Rabu, Ogos 17, 2005

Sabak Bernam? ke Shah Alam?

Kalau orang tanya saya dari mana ; Jawapan saya akan terbahagi kepada dua 1. Shah Alam atau 2. Sabak Bernam. Bergantunglah kepada orang yang bertanya, jawapan saya biasanya berbeza mengikut keadaan.

Kalau di Volgograd, kalau orang bertanya mestilah saya cakap saya orang Shah Alam. Mudah sikit kalau memulakan perbualan, bukannya malu nak mengaku orang Sabak Bernam tapi motif perbualan itu bukan pada nak mengetahui saya asal dari mana kan? Kang kalau cakap Sabak Bernam, bertanya pulak orang tu “ Sabak Bernam tuh kat mana?” aduih kena buat karangan fakta pulak nak menerangkan.

Tapi kalau yang bertanya itu saudara, atau orang yang lebih tua saya lebih senang mengatakan yang saya dari Sabak Bernam. Lagi pun itu lebih mudah bagi saya kerana kalau berjumpa dengan orang yang lebih tua, saya yang banyak cakap ni bertukar kepada orang yang sangatlah pendiam dan pemalu, jadi kalau cakap saya dari Sabak Bernam mudahlah sedikit diterima

“Oh budak nih dari kampung”

hehe….

Tak ramai yang tahu saya sentiasa berulang alik dari Sabak Bernam ke Shah alam, saya lebih suka begitu, biarlah saya yang merancang aktiviti saya dan biarlah mereka dengan agenda mereka sendiri. Kalau boleh saya hadir dan kalau sebaliknya, saya tolak dengan sebaik yang mungkin.

Yang tahu biasanya saya di mana ; mungkin Afiq MN rasanya. Afiq nih tahu saya di mana pun disebabkan kalau di Shah Alam tuh, nak ke mana-mana inilah orang yang akan saya ganggu. Sorry Afiq! Jasamu sentiasa dikenang. Uish nak cerita pasal afiq nih panjang pulak rasanya. Kita sambung lain kali lah. Nanti saya buat satu blog penghargaan khas untuk insan bernama Afiq ini.


SEGALANYA BERUBAH

Jadi di sini saya nak jelas status saya kenapa ini terjadi. Nak dijadikan cerita dahulu kami semua tinggal di Sabak Bernam. Sebelum saya ke sekolah menengah, saya tak tahu pun yang ada tempat lain selain Sabak Bernam. Kemudian dengan izin Allah, Abah dilimpahkan rezeki dinaikkan pangkat untuk berkerja di BTP di bawah Kementerian Pendidikan, abah saya jadi Pegawai Teknologi Pendidikan. Susah nak diterangkan apa tugasnya tapi secara ringkasnya abah uruskan sistem bestari katanya. Tak Lama kemudian abah saya pun minta ditukarkan ke Negeri, lebih mudah dan dekat katanya, di Shah Alam jer lagipun.

Seingat saya sewaktu awal-awal abah ditukarkan ke BTP, abah tinggal di asrama PSPN (pusat sumber pendidikan Negeri Selangor). Abah tinggal di situ dengan kenalannya yang juga dari Sabak Bernam. Saya pernah sekali kesitu. Selain dari tempat itu berair-cond, yang lain biasa sahaja: katil bujang dengan almari semata. Sepanjang minggu abah makan diluar sahaja. Abah biasanya balik seminggu; sekali sewaktu jumaat, sabtu dan ahad sahaja. Sepanjang tempoh itu saya nampak badan abah dah susut. Mak kata nak buat macam mana, abah balik penat kalau tak sedar terus tertidur sampai ke pagi kemudian terus ke tempat kerja.

Saya tak ingat selama abah tinggal di asrama, tapi tak lama waktu abah ditukarkan ke PSPN selangor, permintaan untuk menduduki KIP U2 diluluskan. Saya puji dan berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas usaha ini. Rumahnya cukup baik, siap ber ‘tile’ dan perabot. Sememangnya satu kediaman yang selesa. Semasa saya belajar di INTEC dulu saya selalu ke sini. Ada satu bilik di sini yang dah pun saya iktiraf sebagai bilik sendiri. Di sini abah seorang saja yang dah ada anak yang besar macam saya, yang lain semua anak-anak mereka kecil lagi. Mereka cukup hormat dengan abah saya. Kalau waktu cuti mak ada juga ke sana. Yelah, jiran-jiran di blok pun dah bertanya, mana orang rumah?

Mak saya pula masih di Sabak Bernam. Dulu bila saya tanya bila mak nak pindah Shah Alam? Katanya tunggulah adik saya ketiga Fathur lepas SPM dahulu, kemudian mak saya nekad nak memasukkan semua adik-adik saya ke SBP atau MARA. Setiap malam mereka ada latih tubi. Jadual dan peraturan mereka sangat tersusun. Yelah mak pun dah lama menjadi cikgu, pastinya mak arif hal-hal sebegini.


SELEPAS SETAHUN

Setahun dah pun berlalu, Bila saya pulang dari Russia. Saya dapat tahu yang adik saya yang keempat dah pun ke SEMASHUR. Adik saya yang kelima tak kemana. Mak saya kata 5 A dalam UPSR nya A kurus. Saya tergelak sendiri. Yelah perempuan memang tinggi persaingannya. Fathur dah pun ke Matrikulasi.

Yang masih menghairankan, mak saya masih lagi di Sabak Bernam. Abah saya masih lagi di Shah Alam. Kali ini Abah saya balik lebih kerap, 2 kali seminggu. Bila di tanya, jalan dah elok katanya.


MAK, BILA NAK PINDAH KE SHAH ALAM?

Kadang-kadang bila bersembang dengan mak sambil menonton televisyen, mak ada juga menyatakan hasrat nak pindah ke Shah Alam. Kata mak susah nak uruskan hal sorang-sorang. Mak kata banyak yang nak di fikirkan; bil air, api, adik lagi, makanan lagi, kerja lagi. Dulu mak gagahkan juga tapi mak cerita satu hari dugaan yang betul-betul besar tiba:

Mak kata yang dia baru jer habiskan duit betulkan keretanya yang leaking minyak hitam. Lepas tuh mak berhabis duit pulak menjelaskan duit telefon yang berjela-jela( apa nak buat adik saya tuh menunggu result SPM, faham-faham je lah). Nak dijadikan cerita ketika mak saya sedang memandu ke sekolah, ada satu ketika mak saya memandu dibelakang lori yang membawa batu. Tiba-tiba tanpa disangka, entah macam mana batu dari lori itu berterabur dan kena betul-betul pada cermin kereta mak saya. Habis pecah berderai.

« Mak tak tahu apa nak buat waktu tuh, mak telefon abah…mak tak terkeluar perkataan, mak menangis je, kecewa sangat hati mak tuh »

Mak kata waktu tuh, keinginan mak nak pindah ke Shah Alam bertambah-tambah.

“Agaknya macam nih lah rasanya kalau jadi ibu tunggal”

Saya ada suarakan hal nih pada abah, abah tak jawab, abah diam jer. Mungkin abah nak dapatkan rumah betul-betul baru nak bawa satu keluarga pindah. Abah pun baru besarkan rumah di Sabak Bernam. Tak sangka pulak dia akan betukar ke Shah Alam. Saya nampak abah berusaha, abah cari rumah. Kalau saya ada kami cari rumah bersama-sama. Abah tanya pandangan saya.

Tapi baru-baru nih bila kami semua duduk bersama-sama. Lain pula mak cakap.

“Mak memang nak pindah ke Shah Alam. Mak rasa nanti mesti mak kena mengajar sekolah yang jauh dari Shah Alam tapi tak kisahlah. Mak sanggup. Tapi mak risaukan adik kamu yang bongsu tu, dia susah nak cari kawan. Kalau dia tak ada masalah, bila-bila pun mak dah pindah”

Sebelum ini saya sendiri banyak berkempen agar mak pindah sahaja ke Shah Alam. Tak sanggup tengok mak bersusah-susah. Tapi bila dengar masalah adik saya tu pulak. Saya terus terdiam. Saya nampak apa masalahnya adik saya. Tak adil dan sangat kejam rasanya kalau terus nak menseksa hatinya dengan keputusan kami sekeluarga.

Tapi ayah saya pun dah tak boleh lama dah di KIP U2, setiap 3 atau 4 tahun akan ada semakan, penghuni-penghuni lama perlu berpindah untuk memberi peluang kepada penghuni yang lebih memerlukan. Abah ada satu tahun lagi.

Melihat apa yang terjadi menjadikan saya banyak-banyak bersabar. Tak lama lagi saya akan ke Volgograd semula. Tak banyak yang boleh saya lakukan selain menjadi anak yang baik, belajar dengan bersungguh-sungguh dan berdoa agar keluarga saya mendapat yang terbaik. Amin…

Tiada ulasan: