Ahad, Mei 31, 2009

Membuat Keputusan yang Bijak, Tepat dan Betul

" Ana runsing ni akh, mak ana kata macam ini, ana pula fikir macam ini"

" Ana tak tahu nak pilih yang mana, bertembung pula apa kita rancang dengan benda ini"

" Cuti ni mak ana suruh duduk rumah akh, ana nak ke program kita"


Inilah antara perbualan-perbualan biasa setiap murabbi bakal dengar, pertembungan antara dakwah yang kita perjuangkan dengan apa yang kita juga punya tanggungjawab besar untuk tunaikan; keluarga, pelajaran, pekerjaan, ibu bapa dan sebagainya. Perkara ini berterusan daripada sekecil-kecil hal untuk menghadiri usrah sehinggalah ke sebesar-besar perkara seperti perkahwinan, mencari tempat tinggal dan seterusnya.


Rencah-rencah ini akan terus menemani kita selama-lamanya dan semestinya, membuat keputusan paling sesuai pada ketika ini adalah skil pendakwah yang paling susah sekali untuk dimahiri. Namun, realiti yang harus kita terima bahawa kebijakan mengendalikan situasi juga menentukan kelansungan seseorang terus berjuang dalam medan dakwah ini.


Anggapan paling salah adalah perlu sentiasa ada yang kalah dalam setiap kali keputusan di buat. Jangan sesekali kita mengaku kalah selagi mana usaha untuk situasi menang-menang boleh berlaku. Misalannya dalam isu berebut antara tinggal di rumah dan pergi ke program, kita boleh berkata:


"Mak, kenapa mak tak faham? benda ini penting, saya kena pergi juga"dan kita seterusnya melancarkan perang baru yang berlanjutan bertahun-tahun


atau kita boleh dalam masa sebulan pertama, berusaha untuk menjadi anak baik, menolong ibu bapa, mengambil hati mereka sampailah mana tahu mereka boleh berkata


"Mak tengok kamu duduk rumah sahaja, tak mahu ke berjalan-jalan dengan kawan-kawan ke mana-mana?"


Pastinya keadaan tidak semudah ini, namun pastinya, langkah yang bijak diatur dan keputusan yang dilakukan dengan penuh berhati-hati pastinya memberikan jalan yang lebih mudah pada masa akan datang.


Namun perlu ditekankan. Skill merancang membuat keputusan adalah sangat penting, kalau sekarang mungkin masalah kita hanya sebagai seorang pelajar dengan ibu bapa. Pada masa akan datang kalau sudah berkahwin, bekeluarga, punya 2 keluarga yang perlu ditimbang tara, anak-anak pula, pekerjaan pula, maka bebannya akan bertambah. Jaga-jaga tidak mustahil dek kerana terlalu rimas dan serabut dengan pilihan-pilihan ini, kita mengambil jalan untuk melepaskan salah satu dan akhirnya keputusan tersebut memakan diri sendiri.



Kepada yang ditimpa masalah


1.Jangan sesekali fikir sesuatu masalah boleh diselesaikan dalam satu hari semata-mata. Jangan mengharap jawapan ajaib penyelesaian kepada semua masalah yang ada.


2.satu perkara paling penting "MINTA TOLONG". Jangan sesekali kita rasa, menyelesaikan perkara ini sendirian adalah lebih baik dan elok untuk semua pihak. Sistem usrah kita ini dibentuk sebegini rupa kerana memang menyangka perkara ini akan terjadi. Jadi manfaatkan semua ikhwah yang kita kenali. Jangan risau kalau pun penyelesaian tidak terus akan didapati namun luahan rasa sekurang-kurang melegakan diri.


3.Emosi seperti risau,takut, tidak pasti, binggung adalah kerana kita tidak punya apa-apa maklumat. Lagi besar ruang yang tidak kita ketahui, lagi hebat perasaan tersebut. Berbincang dengan mereka yang pernah melalui situasi tersebut memberikan kita lebih banyak gambaran dan apa yang bakal dilalui


4. Pastikan anda tidak membiarkan diri anda menghadapi keadaan ini keseorangan. Satu sistem sokongan yang bersama anda sebelum, semasa dan selepas keputusan di buat adalah amat penting.



Kepada murabbi yang mendengar masalah


1. Jangan sesekali fikir bahawa anda perlu menjadi penentu keputusan apa yang perlu dibuat. Kita boleh menunjuk cara tapi biarkan keputusan dibuat oleh anak buah kita sendiri.


2. Reevaluate: kadang kala masalah itu berhubung kait antara satu yang lain, mengetahui asal awal cerita kepada masalah membantu kita mengenal masalah sebenar. Juga kadang kala mereka yang bertanya meletakkan perkara yang tidak penting sebagai masalah, membiarkan puncanya yang lebih besar terbiar tidak diselesaikan


3. Reassurance: Setiap mereka yang bertanya pastinya mempunyai rasa nilai diri yang rendah. Naikkan semula semangat mereka, yakinkan mereka bahawa insyAllah ada jalan keluar kepada masalah ini. Beritahu mereka yang mereka tidak keseorangan, beritahu mereka yang anda akan ada membantu mereka. Pastikan mereka tahu yang mereka punyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah tersebut


4. Constructively: senaraikan masalah yang ada, cari segala penyelesaian yang mungkin; pastikan ia praktikal dengan kemampuan, tidak guna jika penyelesaiaannya hebat tetapi tidak dapat diaplikasikan. Pilih yang paling bagus. Cuba penyelasaian tersebut, evaluasi keberkesanan. Ulang semula sehingga penyelesaian sebenar dijumpai.


5. Supportive: Menjadi murabbi juga bukan bermaksud anda perlu menyelesaikan masalah anak buah kita seorang, cari sebanyak mungkin sumber yang boleh. Namun, berbincang dahulu tindakan dengan anak buah, pastikan privasi dan hak anak buah kita terjaga ketika kita meminta bantuan pihak luar. Kalau anak buah kita selesa masalah ini dikongsi ramai, khabarkan ketika usrah, jadikan seperti satu kumpulan sokongan.


Senarai ini mungkin bertambah, namun cukuplah ini sekadar yang utama. Pastinya, pengalaman adalah guru paling utama. Juga jangan dilupa solat Isthikharah, qiamullail kerana akhirnya kita hanya merancang tapi penentunya tetap Allah juga.