Ahad, April 13, 2008

Karkade (Interpretasi As-Syams dan 11 April)

Petang 11 April itu berlalu lembut, tanah-tanah sudah mula diliputi rumput. Bunga-bunga sudah bersiap mempamerkan diri, masing-masing dengan pakaian warni-warninya. Angin diluar bertiup sesopan bahasanya menegur saya yang jauh melontarkan padangan ke hujung sungai Volga.

Renunglah pada makna kata-kataNya pada surah As-Syams. kata saya kepada hati.

Sungguh, hari ini hari biasa. Yang luar biasanya adalah 22 tahun dahulu saya mengenal alam hasil jerit perih ibu saya, bertarung dengan maut semata-mata untuk melahirkan saya. Lambang kepada kasih tak terbayar seorang ibu dan keagungan tak tertanding Allah, pemilik sekalian alam.

Kemudian, berlarinya saya di dunia ini adalah sebagai insan biasa semula, kerdil dan lemah disaksikan alam yang terbentang dengan segala perbendaharaan yang tak terjangkau oleh mana-mana manusia.

Maka kalau ada orang yang menjadikan hari ini lain daripada biasanya kepada saya. Kalau boleh saya ungkap rasa terima kasih yang paling luar biasa sudah pasti saya luahkan: Pada ucapan-ucapan penuh hikmah dari segala taulan yang setia. Pizza, Spagetti, Donut, Ayam Tandoori serta Nasi Minyak dari semua anak-anak usrah. Pada yang sanggup bersengkang mata menunggu 12 malam semata-mata nak menunjukkan perhatiannya bukanlah biasa untuk saya. Juga himpunan bukan doa biasa; ikhlas mengharap redha Ilahi.

Apa sahaja yang mampu saya ungkapkan. Semoga Allah merahmati dan menghargai kalian tidak kurang sedikit pun daripada kasih sayang yang kalian ditunjukkan.

Malah, kalau boleh diberi sebab kenapa hari ini boleh saya tukar kebiasaannya. Maka saya ingin raikannya kepada jiwa yang saya miliki. Jiwa yang punya deria yang merasa. Jiwa yang punya hasrat ingin merindu. Jiwa yang punya semangat ingin berjuang. Jiwa yang punya tenaga untuk mengerakkan. Sungguh inilah kesempurnaan ciptaan jiwa setanding dengan penciptaan siang malam. Matahari dan bulan. Langit dan Bumi. Inilah kuasa Ilahi. Hari ini saya berdiri setelah jiwa saya sudah puas membawa saya mengembara ke sana ke mari dan saat ini saya sampai dan melihat satu pemandangan yang cukup baru, puasnya pada seluruh mata saya dan hati saya memandang.

Juga pada jiwa ini yang diilhamkan jalan kepada taqwa dan kejahatan. Kalau ada harapan luar biasa yang saya ingin ungkapkan di sini, maka itu adalah harapan saya untuk sentiasa tergolong di dalam orang-orang yang beruntung. Mereka yang sentiasa membersihkan jiwa ciptaan Allah yang agung ini. Juga mengharapkan setiap orang yang menyayangi saya serta semua yang saya sayangi turut sama berlari membawa nyala hasrat yang sama.

Itulah yang cuba disampaikan oleh surah As-Syams dan ini jugalah yang ingin saya tuturkan. Saya tersenyum sendiri. Sesudah menghirup teh karkade merah, saya menghela nafas lega kemudiannya. Perlahan-lahan saya katakan

"Selamat Hari Lahir Fadly, Semoga kekal di Jalan ini"

Isnin, April 07, 2008

7 April dan Tafsir Surah Al-Lail


Sayup-sayup kedengaran bait-bait surah Al-Lail dari dalam bilik, habis sekali pusingan bacaannya, diulang kembali agar hafalan tidak lekang dari hati. Saya mampir ke dalam, menekuni setiap langkah, berharap jangan ada yang menganggu tumpuannya.

"Eh, dah siap dah?"

Sedar pula dia, kata saya di hati. Tika itu, saya hanya tersenyum, galang ganti kepada tumpuannya yang tidak sepatutnya saya ambil.

"Menghafal surah Al-Lail, Afiq? Kenapa bermula dari situ?" ujar saya membuka topik perbualan pagi itu.

"Tidak ada apa, tiba-tiba terasa di hati. Intuisi" seloroh Afiq dengan jawapan kosong biasanya.

"Surah ini besar maknanya. Afiq tahu kenapa Allah bersumpah dengan dengan malam dan siang serta penciptaan lelaki dan perempuan?" Tanya saya sambil-sambil berjalan mendapatkan cerek, menuangkan air ke dalam dua mug sederhana besarnya sedang tangan yang satu lagi meletakkan camca pada setiap satunya.

"Tak Pasti. Kenapa? Eh Fadly buat air yang ini ya" jawab Afiq dengan jarinya memegang dua hujung paket kecil kopi segera Gano.

Saya mengambil paket itu daripada tangannya. Ketika itu Afiq masih mencari-cari bekas untuk meletakkan bijirin sarapan paginya. Itulah telatah yang buat saya tertawa bila mengingatkannya.pertamanya pada pilihan menu sarapannya tidak banyak beza dalam kebanyakan masa. Yang keduanya, pada set barangan Gano yang mesti ada. Lengkap dari ubat gigi, pil supplement hinggalah ke kopinya. Banyak sungguh mungkin cendawan Gano di dunia ini rasanya.

"Itulah, bukannya hendak rajin membaca tafsir Fi Zilali Quran. Lihatlah pada ayat seterusnya. Bukankah Allah hendak menunjukkan kepada kita daripada perlakuan dan tingkahlaku kita yang beraneka jenis ini terdapat ada dua jenis perbuatan di dunia ini. Samada ke arah yang baik atau ke arah yang kejahatan. Tidak ada yang ditengah-tengah. Untuk itu, Allah berkata bahawa untuk golongan yang berbuat ke arah kebaikan, maka Allah akan permudahkannya ke arah kebaikan manakala untuk mereka yang berbuat ke arah yang sebaliknya maka Allah akan permudahkan pula jalan ke arah itu" hujah saya sambil menghulurkan mug berisi air kopi kepada Afiq.

"Betul-betul. Allah bercakap juga selepas itu balasan syurga kepada mereka yang berbuat kebaikan dan azab neraka kepada yang berbuat kejahatan. Dalam konteks surah ini, perlu ingat yang Allah memberi penekanan kepada mereka yang samada rela menginfakkan hartanya ke jalan Allah atau mereka yang kedekut dan bakhil. Ha! Siapa kata saya malas membaca?"
Afiq berjalan ke arah baju kemeja birunya yang tergantung di hadapan almari. Dibetulkan dahulu lengan baju dan kolar sebelum cermat-cermat dia memakainya.

"Eh, Afiq ini bukan baju kemeja yang Afiq selalu pakai waktu balik ke Malaysia. Angin mana pula yang datang hari ini?, tiba-tiba pula"

"Saja" balas Afiq ringkas. Jawapan kosong lagi. Saya sudah terasa hendak gelak lagi di dalam hati.

"Agak-agaknyalah Afiq, kita ini ke mana? Maksud saya, macam mana kita hendak tahu kita ini golongan ke arah yang baik atau ke arah yang jahat?"

"Eh, bukan dia tadi yang bersyarah panjang-panjang? Lihatlah pada hati. Yakin pada rancangan Ilahi. Dia akan permudahkan jalan itu yang pastinya" balas Afiq sambil-sambil dia memasukkan bajunya, mengenakan tali pingang bermata empat segi kecil, membetul-betul sedikit unjai baju yang keluar.

"Mabruk! Jawapan yang bagus Afiq! Layaklah kiranya Afiq terima yang ini" saya mengunjurkan bungkusan kecil berbalut.

"Apa ini?" Tanya Afiq buat-buat tahu tetapi separa tidak tahu

"Tahun ini bakal berbeza, Afiq akan melangkah naik ke tingkat tangga yang satu lagi. Apa yang menunggu di sana, saya tidak tahu. Apa yang dibentangkan untuk Afiq pada masa mendatang pun kita semua tidak tahu . Namun, sebagaimana beraninya Afiq memulakan langkah, seperti itulah saya mahu Afiq berani menghadapi cabaran mendatang . Kekalkanlah pada jalan perjuangan dakwah. Semoga Allah mempermudahkan jalan yang berada di hadapan. Benarkanlah kataNya. Sedang kami di sini sentiasa memberi sokongan. Selamat Hari Lahir! Ya Akhi, Ya Rafiqi, Ya Sohabi!"

Angin musim bunga bertiup lembut, bunga-bunga ceri melambai-melambai menarikan alunan irama kedamaian di sebalik sinar Sang Matahari yang redup, tenang membelai dan menyambut baik hari dan pagi itu.

Di luar pintu, Afiq sedang mengikat tali kasutnya. Selesai satu kemudian yang satu lagi.

"Fadly, jom."

"Tak apa. Afiq pergilah dahulu, saya tahu jalannya rasanya InsyaAllah. Kalau ada apa-apa saya telefon nanti"

Rabu, April 02, 2008

Memohon Air Untuk Ummah

Mintalah pada Ilahi
Kurniakanlah air untuk ummah dan insan ini
Kekeringan ini sudah terlalu sepi
Pada perjalanan alam yang sudah terlalu sendiri

Sungguh, pada titisan yang jatuh itu
Tandanya perlu berpisah angin dan air,
Meski di warnai kilauan keajaiban pelangi
Di antara sebalik redup sinar mentari

Cuma semoga,
saat titis itu bertemu bumi,
akan tumbuh pohonan rendang
buat bernaung fikrah Ilahi
membuahkan ranuman
bermanfaat seluruh dunia

Biarpun sebelum itu,
petir mengertak,
dengan ribut menerpa,
tiadalah ada kudrat untuk menghalang,
cuma berharap titisan itu nikmat bukannya bencana,

kelak nanti mengalir senang,
terus ke tasik tenang,
penuh dengan maknawi.

Rabu, Mac 19, 2008

Paramedic Volgograd Premier League 2008

Pasukan Paramedic memerlukan mana-mana sukarelawan untuk menjadi ahli paramedic pasukan-pasukan berikut:

1.TBB
2.Kim
3.La Hermandad
4.Nagasaki
5.Chi Kun Gunya (6th year)
6.Tongkat Sakti
7.Medical Dragon (1 year)
8.2nd Year

Sekiranya anda berminat untuk berbakti, membuat kebajikan, bersungguh-sungguh mendapatkan pahala, berusaha mendapat berkat ilahi, menjalinkan ukhwah, membantu mereka yang memerlukan

Maka anda boleh hubungi saya

+79275481266
fadly_kh@yahoo.com

Kami akan bantu dan tunjukkan caranya

Jazakumullah Khairan Kathira
Semoga Allah memberi Kebaikan yang banyak ke atas kamu semua

*Volgograd Premier League ditaja oleh Kelab UMNO Volgograd
manakala Paramedic ditaja oleh PPIM Volgograd dan Nona Roguy Enterprise Sdn Bhd

Isnin, Mac 10, 2008

Tanah Landai Kakian Bukit

Saya telah lama memerhati kawasan itu. Penduduknya suka betul menjual sayur. Setiap kali musim bertukar, ada sahaja yang lain, kadang-kadang sayur lama tapi cara baru menjual, kadang-kadang cara lama menjual tapi sayur baru yang datang. Al maklumlah, pembelinya macam-macam.

Tapi musim kali ini ada lainnya. Ada perubahan besar yang nampak. Syarikat penjual sayur terkenal Air Laut Tenang sdn bhd di situ telah hilang dominasinya. Dahulunya, syarikat Air Laut Tenang inilah yang mula-mula mengajar penduduk di situ bercucuk tanam, memasang pagar, memperkenalkan teknologi baru dan lain-lain. Biasanya syarikat inilah mencatat keuntungan hasil penjualan sayur paling lumayan tapi lain pula jadinya musim ini.

Ternyata syarikat penjual sayur Padang Hijau Segar, Langit Biru Cantik dan Mercun Terbang menunjukkan persaingan yang luar biasa kali ini. Hingga sponsor-sponsor dana luar kawasan pun jadi bingung dengan pasaran sayur di situ. Bukan calang-calang persaingan yang ditunjukkan, malah tak terjangka pun oleh Syarikat Air Laut Tenang. Mana tidaknya, banyak sungguh sayur yang tak terjual sampai penjual-penjual terkenal daripada syarikat itu tak terlawan promosi dengan syarikat-syarikat lawan.

Selesai musim menjual sayur itu, majalah-majalah dan akhbar-akhbar jualan sayur jadi gempar, hilang bicara untuk menerangkan segala-galanya. Gempar sampai ke hujung dunia jajaan ceritanya. Tapi saya sendiri dan penganalisis pasaran sayur tidak terkejut. Perkara ini biasa dalam setiap tempat yang menjual sayur. Pembeli mudah berubah hatinya, sudah lain kehendaknya, sudah lain mahunya. Malah pakatan Padang Hijau Segar, Langit Biru Cantik dan Mercun Terbang atau lebih dikenali sebagai Pakatan Jualan Sayur Lain luar biasa hebatnya promosi mereka. Mudahnya, kali ini Pakatan Jualan Sayur Lain ini menjawab kehendak pembeli dan sesuai dengan selera pembeli sedangkan Syarikat Air Laut Tenang tidak menjawab kehendak pembeli kena pada masanya.

Ternyata selepas musim menjual sayur, ramai yang tersenyum lebar kerana dapat sayur yang mereka hendakkan. Namun saya rasakan, catatan jualan tinggi ini belum bermakna apa-apa malah ini semua hanya permulaan. Jualan ini hanya jualan pembukaan musim, Pakatan Jualan Sayur Lain bukan sekadar perlu menjual jualan sayur yang hebat pada jualan pembukaan musim sahaja. Malah, Pakatan Jualan Sayur Lain dengan semua komponen ahlinya bersama atau berasing-asing perlu membuktikan dari cara cucuk tanamnya, menyiramnya, membajanya, meracun serangga perosaknya, memetiknya, membungkus hinggalah ke arah mempromosikannya perlu memenuhi kehendak pembeli seperti mana yang ditunjuk pada jualan pembukaan musim kali itu. Kalau tidak takut pula terkena 'back fire'.

Pada Syarikat Air Laut Tenang pula, saya rasa tidak salah untuk di buat penilaian semula. Semua pakar penganalisa jualan sayur setuju bahawa sebenarnya semua pembeli tahu dan sedar tentang sejarah penjualan sayur dan perkembangannya tentang teknologi yang dibawa masuk syarikat itu. Namun, ini semua tidak cukup. Setelah hampir setengah abad memakan sayur, mereka sudah punyai satu kayu ukur kepada sayur yang mereka hendak pada masa kini dan kehendak ini perlu di jawab dan diuruskan dengan baik.

Bagi saya pula, tidak kisahlah syarikat mana pun, asalkan semua pembeli dapat memakan sayur yang paling baik kualitinya. Oh, kalau diceritakan sayur yang paling baik kualitinya, maksud saya Sayur Kualiti Emas bersinar-sinar, Gred 1 paling teratas. Mengikut sejarah jualan sayur, sayur ini pernah dahulu terjual secara meluas namun pupus semula. Sekarang banyak sayur yang ada tapi belum sampai lagi ke kualiti yang sama dengan Sayur Kualiti Emas Bersinar-sinar, Gred 1 Paling Teratas. Bukan tidak tahu formulanya, semuanya ada tercatat dalam buku manual paling bagus bernama 'AlFurqan' dan saya yakin pakar-pakar cucuk tanam dan pembekal sayur keseluruhannya tengah berusaha untuk menghasilkan sayur itu semula. Banyak kerja yang perlu dilakukan di setiap peringkat itu yang pasti.

Tetapi juga, saya tidak faham dengan sebilangan orang di kawasan itu, pagi petang siang malam hendak bercerita tentang sayur ini, sayur itu, baik ini, baik itu. Tak kurang juga saya mendengar tentang kepingin mereka hendak memakan Sayur Kualiti Emas Bersinar-sinar, Gred 1 Paling Teratas namun kerja mereka mengoyang kaki sahaja. Kalau mahu, bekerjalah. Nak bercucuk tanam, perlu sedia tubuh badannya, akal fikirannya, ilmunya, kemahirannya dan banyak lagi keperluannya. Ini tidak! nak memegang cangkul pun tidak reti, entah-entah kenal tidak cangkul itu agaknya, jangan-jangan yang mana sayur yang mana rumput pun tak tahu nak dibezakan. Susahlah begini!

"Janganlah nanti menang sorak, kebun sayur tergadai"

Sudah panjang saya mengomel, ini sahaja cerita tentang satu kawasan yang menjual sayur di Tanah Landai Kakian Bukit. Wallahuallam

Jumaat, Mac 07, 2008

Dengar Fadli, Tuhanmu Sedang Berbicara...

Fadli!
Bangun Fadli!
Aduh
Kenapa badanmu Lemah sekali?
Kenapa hatimu gundah sekali?
Angkat kepalamu,
Fadli, Ya Sohabi, Ya Akhi, Ya Rafiqi ,
pandang sini, pandang mataku...
Dengar...apa yang bakal kukatakan

Fadli,
Aku tahu..
Kita tidak akan mampu mengubah apa yang sudah berlaku,
Jauh sekali menghapuskan apa yang telah terjadi,
Namun kita punya diri dan akal fikiran...
Maka ubahlah pada arah dan ufuk bila berfikir

Fadli,
Sudah, sudah...
Apa lagi yang kau ratap,
Mengapa juga kau terus menangis,
Susu yang tertumpah tidak mungkin balik ke kendinya,
Juga bubur tak mungkin tertanak menjadi nasi,

Fadli,
Mari...
Kita diam sebentar...
Dengarkan..
Dengarkan itu..
Teliti sayup desir angin peristiwa
Bukankah Tuhan sedang berbisik, berbicara dengan kau

Itulah...
Banyak sangat yang kau cakapkan,
Banyak sangat yang kau utarakan,
Hingga telinga pun sudah tidak mampu mendengar
Padahal, ini bukan panggilan asing!
Ini panggilan Penciptamu, Fadly!
Rabb yang menjadikan mu!
Astagfirullah, Fadli!
Apakah kau sudah menjadi sombong?
Kau sudah merasakan terlalu benar?

Lupakah...
Saat kau gigil kesejukan
Dialah yang memberi sinar kehangatan
Saat kau tercari-cari arah
Maka Dia tunjukkan jalanNya
Malah pada rahmatNya yang tidak putus
engkau dipilih bersama pejuang-pejuangNya

Tapi Kenapa Fadli?
Apakah kau lupa segalanya?
Berjalan begitu yakin,
Kau merasa begitu besar,
Apa kau fikir langkahmu sentiasa mudah?

Syukurlah Fadli,
Tuhanmu itu sungguh menyayangimu,
Masakan Dia membiarkan hambaNya ini berjalan tidak sedia,
Sedangkan di luar sana ada ramai yang ingin membunuhmu,
Masakan Dia membiarkan hambaNya ini terkubur begitu sahaja,


Tekuni aliran cerita nabi-nabi dan para sahabat, Fadli
Teladani pada ombak peristiwa perjuangan mereka,
Ada pengajaran yang bertakung tenang,
Maka hiruplah airnya Fadli, sebagai penawar

Jangan kau bazirkan tangisanmu Fadli
Merayulah pada Satu-Satunya yang mahu mendengar
Memintalah pada Satu-Satunya yang boleh memberi jalan keluar
Barulah nanti titisan yang jatuh boleh memecahkan kerasnya hatimu
Barulah nanti titisan yang jatuh boleh menyudahkan dusta dunia terhadapmu

Maka Dengarkanlah Fadly!
Pada bait-bait kata-kata Tuhanmu
Sungguh, diamlah sejenak dan dengarkan apa kataNya
Sungguh, inilah cinta yang tiada siapa lagi yang boleh memberinya

Fadly, aku terlalu sayangkan kamu,
Semoga Allah memberkati dan menolongmu,
Kembalilah padaNya,
Aku tahu kau rindu padaNya


Ikhlas daripada...

Hatimu sendiri

Rabu, Februari 27, 2008

Tengkujuh Sudah Perasaanku

Masakan aku boleh lupa saat kita awal-awal sekali bertemu. Berjumpa dan memulakan perkenalan. Saat aku tercari-cari kalau-kalau ada orang yang serasi di bual bicara, kau menghulurkan tangan lalu memulakan kata. Kalau aku boleh tunjukkan kegembiraanku waktu itu akan aku gambarkan semuanya indah-indah dan hebat-hebat belaka.

Maka, kita pupuk talian ukhwah antara kita. Kita mula mengenali antara satu sama lain, berbicara tentang perkara yang kita suka, perkara yang kita benci. Kita semakin rapat, makin mengenali hati masing-masing. Bukan sedikit perkara yang kita buat bersama-sama. Bukan sedikit hal-hal peribadi yang bual bersama. Sungguh kalau aku betul-betul ada seorang abang pada waktu itu, aku rasa engkaulah orangnya.

Aku sungguh berterima kasih atas segala pertolongan yang kau berikan. Entah macam mana agaknya boleh aku hadapi saat-saat kritikal hidup ditengah-tengah masyarakat yang penuh mehnah ini. Banyak kali aku terjatuh, tersadung, luka dan kalau papah aku bangun semula. Banyak kali seluruh dunia membelakangi aku dan kau ada di situ, tersenyum katakan semuanya akan baik semula.

Aku masih teringat, kau pernah berbicara denganku yang kau ingat lihat ummah ini berubah. Sungguh, itulah kali pertama aku dengar kata-kata sedemikian rupa. Tiada apa yang dihairankan dengan keadaan latar belakangmu yang begitu. Aku yakin kau dididik memikirkan masalah ummah, di asuh agar memikirkan resolusinya. Waktu itu aku berbangga dengan kau, bangga punya sahabat yang punya wawasan sebegitu jauh. Aku masih teringat pesan aku dahulu, bawa aku bersama kalau hendak berjuang. Biar kita berjalan di atas jalan yang sama. Kita beramal bersama. Ingat mengingati bersama.

Sungguh, banyaknya yang kau beri. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Selagi mampu, aku raikan persahabatan ini pada setiap hari-hari yang boleh ada. Kau pernah kata, kekadang ia terlalu banyak. Aku hanya mampu tertawa,apa sahajalah yang boleh aku lakukan untuk menghargai persahabatan ini. Nak bermain pun kita tak punya kemahiran yang sama. Kaki mu lincah sedangkan kakiku kaku, umpama bangku layaknya. Nak berbicara perkara lain pun kita tak punya minat yang sama. Cuma kerana kau kekal jadi sahabatku walau semuanya berbeza buat segalanya sungguh bermakna.

Entah apa yang berlaku, kita renggang seketika. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Pada waktu itulah aku terlepas pandang, terlepas dengar apa khabarnya tentang kau di sana. Pada masa yang sama, Allah temukan aku dengan permata dakwah yang nilainya begitu tinggi. Terus sahaja aku teringat tentang dikau, tentang janji yang pernah kita katakan bersama dahulu.

Aku tidak membazir masa pada waktu itu, terus sahaja aku mencari engkau. Mahu sahaja aku berlari waktu itu. Aku pasti kau pasti menyambut gembira seruan dakwah ini.

Malangnya, permata dakwah yang bersinar-sinar yang aku tatang dengan kedua-dua tanganku itu terpaksa aku sorokkan. Semacam tidak percaya melihat apa yang aku lihat di hadapanku. Kau berubah!. lain sungguh fikrahmu kini. Dahulu senang betul engkau ku ajak beramal ibadat namun sekarang kau dengan mudah katakan yang kau malas. Masa muda ini kau katakan rugi dibazirkan kalau tidak dinikmati sehabis-habisnya.

Dahulu, kau katakan semangat sekali tentang islah diri dan masyarakat. Kini dengan mudah kau katakan yang iman kau tidak setinggi mana, mana mungkin setaraf sahabat dan pejuang Islam. Aku jadi binggung, seolah-olah ada orang yang sudah membunuh kau dan diganti dengan orang yang lain.

Aku buat percubaan, aku beri mana bahan-bahan yang ada. Aku lihat sendiri kau memasukkannya ke dalam komputer. Ada dua folder besar. Aku bertanya untuk apa. Pantas kau menjawab. “Oh yang ini kalau aku rasa aku nakkan pengisian kerohanian, yang ini kalau rasakan aku nakkan hiburan”.

Kau tahu, betapa terkejutnya aku waktu itu. Cubaan menarik senyuman waktu itu umpama menoreh pisau pada hati sendiri rasanya. Sungguh! Kau memang sudah berubah.

Mahu sahaja aku putus asa waktu itu, tapi aku terlalu sayangkan kau. Maka atas sayangnya aku terhadap sahabatku maka kerana itulah aku mahu kau terima tanggugjawab dakwah ini. Tanda keakuaan dan terima kasih kita kepada Allah yang menemukan kita pada persahabatan ini. Sebagaimana semangatnya Rasullah berdakwah kepada kaumnya kerana sayangnya kepada kaumnya tidak mahu mereka sesat tanpa pedoman, sebegitulah aku mahu semangat mengajak kau mengenali fikrah dakwah melihat dan mengagumi sendiri keindahan permata yang berharga ini.

Aku mulakan langkah, meskipun tidak tahu bagaimanakah hasilnya. Sungguh, aku tidak peduli lagi apa perbezaan antara kita. Aku belajar sendiri semua perkara yang kau suka. Bertanya orang apakah itu, apakah ini. Digelak beberapa kali, tidak pernah aku kisah asalkan hati kau dapat ku sentuh. Asalkan boleh aku tunaikan sendiri janji kita untuk berdakwah.

Masa berlalu, namun jauh lagi letaknya kau berdiri dengan ke mana ingin aku bawa kau pergi sedang modalku segalanya telah habis.

Malam itu, kita berbicara panjang. Itulah kali pertama kita berada dalam keadaan sebegitu tegang. Namun, Pujukan ku masih tidak berjaya. Sungguh meskipun kita mengakhirinya dengan senyuman dan gelak ketawa, sebenarnya itu hanya untuk menutup dalam diriku yang sedang meratap-ratap.

Aku tahu kau malu dilihat bersamaku. Takut hilang imej muda mu, takut hilang ‘style’mu, takut tercakap perkara yang aku cakapkan, yang tiada orang boleh ketawa terbahak-bahak, yang tiada orang boleh mendengarmu kagum, yang tiada orang boleh memuji mu hebat. Sungguh berbeza sekali kita berbicara dihadapan orang ramai dan sebaliknya.

Kau kata kau mahu penjadi pendokong. Tapi mana usahanya? Berkata yang kau mampu lakukan tanpa sebarang tarbiyah adalah mimpi yang tak mungkin jadi kenyataan. “ At least aku masih....” itulah acap kali kau katakan. Sahabat, bagaimana mungkin at least itu membawa kita ke mana-mana. Adakah kau sudah lupa pada perjuangan ummah!?Derhaka kepada pengorbanan ummah!?

Dakwah tidak penah rugi tanpa kita tapi kita sangat rugi tanpa dakwah. Kerana inilah dakwah, kerja yang terus bersambung dengan limpahan berkat dari Allah. Aku tahu, kau bukan galang utama untuk aku meneruskan dakwah. Biarlah aku bawa diri. Aku berdoa tidak henti supaya menjadikan aku kuat dengan cubaan ini. Benarlah firman Allah

“Sungguh, engkau tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kau kasihi tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”

Kau nampak aku tersenyum, kau nampak aku tertawa. Namun ketahuilah setiap kali aku mula berpaling setelah mengucapkan selamat tinggal, aku menangis sendiri. Sedang tanganku, memegang permata dakwah itu, berdarah dan entah bila aku boleh tunjukkan kepada kau.

Saat itu, Hari itu Tengkujuh sudah perasaan ku . Kerana itu aku tatapkan di sini. Moga aku jadi cekal, moga orang lain jadi lebih baik daripada ku. Moga Allah memberkati dan membuka hatimu untuk kebali berjuang.

Jumaat, Februari 15, 2008

Erti Kehidupan (Pada Melihat Kelahiran Bayi)


قُتِلَ الْإِنسَانُ مَا أَكْفَرَهُ
Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya?
مِنْ أَيِّ شَيْءٍ خَلَقَهُ
dari apakah dia diciptakan oleh Allah?
مِن نُّطْفَةٍ خَلَقَهُ فَقَدَّرَهُ
Dari air mani diciptakannya, serta dipermudahkan jalannya
Abasa ayat 17,18,19
Seorang ibu duduk di koridor, nafasnya tertahan-tahan menahan kesakitan. Badannya sudah mula rasa seperti tertekan-tekan, sakit-sakit di bahagian belakang dan bawah perutnya, Mendengar aduan ibu tersebut, jururawat dan doktor bertugas sudah sedia maklum.


"Mari, kita ke kerusi obstetric" kata doktor kepada ibu tersebut lembut sambil dia dan jururawat perlahan-lahan menuntunnya.


Kami turun sejurus selepas itu, lengkap dengan pakaian bedah, dari atas hingga ke bawah. Semua seronok tidak terkata di beri peluang meyaksikan dengan kepala sendiri. Sayangnya, semangat yang berbunga-berbunga di halang mekarnya. Hajat tidak kesampaian, ibu itu malu kami semua menontonnya dalam keadaan sedemikian. Kami akur pada permintaan, dengan bersyukur kerana tidak di halau, dari kejauhan pintu kami berdiri setia melihat dari jauh.


Uterine contraction berlaku. Terdengar jelas sekali, ibu tersebut mengerang. Bercampur baur antara kesakitan dan sedaya upaya usaha tenaga bersalinnya. Kali keduanya, proses yang sama berlaku, namun belum ada tanda-tanda kepala bayi keluar. Terpancar sedikit kerisauan pada muka doktor dan jururawat, nyata cuba disembunyikan sebaik mungkin.


"ada kemungkinan jika terlalu lama, kita berdepan dengan masalah fetus hypoxia (kekurangan oksigen pada bayi)" pensyarah berbisik kepada kami


Uterine contraction berlaku lagi, masih lama untuk terlihat coronation of fetal head, tanda-tanda kepala bayi muncul. Namun apa yang sudah jelas nampak, tenaga si ibu sudah banyak tersejat, hilang bersama jeritannya tadi.


"Saya dah tak mampu!" si ibu tadi mengeleng-gelengkan kepala, kakinya yang direnggang tadi cuba dirapatkan.

Doktor dan jururawat pantas menghalang perkara itu berlaku, bayi sudah berada di kawasan tulang pelvisnya, berbuat demikian hanya akan menyusahkan keadaan.


"Natalya! natalya! dengar nih! awak boleh buat! Tenang!" Berkali-kali doktor memujuk agar si ibu tadi tidak berputus asa.


Sebetulnya, kelahiran bayi kali ini lebih emosionalnya. Namun, ada logiknya. Si ibu ini meskipun sudah beranak dua namun anaknya kali ini lahirnya pada lewat umurnya. Maka beberapa masalah perlu diambil kira. Mungkin, memahami perkara ini tidak ada seorang pun personel di dalam bilik bersalin ini berkata apa-apa meskipun begitu reaksi si ibu.
< /div>
Beberapa minit selepas itu, sekali lagi uterine contraction berlaku. Alhamdulillah, kali ini kepala bayi muncul. Doktor mengambil gunting, membuat prosedur biasa memperbesar ruang peranakan. Turutan-turutan selepas itu tidak mengambil masa lama, setelah kepala muncul, ia diikuti dengan mata, dagu. kemudian bayi melakukan pusingan sebelum keluar bahu, tangan kiri dan tangan kanan. Akhir sekali, ia diakhiri apabila kaki mula keluar dan bayi ditarik ke atas.


Semua kami tersenyum. Saya sendiri tidak terkecuali. Entah mengapa, air mata saya sedikit mengalir. Setiap kali satu demi satu anggota bayi itu muncul, tidak berhenti saya ucapkan SubhanAllah di dalam hati. Ya Allah sungguh Engkau Maha mengetahui, tanpa Engkau manakan mungkin seorang bayi mampu keluar dari ruang peranakan seorang ibu yang begitu kecil. Satu perkara mustahil yang kau nampakkan seperti mudah dan senang.


Juga di akhir-akhir penyaksian tadi, hati saya dibuat tersentuh. Seksanya seorang ibu, hendak melahirkan seorang anaknya. Baru saya tahu apakah yang dimaksudkan dengan bertarung dengan maut itu.


Maka pada perjalanan pulang, saya berfikir sendiri. Atas segala perkara ini, layakkah untuk seorang manusia berlaku sombong sedangkan dia lemah dan munculnya di dunia ini pun dipermudahkan untuknya, sedikit pun bukan pada usaha dari manusia itu sendiri.
WaAllahualam

Ahad, Februari 03, 2008

Hidup Anda bermaknakah?

Anda semua adalah mangsa

Meski anda gembira:

Anda ada duit yang banyak, anda punyai rumah besar, kereta idaman, simpanan dengan dividen berkali kali ganda

Anda sebenarnya adalah mangsa kepada dunia kapitalis: siapa yang lebih untung dialah yang lebih berkuasa, anda akan mencari duit dan kebendaaan tanpa henti hatta bila anda hendak berehat pun kuasa dominasi duit tetap ada


Meski anda gembira:

Anda bermain game sepuas-puas hati, mencatatkan score tertinggi setiap game yang anda menangi, sentiasa up to date dengan lagu-lagu terkini hingga mampu menyanyi dan menari setaraf mereka, sentiasa berpakaian mengikut arus fesyen semasa hingga lengkap dengan accesoriesnya

Anda sebenarnya mangsa kepada dunia hedonisme: diperkotak- katikkan dan dipermainkan. Hakikatnya anda tidak pernah berfikir sendiri, meski perkara buruk yang ditonjolkan namun anda rasa bangga dan puas kerana ia mengikut edaran waktu semasa.

Buktikan apa yang saya katakan adalah salah, buktikan pada saya, dengan apa yang anda ikut selama ini pernah menyumbangkan kepada dunia menjadi satu tempat yang lebih baik.


Merdeka itu bukan boleh berbuat apa sahaja yang boleh kita buat, dunia kita dibentuk berdasarkan eksperimen pemikiran dan falsafah mereka dan kita sedang mengalami impak dan kesan merundumnya.

Merdeka itu apabila anda bangun dari tidur dan anda tahu hidup anda bermakna...

Dan hidup itu bermakna apabila anda kembali pada fitrah, kembali kepada makna kejadian. Hanya dengan itu dunia ini kekal pada kesejahteraannya sepertimana setiap makhluk kekal pada fitrah kehidupan dan kejadiaannya.

Sebab itulah Islam datang. Satu bentuk penyerahan, satu bentuk kebebasan, satu bentuk kembali kepada apa yang sepatutnya.

Kalau anda tidak berpuas hati, buktikan apa yang saya katakan salah!

Dan jika ia benar mari bersama-sama kita sebarkan risalah suci ini.

Khamis, Januari 10, 2008

Hijrah yang Bermakna

Assalamualaikum, syukur yang tak terhingga ke hadrat Allah atas nikmat Islam dan keredhaannya yang tak pernah putus-putus. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarganya, para sahabat dan tabiin.

Entri kali ini agak personal, Mungkin juga akan jadi sangat panjang. Anda boleh sahaja keluar atau pergi sahaja ke mana-mana webpage yang lain. Namun, jika anda ingin terus setia membaca, terima kasih dan saya berharap anda dapat pengajaran daripada kisah ini.

1428 H-Sungguh, inilah tahun yang paling mencabar untuk saya. Jatuh-jatuh beratus-ratus kali, ditimpa beban berjuta-juta kali. Saya rasa pada satu tahun yang singkat, saya melalui beberapa ujian: Ujian keimanan, kesabaran dan bermacam-macam lagi. Ikhlas saya katakan saya telah gagal entah keberapa kali.

Saya rasa kejahatan paling bahaya adalah kejahatan yang tersembunyi. Baik di luar tetapi Nauzubillah entah apa yang ada di dalam. Siapa yang tidak kenal Fadly: Naib Presiden Kelab UMNO, Paramedic. Segala yang baik yang boleh berlaku kepada seseorang ada pada Fadli. Dia suka menolong orang, cakapnya manis, perbuatannya elok.

Namun, Fadly ini juga tidak sebaik yang anda sangkakan. Dia mengumpat, pernah memfitnah orang, diam-diam pernah mencetuskan perbalahan dan entah apa lagi dari sekecil-kecil dosa hingga ke sebesar-besarnya. Lebih teruk daripada itu, setelah apa yang berlaku dia boleh keluar tersenyum menjadi orang paling tidak bersalah di dunia.

Huh! apa yang lebih teruk orang yang sama, ada hati untuk mengubah dunia. Konon nak menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik, ada rasa ingin mengangkat Islam ke tempat paling patut. Namun Allah maha adil, dia memberi peluang yang sama kepada semua hambanya. Pada waktu itulah datangnya ujian samada saya layak atau tidak. Entah berapa kali hukum Islam saya jadikan mengikut ijtihad saya sendiri. Ya saya dan tangan-tangan, akal-akal kotor saya yang kononnya sudah cukup pakar setelah tahu segala bentuk jenis pemerintahan sepak terajang politik dan ilmu-ilmu di dunia ini. Cakap sahaja samada globalisasi, liberalisasi, Kapitalis, Komunism, Demokrasi, republik, The Prince apa sahaja yang pernah wujud, saya telah dilatih sejak awal-awal menjejakkan kaki ke sekolah menengah, sudah mengkaji entah berapa banyak pemikiran yang pernah wujud di dunia ini.

Namun bukan itu yang Allah perlukan untuk lulus ujian tersebut. Nyata tidak satu pun daripadanya bermakna. Dahulu saya sangka, saya lebih baik daripada orang lain, punya ilmu orang lain tidak tahu. Tetapi di depan pengadilannya saya tersungkur, jatuh tanpa mampu melawan sedikit pun.

Satu pagi saya bangun kosong, melihat segala di dunia ini tidak lagi bermakna. Bertanya apakah tujuan saya ada di situ dan apakah sebab kewujudan saya di situ. Baru saya sedar waktu tidak ada suatu pun yang mampu membantu, bukan duit yang banyak, bukan reputasi yang tinggi menjulang, bukan baju yang mengikut trend terkini, bukan juga minda yang bijak, tidak juga lidah yang petah berkata. Saya tidak pernah merasakan keseorangan lebih daripada itu, dikelilingi orang ramai tetapi masih sangat sunyi. Terlampau sunyi hingga hati terasa seperti dihimpit-himpit.

Malam-malam berikutnya saya menangis tidak berhenti-henti. Tidak tahu samada ada malam yang tidak ditemani tangisan. Saya melihat kembali jejak yang saya tinggalkan, tidak suatu yang mengambarkan betapa seorang Muslim itu perlu lebih baik esoknya berbanding semalam. Maka akhirnya dihadapan Allah yang Maha kuasa, saya tunduk melepas ego saya, melepaskan segala pundak yang ada; memohon agar Allah berikan petunjuk, agar Allah tunjukkan jalan kembali.

Sungguh penantian itu satu penyeksaan. Selama masa itulah saya terseksa, tidak tahu bagaimana hendak melangkah dan tidak mahu berundur ke belakang. Waktu itu kesabaran saya diuji, duduk di situ sendirian, sunyi tetapi saya katakan pada diri saya walau apapun berlaku jangan ikuti jalan yang lama kerana ia tidak membawa saya ke mana-mana yang lebih baik meski saya belum temui sebarang jalan keluar

Maka setelah kesekian lamanya, saya begitu daif keadaan menunggu sesuatu yang saya sendiri kurang pasti. Menuggu masa saya akal saya sampai ke hadnya. Waktu itulah kasih sayang Allah datang mencurah-curah.

Maka saya sangat bersyukur kerana ada tangan yang sudi menghulur, ada insan yang sudi menunjuk jalan. Ada senyuman ikhlas yang sudi menceriakan. Yang lebih utama, saya bersyukur tidak terhingga, kepada Allah s.w.t kerana sudi menerima hambanya walau entah berapa banyak menghampakanNya, kerana sudi memilih hambanya walau sudah berapa hina jadinya.

Juga kerana itulah , Hijrah yang saya lakukan adalah hijrah besar yang sama sekali saya tidak ingin lepaskan. Saya akan jejaki jalan ini walau sesukar mana mungkin. Masa depan bukan untuk kita untuk mengetahuinya namun berjuang itu tetap mesti.

Bilamana ada orang memperkecilkan perjuangan ini, maka saya berkata sendiri. Kalaulah mereka tahu bagaimana susahnya hendak menerima hidayah Allah, bagaimana berbahagia di beri keredhaan Allah maka mereka tidak akan berkata begitu. Saya tersenyum dan berdoa agar jalannya dipermudahkan.

Maka doa tidak henti saya berikan kepada segala saudara-saudara saya yang saya sayangi. Semoga Allah meredhai kalian semua. Semoga kalian disayangi Allah. Kepada yang sedang berhijraj, tetapkanlah hati. Berbaik sangkalah dengan yang Maha pemberi Hidayah dan janganlah berputus hati dengan Nya

Saya yakin anda lebih baik daripada saya. Maka saya yang lemah ini boleh membuktikannya kenapa tidak anda?

Bangunlah! Dunia ini perlukan insan menyokong syahadah untuk meluruskannya kembali...

Redha Allah, apa lagi yang lebih penting?!!!

Salam Maal Hijrah 1429H

Ahad, Januari 06, 2008

Ghibah (Memfitnah, mengumpat)

Defenisi Ghibah: menyebutkan sifat seseorang dengan sebutan yang tidak dia sukai sekiranya dia mendengarnya (samada tentang keluarganya, nasabnya, hartanya, binatang ternakannya dan lain-lain)

-Memberi perumpamaan, memperli turut termasuk dalam hal tersebut kerana ia dikira seperti hendak memberi penegasan atau memudahkan perkara itu mudah untuk difahami

-Orang yang mendengarnya turut dikategorikan sebagai orang yang bersekutu dengan yang berbuat Ghibah kerana dia menyukainya dan mengalakkan

Dalil pembuktian

1.Hadis 35 dalam hadis 40 Imam Nawawi
...Jangan mendengki, Jangan saling bertengkar, jangan saling berpaling, jangan sebahagian kamu memfitnah sebahagian yang lain, jadilah kamu hamba-hamba Allah yang soleh

Lebih berat dari zina
2. Sabda Rasullah "Janganlah kamu melakukan ghibah kerana ghibah itu lebih berat daripada Zina sebab apabila orang berzina lalu bertaubat Allah terima taubatnnya sedangkan pelaku Ghibah itu tidak diampuni dosanya hingga dimaafkan oleh orang yang diumpatnya"

Di akhirat mencakar mukanya sendiri
3. Anas R.A meriwayatkan bahawa dia mendengar Rasullah bersabda " Di malam Isra' aku melalui satu kaum yang mencakar wajahnya dengan kuku mereka

maka Rasullah bertanya pada Jibrail "Siapakah orang ini"

Jibrail menjawab "Mereka ini adalah orang-orang yang memfitnah orang-orang lainnya dan memburukkan kehormatan mereka"

4. Hadis 696 dalam Riyadus Salihin oleh Imam Nawawi
Dari Jarir bin Abdullah r.a, Rasullah bersabda "Janganlah engkau menjadi orang kafir sepeninggalanku nanti, janganlah sebahagian daripada engkau memukul leher sebahagian yang lain"

maksudnya janganlah sesuatu yang dapat menyebabkan terjadinya perceraian, permusuhan dan pertempuran antara sesama kaum muslimin

Ghibah yang dibolehkan

1. Mengeluhkan/Membenci kezaliman contoh: seorang hakim yang zalim atau hakim itu menerima rasuah
2. Minta tolong untuk mengubah kemungkaran
3. Meminta fatwa
4. Mengingatkan Kaum muslimin tentang kemungkaran orang kafir
5. Kefasikan dan kemungkaran secara terang-terangan


sumber:
Riyadus Salihin- Imam Nawawi
Hadis 40- Imam Nawawi
Ihya Ulumuddiin- Imam Al Ghazali

Asas-asas akhlak yang membentuk masyarakat berjaya

Hakikatnya, badan manusia terdiri daripada unsur-unsur yang menguasai dan dikuasai. Unsur yang dikuasai adalah unsur-unsur semulajadi yang tertakluk pada keadaan physiologinya, biologinya dan fizikalnya. Manakala unsur yang menguasai adalah akhlak, perbuatan dan kelakuan manusia itu sendiri.

Ini tidak mustahil, malah dalam perubatan sendiri. Kita mengakui wujud konsep placebo, bagaimana kadar penyembuhan boleh dipengaruhi oleh reaksi dan kelakuan pesakit. Dalam contoh yang lain pula, kita boleh melihat dalam banyak kes-kes bayi yang tidak betul posisinya dalam kandungan (Breech, Face dan lain-lain) banyak bertitik tolak pada keadaan dan kelakuaan ibunya.

Namun, akhlak itu dalam konteks penguasaannya boleh dibahagikan kepada 2:
1. Akhlak Asas Insan (Insaniah Asasiah)
2. Akhlak Islam (Islamiah)

Akhlak Asas Insan adalah akhlak yang manusia secara fitrahnya dan secara umumnya meletakkannya sebagai amalan, perbuatan dan kelakuaan yang baik dan terpuji. Ini termasuklah norma-norma seperti rajin berusaha, berani, menepati masa, tekun, berani.
Seperti mana yang dikata dalam sabda Rasullah “ Manusia ini seperti logam, terpilihnya ketika jahiliyah dan terpilihnya ketika Islam

Manakala Akhlak Islam pula menjadi pelengkap kepada Akhlak Asas Insan ini. Penyataan di buat kerana, akhlak asas insan walau hebat mana sekalipun tetap akan tergugat apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Namun, akhlak ini jika diteraskan pada ketauhidan seterusnya diteguhkan dengan Akhlak Islamiah, maka akhlak ini kekal utuh. Maka Akhlak Islam apabila dikatakan sebagai pelengkap bukanlah meletakkannya sebagai entiti sampingan tetapi menjadikan entiti penting dalam pembentukan satu akhlak yang lebih baik pada sifatnya.

Sunatullah telah menetapkan 2 situasi:

1. Sekiranya tidak ada golongan manusia yang memiliki akhlak Asas Insan dan Akhlah Islam, maka material dan sebab akan mendominasi. Golongan yang menguasai sebab, ideologi dan material akan mendominasi dunia.

2. Sekiranya ada golongan manusia yang memiliki akhlak asas Insan dan Akhlak Islamiah dan juga penguasaan material maka golongan ini yang akan menguasai dunia sesuai dengan kehendak Allah

Selain itu, merujuk kepada Al-quran satu rumus boleh dibuat berkenaan berkaitan perkara ini

Penguasaan Dunia= Akhlak Asas Insan + 100 Material
Penguasaan Dunia= Akhlak Asas Insan + 25 Material +75 Akhlak Islamiah



Melalui rumus tersebut mengatakan keperluan kepada material dapat dikurangkan apabila akhlak Islamiah diterapkan dalam diri seseorang pemerintah dan rumus ini di sokong berdasarkan firman Allah dalam Al Anfal ayat 65


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى الْقِتَالِ إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّئَةٌ يَغْلِبُواْ أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَفْقَهُونَ
Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu) dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.


Seterusnnya akhlak ini juga perlu melalui beberapa peringkat:
Iman----Islam-----Taqwa----Ehsan.

Melalui perkara ini, maka terbentuk masyarakat berjaya yang bukan sahaja menguasai dunia malah memakmurkan dunia tanpa menzalimi sesiapa.
Nah! Saya cabar mana-mana ideologi ciptaan manusia yang boleh menandingi perkara ini.
Sumber:
Asas-asas akhlak dalam harakah Islamiyah-Al Maududi

Isnin, Disember 24, 2007

Roti, Kaya dan Peanut Butter

Ini cerita saya dahulu-dahulu, waktu saya muda-muda, antara saya, roti, kaya dan peanutbutter.


Cerita bermula

Ia bermula dengan saya yang tidak pernah suka makan roti, semenjak saya dilahirkan sehingga masuk ke sekolah menengah, saya tidak pernah menunjuk sedikit pun minat terhadap roti. Buatlah macam mana pun saya tidak pernah suka untuk memakan roti.

Hendak dijadikan cerita, hari pertama saya di INTEC untuk Persediaan Program Russia, saya tidak mempunyai apa-apa untuk sarapan melainkan roti, kaya dan peanutbutter. Roti dan Kaya diberi oleh emak saya dan peanut butter dibeli oleh saya sendiri, konon-kononya untuk dimakan. Jam waktu itu menunjukkan 6.45 pagi, masih awal dan saya kira masih sempat untuk membeli apa-apa dipertengahan jalan.

"Tak makan ke roti nih?"Tanya Afiq, waktu itu kami berdua adalah kawan sebilik dan sekelas

"Tak Apalah, tak minat. Kalau nak ambil sahaja, tak perlu malu-malu" Jawab saya acuh tidak acuh.

Diam semula. Afiq tidak menjawab selepas itu. Saya menghirup air Milo didalam cawan yang selebihnya. Hari pertama dengan orang yang tidak dikenali memang janggal rupanya.

Ditakdirkan juga, bas sangat lambat pagi itu dan lambakan pelajar sangat banyak umpama sardin layaknya. Maka kelaparanlah saya selepas itu, pergi ke kelas bahasa Russia yang entah apa diajar (kali pertama belajar,pastinya tidak tahu apa-apa). Waktu itulah saya rasa ada sedikit kesal tidak memakan apa-apa.

Namun, itu tidak mengubah sedikit pun minat saya terhadap roti. Saya fikir, biasalah ramai orang tidak memakan apa-apa sewaktu sarapan pagi.Tetapi siapa sangka malam itu, ia berubah.

Waktu itu kami sudah penat mengulang kaji kerja rumah yang cikgu Bahasa Rusia kami berikan. Afiq pergi ke dapur dan saya pun mengekornya sesudah tidak tahu apa hendak dibuat setelah menyalin satu muka surat penuh dengan 4 huruf pertama bahasa Rusia.

"Buat apa?"saya bertanya, taktik biasa membuka bicara bila tiada apa hendak diperkatakan.

"Tak ada apa-apa, sahaja nak makan roti. Nak ke? Ambillah..." sambil afiq menyapu kaya dan peanut butter ke atas roti itu.


Saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya mengambil roti tersebut. Samada saya sengaja hendak membalas pelawaan secara baik ataupun Afiq sendiri yang sangat baik sehingga tidak sampai hati berkata tidak. Tapi saya lari dari kebiasaan malam itu dan bukan setakat itu, saya memakan roti itu sekali.

"Emm sedapnya"

Sungguh saya tidak sangka roti boleh jadi begitu sedap, siapa sangka saya menghabiskan kesemuanya. Afiq tersenyum sahaja waktu itu. Itulah kali pertama saya berminat dengan roti dan disitulah sejarahnya bermula.


Iktibarnya

Namun cerita ini bukan sengaja ditulis ataupun suka-suka ditulis. Buat apa saya memberitahu cerita saya dan Afiq yang saya rasa tidak pun melepasi tahap piawaian menarik untuk dikongsi bersama kalau ia tidak mempunyai pengajaran.

Apa yang mahu saya katakan, manusia boleh berubah hati. Macam mana dia degil dan keras pun hatinya boleh berubah pendirian. Lihat sahaja saya, yang boleh mengubah sesuatu yang amat saya benci kepada minat. Begitulah halnya dengan dakwah, sebagai dai'e kita perlu yakin yang manusia itu dapat diubah. Tiada apa yang mustahil dengan izin Allah. Malah dialah yang menguasai hati-hati manusia.


Namun taktiknya perlu diambil kira. Sunatullah tentang hati manusia tidak boleh diendahkan. Tentunya, saya tidak mengatakan yang Afiq merancang supaya saya boleh memakan roti (kalau ya, pastinya saya tergelak!)

Malah mungkin juga kisah roti itu berlaku secara kebetulan. Tetapi dek sebab Afiq diam pada pagi itu dengan tidak memberi apa-apa komen pada saya pagi itu atau mungkin tindakan dia mencampurkan kaya dan peanut butter menjadikan roti itu dengan resepi yang sedap telah berjaya menyebabkan saya mengubah tabiat seumur hidup pada masa yang tidaklah lebih pun dalam sehari.

Sebab itu para Da'ie perlu berhikmah dan kreatif. Cuba bayangkan kalau dialog pagi itu diulang tayang dengan keadaan berbeza

"Tak makan ke roti nih?"Tanya Afiq, waktu itu kami berdua adalah kawan sebilik dan sekelas

"Tak Apalah, tak minat. Kalau nak ambil sahaja, tak perlu malu-malu" Jawab saya acuh tidak acuh.

"Eh, peliknya orang tak makan roti. Semua orang makan roti waktu sarapan."

-atau-

"Ala, mengada-adalah kau ni, makan sahajalah. Kita dah lambat ni!"

Kalaulah afiq berkata begini waktu ini (meski saya rasa Afiq tidak mungkin berkata demikian), sumpah! saya sampai ke hari ni masih tidak menyentuh roti tersebut. Saya rasakan diam itu tindakan paling berhikmah dan ianya berkesan!

Maka, walaupun niat yang baik tetapi dengan pendekatan yang tidak betul maka objektifnya tidak akan sampai. Berhikmahlah, kreatiflah kerana yang kita sedang dekati ini adalah hati-hati manusia bukannya kertas soalan objektif yang hanya ada jawapan A,B,C atau D

WaAllahualam.


p/s: saya masih makan roti hari ini tetapi hanya jika ada kaya dan peanut butter (kegemaran saya!) =)

Rabu, Disember 19, 2007

Gagak Dan Salji


Ada Gagak hitam ditengah salji putih;
Beribu yang lalu tapi tak siapa endah...



Tapi ada titik Hitam di tengah kertas putih
Bukan tak hendak ditanggal tapi dah dia degil disitu
Sayang pula orang terlebih memilih, dibawa perkara kecil, diamuk sekampung


Hai inilah terjadi
Bila Semut Seberang Jadi Gergasi
Bila Gajah Di Depan mata sudah tidak nampak berisi

Khamis, Disember 06, 2007

DARAH

Jangan ditanya pada syaitan
Soal sahaja pada saudara
Kenapa kita dicabul
Kenapa kita dijual

Mungkinnya, darah syuhada yang mengalir itu telah lama kering
Pada puncanya yang tidak lagi dikenali
Makanya ke mana sungai semangat itu hendak pergi?
Sedang alirannya ke tasik itu dikekang
Pada sesama pertalian yang tidak lagi terasa
Sedang sarat bertakung air yang tidak pernah diredhai

Dahulunya tebing tasik itu makmur
Tanahnya jadi begitu subur
Hingga rimbun pepohon syiar Islam
Tumbuh bunga harapan
Mewangi peradaban suci
Masyhurnya, bertiup angin berkat sejauh khabar mampu pergi

Punya bangsa pun tidak berhak pada bumi ini
Tinggikah nilai atas khazanah yang percuma kita berikan?

Punya nyawa pun tidak berhak pada jasad sendiri
Hilangkah akal kita pada wasiat yang kita lupakan?

Kelak pada apa mampu kita banggakan dengan masa hadapan
Sungguh buah hasilnya bukan pada tangan kita sendiri

Makanya, pada darah sendiri yang tidak rela tertumpah
Malulah kita!
Malulah kita!

Fadly Khairie
Volgograd, Russia

Jumaat, November 30, 2007

Saya betul-betul tidak faham

Perasan dengan benda baru yang saya letakkan di side bar sebelah?

Saya betul-betul tidak tahu apakah yang cuba dimaksudkan, adakah ini bermakna yang blog saya sangat susah difaham hingga perlukan orang yang berotak genius untuk membacanya?

Rasanya mungkin itu sebabnya kenapa artikel saya tidak banyak dikomen. :)

Sabtu, November 24, 2007

Hati-hati dengan Hati

Assalamualaikum

Cuaca di luar tidak menentu, kadang kala mematuk-mematuk dengan gigitan angin sejuk, kadang kala ada belas kasihannya. Meski kerap kali matahari bersinar, semacam musim panas masih berbaki tapi cahayanya sahaja yang berjaya meloloskan diri, haba dan yang lainnya macam tersekat.
Namun siapalah saya memberi komen pada ciptaan Allah penuh hikmah. Putihnya sekeliling tampak sangat gembira bagi saya. Sekurang-kurangnya bantuan dari Allah kepada orang mukmin tak perlu penat menjaga pandangan, sebab semuanya tiba-tiba pandai menutup kemas-kemas badan.

Pengajian berjalan lancar. Sekarang sudah pun masuk 'cycle Radiology'. Melihat-lihat x-ray dan menyalin-nyalin nota bagaimana nak menafsirkannya. Perlu diberitahu juga kami baru lepas 'cycle obstetric', dapat melihat 1 C-section juga mengkagumi kehebatan ciptaan Allah pada aturan bayi hendak keluar melihat dunia dari perut ibunya. Saya tersenyum sendiri bila teringat ibu-ibu yang malu apabila kami membuat pemeriksaan terhadap mereka. Barangkali kami muda sangat, layaknya seperti anaknya sebelum ini sahaja. Mujur hanya mengukur lilitan perut dan benda-benda mudah sahaja. Kalau diminta lebih tak tahulah macam mana pula.

Masa-masa lain di peruntukkan untuk menguruskan soal hati. Pastinya bukan saya yang bercinta! Itu sangat klise untuk masa sekarang.

Ini soal lebih penting, perihal hati saya yang imannya naik turun. Juga tentang hati yang degil tak mendengar cakap, penat seluruh anggota mengajar, akal mendidik tapi ke lain juga dia pergi.

Tiba-tiba saya berasa takut. Adakah istidraj menimpa saya, apakah ikhlas tidak wujud? Saya tak mahu jadi insan biasa. Hati insan biasa longlai tidak segah. Pernah beberapa kali dulu saya memakai hati ini, nampak sahaja cantik, popular tapi lansung tidak selesa. Saya suka dengan hati yang dipakai para mujahidin, sahabat-sahabat nabi. Hatinya nampak mudah, tapi dibina penuh kompleks, meski nampak ringkas luarannya tapi dalamnya masya Allah mantap, kukuh namun kekal selesanya. Sesuai di bawa ke mana-mana.

Juga perihal hati sahabat-sahabat atau saudara-saudara yang saya sayangi. Jenuh mencari kunci ke setiap hati masing-masing. Mencari penawar hati yang paling setiap mereka senangi. Entah berapa banyak formula dah saya cipta. Dah berapa banyak teori dan hipotesis saya reka. Dari Kitab Suci Quran hingga ke kitab-kitab kelolaan cendekiawan dan alim ulama zaman kegemilangan Islam.

Adanya yang 'broad spectrum' tapi kesannya sipi-sipi di atas pula, ada yang diletak spesifik, tapi satu tempat disentuh, tempat lain pula merengek-rengek. Ada yang tolak mentah-mentah, itu lagi membingungkan.

Kalau ikutkan hati nak sahaja saya lari berjumpa naqib saya sekarang juga, Mudah banyak nak beribadat, ada sahaja pendorong, penjaga. Setiap masa boleh mengadu pada Allah. Saya rindu saat begitu

Tapilah, kalau saya ini sahabat zaman nabi, alangkah tak malunya saya balik merajuk jumpa Rasullah macam budak kecil dibuli. Baru sedikit dah nak mengaduh-aduh. Ada muslimin dan mukminin yang disiat kulit, disikat kulit kepala hingga ke daging-daging, dibelah badan menjadi dua pun takkata apa-apa.

Maka yang tinggal setiap hari saya teringat surah Al-inshirah, Adduha... Surat cinta Allah ini saya baca berulang-ulang hingga muncul air pencuci dan pelembut hati. Shaidul Istighfar saya ulang-ulang moga tiada istidraj menimpa. Saya pujuk diri sendiri kenapa risau bukankah Allah kata yang tidak akan dibebani kepada seseorang yang diluar kesanggupannya. Lupakah saya pada janji Allah dalam surah Al-Asr. Mana kata janji pada surah AlKafirun. Mana ikrar saya pada surah Al-Ikhlas.

Sungguh hidayah itu milik Allah. Atas tarbiyahNya selama 21 tahun ini saya menjadi insan yang sangat bersyukur. Apa lagi yang saya minta? Malah apalah semua yang saya lakukan kalau bukan untuk mendapat walau sedikit keredhaan daripadanya. Kalau ini tiada nilai bagiNya maka tak bermaknalah segalanya bagi saya

Allah telah berfirman:

"Bukan engkau yang memanah ketika engkau memanah tetapi Allahlah yang memanah" Al-anfal: 17

"Berdoa manusia itu dgn kebaikan dan telah berdoa mereka dengan kejahatan sesungguhnya manusia adalah terburu-buru" Al- Isra 11

Khamis, November 08, 2007

Autumn Retreat 07 KUMOSC (Pandangan Orang Jauh)

Nama Moscow bukan satu nama yang baru bagi saya tetapi untuk berada di sini 3 hari lamanya walaupun malu untuk dikatakan tetapi inilah kali pertama. Meski perjalanan yang agak jauh memakan 2 jam 45 minit dan intonasi bahasa Russia org Mosckovich yang sedikit berbeza (seperti yang cikgu saya cakap: Ani vistra gavarit kak ani kusayut bukva) laju dan kurang berintonasi, ditambah dengan kejutan kesejukan dari selatan ke dataran utara ini. Namun, apalah semua itu berbanding dengan sambutan penuh ikhwah dari warga Malaysia di sana dan semangat berkobar-kobar untuk ke Autumn Retreat(AR) 07 Kelab UMNO Moscow yang nyata memanaskan dan menselesakan keadaan. Buat sementara, sungguh saya terasa menjadi penuntut di sana.

Program disambut dengan salji-salji putih menghiasi persekitaran. Tanpa angin, salji tersebut nampak cantik terletak di atas pohon.

"Ini bukan autumn retreat, kena tukar jadi winter retreat ni" seloroh masing-masing, kami yang lain hanya ketawa beramai-ramai.

Program dimulakan dengan baik. Bermula dengan hadis Logam, Afiq berjaya menyampaikan bahagian mukadimah dengan jelas. Walaupun pada awal peserta nampak keliru tentang pengenalan tentang penyatuan Islam sebagai satu bangsa juga perbezaan antara Islam (Nama) dan islam(perbuatan menyerah diri). Namun ia menjadi semakin jelas lebih-lebih lagi apabila penekanan tentang perlunya memahami Islam itu dengan hati, betapa kefahaman itu lebih penting dari hanya memiliki ilmu semata-mata. Saya juga berpuas hati dengan penerangan sunatullah dan kaitan yang berjaya dibuat kepada sejarah dan situasi kini. Tertarik juga dengan analogi putih dan kuning telur yang begitu banyak maksud yang boleh diberikan hanya dengan satu contoh mudah. Sessi yang mengajak kita banyak berfikir dan Afiq memang berjaya mengeksploitasi pagi segar itu untuk diguna sepenuhnya.

Langsai solat Zuhur dan makan tengahhari, program diteruskan oleh Mustaqqim. Sungguh saya risau kalau bahagian ini gagal mencapai perhatian peserta kerana fokusnya 'Sejarah'. Namun nyata, Mustaqim bijak dan pakar menyampaikan sesuatu yang rumit itu menjadi begitu ringkas dan menarik. Lawak-lawak sederhana diselang seli dengan cerita-cerita membawa saya setia sampai ke hujung. Garis masa dan perkaitan masa bermula dari Nabi Adam hingga ke Ibrahim, pecah kepada ishaq' dan ishak, pergi ke Rasullah, Khalifah Arrasyidin, Bani Umayyah, Abbasiyah hingga Turki Uthmaniyah sangat jelas. Nyata Mustaqqim sangat bersedia dan penuh dengan kelengkapan.

Pada pengakhirannya, saya dikejutkan dengan penukaran gaya percakapan Mustaqim, suasana dari pengajaran tiba-tiba bertukar menjadi serius. Hakikat zaman kini yang digambarkan oleh Mustaqim benar-benar menyedarkan hati. Umpama tersentak dari lamunan, minda saya diketuk beberapa kali dengan peranan kita yang sebenarnya. Sekali dia senyap, satu dewan semuanya senyap: sedar kesemuanya dengan kesilapan langkah kita selama ini.

Saya sendiri menutup sessi dengan hadith Ghulam, saya serah komennya pada peserta sendiri namun sambutan mengalakkan pada perkara yang saya sampaikan walaupun sudah hampir 10 jam berprogram ikhlas amat mengharukan saya. Nyata peserta terdiri dari orang yang tinggi-tinggi semangatnya.

Luar dari dewan, saya sangat suka dengan suasana yang dipamerkan. Penjagaan solat jemaah pada waktunya, makan penuh adab, tiada kroni-kroni yang nampak: kesemuanya dari tiga buah universiti sama-sama bertukar-tukar cerita. Batas lelaki dan perempuan yang dijaga. Betapa indahnya, majlis yang diberkati Allah ini.

Kalau ada pun yang perlu dibaiki, mungkin pada masanya. Saya rasa program ini agak terkejar-kejar kerana mulanya agak lambat. Kemudian, mungkin juga bahan-bahan anti ngantuk lebih perlu diberi perhatian selepas ini,mungkin lebih santai rasanya. Kalau ada teh panas atau kopi lagi menarik mungkin (hehe). Apa-apapun saya lebih suka untuk berpuas hati dan mengatakan program lebih kepada berjaya.

Maka keesokannya, setelah sekali lagi disambut dengan salji memutih di luar. Juga setelah makan nasi goreng kampung yang sangat special lagi sangat sedap. Saya pulang dengan hati yang sangat tenang dan doa yang tak putus-putus semoga Allah kurniakan kefahaman dan limpah rahmatnya kepada anda semua. Pengalaman tiga hari di Moscow yang saya kekalkan dalam ingatan.

Isnin, Oktober 29, 2007

Surat untuk sahabat yang saya sayangi...

Selalu terjadi apa yang kita hendak, itulah yang susah kita nak dapatkan

Sahabat, sungguh siapa sangatlah aku ini untuk kau jadi seorang yang penting dalam hidup.

Tak punya duit yang banyak untuk dibeli hadiah yang mahal-mahal buat kau sentiasa tersenyum

Tak ada lawak-lawak yang menarik buat kau sentiasa ketawa

Tak ada cerita-cerita baru buat kau tak pernah bosan

Tak ada muka yg cantik buat kau tak jemu memandang

Aku boleh jadi bermakna sesaat dan terbuang sesaat yang lain
boleh jadi berguna mulanya kemudian terbiar akhirnya

Nak bermain pun tak tahu apa yang kita suka bersama

Nak berkata pun tak tahu apa yang kita minat bersama

Aku hanya punya satu harta yang paling berharga, walau ditawar semua harta di bumi, walau di minta bergadai nyawa tapi takkan sekali harta ini aku berikan...

Aku genggam, aku peluk kemas-kemas, tak sekali lepaskan..

Namun sebab kau insan istimewa yang amat besar maknanya bagiku, walau macam mana kau anggap diri ini, walau hambar mana kau lihat diri ini

Betapa aku sedar bukan senang nak wujudkan hubungan ini, anugerah besar rahmat dari Yang di atas.

Betapa aku jadi manusia ada nilai bila kau jadi sahabat

Maka aku ingin berkongsi harta yang paling berharga itu, aku ingin beri harta yang tidak ingin aku lepaskan itu

Supaya kau tidak pergi, supaya pertalian ini kekal, supaya kau seronok berada di sisi..

Ini cubaan terakhirku, dengan mata jernih, muka tersenyum, dalam bekas yang aku hias secantiknya, sekreatif mungkin, dengan hati berdebar takut-takut kau menolak...

Terima Hadiah berupa 'KEFAHAMAN ISLAM' ikhlas dari sahabatmu ini...







Kalau juga kau menolak, kalau juga kau anggap ini tidak bermakna maka sungguh kau tinggalkan aku tanpa apa-apa lagi...

Maka dengan titip airmata kehilangan barang berharga, aku panjatkan doa yang tak putus-putus dengan harapan yang tak pernah ingin aku padamkan...

Sungguh apa sangatlah pedih ini dibanding Rasullah inginkan bapa saudaranya memiliki nur hidayah dari Allah..

Hidayah itu milik Allah, moga Allah bukakan pintu hati mu..

Sungguh jika tangan ini tak mampu menyentuh hatimu...

Selasa, Oktober 16, 2007

Tip2 Berhari Raya utk Warga Volgograd

Syawal dan Aidilfitri di Volgograd pastinya berbeza dengan tempat-tempat yang lain. Yalah, dengan ketidaksempatan untuk bersembahyang raya kerana perlu menghadiri kelas. Ditambah pula dengan cuti hanya pada hari Ahad, menjadikan kalaulah ada masa untuk kita berhari raya, maka nikmatnya amatlah terasa.

Ini belum dikira dengan jarak kita yang amat jauh daripada pihak kedutaan lalu menyerahkan sambutan hari raya 100% kepada kita sendiri. Maka apakah lagi yang menyebabkan kita tidak merasakan keseronokan hasil jerit perih kita sendiri.

Rumah terbuka, Sambutan Hari Raya, Rendang, nasi himpit dan sebagainya semuanya telah jadi tradisi kita komuniti Malaysia di Volgograd. Namun disamping kita mengagungkan tradisi, jangan lupa beberapa perkara yang perlu diingat

1.) Penuhilah jemputan ke rumah terbuka

Firman Allah (alhujurat ayat 10)

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat

2.) bermohon maaflah sesama kita

Maka maafkanlah mereka dengan cara yang baik (Al Hijr:85)

3.)Ketika melawat bertanya khabar, bukannya mengumpat

hadith nabi:
Kalau ada diantara kamu itu tiada, maka carilah dia


Firman Allah (al Hujrat ayat 11)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

4.) Janganlah kita pula membebankan tuan rumah , meminta bukan-bukan

Ingatlah membazir itu amalan syaitan

5.) Tujuan utama untuk merapatkan silaturrahim bukan nak melantak :)


Makanlah ketika lapar dan berhentilah sebelum kenyang

6.) Duduk dan mata tu jangan pula meliar, ini rumah orang bukan agen mencari jodoh

Firman Allah (An-Nuur:30)


قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Sambutan Raya Besar-besaran (Rumah terbuka untuk semua warga Volgograd)

Kepada AJKnya

1.) Niatkan segala perbuatan tidak lain kerana Allah

Firman Allah (Az-Dzariyat 56-57)

Dan aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka meyembah-ku.

2.) Janganlah bergaduh-gaduh semata-mata sebab perkara kecil

Firman Allah (Al Hujurat ayat 9)

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya

Kepada kita2 yang lain (yang bukan AJK maknanya)

1.) Kalau ada mereka berbuat silap, janganlah membawa mulut macam ada hiburan wajib setiap tahun ,mereka sendiri bukan malaikat yang tak berbuat silap.

Hadis nabi
diriwayatkan oleh attirmidzi

Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang telah menghumbankan muka mereka ke dalam neraka?

2.) Setelah diberi tugasan, janganlah curi tulang: buatlah lillahi taala

Islam itu mudah, membawa berita gembira dan bersatu padu. Jagalah akhlak kita maka di samping kita berseronok kita masih mendapat pahala. Ini tidak dah lar bersuka-suka, dapat dosa pula, pahala satu pun tak dapat, penat dah terasa, belajar tertinggal juga.

Fikir-fikirkan

Wallahuallam