Jumaat, Jun 20, 2008

Enta Nak Kahwin Akh?

Musim panas menjelang, 2 lagi subjek dan kami (pelajar Volgo khususnya) akan bertolak pulang ke Malaysia. Perlu diberitahu juga cuti kali bertambah-tambah menariknya. Lebih-lebih lagi bila ia di warna-warnikan dengan majlis perkahwinan. Bukan saya! tapi 5 orang kawan saya yang lain.

Pastinya ini bukan kali pertama saya mendengar orang berkahwin. Sudah berapa banyak senior saya yang kahwin, kenalan-kenalan saya berkahwin. Tapi untuk sejarah hidup saya inilah kali pertama ia melibatkan kenalan rapat saya. Untuk itu, ikhlas saya katakan, mendengar beritanya sahaja benar-benar mengubah hidup saya.

Jangan salah sangka, tentulah saya gembira dengan keputusan ini. Kalau hendak saya hebahkan satu dunia betapa gembiranya saya maka sudah tentu saya lakukan. Saya cuma berlaku jujur dengan apa yang saya rasakan dan apa yang saya tahu, saya memang banyak berfikir sejurus angin khabar itu sampai di telinga.

Kali terakhir orang yang betul-betul rapat dengan saya berkahwin adalah ketika saya berumur 5 tahun. Bila saya maksudkan rapat di sini adalah orang yang ada daya pengaruh dalam hidup saya. Pak Andak saya berkahwin pada masa itu.Pak Andak memang sangat rapat dengan kami adik beradik, hingga kini dialah yang merupakan penjamin biasiswa saya. Dan saya masih ingat, meski saya kecil pada waktu itu tetapi saya cukup faham dengan apa yang mak saya cakapkan

"Lepas ini dah tak boleh mintak lebih-lebih lagi dengan pak ndak kamu tau, dia dah nak kahwin"

Waktu itu saya terdiam terus, walaupun tergelak-gelak sebelumnya dengan gembira membaca komik yang pak cik saya belikan.

Hari-hari mendatang menjadikan saya lebih matang dalam lingkungan umur saya selepas itu. Selepas itu, saya tidak pernah meminta apa-apa lagi dari Pak Andak saya, jauh lagi hendak merengek-rengek minta di bawakan berjalan-jalan ke pekan menaiki motor, atau meminta dipetikkan buah, dibelikan keropok, ditahankan Apek aiskrim dan bermacam-macam lagi. Melainkan dia sendiri yang berikan selebihnya saya tidak pernah mengkehendaki yang bukan-bukan.

Saya berusia 5 tahun waktu itu, hidup saya berubah dan sampai sekarang tenaga yang diperlukan untuk mengatasi perasan itu masih segar dalam ingatan.

Kenapa?

Kalau anda fikir, saya memperkatakan perkara baru, maka saya katakan tidak. Hakikatnya perubahan yang kita lakukan memberikan impak kepada orang-orang disekeliling kita. Kita ambil contoh termudah dan paling dekat iaitu seorang ibu. Masakan seorang ibu tidak terkesan bila anaknya tiba-tiba menyatakan hasratnnya untuk mendirikan rumah tangga. Tika butir perkataan itu keluar dari mulut seorang anak, ketika itu juga satu aliran imbauan masa hadapan mengalir deras di dalam minda seorang ibu.

Kalau tidak percaya maka kita lihat sahaja nanti pada persiapan perkahwinan, cukup untuk menjawab segala-galanya.

Jadi?

Dahulu setiap orang yang sudah berkahwin saya panggil Pak Cik, ini kelompok generasi matang. Tetapi saya belum pernah memasukkan kawan-kawan saya ke dalam kelompok ini. Maka tika ini saya terdiam, menilai kembali penafsiran saya. Saya fikir dan saya terus berfikir. Beberapa soalan muncul di fikiran

'Bagaimana hendak terus menjadi kawan yang baik?'
'Apa juga yang perlu saya lakukan?'
'Macam mana juga kalau apa yang saya lakukan itu, tidak betul dan tidak perlu?'
'Mungkinkah juga istilah kawan ketika bujang tidak akan wujud lagi selepas berkahwin'
'Adakah perkahwinan itu tanda kawan sudah tidak diperlukan'

Jenuh saya cari jawapan, penat saya mencari sumber. Hakikat jalan keluar yang betul-betul pasti, tidak ada. Sebabnya, saya sendiri belum pernah melaluinya. Mana mungkin, saya tahu bagaimana cara untuk menghadapinya.

Makanya, jalan terbaik adalah untuk berlaku tenang. Emosi akan menganggu tindak tanduk kita. Kepada siapa perkara ini harus diajukan kalau bukan pencipta kita Allah s.w.t

'Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Tuhanmu dengan sabar dan salat. Sesungguhnya, Allah besera dengan orang-orang yang sabar' Al Baqarah 153

Yang pastinya saya cuma ada masa kini dan perkara terakhir yang saya mahu lakukan adalah mengubah lampu tumpuan pentas ke arah saya. Ini hari mereka, hak mereka, sepatutnya mereka gembira dan saya sepatutnya menyokong.


Ukhwah dan Ikhwan

Malah jika ukhwah inilah pernah wujud setelah sekian lama, maka transasi ini patut tidak menjadi masalah.

Ukhwah itu bermula dari berlapang dada dan puncaknya adalah itsar (melebihkan orang lain daripada diri sendiri)

Bagi saya ikhwan bukanlah sekadar menukar panggilan aku kepada ana, kau kepada enta. Bukan juga sekadar awak tolong saya ketika saya memerlukan nanti saya tolong awak bila masa awak memerlukan.

Ia adalah kata janji bahawa saya akan usaha sedaya upaya untuk mempertahankan ukhwah ini, saya akan mengorbankan segala yang ada untuk memastikan kita berada terus dalam perjuangan. Saya buat segala mampu, kamu juga wajar begitu.


Hakikat Perhubungan

Hakikatnya dalam setiap perhubungan juga begitu, saya memberi gambaran dalam bentuk interaksi sahabat dengan sahabat. Begitu juga halnya, suami dengan isteri, anak dengan ibu bapa.

Syariattullahnya kita sudah betul insya Allah dengan meletakkan pertalian ini di landasan niat dan perlaksanaannya pada landasan Islam. Namun untuk memulakannya adalah satu perkara, dan untuk mengekalkannya kekal pada landasan tersebut adalah satu perkara lagi, ia memerlukan kita mengambil kira sunatullah pula dan pada masa inilah perlukan kerjasama kedua-dua belah pihak.

Berinteraksilah, Kenal Mengenalilah, Ambil masa untuk mengetahui, Beri masa untuk mengasihi, Tunjukkan penghargaan, Buktikan bahawa anda tidak pernah ambil lewa dengan apa yang anda mulakan.

Dan kepada Allah juga kita yakin keberkatan ukhwah yang terjalin, keranaNya juga kita pertahankan dan kepadaNya juga kita mohon pertolongan


Akhir kata 'Selamat Pengantin Baru! kawan-kawan' Semoga Bahagia hingga ke pintu syurga. Amin' =D

Selasa, Jun 17, 2008

Peperiksaan, Ujian dan nilainya

Realitinya:

Apa yang tertulis di atas kertas itu (dalam konteks pelajar di Rusia, buku zachyet/buku kredit) maka itulah apa yang mengambarkan tentang anda, nilai anda ketika itu, untuk subjek itu.
Kita boleh cakap apa sahaja, boleh berikan seribu satu alasan; cikgu terlebih-lebih kejam, dapat soalan yang tidak diajar. Tapi akhirnya, yang 5(cemerlang) tetap 5 dan yang 3(Memuaskan) tetap 3.Pada 5 bulan akan datang, yang dapat semua 5 tetap akan dapat anugerah dekan yang selebihnya duduk di bilik melayan bosan sendiri atau paling lebih pun tolong bertepuk tangan di dewan.

Beberapa bulan selepas itu, mereka-mereka ini (atlichnik) akan dipuji di hadapan atau dibelakang mereka. Selebihnya akan didiamkan sahaja tak akan pernah jadi topik perbualan. Orang-orang yang dipuji akan mengatakan "Ala itu nasib saja". Selebihnya akan mengatakan sesama sendiri "Tak ada nasib kali ini, bukan apa pun"

Itu semua bunga-bunga bahasa dunia, mencantikkan mana-mana kecatatan, menampal mana-mana yang sumbing dan menutup mana-mana yang terlebih dedah. Itu kaedah manusia sejak dahulu lagi mengurangkan rasa terhadap kerugian yang sudah ada. Menyembunyikan kehebatan yang ada. Ini dunia perlumbaan, anda tidak boleh kalah kalau kalah anda tidak boleh menangis.

Inilah sistem anugerah dan penghargaan di dunia yang semakin kapitalis ini. Kita tidak menghiraukan apa-apa yang ada disebalik itu tetapi yang lebih penting adalah apa yang ada di dokumen. Berjaya atau tidak adalah bergantung kepada apa yang didokumentasikan.
Itulah hakikatnya pada dunia yang kita sangkakan ‘hebat’ dan kita bermula daripada situ.

Tetapinya:

Dalam kita meletakkan imbangan yang berat sebelah terhadap menang dan kalah. Juga menjatuhkan sikap ‘double standard’ kita terhadap situasi tersebut. Pernahkah kita terfikir apa nilainya di sisi Allah?

Sebenarnya, kedua-duanya sama sahaja nilainya di sisi Allah. Tidak ada satu yang mengatasi sesuatu yang lain. Bukan berjaya, bukan gagal.

Buktinya, kalau benarlah menang itu segalanya, mengapa Allah biarkan tentera Islam kalah ketika peperangan Uhud, kenapa juga umat Islam dibiarkan diseksa ketika di Mekah sebelum ke Madinah.

Juga kalau kalah itu segala-galanya, kenapa juga Allah benarkan Islam makmur dengan suburnya di Madinah dan juga bagaimana juga apa yang berlaku di Perang Badar? Cuba nilai juga kisah Rasullah dan Abu Bakar di dalam gua ketika dikejar musyrikin sebelum sampai ke Madinah.

Jadinya:

Yang pentingnya adalah bagaimana di setiap ketika kita berada, kita mengunakan keadaan tersebut untuk lebih mengingati Allah.

Kalau kita berjaya tetapi dengan berjaya tersebut menjadikan kita sombong, terasa besar diri, terasa diri bagus, merasa diri cukup, hebat daripada orang lain, bongkak dan ujub

Maka ketahuilah bahawa nilainya sama sahaja

Kalau kita gagal dan kita mengumpat, dengki dengan tidak habis mengeluh, menyumpah nasib diri, mengutuk, dan marah

Sebab itu ketika berjaya kita disuruh bersyukur, bila ditimpa kesusahan kita disuruh bersabar. Kedua-duanya walau nama kata kerjanya berbeza tetapi matlamatnya tetap sama untuk mendekatkan diri pada Allah.

Malah dalam keadaan di mana kita lebih menyerah kepada Allah, lebih dekat kepada Allah maka ketika itulah nilai kita lebih tinggi tidak langsung mengambil kira apa yang tertulis di atas kertas. Kita itulah seluruh alam memuji kita, segala-galanya di langit dan di bumi mendoakan kita dan ketika itu juga kita jadi bualan seluruh semesta.

Dan jika nilai ini dikumpulkan maka kita akan lihat sendiri hasilnya pada hari akhirat. Ingat! Bukan berapa banyak kita berjaya atau berapa banyak kita berada dalam kesusahan tetapi berapa banyak kita semakin mengagungkan Allah dalam perkataan, perbuatan dan perasaan kita.

Kenapa:

Wujudnya berjaya dan gagal adalah rahmat daripada Allah. Sebagaimana kita mendengar guruh dengan perasaan takut dan rasa penuh harapan bahawa hujan akan turun. Sebagaimana kita melihat api dengan rasa takut api tersebut akan membakar kita dan dengan rasa keperluaan terhadapnya pada masa yang sama.

Rasa Sakit dan Suka juga segalanya di antaranya diperelokkan pula dengan kebolehan kita untuk berfikir, menganalisa dan mencari makna disebalik peristiwa. Inilah yang membolehkan kita terus berjalan di muka bumi ini. Segalanya supaya kita mampu membuat pilihan ‘Whether to fight or flight’, untuk bangun ataupun duduk. Untuk diam atau bercakap.

Dan akhirnya, sebab kenapa pilihan kita perlu kembali pada Allah adalah kerana Dialah pemberi segala ini. RahmatnNya meliputi setiap keadaan. Meski dalam dunia yang semakin bobrok ini, dengan limpahan rahmatNya yang ramai orang sangkakan tidak penting itulah yang membolehkan kita masih boleh bangun tidur pada keesokan harinya dan masih tersenyum.