Aduih! Terasa lagi penat dari Bentong semalam tapi yelah apa sangat penat ini kalau nak dibandingkan dengan cikgu-cikgu lain yang entah-entah belum sempat kering peluh dah kena mengajar esoknya.
Tergerak hari ini nak menceritakan pengalaman selama 3 hari 2 malam di sana.
Saya ikut cikgu-cikgu yang lain guna van Unser ke sana. Kami berkampung di Dusun Eco Resort, Bentong Pahang. Kalau nak ke sana kenalah meredah Genting Highland. Hujan lebat turun waktu kami nak ke sana. Seluruh pandangan kami di selebungi kabus. Setakat ni saya suka tengok 3 jenis pemandangan ; salah satu daripadanya pemandangan hujan di bukit. Suasana sangat tenang.
Yang saya ingat bila cikgu Fathiah tiba-tiba bersuara:
“Eh berkabus yer, nasib baik tak lupa bawak sweater”
Sweater, alamak manalah saya tahu sejuk macam ni!
“Cikgu saya tak bawalah”
“Erm tak apa, orang Russia takkan tak biasa lagi!” seloroh cikgu Maznah.
Satu van ketawa, saya balas sahaja dengan senyuman ikhlas. Rasa hormat yang tinggi, beza taraf pelajar dengan guru masih tebal dalam hati. Saya simpan elok-elok rasa kekok. Sekejap lagi, dah kena bekerja dah dengan cikgu-cikgu ni.
Sesampai kami ke sana, di luar masih hujan. Bila saja jejakkan kaki ke luar, taklah sejuk pun. Biasa sahaja.
Oleh kerana nama saya dimasukkan sebagai motivator pada saat-saat akhir, tak sempatlah nama nak didaftar dalam senarai guru-guru. Saya kenalah duduk bersama-sama dengan murid-murid yang lain. Tak apalah saya suka lagi begitu, sekurangnya terketuk kembali kenangan di SEMESTI.
Bermulanya sahaja program, saya biarkan sahaja masa yang berbicara. Memandang adik-adik saya khusyuk mendengar ceramah, memperlihatkan saya dahulu di tempat mereka dengan perasaan yang sama . Perasaan yang mereka ada pada saat-saat genting menunggu peperiksaan. Dahulu pun saya sendiri pernah berperang dengan perasaan yang sama, mengimpikan matlamat yang sama.
Angin malam dari bukit makin bertiup menambah kedinginan yang semakin mencucuk ke tulang. Rasanya taklah sesejuk di Russia tetapi dek kerana kelembapan yang tinggi, haba yang kurang dijana. Terasa pula pundi kencing yang semakin sarat. Habis sahaja ceramah, berlari-lari semua ke tandas. Tak sempat kasut kulit hitam masing-masing dipakai, diseretnya sahaja semua. Saya tergelak sendiri. Entah mana, kasut kulit hitam saya, dah terkoyak rasanya. Lusuh di mamah masa.
Terpanggil-panggil saya untuk menceritakan apa yang saya alami pada mereka. Lebih-lebih lagi bila mendapat layanan yang cukup baik dari cikgu-cikgu, junior-junior. Semangat lawan mereka menyahut saya agar lebih lagi bersemangat.
Masanya tiba bila saya diberi satu slot khas. Mula-mulanya saya ingat saya bercakap taklah sampai 10 minit. Entah macam mana seronok berbicara terheret masa sampai ke 35 minit. Bersalah rasanya membiarkan perut mereka lama merasa lapar. Bukannya apa, saya tengok bersinar-sinar mata mereka mendengarnya. Seola-olah menggalakkan lagi saya nak bercakap. Saya tak membuat pun apa-apa teks. Saya biarkan saya niat dan hati saya menjadi panduan. Saya ceritakan sahaja semua yang saya lakukan. Saya rasa semua tak terlepas dari sekecil-kecil butir pengetahuan hinggalah ke sebesar-besar emosi yang terlibat. Makin lama saya bercerita saya tersedar ada mata cikgu yang dah mula berkaca. Teringat kenangan lama agaknya. Tak sanggup pula saya panjangkan. Saya ringkaskan dan akhiri secepat mungkin. Apa yang saya terkejut bila saya mendapat tepukan gemuruh dari pendengar-pendengar. Saya rasa saya cakap tak adalah sehebat seperti mana saya berdebat dahulu untuk menerima tepukan begitu. Saya balas dengan ucapan terima kasih dan senyuman ikhlas.
Sesampainya saya ke tempat cikgu:
“Fadli, saya dah lama tunggu ada pelajar nak cakap begitu Fadli. Selama ni saya tengok ramai yang tak sedar mereka tak nampak bukti. Sayu saya dengar sampai sesak nafas saya”
Saya tak terkata apa. Saya bukanlah memberikan apa-apa. Cuma menngungkapkan kata seikhlas yang mungkin. Kalau mesejnya sampai alhamdulillah.
Melihat dari pandangan perspektif yang berbeza memang menarik. Dapat melihat dari kedua-dua perspektif lagi menarik. Itulah yang saya rasa bila berada di situ. Mendengar cikgu-cikgu bercakap tentang pelajar-pelajar, tentang harapan mereka, tentang masalah mereka, tentang susah hidup mereka. Bertambah-tambah lagi hormat saya pada profession ini. Mereka seolah-olah manusia yang penuh kasih sayang yang tak habis walau dah banyak diraih dan diagih-agihkan.
Apa yang lagi menarik perhatian saya sewaktu sessi ‘Recap’. Sessi kita diingatkan kembali tugas selaku anak dan mengenang kembali jasa ibu-bapa. Di sini kita dapat lihat sendiri betapa darah yang mengalir itulah sendiri yang memperlihatkan satu personaliti individu yang jauh berbeza. Senakal-nakal budak pun tak ada yang tak tersentuh bila sampai ke isu sebegini.
Sekembalinya pulang. Saya tanamkan memori ini kemas-kemas dalam hati. Saya inginkan memori ini sentiasa segar dalam ingatan. Maha Besar Allah menjadikan manusia ini pelbagai. Mereka seolah-olah memberi satu kekuatan baru dalam hidup saya. Harapan saya agar impian mereka, guru-guru dan adik-adik saya pelajar tingkatan 5 2005 diredhai, dibimbing dan diredhai Allah sentiasa.
Angin bawakan salam harapan ini pergi. Moga-moga sampai lalu terbisik di telinga mereka dan meresap terus di hati.
P/s maaflah kalau entry kali ini terlalu berunsur melankolik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan