Ahad, Julai 15, 2007

Kalau boleh aku setabahnya

Mak dapat tawaran naik pangkat. Sudahlah terus lompat dari guru biasa ke Guru Penolong Kanan 1, tempatnya juga bukan main: seksyen 17. Sangat dekat dengan ayah. Tapi mak ambil keputusan tangguh. Saya binggung, saya tak faham. Kawan-kawan Mak semuanya suruh mak ambil, tapi mak diamkan saja. Jadi saya tanyalah kenapa.

"Mak tak nak adik kamu Izzaty itu jadi korban, dia ada PMR. Takkan nak masukkan pula ke asrama"

Saya terdiam, memproses dan menimbang tara setiap butir perkataan.

Mak senyum, menyambung kembali "Lagipun rumah Sabak Bernam ni ada kucing, ayam, itik, bunga-bunga. Siapa pula nak jaga"

Emak berseloroh maka saya pun ketawa. Tapi Mak memang tabah dan ini bukan kali pertama. Sekecil umurnya 8 tahun dia sudah menolong ibunya menjaga adik-adiknya. Nenek pergi menoreh getah, datuk ada masalah perangai waktu itu dengan suka membawa botol-botol oren gelap dan hijau gelap. Pak Long yang ada menganti tempat datuk menjual buah-buah dengan basikal. Memasak, membasuh, mengemas rumah sudah jadi perkara biasa. Patutlah sampai sekarang stamina mak macam tak habis-habis.

Mak boleh belajar jauh sebenarnya tapi mak beri laluan pada adik-adiknya. Kumpul duit supaya Mak Lang dapat masuk STF, pergi ke Luar Negara. Kurangkan beban keluarga supaya Pak Ndak dapat masuk universiti ambil akauntan. Sedangkan Mak masuk maktab sahaja. Saya tahu yang dia sebenarnya bukanlah tidak pandai, kalau tidak masakan dapat jadi pelajar contoh waktu peperiksaan STP. Tapi mak memang begitu, dia ada perancangan sendiri.

Abah sentiasa sibuk tapi mak tak pernah ajak bergaduh. Sampai sekarang walaupun abah duduk di Shah Alam dan balik hanya dua kali seminggu pun, mak tak pwernah bising. Tak macam perempuan dalam drama Melayu swasta, sikit-sikit mengadu lari balik ke kampung. Sikit-sikit mencebik

Keluarga kami bukan macam keluarga orang lain. Setiap masa nak berkelah, nak bermain sama-sama. Mak pentingkan kualiti masa bukan kuantiti. Setiap dari 6 orang adik beradik kami balik dalam masa berbeza-beza. Tapi bila kami balik mak buat aktiviti berbeza-beza sesuai dengan minat kami yang berbeza-beza; macam bersembang-sembang tentang novel dengan saya, memasak dengan adik saya atau exercise dengan kakak saya.

Mak tak beri kami biasakan menyambut hadiah hari jadi macam dalam TV, mak juga tak galakkan balik ke kampung terlalu kerap. Mak pernah kata

"Kalau raya nanti bila dah kahwin. Jangan balik sebelum raya pertama, balik selepas tu. Selesaikan semua dengan family baru balik"

Mak buat supaya jiwa keluarga ini kuat. Supaya sayangnya bukan pada apa yang kami selalu buat tapi pada apa yang kami ada. Bukan pada tradisi tapi pada hakiki.

Waktu ini bila mak minta tangguhkan tawaran kenaikan pangkat. Buat kesekian kalinya, bila mak boleh dapat sesuatu untuk dirinya tapi dia masih berfikir tentang yang lain-lain dan masih menerima dengan penuh tenang. Saya sangat yakin yang mak sangat tabah.

Setiap kali bila saya rasa sangat sukar, saya fikir semula yang mak pernah alami sesuatu yang lebih sukar daripada yang ini maka saya terus berazam untuk jadi orang yang lebih tabah.

Kalau boleh memang aku ingin setabahnya Ya Allah...

Tiada ulasan: