Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan

Isnin, Januari 19, 2009

Pantun dan Nilainya

Ramai kita tidak menyedari tentang perkara ini, pantun merupakan satu khazanah Melayu yang sangat berharga. Orang Melayu yang lupa tentang perkara ini bermakna dia lupa pada jati dirinya sendiri.

Pantun mempunyai nilai lebih daripada satu rangkap puisi yang berima, lebih daripada satu baris yang diselang seli dengan suku kata yang sama. Cuba kita perhatikan satu contoh pantun popular ini;

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong ajarkan.

Kalau kita perhatikan pembayang yang diletakkan bukan sekadar hendak memenuhi maksud menyudahkan rima yang sama pada pemaksudnya. Jika kita sedar buah cempedak biasanya tumbuh rendah, hakikat bahawa budak tersebut terpaksa mengambil galah dan menjoloknya menunjukkan betapa banyak kekurangan yang ada padanya.Mungkin dia rendah, tidak pernah mengambil buah tersebut. Sudah begitu, buah cempedak itu di luar pagar pula, begitu banyak sekali kesukaran. Bukankah ini mesej yang sangat terang bahawa penulis pantun ini betul-betul ingin meminta tunjuk ajar.

Kita perhatikan contoh yang lain:

Siakap Senohong,
Gelama Ikan Duri;
Bercakap Bohong,
Lama-lama jadi pencuri.

Memberi pembayang seperti ini memerlukan penulisnya mempunyai ilmu tentang ikan laut, tahu tentang kumpulan-kumpulannya dan sifat-sifatnya. Kemudian meletakkan ikan duri mempunyai rima yang sama dengan pencuri memberi kita amaran, betapa duri itu boleh melukakan kita, begitu juga dengan perbuatan mencuri tersebut.

Inilah pantun, bukanlah setakat 'Cik Fatimah ke kedai membeli kicap'

Pantun bukan sekadar indah pada bahasanya tapi dia sendiri mempunyai nilai dan akal budinya. Lambang ketinggian martabat bangsanya 

Selasa, Jun 17, 2008

Peperiksaan, Ujian dan nilainya

Realitinya:

Apa yang tertulis di atas kertas itu (dalam konteks pelajar di Rusia, buku zachyet/buku kredit) maka itulah apa yang mengambarkan tentang anda, nilai anda ketika itu, untuk subjek itu.
Kita boleh cakap apa sahaja, boleh berikan seribu satu alasan; cikgu terlebih-lebih kejam, dapat soalan yang tidak diajar. Tapi akhirnya, yang 5(cemerlang) tetap 5 dan yang 3(Memuaskan) tetap 3.Pada 5 bulan akan datang, yang dapat semua 5 tetap akan dapat anugerah dekan yang selebihnya duduk di bilik melayan bosan sendiri atau paling lebih pun tolong bertepuk tangan di dewan.

Beberapa bulan selepas itu, mereka-mereka ini (atlichnik) akan dipuji di hadapan atau dibelakang mereka. Selebihnya akan didiamkan sahaja tak akan pernah jadi topik perbualan. Orang-orang yang dipuji akan mengatakan "Ala itu nasib saja". Selebihnya akan mengatakan sesama sendiri "Tak ada nasib kali ini, bukan apa pun"

Itu semua bunga-bunga bahasa dunia, mencantikkan mana-mana kecatatan, menampal mana-mana yang sumbing dan menutup mana-mana yang terlebih dedah. Itu kaedah manusia sejak dahulu lagi mengurangkan rasa terhadap kerugian yang sudah ada. Menyembunyikan kehebatan yang ada. Ini dunia perlumbaan, anda tidak boleh kalah kalau kalah anda tidak boleh menangis.

Inilah sistem anugerah dan penghargaan di dunia yang semakin kapitalis ini. Kita tidak menghiraukan apa-apa yang ada disebalik itu tetapi yang lebih penting adalah apa yang ada di dokumen. Berjaya atau tidak adalah bergantung kepada apa yang didokumentasikan.
Itulah hakikatnya pada dunia yang kita sangkakan ‘hebat’ dan kita bermula daripada situ.

Tetapinya:

Dalam kita meletakkan imbangan yang berat sebelah terhadap menang dan kalah. Juga menjatuhkan sikap ‘double standard’ kita terhadap situasi tersebut. Pernahkah kita terfikir apa nilainya di sisi Allah?

Sebenarnya, kedua-duanya sama sahaja nilainya di sisi Allah. Tidak ada satu yang mengatasi sesuatu yang lain. Bukan berjaya, bukan gagal.

Buktinya, kalau benarlah menang itu segalanya, mengapa Allah biarkan tentera Islam kalah ketika peperangan Uhud, kenapa juga umat Islam dibiarkan diseksa ketika di Mekah sebelum ke Madinah.

Juga kalau kalah itu segala-galanya, kenapa juga Allah benarkan Islam makmur dengan suburnya di Madinah dan juga bagaimana juga apa yang berlaku di Perang Badar? Cuba nilai juga kisah Rasullah dan Abu Bakar di dalam gua ketika dikejar musyrikin sebelum sampai ke Madinah.

Jadinya:

Yang pentingnya adalah bagaimana di setiap ketika kita berada, kita mengunakan keadaan tersebut untuk lebih mengingati Allah.

Kalau kita berjaya tetapi dengan berjaya tersebut menjadikan kita sombong, terasa besar diri, terasa diri bagus, merasa diri cukup, hebat daripada orang lain, bongkak dan ujub

Maka ketahuilah bahawa nilainya sama sahaja

Kalau kita gagal dan kita mengumpat, dengki dengan tidak habis mengeluh, menyumpah nasib diri, mengutuk, dan marah

Sebab itu ketika berjaya kita disuruh bersyukur, bila ditimpa kesusahan kita disuruh bersabar. Kedua-duanya walau nama kata kerjanya berbeza tetapi matlamatnya tetap sama untuk mendekatkan diri pada Allah.

Malah dalam keadaan di mana kita lebih menyerah kepada Allah, lebih dekat kepada Allah maka ketika itulah nilai kita lebih tinggi tidak langsung mengambil kira apa yang tertulis di atas kertas. Kita itulah seluruh alam memuji kita, segala-galanya di langit dan di bumi mendoakan kita dan ketika itu juga kita jadi bualan seluruh semesta.

Dan jika nilai ini dikumpulkan maka kita akan lihat sendiri hasilnya pada hari akhirat. Ingat! Bukan berapa banyak kita berjaya atau berapa banyak kita berada dalam kesusahan tetapi berapa banyak kita semakin mengagungkan Allah dalam perkataan, perbuatan dan perasaan kita.

Kenapa:

Wujudnya berjaya dan gagal adalah rahmat daripada Allah. Sebagaimana kita mendengar guruh dengan perasaan takut dan rasa penuh harapan bahawa hujan akan turun. Sebagaimana kita melihat api dengan rasa takut api tersebut akan membakar kita dan dengan rasa keperluaan terhadapnya pada masa yang sama.

Rasa Sakit dan Suka juga segalanya di antaranya diperelokkan pula dengan kebolehan kita untuk berfikir, menganalisa dan mencari makna disebalik peristiwa. Inilah yang membolehkan kita terus berjalan di muka bumi ini. Segalanya supaya kita mampu membuat pilihan ‘Whether to fight or flight’, untuk bangun ataupun duduk. Untuk diam atau bercakap.

Dan akhirnya, sebab kenapa pilihan kita perlu kembali pada Allah adalah kerana Dialah pemberi segala ini. RahmatnNya meliputi setiap keadaan. Meski dalam dunia yang semakin bobrok ini, dengan limpahan rahmatNya yang ramai orang sangkakan tidak penting itulah yang membolehkan kita masih boleh bangun tidur pada keesokan harinya dan masih tersenyum.

Sabtu, Julai 07, 2007

Antara Usaha Ilmu dan Pengiktirafan

Kalau tidak 5, anda dapat 4. Kalau tidak 4 anda dapat 3... Tiga markah menentukan hidup dan mati! Tidak adil bukan?

Itulah hakikat peperiksaan di Russia. Keadaan lebih membimbangkan apabila perkara ini masih diaplikasikan walaupun kursusnya PERUBATAN dan lagi merisaukan apabila yang menjadi mangsa keadaannya adalah pelajar-pelajar Malaysia.

Mereka ini membesar dalam asuhan sistem pendidikan yang walaupun setelah mana diubah, tetap masih berorientasikan peperiksaan. Inilah yang dialami oleh kami semua yang kini sampai ke bumi Russia atau lebih spesifik lagi Volgograd.

Biar saya jelaskan keadaan...

Sistem peperiksaan Russia sama sekali berbeza dengan sistem peperiksaan negara lain. Kami perlu menjawab soalan secara lisan, sebelum peperiksaan anda akan diberi lebih kurang 200 lebih senarai soalan (yang sebenarnya merangkumi silibus satu buku tebal penuh).

Bila tiba harinya, anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Diberi satu tiket yang ada 3 soalan panjang. Kemudian anda duduk di meja peperiksaan dan diberi pula masa 10-20 minit masa persediaan. Anda menulis sedikit isi-isi penting dan tidak lama kemudian di panggil pensyarah. Setelah berperang mulut dengan pensyarah, dihujani pula dengan soalan-soalan tambahan. Akhirnya, pensyarah tersebut akan menulis markah.(sambil hati anda berdebar-debar, mencuri-curi tengok)

ATLICHNA-excellent (5)
HARASHO-good (4)
UDOVLETBARITYELNA-satisfactory (3)

*Kalau gagal, markah tidak ditulis. Buku zacyot dipulangkan dan anda disuruh mencuba pada hari yang lain.

Hendak dijadikan cerita pula, keadaan tambah menarik sekiranya anda mendapat semua markah 5 untuk tiap-tiap pelajaran (biasanya 3-5) bagi semester tersebut anda akan mendapat anugerah dekan dan dipanggil ATLICHNIK.

Tambah merancakkan lagi keadaan, anugerah ini datang dengan darjah masing-masing; jika cukup 3 kali berturut-turut anda mendapat darjah pertama yang paling tinggi dan akhirnya jika ini kekal, anda bakal mendapat KRASNI DIPLOM (DIPLOM MERAH) pada akhir pengajiaan.

Apa masalahnya?

1. Nilai 5 (ATLICHNA) itu sendiri

Banyak mengatakan 5 itu segala-galanya. Umpama nyawa yang perlu didapatkan. Bila anda mendapat 5, anda dikatakan sebagai pandai dan hebat. Boleh menjawab semua soalan-soalan hebat pensyarah walau macam mana tegas pun dia.

Ada juga yang mengatakan 5 itu kadang kala nasib sahaja. Kebetulan kita dapat menjawab dengan pensyarah kita, cakap sikit-sikit pun boleh mendapat 5. Jadi pelajar kesayangan pensyarah pun boleh juga membantu.

2. Tujuan belajar itu sendiri

Sememangnya kalau sudah namanya masuk ke universiti, mestilah niatnya untuk mencari ilmu. Namun bila orang terkejar-kejar 5, timbul persoalan: Nak cari ilmu ke? Nak dapat 5?

Nanti kalau sudah terbiasa sangat belajar mencari 5. Takut-takut bila kerja nak mencari duit semata.

3. Nilai Usaha itu

Orang yang mendapat semua 5, biasanya tidak banyak dipersoalkan. Secara muktamadnya dia orang berjaya.

Yang menjadi hal antara mereka yang tidak. Golongan ini akan diadili

“Aku dah baca semua dah, tapi kenapa dia nak kasi aku markah 4/3?”
“Cikgu tu memang! Aku tak salah apa-apa pun di bagi 4/3!”

Pengadilan semakin berat apabila

a. keluar sahaja dewan peperiksaan ( setiap sessi hanya boleh memuatkan 10-15 orang), mereka yang menunggu semua bertanya:

“Eh dapat berapa tadi?”

Kalau anda menjawab 5

Balasannya mungkin: “wah tahniah, hebatlah kau!”

Kalau anda menjawab 4

balasanya mungkin ‘diam’ sahaja. Perkara ini bukan salah sesiapa sebenarnya. Orang yang bertanya mungkin diam kerana itu sahaja yang mampu di buat tetapi tidak dapat dielakkan juga, orang yang mendapat 4 terasa bahawa yang bertanya itu mesti sendiri merendah-rendahkan dirinya kerana berdiam diri.


Namun, untuk perkara ini dibincangkan lebih dalam sebenarnya agak klise kerana hakikatnya bila sampai saat-saat akhir apa yang ada dalam fikiran masing-masing adalah untuk segera pulang ke Malaysia. Sungguh! kalau mengikut perangkaannya tidak sampai 1% pelajar yang tidak balik ke Malaysia tahun ini.


Tepuk dada tanya selera, manusia tidak pernah puas itu yang pasti. Kami kembali semula ke Malaysia, mendapat nafas baru dan semua bersemangat semula bila sampai semester depan nanti =)