Isnin, Ogos 29, 2005

Rindu Pada Kenangan Masa Kecil

Tribute to all my cousins: Kak Lin, Kak Ngah, Kamil, Munirah. Moga kalian berjaya dan sejahtera dalam apa jua yang dilakukan.

2 minggu lepas banyak mengimbau kenangan. Meskipun penat tapi segalanya macam seronok sangat.

Alhamdulillah Pak Su selamat bertunang, saya suka dengan tunang Pak Su. Lawa, baik dan manis orangnya. Doa saya agar ianya berkekalan. Sayangnya nanti bila majlis perkahwinan berlansung April tahun depan, saya tak ada pula.

Sesekali bila berkumpul semua pakcik, makcik dan sepupu yang lain, tiba-tiba teringat peristiwa-peristiwa sewaktu kecil-kecil dahulu.

Dulu waktu saya kecil kalau setiap kali cuti sekolah mesti tak sabar-sabar nak balik ke rumah nenek. Perjalanannya sangat jauh, almaklumlah rumah nenek di Negeri Sembilan, rumah kami pula di Selangor. Saya cukup suka bila ayah dah mula masuk ke lebuh raya. Selepas berhenti makan di R&R saya suka tengok pemandangan di luar. Semuanya hijau sahaja tak berusik. Lebih-lebih lagi kalau waktu itu hujan, air-cond pulak menderu di dalam kereta, terasa nyaman saja.

Kalau saya nak bercerita tentang nenek saya, ikhlas saya katakan nenek saya orang lama. Konservatif namanya dalam bahasa moden. Nenek saya tak pernah menyentuh makanan moden yang ada. Burger, hotdog, aiskrim; letaklah berapa banyak pun di dalam peti sejuk, sedikit pun tak akan disentuhnya. Dulu waktu saya masih kecil nenek masih gunakan tungku api untuk memasak, lama juga diletak dapur gas barulah nenek mula beralih angin. Itupun sesetengah masakan, nenek masih masak dengan mengunakan periuk tanah liat dengan tungku apinya. Tapi kami tak kisah kerana yang jelas, efeknya lebih sedap dan sensual. Bila bercakap pasal masakan, pastinya saya teringat masak lemak cili api nenek. Lengkap dengan rasa dan rupa minangkabau yang sebenar. Erm sedapnya.

Waktu saya di sekolah menengah, kadang-kadang ada sedikit rasa rendah diri bila mendengar cerita nenek-nenek kawan-kawan saya yang serba canggih dan moden. Ada seorang tu, neneknya sekarang masih mengendalikan syarikat yang ada kaitan rapat dengan ASEAN. Ada juga cerita yang mereka makan aiskrim bersama nenek merekalah, itulah, inilah. Sedikit pun saya tak pernah nak cerita perihal nenek saya pada mereka. Takut pula semua terdiam bila saya berkata. Terlalu asing bagi mereka mungkin.

Tapi kini tidak lagi, bagi saya apa telah saya alami inilah memberikan satu keunikan pada diri saya . Sekurang-kurang saya alami apa bukan semua orang boleh merasainya. Apa ada pada semua itu jika tidak ada kenangan dan keseronokan kan?

Zaman Kecil Dahulu…

Yang paling saya teringat waktu saya kecil-kecil dahulu ; keakraban sesama sepupu kami. Waktu itu ramai lagi pakcik dan makcik saya belum kahwin (4 orang lagi). Saya hanya ada sepupu dari keluarga Pak Long sj. Kak Lin, Kak ngah Safra, Kamil, Munirah.

Kak Lin tua setahun daripada kakak saya jadi mereka berdua lebih rapat bersama daripada dengan kami. Kak ngah pula tak habis-habis dengan lawaknya. Kamil pula macam adik saya yang ketiga Fathur, nakalnya tak habis-habis.

Rumah nenek saya ada satu kawasan yang amat besar. Meskipun sederhana tetapi saya suka dengan keadaan sekitarnya. Nenek saya ternak semua haiwan, ada lembu, itik, ayam, angsa. Kalau masuk ke dalam sedikit boleh tengok itik berenang dengan anak-anaknya di kolam. Kalau nak berjalan, saya tak pernah bosan. Di pintu masuk ada pokok manggis, pokok rambutan, dan pokok buah bali. Sedapnya tak tergambar, lebih-lebih lagi kalau dipetik terus dari pokoknya. Pastinya pengalamanya berbeza dengan makan buah-buahan yang dijual. Kalau waktu kami balik kena musimnya, pastinya ada sebaldi buah-buahan datang meyambut. Di bawah pokok itu pula diikat sebuah buaian. Di situlah kami suka bermain, lawan siapa yang boleh menghayun paling tinggi. Kalau bosan, kami main lah pula sorok-sorok, ting ting ker. Kamil dulu suka ajak lawan gaduh-gaduh. Selalunya, sayalah yang suka diajaknya. Yelah badan dia kecil je, kalau nak lawan dengan adik saya susah pula nak menang.

Hantar Lembu dan Cari Kayu Api

Tapi satu aktiviti wajib kami semua adalah mengikut nenek kami menghantar lembu ke padang ragut. Sebelum sampai ke sana, kami perlu naik sedikit bukit, turun semula, jalan sedikit lagi sampailah ke satu padang yang sangat besar. Mak kata dulu padang tu sawah padi tapi orang di situ dah tak menanam padi jadi padang itu menjadi padang ragut. Kalau nak ke sana kami semua bawa satu ranting panjang, kalau ada lembu yang lambat kami pukul. Kadang-kadang kalau terpukul kuat sangat, lembu itu terkejut. Waktu itulah kami terdengar nenek kami menjerit. Kemudian kami tertawa beramai-ramai. Lepas itu kami akan duduk beramai-ramai di bawah pokok jambu. Nenek akan bercerita takpun nenek akan check rambut kami kalau-kalau ada kutu. Selebihnya kami bermain-main, berlari-lari di padang. Kadang-kadang nenek bawa kami ke sungai kecil tak jauh dari situ. Airnya sangat sejuk tapi seingat saya kami tak pernah berani mandi di sana.

Kalau satu hari itu kami tidak mengikut nenek menghantar lembu, kami mengikutnya pula mencari kayu api. Waktu itu saya dan sepupu yang lain suka kutip biji buah poko getah rasanya kalu tak silap, kemudian kami jadikan buah untuk main congkak. Sampai saja waktu malam, kami berkumpul dekat-dekat tidur dengan nenek. Nenek waktu itu mula bercerita, bagi nasihat sampailah kami tertidur.

Peristiwa yang tak dapat di lupa

Banyak peristiwa yang kami kongsi bersama. Dulu kami pernah beraya bersama di sana. Saya ingat lagi yang dulu saya dan adik saya ada permainan. Saya ada truck askar dan adik saya ada angsa yang diperbuat dari tiub plastic (susah lah nak describe). Saya ingat lagi yang Kamil bergaduh nak angsa itu juga. Sampai menangis-nangis.

"Kamil tak kira…kamil nak angsa tuh jugak »

« Atoi kasilah angsa tuh sekejap kat Kamil yer, sekejap jer nanti Mak Lang kasi lagi besar yer… » Mak lang puas memujuk.

Tarik menarik berlaku. Saya menawarkan truck saya(baik nyer!) yang nyata tak senilai dengan nilai angsa tersebut.


Penat Mak Lang saya memujuk. Akhirnya kami ambil gambar bersama-sama. Kalau saya tengok gambar itu semula, Kamil masih dengan mata merahnya memegang angsa itu tanda kejayaan.

Satu lagi peristiwa yang tak boleh saya lupa bila satu hari ketika kami semua berjalan-jalan mengelilingi kampung. Tiba-tiba ada budak lelaki dengan gengnya dekat atas bukit nak kacau kami. Oh apa dia ingat kitaorang apa? Kak ngah dengan jayanya menjadi ketua samseng kumpulan. Kami pun apa lagi…lawan balik cakap budak tu. Masing-masing tak nak kalah.

“Apa ko ingat ini kampung ko ke? Ko suka2 nak cakap camtuh?” budak lelaki itu mengertak

“Alah, suka hati kitaorg lah, apa ko ingat ko lelaki kitaorg takut?” kak ngah membalas dengan jayanya.

Akhirnya kami menang juga bila maknya datang dan suruh budak lelaki tu balik. Haha! Kami semua balik dengan gembira ke rumah nenek. Bila kami cerita semula di rumah nenek, habis semua pakcik dan makcik kami ketawa. Kenapa ya?


Kini…

Masa berlalu cepat tanpa kami sedari tanpa kami sedari. Rumah nenek yang dulunya lengkap dengan seni bina minangkabaunya lengkap dengan bumbung melengkung dah bertukar menjadi rumah batu. Pakcik dan Makcik kami dah pun kahwin, saya dah ada pun ada sepupu kecil yang lain. Generasi dan cerita mereka pula bermula. Melihat mereka bermainlah menyebabkan saya tergerak bercerita tentang ini.

Sepupu saya semuanya sudah besar. Kak Lin dah pun menjadi cikgu Bahasa Arab sekarang ini. Kak Ngah yang dulu rugged tu pun dah masuk aliran agama terus ke UIA ambil aliran ilmu wahyu. Kalau jumpa mereka terasa jauhnya perbezaan antara saya dan mereka, susah dah nak dengar Kak Ngah buat lawak macam dulu. Kamil sekarang dah pun masuk tingkatan 5. Semakin hensem rupanya. Mak tak habis-habis memanggilnya Salman Khan (I have no doubt with that). Lain sedikit daripada kakak-kakaknya, dia pergi ke MOZAC( sm sains muzafar syah melaka)masuk ke aliran sains tulen.

Bila kelmarin jumpa dengan Kamil semula terasa seronok sangat. Kami bercerita hal masing-masing sampai ke pukul 3 pagi. Kekok pula terasa bila nak bercakap menggunakan nama bila dah terbiasa ber ‘aku’ dan ber ‘engkau’ dengan rakan sebaya. Kadang-kadang terkeluar juga perkataam aku tu. Dia sekarang dah ramai peminat. Almaklumlah, muka comel macam tu, mana perempuan tak nak kan ? hehe. Apapun all the best to you Kamil. SPM dah dekat, semoga sukses hendaknya. Kalau boleh pergi tempat bangah nanti. Erm barulah saya teringat Kamil ni sebenarnya namanya Zainul Ariffin. Macam mana agaknya boleh jadi Kamil ? entahlah mungkin sama kesnya macam mana saya dapat nama Azhar agaknya…

Bila semua orang dah balik. Terus terang saya katakan saya ada banyak rasa sedih dalam diri ini. Tak tahu bila boleh bertemu semua orang. Rumah yang riuh dah menjadi senyap semula. Dalam hati saya tak habis-habis berdoa supaya tidaklah kami semua ini diputuskan hubungan begitu sahaja. Terlalu banyak yang kami kongsikan bersama untuk dibazirkan begitu sahaja.


Dalam beberapa hari sebelum saya ke Russia, bila saya mengenangkan semua ini. Saya terasa yang pulangnya saya ke Malaysia kali ini seolah-olah bagi membangkitkan semula tenaga-tenaga penggerak yang sebelum ini menolak dan mendorong saya untuk saya kesini. Luka-luka yang ada bagaikan sudah sembuh kembali.

Bagi saya semua ini merupakan satu kenangan yang sangat berharga dan akan saya simpan dan akan saya ingat selama-lamanya.

1 ulasan:

fadly khairie berkata...

ler..tambah cerita?tak ader lar..ader org yg terlupa kot..cube ingat balik....