Ahad, April 03, 2011
Di Atas Tikar Sejadah itu (tadabur surah AdDuha)
Khamis, Jun 17, 2010
Sindrom Allergik dengan Mad'u
Ahad, April 04, 2010
Conditioning, Associating dan Dakwah
Meskipun proses ini dijumpai berpuluh-puluh tahun dahulu oleh bapa physiology/psychology Pavlov namun aplikasinya kekal relevan hinggalah ke hari ini. Ia bermula daripada eksperimen seekor anjing, kemampuan kelenjar salivanya mengeluarkan air liur bila dibunyikan loceng yang telah di’associate’ dengan makanan. Kini aplikasi yang sama telah digunakan dalam ‘behaviour therapy, mass psychology, brain wash, mind control, advertisement dan lain-lain.
Conditioning
Secara ringkas, bila kita berkata tentang conditioning, ia bermaksud kita memberi syarat untuk sesuatu berlaku. Misalnya:
1. Api= panas
2. Ais=sejuk
3. makanan=sedap
4. hujan=basah
Jadinya, sekiranya kita nampak api terus otak kita akan berfikir tentang panas dan badan kita akan memberi respon sesuai dengan fikiran ‘panas’ yang ada dalam minda sesuai dengan keadaan di mana kita berada ketika itu.
Associating
Ini pula kita mengaitkan sesuatu dengan ‘conditioning’ yang sudah sedia ada. Dalam eksperimen Pavlov, setiap kali makan diberikan, loceng akan dibunyikan dan kelenjar air liur akan merembeskan air liur. Di sini Pavlov melakukan ‘association’ antara makanan dan loceng.
1. Makanan sudah sedia ada conditioning (makanan= air liur dirembeskan)
2. Loceng diberi ‘association’ dengan makanan
3. Pada masa akan datang setiap kali berbunyi loceng, air liur akan dirembeskan. Ketika ini otak anjing telah berfikir loceng akan menjanjikan benda yang sama seperti ketika makanan diberikan.
Aplikasi
Setiap kali kita melihat bagaimana setiap kali ada iklan arak, pasti ada perempuan seksi. Setiap kali iklan rokok pasti ada lelaki macho yang segak bergaya.
Mengapa begini?Mari kita cerakinkan:
1. Perempuan seksi (conditioning): ghairah, seks, kepuasan, seronok
Ini merupakan refleks/perasaan default yang ada dalam fikiran lelaki.
2. Arak:? bagi mereka yang tidak pernah merasakan arak tersebut, tidak boleh membuat atau mengeluarkan refleks atau perasaan apa-apa terhadap perkara tersebut
Maka dengan membuat iklan setiap kali ada arak akan ada juga perempuan seksi, maka mereka telah membuat ‘association’ antara arak dan perempuan seksi. Selepas ini, apabila terfikir tentang arak tersebut:
Arak (conditioning): ghairah,seks,kepuasan,seronok
Beginilah caranya bagaimana, dunia membuat association:
1. Islam=terrorist
2. Gay=normal
3. wealthy=happy
4. US= kuat
dan list akan berterusan.
Aplikasi dalam dakwah
Meskipun telah dimanipulasi sebegitu hebat, tetap tidak boleh dinafikan bahawa ini merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka pastinya kalau boleh digunakan ia memberi manfaat kepada dakwah itu sendiri. Contohnya:
1. Imej Dai
Sekiranya si A yang membawa dakwah mempunyai imej yang baik. Maka orang akan terus membuat satu ‘condition’
Si A (conditioning)=baik,bagus,boleh dipercayai
Ketika ini sewaktu orang berdepan dengan dakwah, ini yang mereka ada
dakwah=?
Sekiranya kita dapat membuat si A yang membawa dakwah, maka kita berjaya membuat satu ‘association’ supaya aka datang, apabila berdepan dengan dakwah
Dakwah (conditioning)=baik,bagus,boleh dipercayai
Kenapa ini penting
Kerana dalam proses tarbiyah kita akan memperkenalkan banyak benda kepada mutarabbi. Daurah, Usrah, Jaulah, Infaq, Fikrah dan sebagainya. Sebagai daie kita perlu pandai membuat satu ‘association’ supaya akan datang apabila datang benda yang sama, mutarabbi dapat membuat satu ‘conditioning’ yang betul dan tepat, seterusnya membantu mereka untuk terus istiqamah
Sabtu, Februari 13, 2010
Jangan Pernah Padam Api Dakwahnya
Pada awalnya cabaran dan dugaan ini bagaikan dadah yang membuat kita sentiasa 'high'. Mana tidaknya, ketika menghadapi masalah, ada semacam 'adrenalin rush' menerpa dalam badan. Kita melonjak-lonjak dan terkinja-kinja untuk menyelesaikannya.
Namun lama kelamaan, perasaan yang sama tidak kunjung lagi. Dakwah menjadi semakin bosan. Musibah yang datang dirasakan telah memakan begitu banyak tenaga kita. Kita terasa begitu letih, begitu penat.
Kemudian kita akan mula memberi alasan;
"Macam mana nak settlekan masalah ni, ana sorg je yg kerja"
"Masalah ni memang tak boleh selesai, terlalu kompleks"
"Ana tak ada masa, ana kena belajar lagi, nak bawa usrah lagi"
"Kenapa macam ana sorang je yang peduli masalah ni, orang lain?"
Padahal kita dulu jaguh dakwah. Berlari ke sana sini bagai tiada pernah luput sumber tenaganya.
APA SUDAH JADI?
Toleranse dan Adaptasi
Mungkin kita pernah istilah 'tolerance' or 'adaptation'?
Ini yang saya ingin aplikasikan dalam situasi ini. Dalam badan kita mungkin 'adrenalin rush' yang sama tetap berlaku. Namun dengan kuantiti yang sama, dia tidak mampu menghasilkan kesan yang sama, 'feel' yang sama, 'umphh' yang sama.
Kita katakan badan kita sudah bertoleransi atau beradaptasi dengan keadaan tersebut. Toleransi dan Adaptasi bagus jika membantu kita untuk kekal hidup dalam situasi yang kritikal. Namun dalam konteks ini, ia jadi sebaliknya.
Bila ini terjadi. BERHENTI!!!!
Anda sudah mula kehilangan 'passion', anda sudah mula hilang motivasi untuk bergerak. Apa yang anda buat adalah paksaan bukan atas kerelaan
1. Lupakan segalanya buat sementara, tutup mata dan tarik nafas dalam-dalam. Lepaskan ketegangan otot-otot dan hembus nafas perlahan-perlahan. Buat berkali-kali sehingga anda tenang
2. Kita tambah dos ketenangan dengan berzikir, solat, membaca quran, qiam. Menangislah dan mengadulah di depan Allah
3. Ceritakan PERASAAN anda kepada yang boleh membantu. Walaupun anda mungkin tidak menjumpai penyelesaian namun menceritakannya dapat banyak membantu
4. Kemudian anda akan buat apa yang ramai panggil sebagai MIND IMAGINE
MIND IMAGINE
1. Tutup mata anda, tarik nafas dan hembus nafas. Teruskan hingga anda boleh mengawal nafas anda dengan sempurna
2. Bayangkan saat anda paling seronok ketika dalam suasana dakwah, detailkan keadaannya, apa yang ada di sana, apa yang anda sedang buat, apakah bunyi yang ada, apa yang sedang anda perkatakan?
3. Rasa perasaannya, Ingatkan lagi perasaannya
4. Cari semula bahan-bahan yang membantu anda mengingati perkara tersebut: gambar, kertas, surat, video, audio.
5. Jika ia berkaitan dengan daurah, jaulah. Cari program-program tersebut dan pastikan anda hadir.
6. Bersyukurlah kepada Allah dan berdoalah supaya perasaan itu kekal
Perkara ini mungkin nampak lawak, tetapi mind imagine digunakan oleh ramai orang. Pemain bola sepak, bola keranjang mengunakan mind imagine membayangkan mereka dapat menjaringkan gol. Pelari pecut mengunakan mind imagine membayangkan mereka dapat memecahkan rekod. Pemidato terbaik membayangkan mereka dapat menyampaikan pidato yang berjaya memukau pendengar.
Mind Imagine melakukan apa yang kita katakan sebagai reinforcement, reprogramming kepada sistem minda kita.
WaAllahualam
Jika Anda kata Anda Boleh,
Maka Anda Boleh!
Dakwah adalah best dan dia sentiasa BEST!
Rabu, Ogos 26, 2009
Kartika, Rotan dan Lebih daripada itu
- · S ejauh mana kita memandang berat minum arak itu sebagai satu aktiviti yang tidak sihat baik dari segi jasmani dan rohani.
- · Sejauh mana kita melihat arak ini boleh meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat.
- · Sejauh mana juga kita sebagai golongan dewasa khususnya ibu bapa dapat mendidik anaknya menunjukkan baik dan buruk, halal dan haram.
- · Sejauh mana masyarakat melihat salahnya dan negatifnya aktiviti ini.
- · Jika dibiarkan wanita dibiarkan dalam aktiviti tidak bermoral
- · Jika dibiarkan anak-anak mewarisi perangai buruk ibu bapanya
- · Tingkah laku beragama, bertata susila dan berbudaya dianggap sebagai kolot dan berhibur, hedonisme itu diangkat dan dijulang tinggi-tinggi
Ahad, Mei 31, 2009
Membuat Keputusan yang Bijak, Tepat dan Betul
" Ana runsing ni akh, mak ana kata macam ini, ana pula fikir macam ini"
" Ana tak tahu nak pilih yang mana, bertembung pula apa kita rancang dengan benda ini"
" Cuti ni mak ana suruh duduk rumah akh, ana nak ke program kita"
Inilah antara perbualan-perbualan biasa setiap murabbi bakal dengar, pertembungan antara dakwah yang kita perjuangkan dengan apa yang kita juga punya tanggungjawab besar untuk tunaikan; keluarga, pelajaran, pekerjaan, ibu bapa dan sebagainya. Perkara ini berterusan daripada sekecil-kecil hal untuk menghadiri usrah sehinggalah ke sebesar-besar perkara seperti perkahwinan, mencari tempat tinggal dan seterusnya.
Rencah-rencah ini akan terus menemani kita selama-lamanya dan semestinya, membuat keputusan paling sesuai pada ketika ini adalah skil pendakwah yang paling susah sekali untuk dimahiri. Namun, realiti yang harus kita terima bahawa kebijakan mengendalikan situasi juga menentukan kelansungan seseorang terus berjuang dalam medan dakwah ini.
Anggapan paling salah adalah perlu sentiasa ada yang kalah dalam setiap kali keputusan di buat. Jangan sesekali kita mengaku kalah selagi mana usaha untuk situasi menang-menang boleh berlaku. Misalannya dalam isu berebut antara tinggal di rumah dan pergi ke program, kita boleh berkata:
"Mak, kenapa mak tak faham? benda ini penting, saya kena pergi juga"dan kita seterusnya melancarkan perang baru yang berlanjutan bertahun-tahun
atau kita boleh dalam masa sebulan pertama, berusaha untuk menjadi anak baik, menolong ibu bapa, mengambil hati mereka sampailah mana tahu mereka boleh berkata
"Mak tengok kamu duduk rumah sahaja, tak mahu ke berjalan-jalan dengan kawan-kawan ke mana-mana?"
Pastinya keadaan tidak semudah ini, namun pastinya, langkah yang bijak diatur dan keputusan yang dilakukan dengan penuh berhati-hati pastinya memberikan jalan yang lebih mudah pada masa akan datang.
Namun perlu ditekankan. Skill merancang membuat keputusan adalah sangat penting, kalau sekarang mungkin masalah kita hanya sebagai seorang pelajar dengan ibu bapa. Pada masa akan datang kalau sudah berkahwin, bekeluarga, punya 2 keluarga yang perlu ditimbang tara, anak-anak pula, pekerjaan pula, maka bebannya akan bertambah. Jaga-jaga tidak mustahil dek kerana terlalu rimas dan serabut dengan pilihan-pilihan ini, kita mengambil jalan untuk melepaskan salah satu dan akhirnya keputusan tersebut memakan diri sendiri.
Kepada yang ditimpa masalah
1.Jangan sesekali fikir sesuatu masalah boleh diselesaikan dalam satu hari semata-mata. Jangan mengharap jawapan ajaib penyelesaian kepada semua masalah yang ada.
2.satu perkara paling penting "MINTA TOLONG". Jangan sesekali kita rasa, menyelesaikan perkara ini sendirian adalah lebih baik dan elok untuk semua pihak. Sistem usrah kita ini dibentuk sebegini rupa kerana memang menyangka perkara ini akan terjadi. Jadi manfaatkan semua ikhwah yang kita kenali. Jangan risau kalau pun penyelesaian tidak terus akan didapati namun luahan rasa sekurang-kurang melegakan diri.
3.Emosi seperti risau,takut, tidak pasti, binggung adalah kerana kita tidak punya apa-apa maklumat. Lagi besar ruang yang tidak kita ketahui, lagi hebat perasaan tersebut. Berbincang dengan mereka yang pernah melalui situasi tersebut memberikan kita lebih banyak gambaran dan apa yang bakal dilalui
4. Pastikan anda tidak membiarkan diri anda menghadapi keadaan ini keseorangan. Satu sistem sokongan yang bersama anda sebelum, semasa dan selepas keputusan di buat adalah amat penting.
Kepada murabbi yang mendengar masalah
1. Jangan sesekali fikir bahawa anda perlu menjadi penentu keputusan apa yang perlu dibuat. Kita boleh menunjuk cara tapi biarkan keputusan dibuat oleh anak buah kita sendiri.
2. Reevaluate: kadang kala masalah itu berhubung kait antara satu yang lain, mengetahui asal awal cerita kepada masalah membantu kita mengenal masalah sebenar. Juga kadang kala mereka yang bertanya meletakkan perkara yang tidak penting sebagai masalah, membiarkan puncanya yang lebih besar terbiar tidak diselesaikan
3. Reassurance: Setiap mereka yang bertanya pastinya mempunyai rasa nilai diri yang rendah. Naikkan semula semangat mereka, yakinkan mereka bahawa insyAllah ada jalan keluar kepada masalah ini. Beritahu mereka yang mereka tidak keseorangan, beritahu mereka yang anda akan ada membantu mereka. Pastikan mereka tahu yang mereka punyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah tersebut
4. Constructively: senaraikan masalah yang ada, cari segala penyelesaian yang mungkin; pastikan ia praktikal dengan kemampuan, tidak guna jika penyelesaiaannya hebat tetapi tidak dapat diaplikasikan. Pilih yang paling bagus. Cuba penyelasaian tersebut, evaluasi keberkesanan. Ulang semula sehingga penyelesaian sebenar dijumpai.
5. Supportive: Menjadi murabbi juga bukan bermaksud anda perlu menyelesaikan masalah anak buah kita seorang, cari sebanyak mungkin sumber yang boleh. Namun, berbincang dahulu tindakan dengan anak buah, pastikan privasi dan hak anak buah kita terjaga ketika kita meminta bantuan pihak luar. Kalau anak buah kita selesa masalah ini dikongsi ramai, khabarkan ketika usrah, jadikan seperti satu kumpulan sokongan.
Senarai ini mungkin bertambah, namun cukuplah ini sekadar yang utama. Pastinya, pengalaman adalah guru paling utama. Juga jangan dilupa solat Isthikharah, qiamullail kerana akhirnya kita hanya merancang tapi penentunya tetap Allah juga.
Rabu, April 29, 2009
Menyerah Kalah bukan Pilihan

Isnin, Mac 16, 2009
Takut kita dengan Bayang-Bayang

"Ana tak boleh jadi dai'e akh, ana tak cukup ilmu lagi"
"Eh kerja-kerja dakwah tu, kerja ustaz-ustaz, kita orang biasa ni duduk diam-diam sudahlah, nanti kalau salah kita juga berdosa"
Bukanlah mengatakan yang saya ini sangat berpengalaman dalam bidang dakwah tetapi alasan sebegini sudah banyak sekali saya dengar, malah jawapan yang sama boleh kita dengar daripada mereka yang mengikuti usrah bertahun-tahun.
Kali pertama saya dengar, hancur luluh hati saya dibuatnya namun apabila ditimpa dengan jawapan yang sama berulang kali menyebabkan saya berfikir sendiri. Mungkin sebenarnya ini satu ketakutan yang kita sama alami, satu masalah yang kita sama hadapi.
Setiap daripada kita punya kelemahan sendiri; tidak pandai bercakap dihadapan orang ramai, tidak tahu mengambil hati orang lain, tidak pandai memimpin, tidak punya ilmu agama yang cukup. Senaraikanlah, sampai penuh artikel ini pun belum tentu habis lagi.
Inilah bayang-bayang yang kita bawa dari kecil lagi dan akhirnya membesar bersama-sama dengan kita. Lebih teruk, kalau-kalau ia menjadi lebih sihat daripada kita.
Ketakutan adalah fitrah, satu perasaan yang ada dalam setiap manusia. Kalau ketakutan sudah menjadi terlalu kritikal, kita namakannya sebagai phobia. Tahap kita mampu untuk menguruskannya juga berbeza-beza. Ada orang menganggapnya masalah kecil, ada yang hingga menyebabkannya tidak tidur malam, ada juga yang diburu dengan ketakutannya seumur hidupnya.
Maka untuk itu, Islam tidak pernah sesekali menafikan perasaan tersebut namun apa yang diberikan oleh agama ini adalah satu resolusi bagaimana hendak menghadapinya.
Perhatikan bagaimana Allah berkata dengan kita tentang ketakutan,serahkah rasa itu pada Allah, gantikan dengan penuh rasa berharap dengan Allah, tukarkan dengan keyakinan bahawa Allah itu mengetahui, Allah itu mengasihani dan Allah itu Maha Mendengar dan Mengetahui isi hati hambanya.
"Dan rahsiakanlah kata-katamu atau nyatakanlah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala rasa isi hati" (Maksud Firman Allah-Al Mulk 67:17)
Atau tatapi sahaja tiga surah terakhir Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, penuh dengan rasa keterikatan kita dengan Allah dan jaminan penuh pelindungan dari Allah.
Bergantung harap pada Allah tidak pernah menjadikan kita lemah. Lihat sahaja hasilnya pada sahabat-sahabat Rasullah, berperang, menyebarkan Islam dengan entah berapa rendah kebarangkaliannya, dengan entah berapa tinggi peratus mustahilnya.
Maka, jangan takut melangkah. Langkah pertama untuk menjadi tuan kepada bayang-bayang kita adalah dengan menghadapinya. Kalau anda tidak tahu bercakap di hadapan khayalak ramai, maka mulakan dengan bercakap dalam kelompok kecil dahulu. Kalau anda tidak tahu berkomunikasi dengan orang ramai, mulakan dahulu dengan sahabat anda sendiri. Tawarkan diri mengedalikan aktiviti-aktiviti sesama ikhwah. Dalami lebih banyak ilmu. Beritahu masalah anda dengan murabbi masing-masing. Dakwah, Usrah dan Halaqah kita ini bukan semata-mata aktiviti persatuan, mendengar pengisian setiap minggu. Tapi ini cara hidup kita, cara hidup yang menjadikan kita manusia yang lebih boleh bermanfaat kepada ummahnya. Ini cara kita membentuk modal insan atau 'human resource' kepada komuniti kita.
Jadi satu-satunya cara untuk menghadapi bayang-bayang kita sendiri bukannya menutup cahaya sumber panduan kita, bukan juga dengan lari daripadanya. Tetapi adalah berdiri tegap, mata tetap ke hadapan. Anda belum tentu selamat kalau anda berdiam diri, tetapi kalau anda bergerak, anda boleh boleh melakukan banyak benda dan satu perkara perlu diingat:
"Maka akan Kami mudahkan jalan ke arah kebahagiaan" (Maksud firman Allah-Al Lail 92:7)
Ahad, Februari 08, 2009
Souvenirs paling bagus

Ahad, Disember 07, 2008
Dakwah dan Daie, Korban dan Terkorban
Kita dikurniakan dengan dakwah yang mampu memanfaatkan Islam yang syumul,
Gunalah apa-apa platform pun
Kalau ia mampu menyumbangkan dalam membentuk individu muslim
Mampu melengkap 10 muwosafat
maka iktiraflah ia sebagai satu peluang yang tak wajar dilepaskan
Sertailah pasukan sukan permainan apa sekali pun
Kerana ia menyihatkan tubuh badan
Hadirilah ceramah-ceramah mana pun
Kerana ia menambahkan pengetahuan
Terimalah jawatan dalam persatuan apa pun
Kerana ia boleh memudahkan
Kerana ini cara kita
Bersama masyarakat
Membentuk dan merubah dari dalam
Cuma kita juga perlu ingat
Setiap perkara ada harga yang perlu dibayar
Setiap tindakan ada tanggungjawab yang perlu digalas
Ya! Dakwah itu paling utama
Satu kalimah yang awal-awal kita sama setujui
Tapi
sekadar menuturkan
sekadar mengatakan
belum lagi membuktikan apa-apa
Hakikatnya,
memang mudah kalau dengan lesen dan nama dakwah yang kita ada
Kita korbankan segala-galanya
Isytiharkan kita dah berikan segalanya untuk dakwah
Tapi satu perkara kita lupa untuk hadiahkan
Satu nama baik dakwah kita dari masyarakat
Satu jaminan bahawa dakwah ini akan sentiasa dijaga
Satu janji yang dakwah ini tidak akan di cemuh
Semuanya bermula dengan pengurusan
Buat kerja separuh siap
Itu tak pernah jadi motto kita
Belajar bersungguh-sungguh
Tunaikan tanggungjawab penuh amanah
Bersantun, bertata susila
Kalau kita mahu Manhaj Islam ini tampak gemilang
Maka pembawanya perlu tampak cemerlang
Jangan pula setelah kita yakin berada di jalan ini
Baru sekarang kita katakan ia mustahil
Kita wajib buktikan
Kerna
Kalau bukan sekarang
Masa depan perlukan lebih banyak pembahagiaan
Antara Keluarga, Kerja
Antara anak, isteri dan masyarakat
Tak akan alasan yang sama perlu diberikan
Kita yang perlu berkorban
Bukan dakwah yang perlu terkorban
Atau senyap-senyap terkorban
Sama-sama kita usaha Akh
Banyak lagi perkara yang belum kita cuba
Banyak lagi yang belum habis kita fikir
Lagipun,
apa dirisaukan?
Kan Allah bersama kita
Isnin, Oktober 20, 2008
Selangkah demi selangkah..
kita bukanlah terlalu baru berjalan dalam medan ini
sudah tahu rasanya, kalau tidak banyak pun, sedikit selok belok ragamnya
tapi bukan juga terlalu lama,
untuk kita mampu mengiktiraf diri sebagai pakar
Kita masih mencuba
Kita masih merasa
mencari kalau ada kemanisan
yang kadang-kadang jelas
yang kadang-kadang tersembunyi di sebalik kepahitan
Pun begitu
Alhamdulillah
kita telah banyak dipermudahkan
sudah punya ramai adik-adik yang berjuang bersama
dari mereka pula sudah lahir pahlawan-pahlawan baru
yang kalau dulu kita pegang tangan dan bimbing mereka bertatih
Kini, sudah berjalan bersama-sama kita
Pun begitu juga
Kalau sudah terasa hendak berlari pun
Jangan terburu-buru
Jangan kita tamak
Jangan dicurah air di tempayan bila hanya guruh didengar di langit
YA MEMANG!
meski kita sudah buat byk perkara
meski kita sudah beri byk masa
tapi masih ada juga cacat cela di mana-mana
masih ada yang sumbing
masih ada yang senteng
masih ada orang-orang yang kita sayang yang belum berjaya kita berikan hadiah tarbiyah ini
Sungguh seperti anda semua, saya juga fikir begitu.
Tapi...
Kita perlu tahu kemampuan diri
Kita perlu tahu had diri
fiqh dakwah yang kita pelajari bukan sekadar tulisan di buku
atau celoteh di daurah
tapi utk sesuatu yang diteladani
diimprovisasi
Ya orang ber'cinta' mmg semangat!
Tapi buat kerja kebaikan pun jangan cepat melatah
Sentiasakan bersyura
itukan tabiat rasullah.
Kalau tidak tahu biasakan bertanya
Sombong bertanya pastinya sesat jalan
Murabbi yang kita ada sentiasa dirujuk, di minta pendapat
Rakan seusrah sentiasa dikongsikan masalah dan perasaan
barulah betul-betul tepat Usrah itu maknanya keluarga
Pesanan ini untuk saya dan kita semua
Semoga kita diberkati Allah dan dipermudahkan segalanya
"Barangsiapa memberi dan bertaqwa. Dan membenarkan yang terbaik. Maka akan kami mudahkan baginya jalan kearah kebahagiaan"Al Lail 5-7
Sabtu, Oktober 18, 2008
Hilang
Kalau api mana puntungnya,
Hilang ku sangka mati,
Kalau mati mana kuburnya,
Sungguh kita hilang banyak perkara dalam hidup ini.
Wang, sahabat, teman, cinta, kasih, sayang...
Satu demi satu, yang kemudian selepas yang sebelumnya,
Kita hilang dan kita bertindak balas
Kita rasa sedih, marah dan kita mungkin mula menunding jari pada orang lain.
Atau kita salahkan semuanya pada diri kita, meletakkan dunia dan segala bebannya di bahu kita.
Atau mungkin kita senyap sahaja, tidak tahu apakah ada perasan yang sewajarnya diluahkan.
Sebab itu, manusia dengan segala kudrat, emosi dan akal yang ada telah berusaha melakukan banyak perkara.
Supaya sementara segalanya masih dihadapan mata kita, kita masih boleh menghargai, menyayangi dan memberi segala apa yang termampu.
Mungkin agar bila semuanya telah berakhir, kita punya satu alasan yang baik yang kita sudah cuba sebaik mungkin dan kita harap ini mampu merasionalkan segala keadaan
Kerna bila sampai masanya kehilangan itu perlu dimetrikan, bila tiba masanya mimpi ngeri jadi kenyataan, kita tahu kita bakal sakit dan itulah satu-satunya perkara yang paling akhir kita mahukan.
Sebelum kita mampu tenang dan terima segala hakikat semula.
Juga seterusnya kita mampu bangun, dengan apa yang tinggal dan meneruskan hidup, supaya kita boleh melindungi apa yang yang masih ada.
Cuma ketahuilah
"Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak pula membenci engkau" Ad-Duha ayat 3
Selasa, Ogos 26, 2008
Kawan Kita Berbaju Baru
Jumaat, Jun 20, 2008
Enta Nak Kahwin Akh?
Pastinya ini bukan kali pertama saya mendengar orang berkahwin. Sudah berapa banyak senior saya yang kahwin, kenalan-kenalan saya berkahwin. Tapi untuk sejarah hidup saya inilah kali pertama ia melibatkan kenalan rapat saya. Untuk itu, ikhlas saya katakan, mendengar beritanya sahaja benar-benar mengubah hidup saya.
Jangan salah sangka, tentulah saya gembira dengan keputusan ini. Kalau hendak saya hebahkan satu dunia betapa gembiranya saya maka sudah tentu saya lakukan. Saya cuma berlaku jujur dengan apa yang saya rasakan dan apa yang saya tahu, saya memang banyak berfikir sejurus angin khabar itu sampai di telinga.
Kali terakhir orang yang betul-betul rapat dengan saya berkahwin adalah ketika saya berumur 5 tahun. Bila saya maksudkan rapat di sini adalah orang yang ada daya pengaruh dalam hidup saya. Pak Andak saya berkahwin pada masa itu.Pak Andak memang sangat rapat dengan kami adik beradik, hingga kini dialah yang merupakan penjamin biasiswa saya. Dan saya masih ingat, meski saya kecil pada waktu itu tetapi saya cukup faham dengan apa yang mak saya cakapkan
"Lepas ini dah tak boleh mintak lebih-lebih lagi dengan pak ndak kamu tau, dia dah nak kahwin"
Waktu itu saya terdiam terus, walaupun tergelak-gelak sebelumnya dengan gembira membaca komik yang pak cik saya belikan.
Hari-hari mendatang menjadikan saya lebih matang dalam lingkungan umur saya selepas itu. Selepas itu, saya tidak pernah meminta apa-apa lagi dari Pak Andak saya, jauh lagi hendak merengek-rengek minta di bawakan berjalan-jalan ke pekan menaiki motor, atau meminta dipetikkan buah, dibelikan keropok, ditahankan Apek aiskrim dan bermacam-macam lagi. Melainkan dia sendiri yang berikan selebihnya saya tidak pernah mengkehendaki yang bukan-bukan.
Saya berusia 5 tahun waktu itu, hidup saya berubah dan sampai sekarang tenaga yang diperlukan untuk mengatasi perasan itu masih segar dalam ingatan.
Kenapa?
Kalau anda fikir, saya memperkatakan perkara baru, maka saya katakan tidak. Hakikatnya perubahan yang kita lakukan memberikan impak kepada orang-orang disekeliling kita. Kita ambil contoh termudah dan paling dekat iaitu seorang ibu. Masakan seorang ibu tidak terkesan bila anaknya tiba-tiba menyatakan hasratnnya untuk mendirikan rumah tangga. Tika butir perkataan itu keluar dari mulut seorang anak, ketika itu juga satu aliran imbauan masa hadapan mengalir deras di dalam minda seorang ibu.
Kalau tidak percaya maka kita lihat sahaja nanti pada persiapan perkahwinan, cukup untuk menjawab segala-galanya.
Jadi?
Dahulu setiap orang yang sudah berkahwin saya panggil Pak Cik, ini kelompok generasi matang. Tetapi saya belum pernah memasukkan kawan-kawan saya ke dalam kelompok ini. Maka tika ini saya terdiam, menilai kembali penafsiran saya. Saya fikir dan saya terus berfikir. Beberapa soalan muncul di fikiran
'Bagaimana hendak terus menjadi kawan yang baik?'
'Apa juga yang perlu saya lakukan?'
'Macam mana juga kalau apa yang saya lakukan itu, tidak betul dan tidak perlu?'
'Mungkinkah juga istilah kawan ketika bujang tidak akan wujud lagi selepas berkahwin'
'Adakah perkahwinan itu tanda kawan sudah tidak diperlukan'
Jenuh saya cari jawapan, penat saya mencari sumber. Hakikat jalan keluar yang betul-betul pasti, tidak ada. Sebabnya, saya sendiri belum pernah melaluinya. Mana mungkin, saya tahu bagaimana cara untuk menghadapinya.
Makanya, jalan terbaik adalah untuk berlaku tenang. Emosi akan menganggu tindak tanduk kita. Kepada siapa perkara ini harus diajukan kalau bukan pencipta kita Allah s.w.t
'Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Tuhanmu dengan sabar dan salat. Sesungguhnya, Allah besera dengan orang-orang yang sabar' Al Baqarah 153
Yang pastinya saya cuma ada masa kini dan perkara terakhir yang saya mahu lakukan adalah mengubah lampu tumpuan pentas ke arah saya. Ini hari mereka, hak mereka, sepatutnya mereka gembira dan saya sepatutnya menyokong.
Ukhwah dan Ikhwan
Malah jika ukhwah inilah pernah wujud setelah sekian lama, maka transasi ini patut tidak menjadi masalah.
Ukhwah itu bermula dari berlapang dada dan puncaknya adalah itsar (melebihkan orang lain daripada diri sendiri)
Bagi saya ikhwan bukanlah sekadar menukar panggilan aku kepada ana, kau kepada enta. Bukan juga sekadar awak tolong saya ketika saya memerlukan nanti saya tolong awak bila masa awak memerlukan.
Ia adalah kata janji bahawa saya akan usaha sedaya upaya untuk mempertahankan ukhwah ini, saya akan mengorbankan segala yang ada untuk memastikan kita berada terus dalam perjuangan. Saya buat segala mampu, kamu juga wajar begitu.
Hakikat Perhubungan
Hakikatnya dalam setiap perhubungan juga begitu, saya memberi gambaran dalam bentuk interaksi sahabat dengan sahabat. Begitu juga halnya, suami dengan isteri, anak dengan ibu bapa.
Syariattullahnya kita sudah betul insya Allah dengan meletakkan pertalian ini di landasan niat dan perlaksanaannya pada landasan Islam. Namun untuk memulakannya adalah satu perkara, dan untuk mengekalkannya kekal pada landasan tersebut adalah satu perkara lagi, ia memerlukan kita mengambil kira sunatullah pula dan pada masa inilah perlukan kerjasama kedua-dua belah pihak.
Berinteraksilah, Kenal Mengenalilah, Ambil masa untuk mengetahui, Beri masa untuk mengasihi, Tunjukkan penghargaan, Buktikan bahawa anda tidak pernah ambil lewa dengan apa yang anda mulakan.
Dan kepada Allah juga kita yakin keberkatan ukhwah yang terjalin, keranaNya juga kita pertahankan dan kepadaNya juga kita mohon pertolongan
Akhir kata 'Selamat Pengantin Baru! kawan-kawan' Semoga Bahagia hingga ke pintu syurga. Amin' =D
Ahad, Mei 11, 2008
Pentas Bermain Wayang
Kerana rencah hidup ini satu sandiwara, kisah yang sama diulang-ulang kembali. Anda ketawa, menangis, jatuh dan bangun semuanya plot cerita pentas ini. Lihatlah kehadapan, betapa ramainya penonton. Penuh dari tingkat atas sampai ke tingkat bawah.
Maka mainkan watak anda sebaiknya
Biar kalau anda kecewa, anda lawan semula, semangat anda jadi inspirasi semua
Biar kalau anda berusaha, nyala kegigihan anda jadi pedoman untuk semua
Biar kalau anda sedih, semua orang merasa patutnya sedih itu
Biar kalau anda gembira, semua orang merasa patutnya kegembiraan itu
Dengarkan!
Muzik Latar indah sudah berbunyi, props-props sudah lengkap tersedia, Apa lagi? Tunjukkanlah kemampuan anda
Jangan hampakan penonton, tiket yang dibeli untuk menonton wayang ini bukan murah,
Buktikan anda pelakon idaman ramai, pelakon paling hebat sekali. Biar nanti mereka katakan
“Saya sangat suka dengan pelakon utama tadi”
“Saya rasa hidup saya bersemangat semula selepas melihat cerita pelakon utama tadi”
“Saya nak jadi macam pelakon utama tadi!”
“Kalau semua seperti pelakon utama tadi, amanlah dunia ini nanti”
“Aduh, kalau juga ada orang seperti pelakon utama tadi!”
Nanti bila habis, anda beri tunduk hormat. Maka terimalah tepukan paling gemuruh dari segenap sudut. Nanti anda turun, anda terima bunga, anda terima hadiah dan pastinya anda akan terima anugerah yang semua kita inginkan.
Sungguh hidup ini memang umpama pentas bermain wayang
Sabtu, Mei 03, 2008
Sabar dan Ikhlas
Sebenarnya, walaupun konon-kononnya diluar saya nampak yakin tapi sungguh di hati rasa takut Allah sahaja yang tahu. Teringat saya lagi awal-awal semester ini bermula, bila di hati saya sudah tekadkan untuk mulakan dakwah di bumi Volgograd. Waktu itu macam-macam persoalan timbul
"Boleh ke, aku ni?"
"Orang terima ke aku ni?"
"Apa yang nak di kasi?"
Tapi saya gagahkan diri juga untuk membina usrah. Bukan sekali malah beberapa kali saya katakan dengan naqib dan ikhwah seusrah saya betapa saya rasa terlalu kurang. Ada ahli usrah minta keluar dari usrah, saya sentiasa terfikir apa yang perlu diberi. Kemudian datang pula segerombolan student 1st year yang sudah sedia mengikuti usrah dari Program Persediaan, datang lagi senior 6th year minta untuk sama-sama berusrah. Saya terfikir sesuaikah penyampaian ini dengan mereka yang mendengarnya. Tidak terlalu susah kah? tidak terlalu mudah kah? Permintaan dan Harapan yang terlalu tinggi datang dari banyak pihak sekaligus. Tipulah kalau saya katakan yang saya tidak rasa sedikit pun takut.
Saya sedar tentang latar belakang saya, selain dari sekolah rendah agama JAIS dan keputusan SPM dalam pendidikan Islam, saya tidak punya apa-apa tambahan ilmu Islam. Selain daripada jawatan paramedik dalam PPIM dan naib pengerusi Kelab UMNO, saya tidak ada lansung imej2 orang yang mahir bidang agama dalam komuniti ini. Nama saya bukanlah orang favourite yang diletakkan dalam list imam dan pentazkirah, kalau ada pun mungkin hanya sekadar memenuhkan jadual sahaja. Macam mana juga saya hendak buat breakthrough jadi orang yang layak berkata dalam bidang ini secara tiba-tiba?
Maka, bila kali pertama saya dipanggil untuk menjadi ahli panel ketika forum dalam bulan Ramadhan, saya rasa amat terkejut. Kenapa juga tiba-tiba semua berubah? Yang saya risaukan bukan pada keupayaan saya untuk bercakap. Saya yakin dengan pengalaman bertutur saya setelah 5 tahun bergelar pembahas sekolah. Akan tetapi, ini bukan medan bahas yang kita boleh putar belitkan fakta. Saya perlu menyampaikan dan saya perlu menyedarkan dan di hadapan saya bukan sedikit orang yang pengetahuan agama mereka lebih banyak daripada saya.
Selesai satu masalah kemudian,sampai pula masa saya di panggil untuk memantau kedua-dua ikhwah dan akhawat di Volgo. Sekali lagi, hati saya tercabar. Sekali lagi, saya bertanya pada kemampuan saya sendiri. Pernah sekali saya diam dan berkata pada saya sendiri
"Fadly boleh ke ni?"
Lama saya memikirkan. Akhirnya saya buat keputusan sendiri
'Andai Allah sendiri yakin pada diri saya, kenapa tidak saya membalas keyakinan itu?'.
Selepas itu, memang saya tidak pandang lagi ke belakang. Saya pecut sehabis-habisnya. Waktu itu, saya betul-betul sedar yang betapa hebatnya rancangan Allah pada saya. Saya punya bekalan rupanya. Rupa-rupanya segala susah payah hidup saya selama ini supaya saya belajar kemahiran-kemahiran yang boleh diaplikasikan pada waktu ini.
Apa yang saya pasti, saya perlu banyak memerhati. Maka saya memerhati semua ikhwah-ikhwah yang ada, semua mas'ul-mas'ul, naqib-naqib, Amir-amir. Saya perhatikan mereka dan mula berfikir "Kalau saya hendak jadi macam mereka, apa yang perlu saya buat?". Saya lihat bagaimana anak-anak buah mereka diuruskan, bagaimana organisasi mereka di susun dan kemudian saya buat inovasi sendiri. Apa yang mereka ada? Macam mana nak react kalau jadi begini? Saya bertanya dengan semua orang, membaca semua sumber yang ada. Saya melihat sahabat-sahabat nabi Muhamad. Ustaz kata nak memahami fiqh dakwah adalah melalui sirah.
Saya belajar dari kawan saya dari political science. Kata dia kalau hendak tahu keberkesanan method, kita baca surat khabar dan dengar cerita pengalaman yang orang sampaikan. Maka, saya buat pemerhatian yang sama dan hasil gabungannya saya kaji setiap pro dan kontranya. Baik buruknya berdasarkan kepada semua pengalaman ikhwah-ikhwah yang ada. Saya baca blog-blog ramai orang, mempelajari makna di sebalik tulisan mereka.
Saya rasa selepas itu, masa paling susah adalah ketika hendak menyampaikan daurah. Waktu itu, banyak kali saya terfikir
"Ini bukan perkara biasa dibuat, kalau tempat lain perlu ustaz yang jadi penyampai, perlu Post graduate yang jadi penyampai"
Tapi saya juga sedar yang kami bukan ada postgraduate, bukan ade ustaz. Ini bumi Rusia bukannya UK, Ireland, Jepun atau australia yang ustaz boleh keluar masuk. Ini bumi tempat paling susah dan paling takut orang Malaysia nak masuk selepas Israel. Tapi anak-anak buah saya perlu boost untuk mereka kehadapan. Nak suruh mereka online, berapa banyak yang boleh dicover. Sudahlah pula internet kami di caj mengikut bilangan bytenya. Takkan nak dihantar masing-masing berdaurah di tempat ikhwah lain. Nak ke Moscow, ibu negara rusia pun dah mencecah belanja hampir setengah ribu, inikan pula keluar dari negara ini.
Maka bila saya hendak menjadi penyampai daurah. Saya rasa itu antara keputusan berani yang saya buat. Keputusan yang memecah tradisi. Waktu ini, saya bersyukur dahulu Allah takdirkan saya menjadi pembahas ketiga. Dari situlah saya belajar bagaimana hendak menadaptasi style ketika berucap. Sebab dahulu ketika berbahas, saya sentiasa menukar kadar nada dan intonasi saya samada tinggi atau rendah mengikut gaya bercakap lawan saya. Bila saya mendengar semula penyampaian daurah saya, kadangkala saya tergelak sendiri juga. Kadang kala saya dengar style berucap Ustaz Salam, Kadang-kadang Ustaz Atiff, Kadang-kadang macam syeikh Habib Ali, Kadang-kadang macam Pak Lah, Kadang-kadang macam Anuar Ibrahim. Saya rasa ini satu keadaan yang banyak sungguh gaya bercakap yang saya tukar-tukarkan.
Habis sahaja daurah, banyak lagi yang saya fikirkan. Apakah maksudnya sampai, boleh ia memberi kesan sepertimana ustaz berjaya memberi kesan? Bolehkah ikhwah dan akhawat yang mendengar berubah setelah mendengarnya. Sungguh, memikirkan perkara itu sudah banyak merisaukan saya.
Satu tahun hakikatnya, satu jangka masa singkat. Setelah beberapa bulan ini, bila ada kawan yang memanggil saya Ustaz, ada pula yang syeikh. Meskipun mungkin gurauan. Saya terfikir, layakkah saya menerima gelaran tersebut. Bila selepas daurah dan membaca komen-komen ikhwah dan akhawat yang seperti
"Semoga lebih ramai dapat dilahirkan orang seperti beliau, yang mencintai agamanya. Saya juga ingin jadi seperti beliau"...dan yang sewaktu dengannya
Sebetulnya, saya mahu mereka bukan jadi seperti saya tapi jadi lebih baik lagi daripada saya. Saya pasti untuk meneruskan nyala api semangat mereka seperti ini tidak padam maka lebih banyak lagi yang perlu saya usahakan untuk mereka dan untuk saya sendiri. Meskipun semua bagaikan mimpi tapi mimpi ini jadi kenyataan semata-mata sebabnya adalah Allah.
Banyak lagi yang saya perlu ketahui, banyak lagi yang saya perlu perbaiki, banyak lagi karat jahiliyah yang perlu saya buang. Perjalanan tidak pernah saya sangkakan mudah dan singkat. Tapi selagi saya yakin Allah bersama saya, insyaAllah semuanya akan jadi sungguh bermakna
Sehingga kini hakikatnya, saya masih lagi fikir saya orang yang paling banyak kurangnya berbanding yang lain.
Kini saya tahu, lebih daripada apa-apa yang lain, saya sangat perlukan 'Sabar dan Ikhlas...'
Tegurlah saya dan perbaikilah saya
Ahad, April 13, 2008
Karkade (Interpretasi As-Syams dan 11 April)
Renunglah pada makna kata-kataNya pada surah As-Syams. kata saya kepada hati.
Sungguh, hari ini hari biasa. Yang luar biasanya adalah 22 tahun dahulu saya mengenal alam hasil jerit perih ibu saya, bertarung dengan maut semata-mata untuk melahirkan saya. Lambang kepada kasih tak terbayar seorang ibu dan keagungan tak tertanding Allah, pemilik sekalian alam.
Kemudian, berlarinya saya di dunia ini adalah sebagai insan biasa semula, kerdil dan lemah disaksikan alam yang terbentang dengan segala perbendaharaan yang tak terjangkau oleh mana-mana manusia.
Maka kalau ada orang yang menjadikan hari ini lain daripada biasanya kepada saya. Kalau boleh saya ungkap rasa terima kasih yang paling luar biasa sudah pasti saya luahkan: Pada ucapan-ucapan penuh hikmah dari segala taulan yang setia. Pizza, Spagetti, Donut, Ayam Tandoori serta Nasi Minyak dari semua anak-anak usrah. Pada yang sanggup bersengkang mata menunggu 12 malam semata-mata nak menunjukkan perhatiannya bukanlah biasa untuk saya. Juga himpunan bukan doa biasa; ikhlas mengharap redha Ilahi.
Apa sahaja yang mampu saya ungkapkan. Semoga Allah merahmati dan menghargai kalian tidak kurang sedikit pun daripada kasih sayang yang kalian ditunjukkan.
Malah, kalau boleh diberi sebab kenapa hari ini boleh saya tukar kebiasaannya. Maka saya ingin raikannya kepada jiwa yang saya miliki. Jiwa yang punya deria yang merasa. Jiwa yang punya hasrat ingin merindu. Jiwa yang punya semangat ingin berjuang. Jiwa yang punya tenaga untuk mengerakkan. Sungguh inilah kesempurnaan ciptaan jiwa setanding dengan penciptaan siang malam. Matahari dan bulan. Langit dan Bumi. Inilah kuasa Ilahi. Hari ini saya berdiri setelah jiwa saya sudah puas membawa saya mengembara ke sana ke mari dan saat ini saya sampai dan melihat satu pemandangan yang cukup baru, puasnya pada seluruh mata saya dan hati saya memandang.
Juga pada jiwa ini yang diilhamkan jalan kepada taqwa dan kejahatan. Kalau ada harapan luar biasa yang saya ingin ungkapkan di sini, maka itu adalah harapan saya untuk sentiasa tergolong di dalam orang-orang yang beruntung. Mereka yang sentiasa membersihkan jiwa ciptaan Allah yang agung ini. Juga mengharapkan setiap orang yang menyayangi saya serta semua yang saya sayangi turut sama berlari membawa nyala hasrat yang sama.
Itulah yang cuba disampaikan oleh surah As-Syams dan ini jugalah yang ingin saya tuturkan. Saya tersenyum sendiri. Sesudah menghirup teh karkade merah, saya menghela nafas lega kemudiannya. Perlahan-lahan saya katakan
"Selamat Hari Lahir Fadly, Semoga kekal di Jalan ini"
Isnin, April 07, 2008
7 April dan Tafsir Surah Al-Lail

"Eh, dah siap dah?"
Sedar pula dia, kata saya di hati. Tika itu, saya hanya tersenyum, galang ganti kepada tumpuannya yang tidak sepatutnya saya ambil.
"Menghafal surah Al-Lail, Afiq? Kenapa bermula dari situ?" ujar saya membuka topik perbualan pagi itu.
"Tidak ada apa, tiba-tiba terasa di hati. Intuisi" seloroh Afiq dengan jawapan kosong biasanya.
"Surah ini besar maknanya. Afiq tahu kenapa Allah bersumpah dengan dengan malam dan siang serta penciptaan lelaki dan perempuan?" Tanya saya sambil-sambil berjalan mendapatkan cerek, menuangkan air ke dalam dua mug sederhana besarnya sedang tangan yang satu lagi meletakkan camca pada setiap satunya.
"Tak Pasti. Kenapa? Eh Fadly buat air yang ini ya" jawab Afiq dengan jarinya memegang dua hujung paket kecil kopi segera Gano.
Saya mengambil paket itu daripada tangannya. Ketika itu Afiq masih mencari-cari bekas untuk meletakkan bijirin sarapan paginya. Itulah telatah yang buat saya tertawa bila mengingatkannya.pertamanya pada pilihan menu sarapannya tidak banyak beza dalam kebanyakan masa. Yang keduanya, pada set barangan Gano yang mesti ada. Lengkap dari ubat gigi, pil supplement hinggalah ke kopinya. Banyak sungguh mungkin cendawan Gano di dunia ini rasanya.
"Itulah, bukannya hendak rajin membaca tafsir Fi Zilali Quran. Lihatlah pada ayat seterusnya. Bukankah Allah hendak menunjukkan kepada kita daripada perlakuan dan tingkahlaku kita yang beraneka jenis ini terdapat ada dua jenis perbuatan di dunia ini. Samada ke arah yang baik atau ke arah yang kejahatan. Tidak ada yang ditengah-tengah. Untuk itu, Allah berkata bahawa untuk golongan yang berbuat ke arah kebaikan, maka Allah akan permudahkannya ke arah kebaikan manakala untuk mereka yang berbuat ke arah yang sebaliknya maka Allah akan permudahkan pula jalan ke arah itu" hujah saya sambil menghulurkan mug berisi air kopi kepada Afiq.
"Betul-betul. Allah bercakap juga selepas itu balasan syurga kepada mereka yang berbuat kebaikan dan azab neraka kepada yang berbuat kejahatan. Dalam konteks surah ini, perlu ingat yang Allah memberi penekanan kepada mereka yang samada rela menginfakkan hartanya ke jalan Allah atau mereka yang kedekut dan bakhil. Ha! Siapa kata saya malas membaca?"
Afiq berjalan ke arah baju kemeja birunya yang tergantung di hadapan almari. Dibetulkan dahulu lengan baju dan kolar sebelum cermat-cermat dia memakainya.
"Eh, Afiq ini bukan baju kemeja yang Afiq selalu pakai waktu balik ke Malaysia. Angin mana pula yang datang hari ini?, tiba-tiba pula"
"Saja" balas Afiq ringkas. Jawapan kosong lagi. Saya sudah terasa hendak gelak lagi di dalam hati.
"Agak-agaknyalah Afiq, kita ini ke mana? Maksud saya, macam mana kita hendak tahu kita ini golongan ke arah yang baik atau ke arah yang jahat?"
"Eh, bukan dia tadi yang bersyarah panjang-panjang? Lihatlah pada hati. Yakin pada rancangan Ilahi. Dia akan permudahkan jalan itu yang pastinya" balas Afiq sambil-sambil dia memasukkan bajunya, mengenakan tali pingang bermata empat segi kecil, membetul-betul sedikit unjai baju yang keluar.
"Mabruk! Jawapan yang bagus Afiq! Layaklah kiranya Afiq terima yang ini" saya mengunjurkan bungkusan kecil berbalut.
"Apa ini?" Tanya Afiq buat-buat tahu tetapi separa tidak tahu
"Tahun ini bakal berbeza, Afiq akan melangkah naik ke tingkat tangga yang satu lagi. Apa yang menunggu di sana, saya tidak tahu. Apa yang dibentangkan untuk Afiq pada masa mendatang pun kita semua tidak tahu . Namun, sebagaimana beraninya Afiq memulakan langkah, seperti itulah saya mahu Afiq berani menghadapi cabaran mendatang . Kekalkanlah pada jalan perjuangan dakwah. Semoga Allah mempermudahkan jalan yang berada di hadapan. Benarkanlah kataNya. Sedang kami di sini sentiasa memberi sokongan. Selamat Hari Lahir! Ya Akhi, Ya Rafiqi, Ya Sohabi!"
Angin musim bunga bertiup lembut, bunga-bunga ceri melambai-melambai menarikan alunan irama kedamaian di sebalik sinar Sang Matahari yang redup, tenang membelai dan menyambut baik hari dan pagi itu.
Di luar pintu, Afiq sedang mengikat tali kasutnya. Selesai satu kemudian yang satu lagi.
"Fadly, jom."
"Tak apa. Afiq pergilah dahulu, saya tahu jalannya rasanya InsyaAllah. Kalau ada apa-apa saya telefon nanti"
Rabu, Februari 27, 2008
Tengkujuh Sudah Perasaanku
Maka, kita pupuk talian ukhwah antara kita. Kita mula mengenali antara satu sama lain, berbicara tentang perkara yang kita suka, perkara yang kita benci. Kita semakin rapat, makin mengenali hati masing-masing. Bukan sedikit perkara yang kita buat bersama-sama. Bukan sedikit hal-hal peribadi yang bual bersama. Sungguh kalau aku betul-betul ada seorang abang pada waktu itu, aku rasa engkaulah orangnya.
Aku sungguh berterima kasih atas segala pertolongan yang kau berikan. Entah macam mana agaknya boleh aku hadapi saat-saat kritikal hidup ditengah-tengah masyarakat yang penuh mehnah ini. Banyak kali aku terjatuh, tersadung, luka dan kalau papah aku bangun semula. Banyak kali seluruh dunia membelakangi aku dan kau ada di situ, tersenyum katakan semuanya akan baik semula.
Aku masih teringat, kau pernah berbicara denganku yang kau ingat lihat ummah ini berubah. Sungguh, itulah kali pertama aku dengar kata-kata sedemikian rupa. Tiada apa yang dihairankan dengan keadaan latar belakangmu yang begitu. Aku yakin kau dididik memikirkan masalah ummah, di asuh agar memikirkan resolusinya. Waktu itu aku berbangga dengan kau, bangga punya sahabat yang punya wawasan sebegitu jauh. Aku masih teringat pesan aku dahulu, bawa aku bersama kalau hendak berjuang. Biar kita berjalan di atas jalan yang sama. Kita beramal bersama. Ingat mengingati bersama.
Sungguh, banyaknya yang kau beri. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Selagi mampu, aku raikan persahabatan ini pada setiap hari-hari yang boleh ada. Kau pernah kata, kekadang ia terlalu banyak. Aku hanya mampu tertawa,apa sahajalah yang boleh aku lakukan untuk menghargai persahabatan ini. Nak bermain pun kita tak punya kemahiran yang sama. Kaki mu lincah sedangkan kakiku kaku, umpama bangku layaknya. Nak berbicara perkara lain pun kita tak punya minat yang sama. Cuma kerana kau kekal jadi sahabatku walau semuanya berbeza buat segalanya sungguh bermakna.
Entah apa yang berlaku, kita renggang seketika. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Pada waktu itulah aku terlepas pandang, terlepas dengar apa khabarnya tentang kau di sana. Pada masa yang sama, Allah temukan aku dengan permata dakwah yang nilainya begitu tinggi. Terus sahaja aku teringat tentang dikau, tentang janji yang pernah kita katakan bersama dahulu.
Aku tidak membazir masa pada waktu itu, terus sahaja aku mencari engkau. Mahu sahaja aku berlari waktu itu. Aku pasti kau pasti menyambut gembira seruan dakwah ini.
Malangnya, permata dakwah yang bersinar-sinar yang aku tatang dengan kedua-dua tanganku itu terpaksa aku sorokkan. Semacam tidak percaya melihat apa yang aku lihat di hadapanku. Kau berubah!. lain sungguh fikrahmu kini. Dahulu senang betul engkau ku ajak beramal ibadat namun sekarang kau dengan mudah katakan yang kau malas. Masa muda ini kau katakan rugi dibazirkan kalau tidak dinikmati sehabis-habisnya.
Dahulu, kau katakan semangat sekali tentang islah diri dan masyarakat. Kini dengan mudah kau katakan yang iman kau tidak setinggi mana, mana mungkin setaraf sahabat dan pejuang Islam. Aku jadi binggung, seolah-olah ada orang yang sudah membunuh kau dan diganti dengan orang yang lain.
Aku buat percubaan, aku beri mana bahan-bahan yang ada. Aku lihat sendiri kau memasukkannya ke dalam komputer. Ada dua folder besar. Aku bertanya untuk apa. Pantas kau menjawab. “Oh yang ini kalau aku rasa aku nakkan pengisian kerohanian, yang ini kalau rasakan aku nakkan hiburan”.
Kau tahu, betapa terkejutnya aku waktu itu. Cubaan menarik senyuman waktu itu umpama menoreh pisau pada hati sendiri rasanya. Sungguh! Kau memang sudah berubah.
Mahu sahaja aku putus asa waktu itu, tapi aku terlalu sayangkan kau. Maka atas sayangnya aku terhadap sahabatku maka kerana itulah aku mahu kau terima tanggugjawab dakwah ini. Tanda keakuaan dan terima kasih kita kepada Allah yang menemukan kita pada persahabatan ini. Sebagaimana semangatnya Rasullah berdakwah kepada kaumnya kerana sayangnya kepada kaumnya tidak mahu mereka sesat tanpa pedoman, sebegitulah aku mahu semangat mengajak kau mengenali fikrah dakwah melihat dan mengagumi sendiri keindahan permata yang berharga ini.
Aku mulakan langkah, meskipun tidak tahu bagaimanakah hasilnya. Sungguh, aku tidak peduli lagi apa perbezaan antara kita. Aku belajar sendiri semua perkara yang kau suka. Bertanya orang apakah itu, apakah ini. Digelak beberapa kali, tidak pernah aku kisah asalkan hati kau dapat ku sentuh. Asalkan boleh aku tunaikan sendiri janji kita untuk berdakwah.
Masa berlalu, namun jauh lagi letaknya kau berdiri dengan ke mana ingin aku bawa kau pergi sedang modalku segalanya telah habis.
Malam itu, kita berbicara panjang. Itulah kali pertama kita berada dalam keadaan sebegitu tegang. Namun, Pujukan ku masih tidak berjaya. Sungguh meskipun kita mengakhirinya dengan senyuman dan gelak ketawa, sebenarnya itu hanya untuk menutup dalam diriku yang sedang meratap-ratap.
Aku tahu kau malu dilihat bersamaku. Takut hilang imej muda mu, takut hilang ‘style’mu, takut tercakap perkara yang aku cakapkan, yang tiada orang boleh ketawa terbahak-bahak, yang tiada orang boleh mendengarmu kagum, yang tiada orang boleh memuji mu hebat. Sungguh berbeza sekali kita berbicara dihadapan orang ramai dan sebaliknya.
Kau kata kau mahu penjadi pendokong. Tapi mana usahanya? Berkata yang kau mampu lakukan tanpa sebarang tarbiyah adalah mimpi yang tak mungkin jadi kenyataan. “ At least aku masih....” itulah acap kali kau katakan. Sahabat, bagaimana mungkin at least itu membawa kita ke mana-mana. Adakah kau sudah lupa pada perjuangan ummah!?Derhaka kepada pengorbanan ummah!?
Dakwah tidak penah rugi tanpa kita tapi kita sangat rugi tanpa dakwah. Kerana inilah dakwah, kerja yang terus bersambung dengan limpahan berkat dari Allah. Aku tahu, kau bukan galang utama untuk aku meneruskan dakwah. Biarlah aku bawa diri. Aku berdoa tidak henti supaya menjadikan aku kuat dengan cubaan ini. Benarlah firman Allah
“Sungguh, engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kau kasihi tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”
Kau nampak aku tersenyum, kau nampak aku tertawa. Namun ketahuilah setiap kali aku mula berpaling setelah mengucapkan selamat tinggal, aku menangis sendiri. Sedang tanganku, memegang permata dakwah itu, berdarah dan entah bila aku boleh tunjukkan kepada kau.
Saat itu, Hari itu Tengkujuh sudah perasaan ku . Kerana itu aku tatapkan di sini. Moga aku jadi cekal, moga orang lain jadi lebih baik daripada ku. Moga Allah memberkati dan membuka hatimu untuk kebali berjuang.