Khamis, Mac 15, 2007

Selamat Hari Wanita...

"Sudah tertulis lama dalam journal persendirian, tapi masih berfikir-fikir untuk di 'post' kan atau tidak."

9 Mac 2007

Saya kurang pasti samada saya patut menulis pada hari ini atau tidak. Sebetulnya, hari ini sepatutnya cuti umum di sini tetapi memandangkan esok saya punya 3 subjek yang perlu dipandang dengan berat maka membiarkan hari ini bercampur aduk antara rehat ataupun bekerja.

Hari ini hari wanita. Mengikut tradisinya, hari ini merupakan satu hari yang mana seluruh dunia perlu diperingatkan tentang hak-hak wanita. Supaya golongan ini diberi layanan sewajarnya dan diberi tempat yang sepatutnya. Satu pemikiran yang sudah lama klise bagi umat Islam. Bukankah Islam telah lama memberi garis panduan tersebut malah sudah terlebih dahulu mengangkat darjah wanita lebih awal daripada ketika hari ini diumumkan pada tahun 1913 di St. Petersburg.

Meskipun begitu, hari ini sememmangnya satu hari yang mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dilihat. Kita dapat menyaksikan harga bunga melonjak sangat tinggi pada hari ini. Kemana kita pergi kita boleh lihat lelaki membeli bunga dan perempuan membawa bunga.

Walaupun budaya ini pastinya asing pada kami pada awalnya, tetapi memandangkan pensyarah semuanya orang Russia dan majoritinya wanita, maka kami pun perlu membeli bunga; 2 jambangan bunga (3 kuntum ros setiap satunya) kami sediakan untuk 2 orang cikgu Bahasa Russia kami.

2 perkara tentang orang Russia terutamanya wanita, mereka sangat suka bunga dan coklat. Satu jambangan sahaja sudah cukup membuatkan cikgu kami tersenyum lebar sambil bercakap tanpa henti untuk 20 minit. Cukup membuktikan segalanya kan?

Budak perempuan kelas kami pada hari lelaki yang lalu (23 Feb) ada membuat jamuan untuk kami. Maka sebagai syarat, tak sahlah kalau tidak buat benda yang sama untuk mereka pada 8 Mac (Hari Wanita). Lelaki memasak untuk hari wanita juga merupakan satu tradisi bagi lelaki Russia pada hari ini. Mengikut apa yang saya dengar daripada cikgu, pada hari ini lelaki perlu melakukan segala kerja rumah dan membiarkan wanita( terutamanya para ibu) berehat.

Jamuan untuk budak perempuan kelas kami ringkas sahaja. Sekadar pulut dengan rendang, di samping salad, omelet dan kek buah. Kami kata ini konsep ‘Fusion’ (Gabungan Timur dan Barat). Tidak dilupa juga Milkshake dengan jus apple yang dihias dengan buah apel. Sebagai hadiah kenangan-kenangan kami buat satu bentuk budak perempuan mengikut karakter masing-masing daripada coklat.

Habis sahaja saya menulis cerita ini, sudahpun masuk maghrib di sini. Tingkat kami semuanya lelaki. Pagi-pagi tadi dapur kami mengalahkan restoran berasap tanpa henti. Oven, MIcrowave, Mixer, semuanya digunakan. Semuanya ada jamuan. Bila hari berakhir, matahari terbenam maka tinggallah dapur kami umpama tongkang pecah yang karam layaknya. Maka mengamuklah satu-satunya wanita yang masih tinggal Mama kami ataupun pembersih asrama kami. Kami pun cepat-cepat buat apa yang patut dan sebagai penutup kami pun berkata pada Mama ‘S praznikom Mama!’. Dia pun tersenyum dan tak marah lagi. Kami masih budak-budak yang baik.

Kepada semua wanita di luar sana. Selamat Hari Wanita. Sememangnya sebaik-baik hiasan dunia adalah wanita solehah.

2 ulasan:

Sarah Mohd Shukor berkata...

salam fadly,

dgn membersihkan dapur selepas kamu semua menongkahpecahkannya adalah hadiah terhebat buat Mama. pasti tidur Mama malam itu diulit karenah kamu semua sepanjang bertugas di hostel tu. pasti dia akan terkenang selalu akan hadiah terhebat yg kamu semua berikan sempena hari wanita thn ini.

fadly khairie berkata...

harap-harapnyalah. Tapi yang pastinya tak pulak Mama marah malam tu, suka lar tu agaknya :)