Khamis, Mei 24, 2007

Berlari sejarak semula (dengan masa)

Bulan yang memenatkan

Ramai kata tahun ketiga sebagai pelajar perubatan, tahun mengerikan. Tak siapa yang tahu hinggalah dia merasakannya sendiri.

Dan saya setakat ini, sudah pun merasai 70% daripadanya, mengerikan? Ya mungkin, tapi bukanlah mustahil.

2 ujian praktikal( theraphy, surgery) berturut-turut, selangnya 2 hari pula. Ditambah dengan barisan-barisan cikgu-cikgu yang bertanya soalan macam menghambur peluru.

Belum sempat pun, luka sembuh. Datang pula ujian emergency medicine. Lagi satu lagi yang mengerikan. Soalan-soalannya umpama antara hidup dan mati. Memang! Bayangkan

“Between spasmolytic and adsorbent (in food intoxication), which that you should give on the ambulance first?Why?”

Kalau tak A makanya B. Kalau A betul makanya B salah. Kalau A lulus makanya B gagal.

Oh ya, tidak dilupa juga soalan MCQ theraphy dan surgery, bukanlah sampai meragut nyawa tapi terkorban jugalah satu dan dua.

Tak usahlah dikata juga cabaran-cabaran subjek lain yang datang tidak semena-mena dari sisi.


SUNGGUH! Terasa tak terlarat berlari sama laju dengan masa lagi.


Lari

Tika ini, saya suka lari ke suatu tempat.

Disini, dari koridornya, kita boleh duduk sambil lontarkan pandangan pada Sungai Volgo sambil-sambil menunggu matahari terbenam di celah-celah hutan rekreasi yang di pelihara khas.

Kemudian, pandang jauh sedikit dan lihat tasik ladam sambil-sambil dikelilingi dacha-dacha (summer cottage).

Langsai solat maghrib dan Isyak. Juga selepas habis berbual-bual sambil-sambil menjamu sedikit kudapan. Saya akan kembali lagi lagi ke koridor ini. Melihat lagi sungai mengalir sambil kapal-kapal pesiaran berlayar memancarkan sinar kelam dari jauh. Kalau terus lihat ke kanan, akan jelas kelihatan cahaya-cahaya sayup dari bandar Bolhski umpama kunang-kunang layaknya. Sekali-sekala, akan terasa angin dingin malam meniup ke muka. Perasaannya amat segar.

Sambil-sambil menunggu subuh, baca satu atau dua majalah. Banyak sungguh koleksi mereka. Sampai sanggup dibawa jauh dari Malaysia.

Kemudian, habis solat subuh, tunggu sekejap matahari hingga tampak warna-warna merah mewarnai bukit Mamaev Kurgan dicelah-celah tugu besar Mat Rodina. Barulah saya tidur hingga dikecutkan mereka semula pukul 7 keesokannya.

Pemandangan yang indah, juga layanan mereka yang baik. Kalau ada anugerah saya kasi rumah mereka ini anugerah Rumah terbaik : ) . Inilah kvartira (apartment) park kultura kata mereka (Zakiran, Asyraf, Muhana, Theenesh-semuanya tahun 4)

Tiba-tiba saya pulang, pergi ke kelas dan tanpa saya sedari, masa ada semula disebelah saya.

Alhamdulillah...

(2 minggu lagi sebelum peperiksaan akhir)

Khamis, April 12, 2007

Sucikan hati ini...

Semakin saya cuba kehadapan semakin itu juga terjatuh ke belakang. Pada saat ini saya bertanya:

"Adakah saya benar-benar bergerak?"

Sungguh saya tak sangka, membesar, menjadi dewasa, mencari kematangan dan erti hidup adalah sebegini sukar.

Semakin saya cuba jadikan hati ini sebersih-bersihnya, semakin pula saya lumurkannya dengan kekotoran.

Kadangkala saya bertanya sendiri bila saya lihat kawan-kawan saya semakin berilmu, semakin tahu tentang ilmu agama, semakin dekat Tuhan, semakin hargai makna perjuangan. Layakkah saya berjalan bersama-sama mereka


Langsai sudah hari lahir saya. Saya rasa tahun ini penuh kekeliruan buat saya. Jika saya boleh berbangga dengan apa yang saya capai namun saya punya seribu kesilapan untuk saya perbaiki.

Ini bukannya satu kesedihan tapi saya tahu yang saya boleh buat lebih baik. Saya tahu saya boleh yang sangat baik akhirnya saya hanya hasilkan sesuatu yang biasa.

Sabtu, April 07, 2007

Betapa Dunia Pada Hari ini Layak Gembira...



"Harapanku kita jadi teman batini dan ruhi,
Berpaut pada keakraban tauhid dan rabbani,
Malah sejak terbitnya ukhwah ini,
Dengan kau hidang segelas kedamaian,
Sungguh, tak terhirup manisnya kenangan,
Yang sebati antara kerasnya cabaran,
Dan mesranya halwa kejayaan"


Petikan daripada puisi yang saya hadiahkan pada empunya diri-selebihnya milik Afiq, dia sekarang miliki hakcipta, nak lihat atau nak terbitkan kena tanya dia :)



Kalau ada sesiapa bertanya pada saya, siapakah sahabat,saudara dan kawan paling saya hargai maka tak teragak-agak untuk saya katakan insan itu adalah Mohd Afiq bin Mohd Nor.

Walaupun kami hanya bermula sebagai orang asing dengan perwatakan yang kebanyakannya lain, berkenal secara rapat pun adalah tiga bulan selebihnya berjumpa setiap tahun beberapa kali. Namun, setelah tiga tahun dia masih kekal sebagai kawan dalam erti kata sebenar walaupun duduk sebegini jauh adalah sangat membangkitkan rasa syukur saya. Membuktikan kepada saya betapa kalau niatnya daripada awal benar maka barakahnya berpanjangan.

Inilah orangnya mendengar celoteh dan aduan dari seremeh-remeh perkara sampai ke sebesar masalah negara dan ummah dengan penuh sabar. Tak kekok pun menegur saya tanpa sedikit pun terasa singgung di hati dan yang lebih penting kalau saya saya ingat dia saya ingat tentang kewajipan saya sebab ini memang perjuangan kami untuk bangunkan ummah dan bangsa.

Tahun kebelakangan ini saya fikir agak payah sedikit bagi Afiq. Meskipun saya kurang pasti (Cuma mendapat input pada penulisannya, chattingnya, status YM nya, gambar avatar YM nya, kata-katanya dalam telefon) tapi saya rasa ada juga mengugah diri pemuda yang bersemangat tinggi ini.

Makanya besar harapan saya kalau rahmat Allah mencucurinya sempena genap umurnya pada hari ini. Moga terlerai segala masalah dan ceria selalu hendaknya.


"Dan pada setiap hening malam dan subuh pagi,
Aku kirimkan secangkir doa,
Biar mengalir ke kebun usahamu,
Walau liat mahupun tandus pun tanahnya,
Tetap boleh segar pohon impianmu,

Betapa satu lagi tangga kematangan memang untukmu naiki,

Dan sebagai sahabatmu aku katakan

Betapa dunia pada hari ini layak gembira,
Kerana pahlawan yang satu ini setahun sudah kehadapan."


Selamat Hari Lahir Afiq...Memang dunia pada hari ini layak gembira!


Sahabat mu

Fadli KH

p/s: pilih gambar ini sebab, ini gambar paling ikhlas walaupun posing nya sedikit mencurigakan (memang bergaya atau di ambil secara candid)

Fenomena Teh

Tanpa semena-mena universiti kami yang terkenal dengan universiti yang paling banyak membuli pelajar-pelajarnya dengan jangka masa belajar yang lebih lama darpada universiti yang lain, tidak termasuk lagi dengan cuti musim panas yang paling pendek juga denda bayaran ketidak hadiran ke kelas yang semakin meningkat tahun demi tahun TETAPI dengan tiba-tiba bermurah hati memberi teh percuma kepada semua pelajarnya.

Semua orang bagaikan tidak percaya walaupun terpampang besar-besar notis yang di tampal di setiap sudut-sudut kopi. Di tambah pula dengan makcik penjual yang sudah sedia garang menambah lagi keraguaan semua orang untuk mengambilnya. Hingga mulut makcik itu berkata

"Vi ni hatitye chai?" (awak tak nak teh)
(Pelajar terdiam)
"Smatritye vot studentam chai besplatno"(tengok, teh percuma untuk pelajar)

Kemudian barulah seorang demi seorang pelajar mengambil teh. Kini di mana-mana bangku rehat dan meja-meja makan, kita boleh sentiasa lihat pelajar dengan secawan teh. Kata pensyarah kami, perkara ini dijangka berterusan untuk jangka masa yang lama.

Saya rasa ini satu perkara yang amat bagus. Selain daripada mengelakkan dehydration. Teh ini juga merupakan psychostimulant yang selamat, ini seterusnya dapat memastikan pelajar-pelajar masih kekal menumpukan perhatian walaupun di hujung-hujung nyawa hari siang.

Selain daripada itu, teh ini juga mengandungi 'Tannin' sejenis bahan yang mengandungi sifat-sifat sebagai astringent. Dengan membentuk lapisan colloid pada permukaan mucosa, teh sangat bagus terutama kepada golongan pelajar yang pastinya mempunyai tendensi yang amat tinggi terhadap gastritis.

Cuma saya berharap agar kandungan gulanya dapat dikurangkan sedikit. Selain daripada itu saya rasa usaha ini sangat bagus dan wajar diteruskan (tidak dimaklumkan keuntungan kepada kami dapat menjimatkan duit hehe)

p/s: maaf artikel yang caca marba bahasanya, tidak dapat cari istilah-istilah sains dalam Bahasa Melayu, cikgu dulu tak ajar...

Sabtu, Mac 24, 2007

Pertemuan Angin dan Air

Kasih Air dasar tak tercapai,
Kasih Angin lembut bayu melambai,

Setianya Air pada Angin;
Bersua pada hari-hari gembira,
Hari-hari cerah, hari-hari indah,
Juga pada hari-hari penuh pengharapan,
Hari-hari keluh kesah, pabila ramai yang berserah.

Kasihnya Angin pada sang Air;
Jauh kembara berdua luaskan fikir,
Keliling segala sambil menghembus nyaman,
Saat gembira nyata keduanya bahagia,
Sambil yang lain mengukir senyuman,
Bersama nikmati kesenangan.

Bicara Air pada sang Angin;
“Tiba masa kita harus berpisah”
Kendati pun langit tampak berat,
Hati kekal hening, masih sama membenarkan,
Lalu gugur perlahan menguraikan,
Bagai permata kelak jadi begitu berharga,
Sampai sempat terukir urna pelangi,
Lambang cinta dari atma paling suci,
Jadi pelengkap betapa syukurnya bumi.

Bicara Angin pada sang Air
“Sampai masa kita ketemu semula”
Sementara akur fitrah Ilahi,
Memberi ujana makna kehidupan,
Meski tempat berbeda,
Namun laluannya masih punyai tujuan yang sama.

Ukhwah yang terbina atas aturan restu Ilahi,
Citra sakti, dirai langit dan bumi,
Bertemu dan pergi pun masih punyai seri.

Alangkah indahnya ciptaan Ilahi,
Umpama bercerita kepada insani,
Jadi hikmah bagi yang sudi meniliti.

Sabtu, Mac 17, 2007

Persahabatan yang diraikan

Nabi Muhamad s.a.w rasul kita yang tercinta ada bersabda dalam hadisnya

“ Contoh teman yang baik dan sebaliknya adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Maka untuk penjual minyak wangi samada dia akan memberi sebahagian minyak wanginya kepada kamu atau kamu membeli daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu dapat menikmati bau yang menyenangkan daripadanya. Manakala tukang besi pula samada dia akan membakar pakaian kamu atau kamu sendiri akan mendapat bau yang tidak menyenangkan daripadanya”

Sebagai permulaan, saya ingin kita semua tahu bahawa tanpa kita sedari nilai persahabatan itu sendiri semakin hilang nilainya dalam dunia kita sendiri. Saya berikan satu bukti. Lihat maksud friendship antara dua zaman berbeza ini:

friend n. 1. A person whom one knows, likes, and trusts. 2. A person whom one knows; an acquaintance.

Terjemahan daripada dictionary.com, 2000 A.D.

friendship n. the highest degree of intimacy.

Terjemahan daripada Samuel Johnsonís Dictionary of the English Language, 1755 A.D.


Maka dalam dunia yang semakin hilang ertinya ini, apabila semakin ramai manusia menuju kearah individualisme dan negara yang semakin menyanjung semangat kapitalisma. Tidak hairan manusia semakin tidak mengendahkan teman yang ada disisinya.

Pada pendapat saya, manusia tidak pernah lari daripada kesilapan. Serupa mana pun kita tetap punyai perbezaan. Hatta, kembar siam pun masih ada yang berlainan. Maka apabila kita bersahabat, walau macam mana kita teliti dan berhati-hati untuk mengelakkan perselisihan faham , perkara tersebut pasti akan berlaku. Daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar konflik, setiap insan mempunyai persepsi berbeza terhadap sesuatu perkara.

Saya berkata sekadar melalui pengalaman. Pada hemat saya, ketika inilah nilai sebuah persahabatan itu boleh dilihat. Sejauh mana setiap kita menghargai persahabatan yang kita ada, bergantung kepada sehebat mana setiap daripada kita mengambil inisiatif untuk memperbaikinya semula.

Namun begitu, Nauzubillah. Sememangnya kalau boleh pastinya kita mahu mengelakkan konflik. Maka amalkan adab ketika bersahabat

1. Jangan bertengkar dengan sahabat
2. Elakkan perselisihan faham antara sahabat
3. Jangan perlecahkan sahabat
4. Jangan menganggap sahabat kita lebih rendah darjat daripada kita
5. Jangan mempermainkan sahabat
6. Jangan kita memperkatakan sesuatu yang tidak disukai oleh sahabat kita
7. Jaga dan mempertahankan maruah sahabat kita
8. Hormati sahabat kita
9. Jangan lakukan perkara yang tidak disukai sahabat kita
10. Jangan menyebarkan perkara buruk tentang sahabat kita
11. Memaafkan kesilapannya

Senarainya berterusan tetapi inilah antara yang saya ingat semenjak saya belajar pelajaran akhlak sewaktu di sekolah rendah lagi.

Hakikatnya, setiap kali saya memulakan perkenalan, setiap itulah jantung saya berdebar takut-takut dugaan yang mendatang merosakkan apa yang telah ada sekarang. Setiap kali itulah saya berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar ikatan ini berkekalan. Apabila sampai masanya, tatkala datang dugaan dan lebih melegakan apabila persahabatan itu masih kekal selepas itu, maka dialah sahabat yang makin saya hormati, makin saya sayangi dan makin saya hargai.

Persahabatan itu bagi saya umpama kita menjumpai sesuatu yang amat berharga, kita jaganya dengan penuh kesederhanaan (tidak melampau dan tidak pula terlalu mengabaikan) kemudian sampai masa kita lepaskan dan sekiranya ia datang semula, makalah itulah yang kita cari-cari sebenarnya.

Allah berfirman dalam Surah Al Zukhruf ayat ke 67 yang bermaksud

“Teman-teman akrab pada Hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”

Ditafsirkan pula oleh Hafidh Ibn Katheer, mengaitkan ayat ini dengan cerita yang disampaikan oleh Ali bin Abi Talib (r.a):

Tersebut satu cerita, 2 kenalan bersahabat kerana Allah dan salah seorang daripadanya meninggal dunia dan diberikan berita gembira bahawa dia bakal dikurniakan al-Jannah, maka dia teringatkan sahabatnya dan memohon pada Allah

“Ya Allah sahabatku sentiasa mengingatkanku untuk mematuhi Mu and Rasul Mu and menyarankanku agar berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran dan dia memberitahu yang aku akan menemui Mu. Ya Allah janganlah kau biarkan dia sesat dan tersasar sehingga kau tunjukkan kepadanya apa Engkau tunjukkan pada ku dan sehingga Engkau berpuas hati kepadanya sebagaimana Engkau berpuas hati kepadaku”

Maka dia pun diberitahu oleh Allah

“Kalau kamu tahu apa yang (tertulis) untuk sahabatmu, kamu akan ketawa dengan banyaknya dan sedikit sahaja menangis”

Maka apabila sahabat yang satu lagi meninggal dunia, kedua-dua roh ditemukan maka setiap daripada mereka berkata

“Engkaulah saudara, teman dan sahabat yang terbaik”

Lain pula apabila dua kenalan yang mengingkari Allah bersahabat, apabila salah seorang daripada mereka mati, dia akan memohon Allah agar tidak memberikan petunjuk kepada kawannya supaya nasib mereka serupa. Maka apabila kawan yang satu lagi meninggal dunia dan roh mereka dipertemukan, maka berkata mereka antara satu sama lain

“Engkaulah saudara, teman dan sahabat yang paling teruk”

Rasullah s.a.w juga pernah menunjukkan betapa mulianya persahabatan, bagaimana ketika Zaid ibn Harithah syahid dalam peperangan Mu’tah. Rasullah berkata

“ Zaid berjaya dalam jalan Allah seperti yang sepatutnya layak diterima olehnya”.

Anak perempuan Zaid menjumpai Rasullah bersedih melihat mayat Zaid dan bertanya

“ Apakah yang aku lihat?”

Maka Rasullah menjawab dengan linangan air mata

“Seorang sahabat bersedih ke atas sahabat yang lain”

Maka, bersahabatlah kerana Allah, pada landasan dan garis panduan Islam. Saya percaya dan berani jamin persahabatan kerana Allah lebih syahdu daripada cerita-cerita romantik tipikal yang berlambak di pawagam, lebih suci daripada cinta yang kononnya ‘sejati’ yang kerap kali diuar-uarkan, lebih indah daripada perhubungan yang didasarkan pada harta benda, bunga-bunga ros yang pastinya layu malah lebih bermakna daripada kata-kata puitis cinta.

Kalau kurang yakin. Lihatlah sendiri:

‘Kalau mendengar kisah cinta tak tearah, hati kita jadi lemah, hati kita rasa mual tetapi kalau mendengar pertalian atas dasar Allah semangat kita tambah berkobar-kobar, usaha kita bertambah kuat, keyakinan kita tambah utuh’

Cuba dan Alami sendiri

Sekadar pengalaman sendiri yang ingin dikongsi bersama.

p/s: siapa ada membaca puisi Pertemuan Angin dan Air (Syabab PPIM ke- 3), maka ini susulannya.

Khamis, Mac 15, 2007

Selamat Hari Wanita...

"Sudah tertulis lama dalam journal persendirian, tapi masih berfikir-fikir untuk di 'post' kan atau tidak."

9 Mac 2007

Saya kurang pasti samada saya patut menulis pada hari ini atau tidak. Sebetulnya, hari ini sepatutnya cuti umum di sini tetapi memandangkan esok saya punya 3 subjek yang perlu dipandang dengan berat maka membiarkan hari ini bercampur aduk antara rehat ataupun bekerja.

Hari ini hari wanita. Mengikut tradisinya, hari ini merupakan satu hari yang mana seluruh dunia perlu diperingatkan tentang hak-hak wanita. Supaya golongan ini diberi layanan sewajarnya dan diberi tempat yang sepatutnya. Satu pemikiran yang sudah lama klise bagi umat Islam. Bukankah Islam telah lama memberi garis panduan tersebut malah sudah terlebih dahulu mengangkat darjah wanita lebih awal daripada ketika hari ini diumumkan pada tahun 1913 di St. Petersburg.

Meskipun begitu, hari ini sememmangnya satu hari yang mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dilihat. Kita dapat menyaksikan harga bunga melonjak sangat tinggi pada hari ini. Kemana kita pergi kita boleh lihat lelaki membeli bunga dan perempuan membawa bunga.

Walaupun budaya ini pastinya asing pada kami pada awalnya, tetapi memandangkan pensyarah semuanya orang Russia dan majoritinya wanita, maka kami pun perlu membeli bunga; 2 jambangan bunga (3 kuntum ros setiap satunya) kami sediakan untuk 2 orang cikgu Bahasa Russia kami.

2 perkara tentang orang Russia terutamanya wanita, mereka sangat suka bunga dan coklat. Satu jambangan sahaja sudah cukup membuatkan cikgu kami tersenyum lebar sambil bercakap tanpa henti untuk 20 minit. Cukup membuktikan segalanya kan?

Budak perempuan kelas kami pada hari lelaki yang lalu (23 Feb) ada membuat jamuan untuk kami. Maka sebagai syarat, tak sahlah kalau tidak buat benda yang sama untuk mereka pada 8 Mac (Hari Wanita). Lelaki memasak untuk hari wanita juga merupakan satu tradisi bagi lelaki Russia pada hari ini. Mengikut apa yang saya dengar daripada cikgu, pada hari ini lelaki perlu melakukan segala kerja rumah dan membiarkan wanita( terutamanya para ibu) berehat.

Jamuan untuk budak perempuan kelas kami ringkas sahaja. Sekadar pulut dengan rendang, di samping salad, omelet dan kek buah. Kami kata ini konsep ‘Fusion’ (Gabungan Timur dan Barat). Tidak dilupa juga Milkshake dengan jus apple yang dihias dengan buah apel. Sebagai hadiah kenangan-kenangan kami buat satu bentuk budak perempuan mengikut karakter masing-masing daripada coklat.

Habis sahaja saya menulis cerita ini, sudahpun masuk maghrib di sini. Tingkat kami semuanya lelaki. Pagi-pagi tadi dapur kami mengalahkan restoran berasap tanpa henti. Oven, MIcrowave, Mixer, semuanya digunakan. Semuanya ada jamuan. Bila hari berakhir, matahari terbenam maka tinggallah dapur kami umpama tongkang pecah yang karam layaknya. Maka mengamuklah satu-satunya wanita yang masih tinggal Mama kami ataupun pembersih asrama kami. Kami pun cepat-cepat buat apa yang patut dan sebagai penutup kami pun berkata pada Mama ‘S praznikom Mama!’. Dia pun tersenyum dan tak marah lagi. Kami masih budak-budak yang baik.

Kepada semua wanita di luar sana. Selamat Hari Wanita. Sememangnya sebaik-baik hiasan dunia adalah wanita solehah.

Selasa, Februari 13, 2007

Telefon yang berbunyi


Sekadar memandang kepada alat eletronik, dilengkapi dengan butang-butang dan fungsi-fungsi yang nyata telah banyak membantu saya selama ini.

Bila bulan bertukar daripada Januari ke Febuari. Juga semester lama ke semester baru. Tidak lupa peralihan dari musim cuti kepada belajar semula; pengunaan telefon ini juga alami semacam perubahan.

Misalnya dahulunya, waktu cuti tidak pernah pula di’set’kan locengnya pada awal-awal subuh seawal 5.45 pagi, kalau ada pun pada hari-hari saya pergi ke praktikal.

Bercerita tentang praktikal, teringat pula kenangan manis menaiki ambulans sambil berjalan-jalan sekitar Volgograd melawat rumah-rumah masyrakat di sini. Ada sekali itu, saya mengikut ambulans khas untuk kanak-kanak. Yang kelakarnya, ada seorang budak kecil yang demam bila nampak doktor pertolongan cemas (memakai baju biru yang tertulis perkataan skoraya pamosh-pertolongan cemas) duduk diam sahaja tapi bila nampak saya memakai ‘lab coat’ putih melompat macam nampak hantu.

“Mak-mak! Tak nak doktor!” menangis-nangis dia cuba menyorok di belakang emaknya.

Telefon ini juga digunakan untuk mengambil gambar-gambar borang yang kami kena salin semula. Sampai terhafal pula ubat-ubat yang selalu diguna: Analgin, Magnii Sullfatis, Euphylin. Ya, kebanyakan pesakit kami kalau tidak demam pun, darah tinggi, kalau tidak pun sakit-sakit berkenaan dengan jantung.

Sekarang semester baru bermula, setiap Isnin, Jumaat dan Sabtu perlu bangun sebegitu awal. Kadang-kadang perlu juga ditetapkan pada pukul 9.00 malam, setelah tidur sekejap melepaskan penat yang keterlaluan lebih-lebih pada hari-hari yang kelasnya habis pukul 5 ke atas (Isnin, Selasa, Khamis), saya panggil hari-hari ini ‘Hari Kerja Kilang’, seharian ke sana ke mari tanpa rehat. Meskipun begitu, saya begitu menikmati subjek ‘Operative Surgery’ setakat ini, seronok belajar cara-cara mengikat benang semasa menjahit ‘stitching’ cara pakar bedah pada hari pertama; ada video cikgu menunjuk caranya di dalam telefon.

Tema dihadapannya pun sudah ditukar kepada musim sejuk dengan gambar rumah dilitupi salji di atas. Hendak sahaja menukar kepada tema musim bunga, sengaja yang menunjukkan rasa tidak sabar dengan musim sejuk ni. Tapi salji yang kadang-kadang turun membantut keinginan. Sekurang-kurangnya Volgograd masih panas berbanding Moscow. Khabar-khabarnya di sana -10 Celcius.

Dahulunya juga, waktu-waktu begini semasa cuti, SMS banyak dibalas sekadar seronok-seronok. Sekadar bertanya dan bertanya soalan-soalan bergini:

“Petang ni, ada buat apa-apa?”
“Ada apa-apa filem menarik?”
“Nak Makan mana? malam ni?”

Sekarang, bermula sahaja febuari, lenguh pula jari-jari memicit-micit butang-butang kecil. Selalu sangat membalas SMS sampai tutup mata pun, masih menaip. Alhamdulillah, baru sahaja selesai menyiapkan majalah Ulul Albab Kelab UMNO Volgograd yang kedua. Sekarang, masih lagi mengira-ngira bahan-bahan Paramedic PPIM untuk dikemaskini yang semenjak Januari Universiti sudah memberi lampu hijau kepada kami sebagai wakil kesihatan di Hostel. Syukur, kira-kiranya tidaklah kami membuat kerja secara haram di sini.

Masih ada kerja-kerja Mirc (Malaysian Indoor and Recreational Competition) yang menunggu dan yang paling penting SMS bertanya-tanya kerja rumah dan topik-topik yang hendak dibaca. Sibuk macam mana pun saya tetapi menjadi doktor itu impian nombor satu.

Begitulah kisah kehidupan seharian saya yang diringkaskan pada pengunaan telefon.

Meskipun begitu, saya masih menunggu satu SMS yang bakal mempengaruhi keputusan saya seterusnya. Hairannya, kalau dengan orang lain yang lambat membalas SMS, gelisahnya Allah sahaja yang tahu. Tapi dengan seorang ini, saya sabar pula menunggu. Tidak ada harapan saya letakkan, cuma menanti dengan redha jawapannya.

P/S: ada satu butang telefon saya sudah semakin liat untuk di tekan. Alahai! takkan kena tukar baru...

Isnin, Januari 15, 2007

Selamatkanlah Komuniti Kita Ini!

Bismillahirrahmannirahim
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah Al-Hujraat Ayat 6)

Beberapa hari yang lepas kalau siapa yang menyedari saya ada sedikit perselisihan faham dengan Helmi. Hakikat manusia, tidak ada yang sempurna. Alhamdulillah, segala-galanya berjaya diselesaikan setelah perbincangan kecil antara kami. Pergaduhan itu sudah sesuatu yang amat menyedihkan tetapi apa yang lebih menyedihkan adalah sebab musabab perkara ini timbul.

Sedar atau tidak, semua ini muncul daripada rasa ketidakpercayaan yang timbul sesama kami, yang sebenarnya tidak pun berpunca dari diri masing-masing tetapi daripada apa yang orang sekitar bercakap-cakap, mengumpat-ngumpat atau berkata-kata samada secara sengaja atau tidak sengaja. Nasib baik, langkah diambil. Cuba bayangkan kalau masing-masing terus berdiam diri. Sampai tahun terakhir pun sesiapa tidak menyedari perkara sebenarnya yang terjadi.



Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah Al-Hujraat Ayat 9)

Saya tidak mahu berdolak dalih lagi, saya merayu selamatkanlah komuniti Volgograd yang kita semua sayangi ini. Berkata-kata tentang orang lain, mengumpat-mengumpat, berkata buruk tentang mereka, mencari keaiban dan kesalahan orang adalah sesuatu yang amat tidak sihat dan sangat salah di sisi agama. Sedar tidak sedar ia sedang memecah belahkan perpaduan yang kita ada selama ini. Lebih teruk kita melakukannya kepada sahabat kita sendiri, orang yang sama-sama kita harungi pahit manis kehidupan di sini. Sama tersenyum dan menangis.

Apa? Tak sayangkah kita pada kawan kita sendiri. Sukakah kita melihat mereka menangis meratap atau gila mengamuk tak tentu pasal? Seronok kita melihat dua sahabat bergaduh? sampai muncul puak-puak yang masing-masing bertelingkah atas sebab remeh yang entah apa agaknya.
Kemudian kita duduk diam macam tiada apa yang terjadi seolah-olah macam selama ini kita tak pernah bertanggungjawab untuk apa yang terjadi. Sedikit pun tidak ada rasa bersalah.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Surah Al-Hujraat Ayat 11)

Umpama gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, api dalam sekam. Benda ini sedang membunuh kita sebenarnya. Hakikatnya, kalau kita selidik semula semua berita yang sampai boleh dikatakan hampit semua tidak benar. Perkara ini bukan baru sebenarnya, Teringat saya macam mana terkejar-kejar Cerap mengira-ngira perbelanjaan masak setiap kali kenduri di buat di tempat kita.

“Fadli, tengok betul-betulnya aku kira. Aku tak nak lah orang cakap aku buat kerja tak betullah, aku ambil duitlah”

Ataupun tanggapan salah semasa Kak Sya memberi teguran, atau PPIM dan Kelab UMNO yang terpaksa sangat berhati-hati dalam membuat apa-apa, takut-takut disalah sangka.Mana tidaknya, tahu tidak tahu, esoknya macam-macam cerita keluar, entah mana datangnya. Sedangkan benda baik pun boleh disalah erti, inikan benda-benda yang lain.

Saya merayu pada diri saya dan anda semua. Jika ada berita yang kita tidak pasti jangan sebarkan. Jika ada benda yang keaiban: anda mahu menegur, buatlah dengan cara terpuji, jumpa dan berbincang. Jangan pula membawa cerita menjatuhkan maruah mereka dan pergi tanpa sedikit rasa tanggungjawab. Jika kita tidak mampu maka diamkan sahaja.

Allah Maha Adil, hari ini kita bercakap-cakap, mengutuk-ngutuk. Sampai masa roda berputar semula, kita pula diperkatakan, dikutuk-kutuk. Waktu itu baru kita tahu bagaimana rasanya. Persoalannya perlukah kita tunggu sampai perkara tersebut terjadi, Sudah terhantuk tak guna nak mengadah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah Al-Hujraat Ayat 12)

Setiap kali cuti ‘Summer’ saya ke INTEC dan betapa bangganya saya berkata dengan mereka di sana yang kita punya satu komuniti yang sangat hebat, sangat muhibbah. Betapa tanpa embassy pun kita mampu berdiri sendiri. Betapa kita menjaga antara satu sama lain. Saya tidak mahu saya ke sana pada masa akan datang; berkata perkara yang sama tetapi ramai yang meraguinya. Kita sudah pun nak menghantar wakil graduan pertama dari universiti ini. Biarlah mereka pulang dengan rasa lega betapa mereka telah tinggalkan kita dalam keadaan baik.

Untuk kebaikan kita semua saya selaku hamba Allah, teman seperjuangan, adik dan abang: Marilah kita sama-sama berusaha untuk kebaikan semua.

Selamat berjuang.

Ikhlas daripada saya dan saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan

Mohamad Fadli bin Khairie
Januari 2007

Sabtu, Januari 13, 2007

Biarkan Mereka...

Memetik perbualan antara seniman negara A.Samad Said dengan anaknya Helmy Samad yang didokumentasikan dalam blog Helmy Samad-Luluhkan hatiku

"Helmy tahu, perbuatan yang lahir dari keikhlasan selalunya disalah erti.”
Saya tidak ternganga, tetapi terkerut dahi.

Dia tersenyum, “Bapak pernah dan selalu kata orang yang menolak ilmu itu bodoh. Ingat apa yang bapak dapat?”

Saya terangguk. “Mengapa bapak tidak jelaskan?”

Senyum lagi, “Kalau keihklasan semudah itu yang bapak luahkan tidak difahami dan diterima, malah dicerca dan dilabel, fikirkanlah sendiri.”

“Habis, bapak diam saja.”

“Ya, mengapa tidak?”

“Tapi...”

“Helmy, jangan masuk gelanggang mereka yang tidak ikhlas. Jangan masuk gelanggang mereka yang akalnya pendek. Kelak kita jadi bodoh dan tidak ikhlas. Kita akan dikuasai nafsu. Jika itu berlaku, Helmy fikir kita mampu ikhlas?”



Teringat pula kata-kata Zamani dalam blognya(saya terjemahkan dalam bahasa Melayu): Tak perlu dijelaskan, kawan kita tidak memerlukannya dan musuh kita sama sekali tidak akan mendengar.Mungkin bukan musuh(terlalu kasar pula bunyinya) tetapi mungkin mereka yang kurang memahami.

Namun, yalah kalau kita ada sesuatu makanan, orang kata lebih enak kalau dinikmati bersama.

Meskipun begitu, kadangkala manusia ini perlukan bukti baru mereka mahu mengerti, sementara itu, cukuplah Allah untuk menyediakan segala-galanya untuk kita. Allah berikan kita kekuatan,hikmah disebalik peristiwa mahupun teman sejati setia di sisi.

Maka tetapkan hati,jalannya biar satu, jangan membelok-belok lagi.


'Berikan ku tiga saat...Nanti kau faham inilah cinta hati dan ikatan'

Mulanya...(Puisi Saksama Hati)

Datang kita dari daerah-daerah berbeda,
Namun lihat, satu tempat tujunya,
Mulanya kita bertatih,
Bangun, serentak berjalan,
Lalu langkah deras dilatih,

Kami hanya ingin mengatakan sejujur hati,
Berlari pun kita biarlah sama arahnya.

Kerna apakah ertinya meredah lautan,
Andai ada tenggelam tanpa dikesan,
Makanya, apa kegembiraan,
Sekiranya segelintir sahaja bahagia,
Sedang yang lain memendam lara,
Marak prasangka menyala.

Terlupakah kita saat bersama,
Menjejak lapangan yang entah apa janjinya,
Melirik senyuman cuba sama mengerti,
Apa janji dunia menanti.

Makanya, usaha ini janganlah disalah erti pula,
Bangsa kita wataknya menolak permusuhan,
Menyanggah dengan senyum,
Setia dan sabar tiada sempadan.


Bukan niat untuk menaung,
Jauh sekali untuk berlagak sombong,
Cuma ingin menjadi teman,
Sesama meredah pahit maung,
Berharap sedih dan ria berimbang ia.

Merendah kita bukanlah menyembah,
Melonjak juga bukanlah meninggi,
Cuma duduk yang tahu akan dirinya,
Dan tegak masih dengan maruahnya.

Makanya, dipinta suara hati ini diterima,
Suratkan pada air agar tenang tidak
bergelombang,
Hakikatnya di lindungan awan di atas bumi
milik Tuhan saksama ini,Kita berdiri...

Dan Akal itu mesti diperkasa,
Meski badan kerdil, wajanya tidak seberapa,
Meski kudrat jadi penghalang,
Namun jiwa perlu tetap,
Semangat perlu senantiasa tegap.

Supaya mampu tidur luar biasa,
Pun masih mampu bermimpi bahagia,
Lalu bangkit kita sama mekarnya,
Sesama pertahankan perjuangan yang tak
pernah ingin kita hentikan.

Kita ingin makmurkan wasiat ini,
Ke puncak paling peribadi,
Demi kebahagiaan bumi sejagat

Volgograd,Russia
1.1.2007

*puisi ini ditulis untuk keluaran pertama buletin kelab UMNO Volgograd Ulul Albab(permulaan). Tak pasti samada ramai yang menyedari wujudnya buletin, melihat ia bersepah-sepah dan terbiar di bilik dan tak pula ada yang berbincang-bincang tentangnya. Tak boleh menyalahkan sesiapa juga, sudah keluarnya waktu semua orang sudah demam peperiksaan, siapa nak membaca artikel santai? teringat puisi tapi terlupa nama penyakit dengan ubat-ubat adalah sangat tidaklah sesuai.

Tapi saya sangat memohon agar semua orang membaca puisi ini, tinggal di atas kesunyian adalah sangat tidak digemari oleh saya.

Jumaat, Januari 05, 2007

Pengorbanan dan Permulaan...

Tahun baru ini dumulakan dengan serba sederhana. Tidaklah sampai melonjak-lonjak keriangan, tidak juga sampai menangis teresak-esak. Namun cukup sekadar mampu mengukir senyuman tanda syukur kerana masih dipanjangkan umur.

Volgograd, Russia masih sama dengan sambutan tahun baru mereka. Selain menunggu detik 12 malam dan konsert hingga ke pagi, tidak ada apa yang lain. Tapi yang paling meriah dan seronok bila melihat bunga api bermacam-macam warna tak putus-putus. Mana taknya mercun dijual macam menjual ikan.

Tahun ni tahun khinzir semacam mengikut kalendar cina pula. Semua perhiasan tahun baru dalam bentuk binatang ini. Dari sekecil-kecil igrushki sampai lah ke sebesar-besar yang boleh, semuanya khinzir. Jadi tahun ini tak membeli apa-apa. Tahun lepas pun sama sebab tahunnya tahun anjing. Menunggu tahun-tahun depan dengan binatang yang kurang menakutkan sedikit.





Apa-apapun yang lebih penting adalah perayaan Aidiladha. Apa lagi yang lebih menyeronokkan selain dapat bersembahyang raya dan berkumpul beramai-ramai dengan sahabat-sahabat. Dapat melihat lagi, lori sarat membawa biri-biri putih untuk korban. Lagi suka bila mendengar kumpulan nasyid pertama Volgograd membuat persembahan. Malu tapi masih bersemangat!



Ada jamuan kelas keesokan harinya. Jamuan hari raya terbaik rasanya. Saya turut menyumbang rendang istimewa. Ditambah dengan pulut, ayam panggang, chi kut teh, air punch, Brownies, pudding. Macam tak percaya yang kami lakukan semua ini sendiri. Paling mengembirakan sessi membaca kad masing-masing. Terharu dengan ucapan sokongan tak berbelah bahagi sampai tergambar satu perasaan yang tak disangka-sangka.

Bagaikan diminta saya untuk belajar sesuatu pada masa ini. Zulhijjah dan tahun baru. Pergorbanan dan permulaan. Adakah untuk bermula itu kita perlu berkorban? Berapa banyakkah yang perlu dikorbankan untuk sesuatu itu bermula?


Hening pagi aidiladha di satu-satunya masjid di Volgograd,Russia



Saddam Hussein digantung, satu pengorbanan besar bagi dunia umat Islam. Adakah sesuatu akan bermula?

Bagi saya biarlah Allah menentukan. Kalau niatnya masih pada jalan yang benar insyaAllah mana-mana pengorbanan tetap bermakna. Janji Allah tak pernah silap dan tak pernah salah.

Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada mereka yang membantu saya mengharungi beberapa hari susah kebelakangan ini. Afiq kerana tak habis-habis mengingatkan supaya kuat, tak henti-henti mengingatkan tentang niat dan perjuangan. Zamani dengan blognya sejak akhir-akhir ini semacam sedang memberi nasihat kepada saya, tak tahulah kalau kebetulan tapi kalau ya terima kasih banyak, Ia sudah banyak membantu.
Azimah dan rakan serumah-rumahnya (Noor,Dihe,Wadah) yang terang-terangan memberi sokongan sampai habis kredit telefon :) Zakiran yang tegas sekali mengingatkan saya supaya ingat pada pendirian sendiri.



Rakan-rakan kelas Dziannis,Syikin,Zubaidah,Nasrun,Afham,Hanif,Christopher yang sama sekali tidak mengadili situasi sebaliknya membantu dan akhirnya kepada semua rakan-rakan yang percaya pada saya.Keluarga yang sentiasa di sisi dan pastinya yang teratas sekali, rasa syukur kepada Allah atas pengajaran yang sangat bermakna.


Harap-harapnya dipermudahkan perjalanan dan ditenangkan hati ini.

Ahad, Disember 24, 2006

Sejuk!



Satu perkara tentang salji, kalau turunnya pada waktu malam. Kita tak pernah sedar. Mana taknya, kalau hujan ada bunyinya tapi kalau salji apa yang nak berbunyi.

Yang paling saya suka, bangun keesokan harinya kita dapat kejutan. Tiba-tiba semuanya ditutup dengan salji yang putih. Umpama tepung halus diayak di atas kek. Yang lagi saya suka kalau salji pada hari itu turun tanpa ada angin yang kuat, maka kita akan dapat lihat satu taman kristal yang amat besar. Semua salji-salji tersebut akan berkumpul di atas ranting-ranting. Sekali imbas nampak macam pokok-pokok kristal.

Tapi yalah, sudah namanya duduk di Russia. Musim sejuknya tak pernah menentu. 5 hari berturut-turut kita dapat panas sedikit, esoknya terus jatuh sampai ke -7. Dari dalam bilik, kita lihat semuanya nampak tenang, mulalah bercadang-cadang nak memakai baju yang mudah-mudah (палто-winter coat saja tanpa шапка-topi/atau headpon tutup telinga khas saya) . Sampai saja di luar, angin bertiup ganas, rasa macam digigit telinga. Nak patah balik? pastinya tak sempat. Padanlah muka, harunglah satu hari dengan muka yang keras.

2 hari lepas, suhu jatuh tiba-tiba. Ramai kawan-kawan yang selsemalah, demamlah. 3 hari yang lepas pula, saya baru letakkan papan iklan bilik saya dan bilik sab jadi bilik paramedic, membekal ubat-ubat percuma(satu lagi sumbangan PPIM kepada masyarakat). Jadi kebelakangan ini, bilik saya dapat kunjungan tetap tak kira masa. Sila-sila saya tak pernah kisah. Malah saya gembira(bukan sebab mereka sakit!) tapi sebab anda percaya dengan kami. Maknanya sangat besar buat kami.

Jadi, buat pengakhirannya walaupun kawan-kawan saya di negara lain sudah mula bercuti sedang kami belum lagi( sebab krismas di sana 25 dis dan di sini 7 jan) dan bumi Russia makin lama makin sejuk, tapi bagi saya setiap hari tetap hari yang cerah dengan adanya semua yang mengembirakan. Walaupun bendanya tidak banyak tapi kalau itu yang benar-benar kita hargai, tak ada apa lagi yang perlu diminta.

Khamis, Disember 21, 2006

Angin

Ya Allah Ya Tuhanku,
Dengan Nama Mu yang Maha pemurah dan Maha Penyayang,
Datangkan padaku angin,
Agar sampai berita ini padanya,

Bawa bersamanya titisan semangat dari hati ini,
satukan sifatnya biar sebati,
lalu terbang laju,
pantas!

Jika pohon juangnya layu,
biarkan angin itu jadi air,
siram agar tumbuhnya segar semula,
rendang jadi pelindung kepada yang perlu.

Jika sarat mendung di atasnya,
tiup semuanya biar cerah kembali,
agar lapang tidak lagi di landa ribut,
nyaman sentiasa, selesa hendaknya.

Jika gigil jasadnya kesejukan,
jadilah haba selubung dirinya,
Moga bergerak semula,
dapat mengorak langkah besar di hadapan,

Teman,

Kita sedia tahu,
Jalan ini tak pernah mudah,
larinya tak mungkin sentiasa deras,

Namun, kalau tersadung;
Bangun semula,
Jika hendak gunung ditawan,
Andai lautan hendak direntas.

Makanya, dipinta daging yang satu itu
jadi kental, penuh pupukan kesabaran.
Kelak kita sampai,bisa mandi sesama
wangian sinar di tengah tasik asli.

Mengapa jauh di cari kedamaian;
bukankah letaknya di dasar insani,
Mengapa sunyi membawa diri;
teman sejati itu bukan pada lahiriah mata
tapi setia, kekal di dalam hati.

Makanya, di pinta damaikan hati hati ini,
Kami ingin juangkan amanat suci,
demi kesejahteraan seluruh bumi sejagat.

Isnin, Disember 04, 2006

Selamat Hari Lahir Aiza!



Suriram
Suriram
Suriram yang tabah
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis...

dan seterusnya..

petikan daripada 4 baris rangkap pantun dalam kad hari lahir kepada Dihe. Ilham daripada puisi A. Samad Said dalam ucapan jamuan presiden. Tabahnya budak kecil molek ni, sampai terkena air panas, masuk hospital seminggu pun, boleh kembali semula dengan tersenyum.

Katanya Gadis pilihan Volgograd 2006. Mana taknya, setiap hari ada saja melawat, siap dapat macam-macam lagi. Makan hati makcik russia kat sebelah, dengar cerita sampai ada yang meminta ya?

Itulah Dihe, cabaran yang Allah berikan itu bukanlah seberapa berbanding dengan kurniaan yang kadang kala kita sedar. Teruskan usaha.

Selamat hari lahir sekali lagi...

Berperang dengan masa

Kalau ada sesiapa berfikir dan bertanya, kemanalah perginya penulis blog ni, dan berminggu tak menulis. Hidup lagi kah? sudah malas kah? Tak ada idea kah?

Ribuan ampun maaf saya ucapkan atas kelemahan diri yang ada. Baru seminggu yang lepas saya pergi ke Perhimpunan Agung UMNO 2006. Habis sahaja persidangan selama 5 hari terus balik semula ke Volgograd dengan jumlah kelas tertunggak sebanyak 8 hari.

Macam semua sedia maklum atau kepada yang masih tidak tahu, saya perlu mengikuti kelas-kelas tambahan untuk menganti kelas yang tertinggal itu. Bayangkanlah 10 hari hendak di ganti dalam masa yang singkat. Kalau ada masa untuk duduk sejenak dan mencunggap, itu pun sudah cukup bagus.

Sudah lah begitu, ada pula kesan 'jet lag'. Peliknya balik ke Malaysia, gagah pula (rasanya tahu kenapa). Sampai ke sini terus terbayar semua hutang. Kadang-kadang satu malam, tak mampu bangun.

Ringkasnya, saya memanglah sangat berperang dengan masa. Tetapi saya masih ada masa untuk semua orang. Saya mungkin tak mampu nak menulis apa di sini, tetapi kalau ada sesiapa perlukan bantuan, panggil saja saya.

saya sangat berharap ingin menceritakan segala-gala pengalaman di sana. Kalau ada masa, insya Allah saya coretkan semuanya. Buat masa ini, belek-beleklah blog kelab umno Volgograd (ada linknya di side bar), ada saya tuliskan laporan Pak Lah bersama perjumpaan tertutup dengan perwakilan kelab UMNO luar negara. Bacalah, saya sangat syorkan. Saya lihat laporan daripada berita terlalu ringkas, sedangkan amanatnya lebih panjang. Saya siap letakkan petikan ucapan beliau lagi.

Insya Allah saya akan cuba menulis lagi.

Katanya masa itu umpama pedang
Moga-moga pedang itu tidak menghunus
dan saya mampu mengikut rentak
tidak rebah ke tanah
dan berjalan semula...

Rabu, Oktober 25, 2006

Kuih Sepotong (Raya itu kita yang memeriahkannya)

Tak perlu ditanya tentang cuti sebab kami memang tidak diberi, jangan juga ditanya tentang makan di embassy sebab letaknya 2 jam penerbangan dari sini. Apa yang kami ada adalah diri kami sendiri, kudrat dan perasaan kami sendiri. Inilah yang kami lakukan untuk menjadikan Aidilfitiri itu aidilfitri sendiri.


6.10 ptg: Bang maghrib di komputer berbunyi tanda waktu maghrib telah masuk, terus bersahut-sahut orang menyebut 'Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin', makan kurma terakhir yang tinggal cukup-cukup untuk 5 orang.

8 mlm: Sembanhyang Mahgrib bermula, takbir menyusul. Ramai daripadanya budak-budak hostel sendiri. Budak rumah dengarnya ada yang tak boleh masuk (ohrana jahat!), rumah Khairul Laili (Kurly) dengar ceritanya dan lain-lain (rumah Syuk etc secara berjemaah ada membuat takbir secara kelompok (campur dengan rumah-rumah lain).

9mlm: malas nak buka buku. lagipun esok ada Russian Lang. dgn lecture je. 4th year dah memulakn kerja bergotong royong, mereka kena siapkan semua kerja-kerja memasak sebelum tengahhari esok, memandangkan perlu menghadiri lecture dan sebagainya. Bau makanan bersimpang siur; Floor 11 buat daging masak Ros (helmi ketua chef), lontong (Azzid supervise) disamping dengan nasi impit yang dimasak sekawah besar. Floor perempuan 9 tak nak kalah; diorang masak jugak kek dengan kuah kacang.

10 pm: setelah selesai menyibukkan diri di floor, turun ke floor 2nd year dan first year. Tolong Mat We, Daus, Hanif 2nd Year dan rakan-rakan kelasnya membuat begedil. Jadi consultant beramai-ramai (dengan Hanif 3rd Year, Fahidah sebagai ketua mandor) utk 1st year memasak kuah kacang pertama mereka.

11-12 pm: Semua orang masih sibuk dengan kerja masing. Mujur hari ni, mamanya(maid) baik, jadi tak ada siapa yang kena tengking (Rahmat sungguh!). Duduk sekejap membalas semua SMS Hari Raya:

"We have a class tmrw, or even worse-a test! But it doesn't matter coz it is us and our heart tht make the Eid happening not em!-cheer up! Slmt Hari Raya Maaf Zahir Batin." (Asli daripada saya)

Hantar kepada kebanyakan kawan, terhantar ke Afiq MN (lupa pulak yang dia dapat cuti 2 hari cis!)

Lagu-lagu raya masih kuat berbunyi, menyedari kebanyakannya lebih banyak menceritakan tentang kami (perantau etc) daripada suasana raya di Malaysia itu sendiri :). Sedih sangat ke jadi perantau? hehe

Membuka buku Russian sambil menyiapkan kerja rumah (menghafal raskaz Lamanosov).

1 pagi: Tertidur sebab penat walaupun tak tahu apa yang dibuat.

Isnin 23 /10/2006:

6 pagi: Bangun, bersiap2. Pakai baju melayu kuning dengan jeans coklat gelap. Mudar mandir di dapur, tak tahu nak makan apa. Tiba-tiba dapat panggilan open room dari Zamir (Yea!) Cepat-cepat makan sebab kelas pukul 8.

7.35 pagi: terus mendapatkan teksi sebab nak mintak perlepasan daripada cikgu ruski (wlupun peluangnya adalah 10%). Pakcik Hari nih baik charge 60 ruble je( terima kasih pakcik)

8.20-9.30 pagi: Harapan berkecai. Seperti yang disangka perlepasan tak diberi. Memaksakan diri duduk dan belajar 'bersungguh-sungguh' untuk satu jam berikutnya. Dokumentari Lamanosov jadi filem raya pertama kami. :)

10.30 pagi: Kelas Bioethic tak ada minggu nih: membeli belah barang-barng raya di Ramstor (Nasib ada kad, dapat murah skit).

11.00 pagi-3 ptg: Masak sorang-sorang (sebab hari ni bertugas masak utk group makan). rupanya-rupanya semua ahli-ahli group (safwan,syafiq, Sdar-3rd year. Uzair-2nd year) semua ada jamuan. Aisey siapa nak makan ni?

6 ptg-9 malam: Jamuan 4th year year bermula, ramainya yang datang! Suka dengar ucapan hari raya ezzra:

"Selamat Hari Raya, Maaf zahir batin ek. halalkan makan minum, minta ampun. 0-0 ek, macam baby(hehe apa maksud?)"

membuat open room sendiri, menjemput yang lain-lain. Dapat pujian pasal rendang dengan agar-agar (padahal nih kali kedua buat rendang sendiri).



menu: rendang, lontong dengan sambalnya, kek nanas, agar-agar tropica, nasi himpit, kuah kacang.(semua dimasak sendiri, hebat tak? hehe)

'Ada suara-suara yang mengatakan yang raya dah jadi bosan. Kita makan benda yang sama, bersembang dengan orang sama. Ya ke? Rasanya bosan itu perasaan kita sendiri dan hakikatnya perasaan dan keinginan itu masih kuat di hati. Kalau tak, takkan lar ada yang sanggup buat apa sahaja semata nak bersembanyang raya kan?'

Selasa, September 26, 2006

Mengambil nafas sedalam-dalamnya (Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan!)

2 hari di bulan Ramadhan baru sahaja berlalu dan saya duduk di sini, menyusun kata-kata di tempat yang entah berapa lama sepatutnya telah pun diisi. Apa nak dibuat, kemalasan mengatasi segala-galanya.

Ramadhan yang ketiga buat saya di bumi Allah Volgograd ini. Seperti biasa kalau ada yang bertanya bagaimana rasanya berpuasa di sini, pastinya jawapan saya begini.

"Selain daripada tidak berpeluang berbuka bersama keluarga disamping terlepas peluang menjenguk-menjenguk di bazar Ramadhan, tidak ada apa-apa sangat yang lain"

Tapi mungkin Ramadhan ini mempunyai erti yang berbeza untuk mereka yang lain. Ramadhan kali ini merupakan ulang tahun pertama rakan russia kami Mahadi a.k.a Vitali memeluk islam. Ini juga merupakan puasa pertama barangkali kepada Salma(sahabat Aiza)yang baru juga mendapat hidayah. Ini juga pasti suasana baru bagi Yat yang sekarang sudah pun berpindah dari hostel untuk tinggal di kvartira(rumah). Pengalaman baru bagi Apih dan rakan-rakan serumah setelah baru sahaja berpindah ke kvartira yang baru dek kerana harga sewa yang secara ajaibnya melambung dua kali ganda dan pastinya suasana baru kepada adik-adik (1st Year) kami yang baru sampai ke sini(Moga kalian dikurniakan banyak-banyak kesabaran).

Sepanjang minggu lepas, satu perkataan sahaja yang mampu mengambarkannya.

'Penat!'.

Keterlaluan penatnya. Setelah berjaya meloloskan diri menghadapi 2 hari yang kami suka gelarkan sebagai 'hari kerja kilang' yang tiada lunch break (8 am-6 pm). Saya terpaksa pula melayan diri samada untuk mengikut kehendak diri yang sudah pun kehilangan keseluruhan tenaga untuk rehat ataupun melihat buku-buku yang memang perlu dibelek. Hari Jumaat memperlihatkan betapa terduduknya saya menerima segala kemungkinan yang ada dengan kemuncak kepada segala cabaran apabila Theraphy dan Pharmacology dikumpulkan sekali. Mengeletar jari, bila membuat percussion, bukan disebabkan takut dan tak tahu tapi kerana rasa beban yang terpendam. Pharmacology memperlihatkan bagaimana yang dikendong tercicir-cicir kebelakang dan yang dicari entah ke mana.

Terima kasih atas segala motivasi dan saranan daripada rakan tersayang; Afiq, Kak Haneem, Khazirul. Moga-moga, minggu ini dalam bulan yang berkat ini, resolusi saya yang baru itu berjaya.

Hakikatnya, dalam satu tandan pisang taklah semuanya buruk, saya akhiri minggu dengan permulaan puasa penuh yang penuh barakah di samping seronok menjalankan tugas sukarelawan saya selaku ahli paramedic PPIM. Minggu ini tak ada kes yang teruk (padahal yang biasanya pun muscle sprain saja), adalah sekali dua turun ke bawah berlari, mengangkat orang yang bergolek-golek (menahan sakit) di atas padang. Satu ayat yang saya suka cakap bila dah sampai kepada pesakit.

"Air(udara) please! Tolong kasi ruang sikit ye" kemudiannya melihat semua orang berundur. (Hehe ini yang agaknya Doktor Latiff katakan yang bidang kita ni nak jadi lebih dari boss pun boleh)

Tapi kalau dibuat gayanya tak ada apa kes, duduklah kami di situ, di samping mencuci dan merawat mereka-mereka yang cedera ringan. Satu lagi perkara yang saya suka buat adalah bila dapat peluang mengunakan cold compress. Apalagi, saya terus letak peket cold compress di atas tanah, tumbuk sikit dan pling! dan jadi objek 4 segi yang sangat sejuk. Macam ahli silap mata pula.

Oh! ada lagi rupanya yang menarik minggu ini. Saya hampir telupa yang ketika kelas Bioethic yang pertama. Saya telah diberikan markah cemerlang(5) dari Miss Guba untuk jawapan yang menarik. Sebenarnya, bukanlah semua yang keluar dari mulut saya itu seratus peratus tulen daripada saya. Kredit perlu di beri kepada Helmi dan Dr. Latiff. Apa boleh saya buat, dari dulu semenjak jadi pambahas ketiga, cikgu sendiri katakan yan kebolehan saya adalah mengambil kata-kata orang lain dan menjadikannya lebih menarik. Yang sebetulnya saya belajar dari pengalaman, itu yang saya pelajari maka itulah yang saya cuba adaptasi.

Jawapan ini merupakan jawapan kepada soalan 'WHY YOU WANT TO BECOME A DOCTOR?'



"It is my nature to share, I admit that I like to share as for me, all things in this world is a privilege. For me to sit here is a privilege, for you to stand there is also a privilege. For you to teach us Bioethic is a privilege and for us to have a chance to learn it also a privilege. Life is a privilege but nothing is just for ourselves. A lot of things can be shared. Being a doctor has allowed me to share my privilege of gaining medical knowledge so I can try my best to give other person the privilege of living. And I think by only through this way; I can make myself a better person, make others a better person and thus having a better world"

Jawapan ikhlas daripada saya. Mungkin ini mengapa tekad saya untuk membangunkan Paramedic PPIM Russia Student Chapter. Di samping dorongan daripada Dr. Azhar dan Dr. Rohaya yang saya jumpa dalam cuti summer yang lalu. Kedua-duanya berkhidmat dalam MERCY.

Apa-apapun, rasa yang amat besar yang Ramadhan kali ini punyai makna yang besar buat diri saya. Moga bulan tidak berlalu begitu sahajai. Kepada keluarga dan sahabat seperjuangan yang di kasihi sekalian SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT saya ucapkan. Moga bulan ini penuh barakah hendaknya buat kita semua.

Ahad, September 10, 2006

Selamat Kembali

Gembira? Sedih? entahlah tak ada perasaan yang tergambar ketika ini. Cukuplah saya katakan yang sekarang saya sedaya upaya cuba mendapatkan rentak. Dengan keadaan jadual yang tidaklah rasanya sangat memihak kepada kami, saya sedaya upaya menjadikan keadaan paling selesa yang mungkin. Alhamdulillah kebanyakan lecturer yang mengajar kelas kami kali ini banyak yang memudahkan dari yang merumitkan.

Sudah pasti rasa sedih meninggalkan Malaysia, padahal ini sudah merupakan kali ketiga. Mendengar orang russia bercakap di dalam kapal terbang sudah cukup membuatkan hati ini goyang. Satu sahaja yang saya pegang

'Ini juga bumi Allah dia berhak memudahkan dan menyukarkan keadaan'

dan alhamdulillah ia banyak membantu.

Syukur tidak ada rasa kecewa meninggalkan Malaysia, bagi saya apa yang saya cari ketika di Malaysia berjaya saya temui. Tidak sabar pula untuk menggunakan kekuatan yang telah banyak dikumpul di Malaysia. Teringat pula satu hari itu Aqisz ada cakap.

"Kita tak boleh dapat semua benda yang kita hendak dalam hidup ni, Kadangkala kita perlu korbankan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain"

Sesampainya sahaja dan mendapatkan bilik, benda pertama yang tercapai satu bingkai kaca berisi replika kapal di dalamnya pemberian daripada rakan seperjuangan. Suka saya membaca perkataan dibelakangnya.

'Perjuangan yang belum selesai'


Moga-moga dipermudahkan segalanya. Amin!!

Rabu, Ogos 16, 2006

Summer Camp PPIM 2006 (Rumusan)

"Apa yang lebih penting bukan tentang apa yang diajarkan tetapi apa yang dapat dipelajari"- Pok Nik, Kem Rebutia

Alamak, dah lambat ni. tergocoh-gocoh saya bergegas ke dewan terbuka. Kelihatan di sana sudah ramai peserta-peserta berkumpul. Dalam minda ini sudah mula memikirkan hukuman-hukuman, kalau tidak pun sekurang-kurangnya pasti di malukan.

Tapi aneh sekali sampai sahaja di sana, Pok Nik yang juga merupakan pakar motivasi untuk program ini hanya tersenyum. Sedikit pun tidak terkeluar kata maki hamun dari mulutnya.

Rupa-rupanya memang begitulah gaya beliau, keseluruhan Summercamp ini diuruskan dalam masa yang fleksibel. Diubah mengikut kesesuaian peserta, 'Zero stress' itulah rasa istilah yang rasanya layak digunakan.

Kalau difikirkan ini sudah pelik, tunggu jika anda tahu bagaimana sepanjang Summercamp ini kami sangat banyak tergelak, seolah-olah sedang menonton cerita bukannya mendengar ceramah. Satu lagi keunikan Summercamp ini apabila Pok Nik menggunakan pendekatan berkongsi pengalaman yang nyata mengurangkan jurang antara kami peserta dengan beliau. Bagi beliau semuanya harus berlansung dalam fitrah bukan sebaliknya.

Andai saya dapat gambarkan. Saya katakan Summercamp ini umpama satu percutian yang amat menyeronokkan dan pada masa yang sama amat berfaedah.

Umpama satu jawapan yang sudah lama saya nantikan, bagi saya keseluruhan Summercamp menjelaskan saya tentang matlamat.

Manusia ini terdiri daripada 4 komponen: Akal, Jasad, Roh dan Emosi. Jasad merupakan manifestasi yang ditonjolkan kepada orang ramai. Melalui jasad inilah masyarakat melihat tentang siapa diri kita sebenarnya. Segala tindak tanduk jasad ini pula ditentukan oleh samada Akal atau Emosi. Kebiasaannya jika Akal mengemudi maka tindakanya positif manakala jika Emosi maka ada sedikit kacau bilau berlaku. Ketiga-tiga elemen ini pula digerak oleh roh yang terdiri daripada nyawa dan kerohanian. (Pok Nik, Mukadimah 11 Ogos 2006)

3 soalan yang membezakan antara orang Islam dan Jahiliyah:

1. Dari mana kita datang.
2. Untuk apa kita di sini
3. Apa yang berlaku selepas ini.

1.) Dari mana kita datang

Mengetahui asal usul kejadian kita adalah penting kerana pada akhirnya di situ jualah kita akan kembali semula. Tahu tentang asal usul ini juga penting bagi menyedari hakikat yang manusia ini dijadikan asalnya dalam fitrah (suci) maka segala tindak tanduk kita sewajarnya tidak menganggu fitrah ini.

2.) Untuk apa kita di sini.

Ad-Dhariyat ayat ke 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"

Korelasi daripada perkara sebelum ini maka sesungguhnya manusia ini dijadikan dengan 2 tujuan utama dalam hidupnya:

1. Sebagai hamba Allah
2. Sebagai Khalifah

Hidup tanpa matlamat umpama berjalan di tengah malam tanpa arah tujuan dan lampu penunjuk arah. Selaku umat islam, sewajarnya kita perlu menjadi hidup ini lebih bermakna, kita perlukan sesuatu yang melebihi sekadar makan, minum, bekerja, berkahwin, beranak pinak. Ia perlukan sesuatu yang menjadikan hidup ini lebih bermakna dan bermanfaat.

Hidup tanpa makna apabila manusia memandang enteng tentang tugas mereka sebagai khalifah. Khalifah secara mudah boleh diertikan sebagai;

1. membantu diri menjadi lebih baik
2. membantu orang lain menjadi lebih baik
3. membantu menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik

Sebagai khalifah di muka dunia ini, kita perlu melakukan apa sahaja yang termampu bagi memastikan ketiga-tiga matlamat itu tercapai dan dengan ini barulah hidup kita terisi.

3.) Apa yang berlaku selepas ini

Jika perkara ini mula dipraktikkan maka lahirlah satu umat terbaik dalam al quran yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Barulah muncul satu umat yang seimbang.

Perjuangan kita masih belum selesai selagi Islam masih belum menjadi satu gaya hidup yang paling berpengaruh dalam dunia. Tiada apa yang mustahil sebenarnya, sejarah telah membuktikan betapa satu ketika dahulu, Islam dijadikan rujukan, orang Islam di beri penghormatan tertinggi dan dijadikan kayu ukur dalam semua perkara. Hakikatnya suatu ketika itu, masih tidak jauh dari kita dan ianya punyai tendesi yang besar untuk direalisasikan semula.

Tiada apa yang perlu dimalukan hidup dalam keadaan Islam sedang ditindas kerana jelasnya berjuang pada ketika inilah lebih manis ketika hasil penat jerih itu masih begitu mahal harganya. Ketika inilah usaha itu umpama satu permata yang amat berharga dan rasa sedihnya begitu lain sekali. Kita harus berbangga kerana kita orang terpilih dan bukannya ditinggalkan.

Umpama melihat satu filem hindustan. Heronya hebat pada permulaan, di tindas di tengah-tengah dan menang semula. Satu fitrah yang sebenarnya cuba ditunjukkan bahawa Islam akan menang semula. Janji Allah itu benar dan tiada apa yang harus ditakutkan kerana nyata Islam tetap akan menang pada akhirnya.

Dr. Abdul Latiff (12 Ogos 2006, Bersama PPIM; matlamat dan tujuan)

Kuasa pada suatu wawasan adalah kita sentiasa bermula dengan suatu pengakhiran di dalam minda.

1.Insan biasa berkata tentang orang lain
2.Insan yang lebih baik berkata tentang peristiwa
3.Insan yang terbaik berkata tentang idea dan gagasan.
Dr. Azhar (12 Ogos 2006, pengenalan tentang MERCY)

Maka apabila wawasan itu sudah jelas, kita perlukan sistem, budaya dan akhirnya doa. Kesemuanya harus berlaku serentak, diadunkan sekali dengan sentuhan ambil berat dan kasih sayang sesama anggota kumpulan khususnya dan umat umumnya sehingga akhirnya kita beroleh kebahagiaan.

WAWASAN->SISTEM->BUDAYA->GAYA->DOA
Pok Nik (14 Ogos 2006, Rumusan)

Moga kita bisa tidur dengan impian dan matlamat yang sama. Amin.