Ahad, Julai 15, 2007

Kalau boleh aku setabahnya

Mak dapat tawaran naik pangkat. Sudahlah terus lompat dari guru biasa ke Guru Penolong Kanan 1, tempatnya juga bukan main: seksyen 17. Sangat dekat dengan ayah. Tapi mak ambil keputusan tangguh. Saya binggung, saya tak faham. Kawan-kawan Mak semuanya suruh mak ambil, tapi mak diamkan saja. Jadi saya tanyalah kenapa.

"Mak tak nak adik kamu Izzaty itu jadi korban, dia ada PMR. Takkan nak masukkan pula ke asrama"

Saya terdiam, memproses dan menimbang tara setiap butir perkataan.

Mak senyum, menyambung kembali "Lagipun rumah Sabak Bernam ni ada kucing, ayam, itik, bunga-bunga. Siapa pula nak jaga"

Emak berseloroh maka saya pun ketawa. Tapi Mak memang tabah dan ini bukan kali pertama. Sekecil umurnya 8 tahun dia sudah menolong ibunya menjaga adik-adiknya. Nenek pergi menoreh getah, datuk ada masalah perangai waktu itu dengan suka membawa botol-botol oren gelap dan hijau gelap. Pak Long yang ada menganti tempat datuk menjual buah-buah dengan basikal. Memasak, membasuh, mengemas rumah sudah jadi perkara biasa. Patutlah sampai sekarang stamina mak macam tak habis-habis.

Mak boleh belajar jauh sebenarnya tapi mak beri laluan pada adik-adiknya. Kumpul duit supaya Mak Lang dapat masuk STF, pergi ke Luar Negara. Kurangkan beban keluarga supaya Pak Ndak dapat masuk universiti ambil akauntan. Sedangkan Mak masuk maktab sahaja. Saya tahu yang dia sebenarnya bukanlah tidak pandai, kalau tidak masakan dapat jadi pelajar contoh waktu peperiksaan STP. Tapi mak memang begitu, dia ada perancangan sendiri.

Abah sentiasa sibuk tapi mak tak pernah ajak bergaduh. Sampai sekarang walaupun abah duduk di Shah Alam dan balik hanya dua kali seminggu pun, mak tak pwernah bising. Tak macam perempuan dalam drama Melayu swasta, sikit-sikit mengadu lari balik ke kampung. Sikit-sikit mencebik

Keluarga kami bukan macam keluarga orang lain. Setiap masa nak berkelah, nak bermain sama-sama. Mak pentingkan kualiti masa bukan kuantiti. Setiap dari 6 orang adik beradik kami balik dalam masa berbeza-beza. Tapi bila kami balik mak buat aktiviti berbeza-beza sesuai dengan minat kami yang berbeza-beza; macam bersembang-sembang tentang novel dengan saya, memasak dengan adik saya atau exercise dengan kakak saya.

Mak tak beri kami biasakan menyambut hadiah hari jadi macam dalam TV, mak juga tak galakkan balik ke kampung terlalu kerap. Mak pernah kata

"Kalau raya nanti bila dah kahwin. Jangan balik sebelum raya pertama, balik selepas tu. Selesaikan semua dengan family baru balik"

Mak buat supaya jiwa keluarga ini kuat. Supaya sayangnya bukan pada apa yang kami selalu buat tapi pada apa yang kami ada. Bukan pada tradisi tapi pada hakiki.

Waktu ini bila mak minta tangguhkan tawaran kenaikan pangkat. Buat kesekian kalinya, bila mak boleh dapat sesuatu untuk dirinya tapi dia masih berfikir tentang yang lain-lain dan masih menerima dengan penuh tenang. Saya sangat yakin yang mak sangat tabah.

Setiap kali bila saya rasa sangat sukar, saya fikir semula yang mak pernah alami sesuatu yang lebih sukar daripada yang ini maka saya terus berazam untuk jadi orang yang lebih tabah.

Kalau boleh memang aku ingin setabahnya Ya Allah...

Rabu, Julai 11, 2007

Memasak di Malaysia



Satu keunikan Malaysia adalah makanannya dan pastinya jika negara ini kaya dengan makanan maka rakyatnya pasti punyai budaya memasak yang unik.

Satu perkara yang membanggakan tentang masakan Malaysia adalah variasinya. Malaysia punyai pelbagai masakan hasil gabungan tiga bangsa utama yang boleh dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Bahan mentah boleh didapati di mana-mana. Bagi saya, jika ingin dibandingkan Russia dengan Malaysia, bahan mentah Malaysia lebih segar dan kebanyakannya punyai sedikit rasa manis dalam masakan. Ambil contoh yang mudah: Udang. Udang di Malaysia, kulitnya lebih nipis dan jika digoreng, rasanya lebih manis. Namun dalam hal-hal produk tenusu (susu, keju, yogurt), saya fikir russia punyai kelebihan dalam faktor kesegaran dan pilihannya yang lebih banyak.

Kalau di hostel, saya memasak di atas dapur elektrik. Di sini pula, saya memasak di atas dapur gas. Perasaannya sama sekali berbeza. Memasak di atas dapur gas lebih menyeronokkan dan lebih mengembirakan daripada memasak di atas dapur elektrik. Terutamanya jika anda berjaya membuat julangan-julangan api di dalam periuk. Hebat kan?

Maka, pagi ini saya memberanikan diri untuk memasak kuey teow. Seperti saya katakan dalam entri sebelumnya, oleh kerana bilangan yang handal memasak di dalam keluarga saya adalah amat banyak menyebabkan saya sangat rendah diri dalam kes ini. Saya bermula sederhana, isi kuey teow pagi ini tidaklah hebat sangat, telur, udang kek ikan dan sedikit sayur. Keluarga saya sangat berminat dengan sos tiram, maka kuantitinya saya perbanyakkan. Saya lihat juga yang sekarang mengunakan caramel masakan bagi mengantikan kicap pekat. Namun, kuey teow hanya memerlukan kicap cair sahaja. Aduh, pening juga memikirkannya. Bila segalanya sudah siap, saya hanya berdoa sahaja.

Takut-takut juga bila adik saya mula mengambilnya. Awal-awal lagi saya sudah cakap

"Minta maaf lah kalau tak sedap!"

Adik saya hanya senyum, selesai dia makan. Dia hanya senyap sahaja. Jadi membawa konklusi: tidak teruk sangat dan bukanlah terlalu baik, kualiti kuey teow saya berada di tahap pertengahan. 'so-so' orang kata.

Saya rasa itu petanda baik, setahun biasanya sekali sahaja saya memasak masakan ini. Yalah, mana ada kuey teow di Russia.

Selain itu tahukah anda, kuey teow asalnya merupakan cina. Evolusi telah berlaku dengan wujudnya kuey teow tanpa daging khinzir lantas menjadikan masakan ini popular di kalangan Melayu.

p/s: saya paling suka kuey teow kerang! =)

Ahad, Julai 08, 2007

Fadly ke sana ke mari...

11 Julai 2007 - Makan Malam Yayasan Tun Razak. Sunway Lagoon Resort Hotel
21,22Julai2007- Daurah, Serdang
22 Julai 2007 - Futsal Intervarsity Russian University, Stadium Bukit Jalil
25,26,27 July 2007 - Symposium PPIM Russian Student Chapter.Hotel Raudah, Kelantan
30 July-10 Ogos 2007- KIBAR, Kelantan
18-21 Ogos 2007 - Sunathon 2007. Mersing, Johor

*belum mendapat keputusan muktamad
- Perjumpaan dengan Pelajar Persediaan Russian Program (JPA, MARA and Private)
- Perjumpaan pelajar di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan
- Projek besar seperti yang dikata oleh Kak Sarah

Saya masih banyak masa lapang sebenarnya, sesiapa yang ada perancangan boleh sahaja ajak saya bersama

email: fadly_kh@yahoo.com

Sabtu, Julai 07, 2007

Kampung

Saya sampai tepatnya pukul 3.15 ptg waktu Malaysia. Setelah 1 jam berurusan dengan hal-hal imigresen dan bagasi. Saya sampai ke kawasan ketibaan selewat 4.15pm. Meskipun begitu, malang sekali bagi saya, cermin mata tercicir entah ke mana semasa di dalam kapal terbang. Maka tercari-carilah saya mengenal kalau-kalau ada kelibat ayah saya. Untuk itu sahaja saya telah membazirkan masa selama satu setengah jam.

Sesampai sahaja di rumah Sabak Bernam, meskipun mata terasa sangat penat namun saya gagahkan juga lantaran mak sudah pun memanggil untuk makan malam bersama. Hari ini adik lelaki saya yang mengambil kursus Pengurusan Makanan memasak Tom Yam Istimewa. Tak Terkata Lazatnya! Tak sia-sia dia mengorbankan cuti, pergi membuat kerja sambilan di hotel.

Selepas makan malam, saya membahagikan hadiah. Membeli hadiah bukanlah tradisi rasmi keluarga kami sebenarnya. Mak juga tidak mengalakkan. Mak kata kalau dah buat sekali nant kalau dah terbiasa banyak duit dibazirkan. Namun, saya belikan juga. Alang-alang balik setahun, apa salahnya. Saya paling suka reaksi mak, dapat sahaja dompet baru terus dipindahkan barang-barang dari dompet lama ke dompet baru. Tergelak kami dibuatnya.

Jam-jam seterusnya kami habiskan berbual anak beranak. Berkongsi-kongsi cerita masing-masing. Mak banyak bercerita tentang kisah kakak saya yang sekarang mengajar di Mukah, Sarawak. Adik lelaki saya pula banyak bercerita tentang susah senangnya bekerja di dapur hotel. Masing-masing bertukar-tukar pengalaman sampai habis 4 jam dibuatnya.

Malaysia agak panas bahangnya. Namun keesokan paginya saya bangun awal untuk mengalami sendiri nyaman pagi di Sabak Bernam. Hari ini mak ke sekolah awal, ada program di sekolah katanya. Tinggal kami semuanya lelaki menguruskan hal-hal kerja rumah (Senyum! haha). Tidak banyak sebenarnya, sekadar mengampai kain, menyiram pokok-pokok dan memberi kucing makan. Namun begitu, saya ikhlas seronok melakukan ke semuanya.

Banyak sudah berubah di sekeliling rumah, kebun-kebun dibelakang sudah ditarah. Abah kata,tuan punya kebun ada projek nak menanam kelapa sawit. Dahulu dikeliling rumah ada banyak bunga-bunga terbiar tapi sekarang sudah diganti dengan pokok halia, kunyit, peria dan bermacam-macam lagi tanaman yang saya kurang kenal pasti. Dalam banyak-banyak itu, saya paling teringat bila emak menanam pokok sirih dahulu.

Saya bertanya “Buat apa tanam sirih ini mak? Kita bukannya reti makan pun”

“Ala nanti senang, kalau kamu kahwin tak payahlah mak sampai ke rumah nenek nak mengutip daun sirih nak membuat junjungan hantaran nanti” jawab emak berseloroh.

Duduk sepanjang pagi di sini amat tenang. Sambil-sambil saya menaip menyiapkan entri ini. Telinga saya disajikan bunyi-bunyi unggas sambil bunyi decikan-decikan ayam mencari makanan. Tidak dilupa juga beberapa ekor kucing yang sedang bermanja-manja di kaki saya ini.

Seminggu ini saya tetapkan untuk tidak kemana-mana. Minggu hadapan barulah saya ke rumah di Shah Alam pula. Entah apa pula perubahan di sana.

Antara Usaha Ilmu dan Pengiktirafan

Kalau tidak 5, anda dapat 4. Kalau tidak 4 anda dapat 3... Tiga markah menentukan hidup dan mati! Tidak adil bukan?

Itulah hakikat peperiksaan di Russia. Keadaan lebih membimbangkan apabila perkara ini masih diaplikasikan walaupun kursusnya PERUBATAN dan lagi merisaukan apabila yang menjadi mangsa keadaannya adalah pelajar-pelajar Malaysia.

Mereka ini membesar dalam asuhan sistem pendidikan yang walaupun setelah mana diubah, tetap masih berorientasikan peperiksaan. Inilah yang dialami oleh kami semua yang kini sampai ke bumi Russia atau lebih spesifik lagi Volgograd.

Biar saya jelaskan keadaan...

Sistem peperiksaan Russia sama sekali berbeza dengan sistem peperiksaan negara lain. Kami perlu menjawab soalan secara lisan, sebelum peperiksaan anda akan diberi lebih kurang 200 lebih senarai soalan (yang sebenarnya merangkumi silibus satu buku tebal penuh).

Bila tiba harinya, anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Diberi satu tiket yang ada 3 soalan panjang. Kemudian anda duduk di meja peperiksaan dan diberi pula masa 10-20 minit masa persediaan. Anda menulis sedikit isi-isi penting dan tidak lama kemudian di panggil pensyarah. Setelah berperang mulut dengan pensyarah, dihujani pula dengan soalan-soalan tambahan. Akhirnya, pensyarah tersebut akan menulis markah.(sambil hati anda berdebar-debar, mencuri-curi tengok)

ATLICHNA-excellent (5)
HARASHO-good (4)
UDOVLETBARITYELNA-satisfactory (3)

*Kalau gagal, markah tidak ditulis. Buku zacyot dipulangkan dan anda disuruh mencuba pada hari yang lain.

Hendak dijadikan cerita pula, keadaan tambah menarik sekiranya anda mendapat semua markah 5 untuk tiap-tiap pelajaran (biasanya 3-5) bagi semester tersebut anda akan mendapat anugerah dekan dan dipanggil ATLICHNIK.

Tambah merancakkan lagi keadaan, anugerah ini datang dengan darjah masing-masing; jika cukup 3 kali berturut-turut anda mendapat darjah pertama yang paling tinggi dan akhirnya jika ini kekal, anda bakal mendapat KRASNI DIPLOM (DIPLOM MERAH) pada akhir pengajiaan.

Apa masalahnya?

1. Nilai 5 (ATLICHNA) itu sendiri

Banyak mengatakan 5 itu segala-galanya. Umpama nyawa yang perlu didapatkan. Bila anda mendapat 5, anda dikatakan sebagai pandai dan hebat. Boleh menjawab semua soalan-soalan hebat pensyarah walau macam mana tegas pun dia.

Ada juga yang mengatakan 5 itu kadang kala nasib sahaja. Kebetulan kita dapat menjawab dengan pensyarah kita, cakap sikit-sikit pun boleh mendapat 5. Jadi pelajar kesayangan pensyarah pun boleh juga membantu.

2. Tujuan belajar itu sendiri

Sememangnya kalau sudah namanya masuk ke universiti, mestilah niatnya untuk mencari ilmu. Namun bila orang terkejar-kejar 5, timbul persoalan: Nak cari ilmu ke? Nak dapat 5?

Nanti kalau sudah terbiasa sangat belajar mencari 5. Takut-takut bila kerja nak mencari duit semata.

3. Nilai Usaha itu

Orang yang mendapat semua 5, biasanya tidak banyak dipersoalkan. Secara muktamadnya dia orang berjaya.

Yang menjadi hal antara mereka yang tidak. Golongan ini akan diadili

“Aku dah baca semua dah, tapi kenapa dia nak kasi aku markah 4/3?”
“Cikgu tu memang! Aku tak salah apa-apa pun di bagi 4/3!”

Pengadilan semakin berat apabila

a. keluar sahaja dewan peperiksaan ( setiap sessi hanya boleh memuatkan 10-15 orang), mereka yang menunggu semua bertanya:

“Eh dapat berapa tadi?”

Kalau anda menjawab 5

Balasannya mungkin: “wah tahniah, hebatlah kau!”

Kalau anda menjawab 4

balasanya mungkin ‘diam’ sahaja. Perkara ini bukan salah sesiapa sebenarnya. Orang yang bertanya mungkin diam kerana itu sahaja yang mampu di buat tetapi tidak dapat dielakkan juga, orang yang mendapat 4 terasa bahawa yang bertanya itu mesti sendiri merendah-rendahkan dirinya kerana berdiam diri.


Namun, untuk perkara ini dibincangkan lebih dalam sebenarnya agak klise kerana hakikatnya bila sampai saat-saat akhir apa yang ada dalam fikiran masing-masing adalah untuk segera pulang ke Malaysia. Sungguh! kalau mengikut perangkaannya tidak sampai 1% pelajar yang tidak balik ke Malaysia tahun ini.


Tepuk dada tanya selera, manusia tidak pernah puas itu yang pasti. Kami kembali semula ke Malaysia, mendapat nafas baru dan semua bersemangat semula bila sampai semester depan nanti =)