Sabtu, Februari 14, 2009

Masjid: Antara Syiar dan Tujuan


Pembinaan masjid begitu signifikan dalam sejarah umat Islam.

Malah kita sedia maklum, perkara pertama yang rasullah pilih untuk pertama sekali disegerakan adalah pembinaan masjid.

Kemudiannya kita melihat dalam susur galur sirah nabawiyah, masjid tersebut telah menjadi lebih daripada tempat solat, tetapi juga tempat bermuzakarah, tempat merancang strategi peperangan, tempat ilmu dan sebagainya.

Setelah kurun demi kurun berlalu, sudah semacam menjadi kebiasaan kita untuk membina masjid di mana sahaja tempat yang mempunyai komuniti muslim. Muncullah berbagai-bagai bentuk, pelbagai kubah dan menara. Sampai setiap satu membawa simbolik yang cukup mengkagumkan.

Kemudian setelah beberapa lama, muncul pula masalah; Kenapa masjid tidak berjaya dimakmurkan? Kenapa ia semacam tidak sama seperti di zaman kegemilangan Islam dahulu.

Makanya, kita perlu kembali semula kepada yang asal. Adakah masjid itu satu syiar (lambang)? atau satu tujuan?. Masjid itu ada padanya jiwa atau sekadar namanya?

Rasullah pada awalnya membina masjid bukanlah supaya boleh ada tempat yang baginda hendak jadikan perpustakaan ataupun satu tempat boleh dibuat kenduri-kenduri atau keramaian. Rasullah mahukan satu tempat yang semua umat Islam boleh mendekatkan diri kepada Allah(taqorub ilallah). Satu tempat yang mana, semua umat Islam sedar akan status dia sebagai hamba Allah.

Lihat sahaja asal perkataan masjid tersebut, bukankah ia bermaksud tempat sujud? Satu tempat yang boleh kita sujud, boleh kita bersolat. Hakikatnya, tempat itu boleh diisytiharkan di mana-mana,bukan mesti ada pembesar suara, mimbar dan aksesori yang lain. Orang Melayu sahaja yang membezakan masjid, musolla dan surau.

Maka kalau mengambil pengajaran dari sirah nabawiyah, sewajarnya sesampai kita pada tempat baru, rumah baru atau kawasan baru, seharusnya tempat pertama yang kita harus cari, di mana tempat kita khaskan untuk sujud kepada Allah. Di mana tempat untuk kita jadikan masjid kita kerana di situlah kita diingatkan untuk mendekatkan diri pada Allah, melakukan apa sahaja yang semakin mendekatkan diri pada Allah dan menghalang diri kita untuk semakin menjauhinya.

Ironinya, sampai-sampai dahulu, kita fikir di mana hendak diletak sofa, televisyen, barang itu dan ini. Kalau membuka kawasan kita fikir di mana tempat di letak bangunan itu dan ini. Semacam masjid itu tidak menjadi prioriti lansung atau dengan kata lainnya semacam mendekatkan diri pada Allah itu tidak menjadi penting lansung.

Jadi untuk memakmurkan masjid, bukan menarik orang untuk datang ke masjid tapi lebih dari untuk menarik orang supaya lebih mendekati Allah. Semakin dia dekat pada Allah, faham dengan agamanya, maka dengan sendiri dia tahu ke mana tempat yang harus dituju.

Merujuk kepada situasi pembinaan masjid kirovsky. Jadinya, dalam kempen-kempen kita 'Jangan sekadar kita ceritakan tentang hati budi orang Muslim di sini yang hendak di balas' tetapi lebih daripada itu kita ceritakan dan kenalkan mereka dengan perihal dekat kepada Allah.

Sebabnya bila sampai generasi-generasi awal sudah pergi, cerita-cerita hati budi terasa semakin jauh, tetapi biarkan kita tanamkan dalam hati mereka rasa dekat dengan Allah. Supaya nanti, mereka merasai rasa ikatan yang dihubung dengan tali aqidah Allah dan melalui menimbulkan rasa keinginan mahukan saudara-saudara mereka merasakan nikmat dekat pada Allah seperti mana yang pernah mereka rasai

WaAllahulam

3 ulasan:

Mohafiz MH, M.D. berkata...

salam..artikel yang baik..aku mintak nak letak kat musliminvolgo eh.thanx

fadly khairie berkata...

salam, huhu nak letak ke sana ke? boleh2 silakan

zati_nadia berkata...

salam..mohon izin share..jzkllh