manakala yang seorang lagi ada cacat celanya sedikit pada akhlaknya. Ditakdirkan yang seorang yang buruk akhlaknya dicampakkan ke dalam neraka dan yang seorang lagi dicampakkan pula ke dalam syur ga tetapi orang yang mulia akhlaknya ini meminta pada Allah

« Ya Allah masukkanlah aku ke dalam neraka bersama-sama kawanku, aku tidak pernah berpisah dengannya »

Maka dengan takdir, rahmat dan kasih Allah, kedua-duanya dimasukkkan ke dalam syurga. Lihat betapa besarnya peranan sahabat dalam hal ini.

Sesungguhnya sahabat itu umpama cermin diri kita sendiri. Segala apa yang terbentuk pada diri kita adalah apa bahagian-bahagian yang kita dapat daripada sahabat kita jua. Orang kata kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi maka kita juga mendapat wangiannya itu begitulah sebaliknya.

Persahabatan yang didasari atas iman dan takwa dan kecintaan terhadap Ilahi adalah satu ukhwah yang suci sekali. Setiap pertemuan dan perpisahan itu pastinya sesuatu yang amat diredhai Allah dan dirahmati Allah dengan pelbagai manfaat. Rasa rindu yang terbit, rasa percaya, rasa ingin menolong. Segala itu sesuatu yang amat sukar sekali kita dapatkan kalaulah kita hanya memandang enteng atas satu ukhwah yang terjalin.

Layanlah sahabat tu sewajarnya, berikanlah pertolongan yang sepatutnya, nasihatilah mereka seadanya. Jangan pula ketika bersahabat kita terlalu harapkan balasan kerana Allah sendiri sudah cukup untuk memberikan segala bentuk balasan, tanda terima kasih dari sahabat adalah satu bonus yang seharusnya menggalakkan kita untuk terus berbuat baik. Tunjukkan muka yang manis bila berjumpa dan berpisahlah dalam keadaan yang baik. Mungkin kita bertemu dengan satu-satu sahabat itu tidak lama kemudian kita berpisah maka berdoalah kepada Allah agar persahabatan itu dijaga kerana Allah jugalah yang menjaga hati orang-orang yang beriman.

Isnin, Ogos 08, 2005

Kata Fadly: Akademi Fantasia- Fenomena Mawi

Sedar tak sedar, akhirnya habis juga program realiti terpopular di Malaysia: Akademi Fantasia. Kita sendiri bertanya kalau rumah dah pun siap pahat nak berbunyi lagi ke?

Hebatnya bahang reality tv sehinggakan kesannya diperkatakan oleh TPM kita sendiri sekaligus menampakkan betapa seriusnya program ini dalam memberikan impak kepada masyarakat. Teringat pula khutbah jumaat di KLCC yang bercakap juga tentang hal yang sama.

Kita mungkin risau takut-takut kalau ia bakal merosakkan masyarakat, melihat ia rupa-rupanya salah satu senjata pihak barat bagi merosakkan minda kita. Apa-apapun kita sendiri tak harus lupa yang kita sendiri yang merestukan untuk dasar langit terbuka di aplikasikan di negara ini. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai kan? Jadi seharusnya daripada kita sibuk bersembang tentang bahayanya lebih baik kita bersedia menghadapinya. Umpama kita menghadapi ombak kalau sekadar bercakap tentang mudaratnya tanpa mempersiapkan diri kita, kita sebenarnya seolah-olah merelakan diri kita untuk dihanyutkan bersama-sama.

Satu perkara yang saya rasa kita mampu untuk lakukan yang mungkin tidak ada pada Negara lain adalah kebolehan untuk mengadaptasi tanpa menjejas diri kita sendiri. Contohnya cukup mudah, penyelesaian taktala kegawatan ekonomi telah membuktikan segala-galanya.

Sebenarnya di sini saya nak bercerita tentang Mawi. Semua sibuk cerita pasal Mawi. Kat kedai kopi, pejabat, rumah, surat khabar, radio, televisyen semua bercerita tentang Mawi. Sampai ada yang mengatakan ia bagaikan satu fenomena yang melanda.

Agak-agaknya baik ke buruk fenomena yang wujud ini.Apa2pun saya malaslah nak membicarakan yang buruk. Bukanlah sebab saya ini minat dengan Mawi ni tapi yelah manusia memang senang mencari kuman di seberang sedang gajah di depan mata tak pun mereka perasan. Jadi biarlah saya berbicara tentang sesuatu yang jelas tapi susah untuk kebanyakan kita melihat iaitu memperakui sesuatu kebaikan.

Ada orang kata Mawi ni jadi popular sebab kharisma yang ditunjukan. Dia seolah-olah menjadi satu ikon yang bakal menjadi satu idola kepada belia-belia kita sekarang. Bagi saya Untuk melahirkan satu generasi muda yang kehadapan tetapi masih mengekalkan budaya ketimurannya kita perlukan satu pengaruh yang cukup kuat. Lebih-lebih lagi ketika budaya bangsa dan kesucian agama sudah semakin dilupakan. Lebih tepat kita perlukan wira menyelamatkan situasi itu.

Kalau ada yang mempersoalkan: Kenapa pula Mawi?. Satu soalan yang perlu ditanya semula: Kenapa pula tidak?. Adakah kerana hanya dia seorang anak peneroka felda maka dia tidak layak? Atau adakah kerana dia bukannya pemimpin yang berpengetahuan tinggi maka dia tidak seharusnya memberikan nasihat? Atau adakah kerana dia memasuki arena hiburan maka dia seolah-olah kemurniaannya sebagai ustaz dahulu sudah tidak relevan?

Yalah kita semua ini pun cepat melatah, belum apa-apa terus sahaja kita tolak sesuatu itu mentah-mentah. Cuba kita lihat kenyataannya, betapa Mawi ini sendiri diterima sebagai idola kerana antara Mawi dengan belia ada keserasiannya. Bayangkan kalau dulu sekolah risau tentang masalah rambut panjang tapi sejak Mawi ini jadi idola semua nak berambut pendek ala-ala pelatih PKN(nyata bukan satu fesyen rambut yang diketawakan lagi). Pemakaian tudung sudah semakin disarankan, semakin digalakkan. Imej belia Islam semakin diangkat. Malah untuk kesekian kalinya fenomena ini digunakan untuk membanteras dadah. Kalau benarlah pengaruhnya sebegitu, jadi mengapa harus dibazirkan? Kita sibuk megutuk-kutuk, mengata-ngata sedangkan dia sendiri bukannya hendak dirinya sebegitu. Betapa keluarganya sendiri merestui. Saya rasa kalau ibunya taklah membenarkan, dia pasti ke kursus bilal bukannya ke Akademi Fantasia. Mawi pastinya akur dengan keputusan keluarganya (satu lagi contoh yang baik tatkala isu anak ang melawan cakap ibu bapa semakin serius). Jadi kenapa pula kita pula yang hendak melebih-lebih?

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kalau lah Mawi ini hanya sekadar cerita taklah sampai ia dibawa ke perhimpunan UMNO kan? Tak lah sampai semua media massa memperkatakannya. Takkan lah sampai ia dibawa untuk diperbincangkan.

Kalau kita takut ustaz ini lupa akan dirinya. Kemana sangatlah takut kita itu untuk dibawa? Sebaik-baiknya kita berdoa agar dirinya dipelihara hendaknya. Apa salahnya kalau kita nak melihat hiburan di Malaysia ini kita bentuk semula mengikut acuan kita sendiri kan? Kalau dahulu Raihan dah berjaya melakukannya dengan mengangkat taraf nasyid. Siti Nurhaliza dah berjaya mengajar bahawa pengibur itu bukanlah mesti buruk perangai sepatutnya. Kenapa tidak kita relakan ia berlaku lagi sekali? Saya berani untuk katakana kita sudah membentuk satu budaya yang saya tak nampak wujud di Negara-negara lain. Maka fikir-fikirkan lah…..

Sekadar mencoret ringkas: saya rasa sekurang-kurangnya program realiti TV di Malaysia lebih terarah dan elok kalau nak dibandingkan dengan program yang sama di Negara-negara Barat yang merepek2 dan lansung tak ada maknanya (melihatya sendiri di Russia).