Ahad, Disember 27, 2009

Dilitupi Salji, DiPeluk Iman: Kirovsky Islamic Centre

Hari itu tampak tenang. Tiada angin yang mengigit kesejukan, tiada salji yang lewat turun. Suhu di sekitar nampak selesa di sekitar 0 ke -5, 'Teplo' orang Russia kata, suam kata kita. Kebetulan juga hari tersebut merupakan hari terakhir 'Cycle Infection', maka kami pun mengambil keputusan untuk solat jumaat di Masjid Kirovsky.

Ada jarak lebih kurang 15 minit antara Hospital Infection dengan Masjid Kirovsky. Perjalanannya tidak sukar meski kadang-kadang ada salji setinggi buku lali dan anjing-anjing liar berkeliaran. Kami bergelak ketawa di sepanjang perjalanan, berseloroh sambil mengambil gambar satu atau dua dikelilingi pokok-pokok yang beku layak kristal rupanya.



Tidaklah lama kemudian, kami melihat kubah mini biru lembut mengamit pemandangan, dilitupi sebahagiannya dek salji. Beberapa perkara tidak boleh terlepas dari pandangan kami, ada longokan batang-batang kayu di hadapan, sebukit tanah dilitupi salji. Tingkap-tingkap aluminium di tingkat satu melegakan saya, alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya ada persediaan masjid in menghadapi musim sejuk.



Kami membuka pintu perlahan-lahan, ragu-ragu kalau tiada solat jumaat di situ. Kami melangkah masuk dan terus disambut haba hangat dari pemanas, dialu-alukan zikir jemaah yang berada di dalam. Segala-galanya kelihatan sangat sederhana, masih banyak dalam proses penyempurnaan. Ada banyak wayar berjuntaian di atas siling sambil mentol-mentol kuning lembut menyinari dalam masjid. Masih belum ada pemanas radiator cuma deruman pemanas gas, percikan kayu api di bakar menjadi peneman jemaah hari itu. Rata-rata kebanyakan jemaah terdiri daripada orang-orang tua dari sekitar penempatan. Barangkali kebanyakan orang muda solat di 'Masjid Lenkoransyaya' di tengah bandar. Lebih tersedia dari segi fasilitasinya.
 


Kami duduk bersila menyertai yang lain untuk mendengar Imam Rustam menyampaikan Khutbah Jumaat. Imam Rustam mengenakan jubah hijau dengan sulaman 2 bunga berwarna merah di tengah-tengah jubahnya. Mukanya yang cerah, senyumannya yang ikhlas nyata menarik kami untuk setia mendengar. Khutbahnya punya nada yang lebih tegas berbanding khutbah Imam di Masjid Lenkoranskaya yang biasa kami dengar. Lebih banyak penekanan akidah dalam khutbahnya. Beliau mengingatkan sungguh-sungguh untuk membezakan amalan kita ketika melalui Tahun Baru dan Krismas, amalan-amalan yang dibuat mengikut-mengikut penganut agama lain boleh menjejaskan akidah kita, malah terus-terus jelas melanggar syariat. Beliau turut menegur ibu bapa yang membawa masuk budaya-budaya sambutan tersebut sekaligus menjadikan seolah-olah satu kebiasaan yang tidak lansung nampak salah di hati anak-anak.

Usai solat kami menolak-nolak untuk bercakap dengan Imam Rustam. Bukan berebut tetapi takut mungkin kerana ketegasannya ketika solat jumaat sedikit mengentarkan kami (aduhai hati orang Melayu). Namun, setelah beliau menegur kami, nyata beliau sangat ramah. Kami kemudiannya berbual-bual tentang perkembangan pembinaan Kirovsky Islamic Centre. Butir demi butir beliau menerangkan tentang masalah duit yang di alami, pekerja yang tidak dapat digaji, pemanas yang perlu dipasang secepat mungkin dan air yng perlu dibawa masuk. Kira-kira lebih daripada 200 ribu ruble (23 ribu ringgit, 4600 euro, 6700 USD)  diperlukan dalam jangka masa terdekat bagi pemasangan radiator pemanas lebih-lebih lagi mengambil kemungkinan tiba-tiba ribut salji akan datang kembali ke Volgograd, lagi 300 ribu ruble (33 ribu ringgit) lagi diperlukan membayar upah pekerja.

Setelah berbual-bual ringkas, kami mengambil gambar kenang-kenangan bersama-sama. Di  pertengahan jalan keluar, kami menolong jemaah yang lain mengangkat masuk kayu-kayu api yang telah dipotong ke dalam masjid. Hari itu kami akhiri dengan penuh senyuman, doa dan semangat agar Kirovsky ini dapat tersergam lebih seperti masjid, memainkan fungsinya menyuburkan syiar Islam di sini.


DiNaungi Ilahi
Dilitupi salji
Dipeluk semangat Keimanan

Moga Kau subur Nanti
Dapat menyemai benih-benih Islam
Agar tumbuh mekar pohon Ad-Din
Yang membuahkan keberkatan untuk dunia 

Rabu, Ogos 26, 2009

Kartika, Rotan dan Lebih daripada itu



Hakim Makhamah Syariah Pahang Abdul Rahman menjatuhkan hukuman sebat 6 kali dan denda RM 5000.

Kartika Sari Dewi Shukarno kemudiannya berkata “Saya menerima hukuman ini, biarlah Allah menentukan di akhirat”

Ramai memuji.

Ada juga menegur.

Tidak kurang juga melenting.


Oh! Perlu diberitahu juga hukuman rotan syariah tidak sama dengan hukuman rotan makhamah sivil

Rotannya tiada ruas, tiada buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter. Sementara itu, ukur lilitnya tidak melebihi 0.0125 meter.

Pesalah perempuan duduk, dan berpakaian seperti yang disyariatkan oleh Islam.

Perotannya tidak boleh mengangkat rotan lebih daripada paras kepala.

Namun antara kekal dengan sebatan  ini, rayuan, hukuman jenis lain ataupun sebaliknya. Biarlah saya serahkan kepada yang lebih arif untuk menentukan

Tapi saya ingin membicarakan sesuatu yang lebih daripada itu

Saya teringat:

1.   Nabi Ayyub pernah bersumpah hendak menyebat isterinya dengan 100 kali sebatan tetapi Allah Maha Pengasih dan Penyayang telah meminta Nabi Ayyub mengikat 100 helai rumput kering dan menyebat sekali sahaja untuk menunaikan sumpah tersebut

Tapi soalnya: Titik Fokus kita di mana?

  • ·     S ejauh mana kita memandang berat minum arak itu sebagai satu aktiviti yang tidak sihat baik dari segi jasmani dan rohani.
  • ·      Sejauh mana kita melihat arak ini boleh meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat.
  • ·      Sejauh mana juga kita sebagai golongan dewasa khususnya ibu bapa dapat mendidik anaknya menunjukkan baik dan buruk, halal dan haram.
  • ·      Sejauh mana masyarakat melihat salahnya dan negatifnya aktiviti ini.




Ya! tidak fokus kita di mana? Sewajarnya respons kita (tanpa perlu mengira siapa) perlu melihat kepada perkara-perkara ini. Kenapa pula dilarikan dan ditarik ke tempat-tempat lain.

Takut nanti 'Menang sorak kampung tergadai.' Kita seronok tumpuan dunia ke sini. Kita seronok ada berita hangat yang baru. Selesai semua benda, apa sahaja yang kita dapat?

Aduhai!

Kalau mahu dipersoalkan isu diskriminasi:

Bukankah lebih diskriminasi

  1. ·      Jika dibiarkan wanita dibiarkan dalam aktiviti tidak bermoral
  2. ·      Jika dibiarkan anak-anak mewarisi perangai buruk ibu bapanya
  3. ·      Tingkah laku beragama, bertata susila dan berbudaya dianggap sebagai kolot dan berhibur, hedonisme itu diangkat dan dijulang tinggi-tinggi



Yang Lebih Penting!

Kalau betullah peristiwa ini jadi turning point untuk Kartika berubah, maka inilah peluang keemasan untuk dia dibimbing, ditunjukkan semula jalan yang benar.

Nanti biar dia jadi contoh baik untuk 2 orang anaknya, biar dia pula nanti boleh jadi penunjuk cara kepada yang masyarakat.

Mana tahu dari model boleh bertukar menjadi kaunselor atau pendakwah mungkin?

Ha! Yang ini ada sesiapa angkat tangan nak bantu?

baca juga:







Isnin, Ogos 24, 2009

Bazaar Ramadhan: Seronok masih boleh berjimat

Satu kajian dibuat oleh islam online.net mengatakan bahawa lebih daripada 50% daripada koresponden mengatakan mereka memakan secara berlebihan ketika bulan Ramadhan

Namun kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa siapa sahaja yang tidak sukakan bazaar ramadhan. Ramai daripada kami yang belajar di Luar Negara sanggup berebut membeli tiket pulang lewat tahun ini semata-mata untuk merasa sendiri kemeriahan suasana ini.
Sangat meriah hinggakan ia tersenarai sebagai satu satu acara-acara menarik Cuti-cuti Malaysia.
Tetapi tempat indah ini punya jerangkap samarnya sendiri: pembaziran!
Jadi bagaimana untuk berjimat tetapi masih menikmati keseronokannya?
Ini apa yang saya buat:
  • 1. Balik ke kampung: Harga makanan di kampung jauh lebih murah daripada di Bandar. Di Sabak Bernam 1 ringgit boleh dapat 3 ketul kuih, 2 ringgit boleh dapat sejag air
  • 2. Hadkan duit yang di bawa: Jangan bawa dompet ke bazaar, memadai dengan membawa sejumlah wang. Misalnya RM 10, selebihnya tinggal sahaja di rumah
  • 3. Hadkan bilangan yang dibeli: Semua kuih yang saya beli saya hadkan kepada 3 (nilainya RM1)
  • 4. Hari esok masih ada: biasanya pasti ada perasaan seolah-olah kita beli semua benda di sana. Selalukan kata dalam diri “tak apa esok boleh datang lagi”
  • 5. Berkongsi: biasa saya ke bazaar beramai-ramai. Setiap kami beli barang berlainan. Sampai di rumah boleh di kongsi bersama-sama. Variasinya lebih dan keseronokannya berganda.
Alami kemeriahan sendiri cuma janganlah berlebih-lebihan
Ada cara lain mungkin?

Ahad, Mei 31, 2009

Membuat Keputusan yang Bijak, Tepat dan Betul

" Ana runsing ni akh, mak ana kata macam ini, ana pula fikir macam ini"

" Ana tak tahu nak pilih yang mana, bertembung pula apa kita rancang dengan benda ini"

" Cuti ni mak ana suruh duduk rumah akh, ana nak ke program kita"


Inilah antara perbualan-perbualan biasa setiap murabbi bakal dengar, pertembungan antara dakwah yang kita perjuangkan dengan apa yang kita juga punya tanggungjawab besar untuk tunaikan; keluarga, pelajaran, pekerjaan, ibu bapa dan sebagainya. Perkara ini berterusan daripada sekecil-kecil hal untuk menghadiri usrah sehinggalah ke sebesar-besar perkara seperti perkahwinan, mencari tempat tinggal dan seterusnya.


Rencah-rencah ini akan terus menemani kita selama-lamanya dan semestinya, membuat keputusan paling sesuai pada ketika ini adalah skil pendakwah yang paling susah sekali untuk dimahiri. Namun, realiti yang harus kita terima bahawa kebijakan mengendalikan situasi juga menentukan kelansungan seseorang terus berjuang dalam medan dakwah ini.


Anggapan paling salah adalah perlu sentiasa ada yang kalah dalam setiap kali keputusan di buat. Jangan sesekali kita mengaku kalah selagi mana usaha untuk situasi menang-menang boleh berlaku. Misalannya dalam isu berebut antara tinggal di rumah dan pergi ke program, kita boleh berkata:


"Mak, kenapa mak tak faham? benda ini penting, saya kena pergi juga"dan kita seterusnya melancarkan perang baru yang berlanjutan bertahun-tahun


atau kita boleh dalam masa sebulan pertama, berusaha untuk menjadi anak baik, menolong ibu bapa, mengambil hati mereka sampailah mana tahu mereka boleh berkata


"Mak tengok kamu duduk rumah sahaja, tak mahu ke berjalan-jalan dengan kawan-kawan ke mana-mana?"


Pastinya keadaan tidak semudah ini, namun pastinya, langkah yang bijak diatur dan keputusan yang dilakukan dengan penuh berhati-hati pastinya memberikan jalan yang lebih mudah pada masa akan datang.


Namun perlu ditekankan. Skill merancang membuat keputusan adalah sangat penting, kalau sekarang mungkin masalah kita hanya sebagai seorang pelajar dengan ibu bapa. Pada masa akan datang kalau sudah berkahwin, bekeluarga, punya 2 keluarga yang perlu ditimbang tara, anak-anak pula, pekerjaan pula, maka bebannya akan bertambah. Jaga-jaga tidak mustahil dek kerana terlalu rimas dan serabut dengan pilihan-pilihan ini, kita mengambil jalan untuk melepaskan salah satu dan akhirnya keputusan tersebut memakan diri sendiri.



Kepada yang ditimpa masalah


1.Jangan sesekali fikir sesuatu masalah boleh diselesaikan dalam satu hari semata-mata. Jangan mengharap jawapan ajaib penyelesaian kepada semua masalah yang ada.


2.satu perkara paling penting "MINTA TOLONG". Jangan sesekali kita rasa, menyelesaikan perkara ini sendirian adalah lebih baik dan elok untuk semua pihak. Sistem usrah kita ini dibentuk sebegini rupa kerana memang menyangka perkara ini akan terjadi. Jadi manfaatkan semua ikhwah yang kita kenali. Jangan risau kalau pun penyelesaian tidak terus akan didapati namun luahan rasa sekurang-kurang melegakan diri.


3.Emosi seperti risau,takut, tidak pasti, binggung adalah kerana kita tidak punya apa-apa maklumat. Lagi besar ruang yang tidak kita ketahui, lagi hebat perasaan tersebut. Berbincang dengan mereka yang pernah melalui situasi tersebut memberikan kita lebih banyak gambaran dan apa yang bakal dilalui


4. Pastikan anda tidak membiarkan diri anda menghadapi keadaan ini keseorangan. Satu sistem sokongan yang bersama anda sebelum, semasa dan selepas keputusan di buat adalah amat penting.



Kepada murabbi yang mendengar masalah


1. Jangan sesekali fikir bahawa anda perlu menjadi penentu keputusan apa yang perlu dibuat. Kita boleh menunjuk cara tapi biarkan keputusan dibuat oleh anak buah kita sendiri.


2. Reevaluate: kadang kala masalah itu berhubung kait antara satu yang lain, mengetahui asal awal cerita kepada masalah membantu kita mengenal masalah sebenar. Juga kadang kala mereka yang bertanya meletakkan perkara yang tidak penting sebagai masalah, membiarkan puncanya yang lebih besar terbiar tidak diselesaikan


3. Reassurance: Setiap mereka yang bertanya pastinya mempunyai rasa nilai diri yang rendah. Naikkan semula semangat mereka, yakinkan mereka bahawa insyAllah ada jalan keluar kepada masalah ini. Beritahu mereka yang mereka tidak keseorangan, beritahu mereka yang anda akan ada membantu mereka. Pastikan mereka tahu yang mereka punyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah tersebut


4. Constructively: senaraikan masalah yang ada, cari segala penyelesaian yang mungkin; pastikan ia praktikal dengan kemampuan, tidak guna jika penyelesaiaannya hebat tetapi tidak dapat diaplikasikan. Pilih yang paling bagus. Cuba penyelasaian tersebut, evaluasi keberkesanan. Ulang semula sehingga penyelesaian sebenar dijumpai.


5. Supportive: Menjadi murabbi juga bukan bermaksud anda perlu menyelesaikan masalah anak buah kita seorang, cari sebanyak mungkin sumber yang boleh. Namun, berbincang dahulu tindakan dengan anak buah, pastikan privasi dan hak anak buah kita terjaga ketika kita meminta bantuan pihak luar. Kalau anak buah kita selesa masalah ini dikongsi ramai, khabarkan ketika usrah, jadikan seperti satu kumpulan sokongan.


Senarai ini mungkin bertambah, namun cukuplah ini sekadar yang utama. Pastinya, pengalaman adalah guru paling utama. Juga jangan dilupa solat Isthikharah, qiamullail kerana akhirnya kita hanya merancang tapi penentunya tetap Allah juga.


Rabu, April 29, 2009

Menyerah Kalah bukan Pilihan


Kalah tidak pernah serasi
Bukan pada kita seorang Daie

Kita tidak pernah takut
Kita tidak pernah gerun
Kita tidak mudah dilemahkan

Sekurang-kurangnya bukan dalam medan ini

Kalau jatuh jangan pernah kecut untuk berdiri
Walau luka jangan pernah takut berlari

Kalaupun lebat hujan sangsi pada kita
Kalaupun hadiah dakwah kita dicampak semula pada kita
Kalaupun dihina tanpa belas
Kalaupun kasih tak berbalas


Tapi...
Kita tidak akan pernah tinggalkan orang yang kita sayang
Orang yang sama-sama kita ingin dia rasakan

nikmat hidayah
nikmat iman
nikmat amal
nikmat dakwah

Jadi..
jika menangis cepat kesat airmatamu
jika terluka cepat rawat sakitmu

Kita mungkin kalah perlawanan hari ini
Tak bermakna kita kalah pertarungan akan datang

Semoga Allah memberkati kita

Isnin, Mac 16, 2009

Takut kita dengan Bayang-Bayang


"Ana tak boleh jadi dai'e akh, ana tak cukup ilmu lagi"


"Eh kerja-kerja dakwah tu, kerja ustaz-ustaz, kita orang biasa ni duduk diam-diam sudahlah, nanti kalau salah kita juga berdosa"


Bukanlah mengatakan yang saya ini sangat berpengalaman dalam bidang dakwah tetapi alasan sebegini sudah banyak sekali saya dengar, malah jawapan yang sama boleh kita dengar daripada mereka yang mengikuti usrah bertahun-tahun.


Kali pertama saya dengar, hancur luluh hati saya dibuatnya namun apabila ditimpa dengan jawapan yang sama berulang kali  menyebabkan saya berfikir sendiri. Mungkin sebenarnya ini satu ketakutan yang kita sama alami, satu masalah yang kita sama hadapi.


Setiap daripada kita punya kelemahan sendiri; tidak pandai bercakap dihadapan orang ramai, tidak tahu mengambil hati orang lain, tidak pandai memimpin, tidak punya ilmu agama yang cukup. Senaraikanlah, sampai penuh artikel ini pun belum tentu habis lagi.


Inilah bayang-bayang yang kita bawa dari kecil lagi dan akhirnya membesar bersama-sama dengan kita. Lebih teruk, kalau-kalau ia menjadi lebih sihat daripada kita.


Ketakutan adalah fitrah, satu perasaan yang ada dalam setiap manusia. Kalau ketakutan sudah menjadi terlalu kritikal, kita namakannya sebagai phobia. Tahap kita mampu untuk menguruskannya juga berbeza-beza. Ada orang menganggapnya masalah kecil, ada yang hingga menyebabkannya tidak tidur malam, ada juga yang diburu dengan ketakutannya seumur hidupnya.


Maka untuk itu, Islam tidak pernah sesekali menafikan perasaan tersebut namun apa yang diberikan oleh agama ini adalah satu resolusi bagaimana hendak menghadapinya.


Perhatikan bagaimana Allah berkata dengan kita tentang ketakutan,serahkah rasa itu pada Allah, gantikan dengan penuh rasa berharap dengan Allah, tukarkan dengan keyakinan bahawa Allah itu mengetahui, Allah itu mengasihani dan Allah itu Maha Mendengar dan Mengetahui isi hati hambanya.


"Dan rahsiakanlah kata-katamu atau nyatakanlah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala rasa isi hati" (Maksud Firman Allah-Al Mulk  67:17)


Atau tatapi sahaja tiga surah terakhir Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, penuh dengan rasa keterikatan kita dengan Allah dan jaminan penuh pelindungan dari Allah.


Bergantung harap pada Allah tidak pernah menjadikan kita lemah. Lihat sahaja hasilnya pada sahabat-sahabat Rasullah, berperang, menyebarkan Islam dengan entah berapa rendah kebarangkaliannya, dengan entah berapa tinggi peratus mustahilnya.


Maka, jangan takut melangkah. Langkah pertama untuk menjadi tuan kepada bayang-bayang kita adalah dengan menghadapinya.  Kalau anda tidak tahu bercakap di hadapan khayalak ramai, maka mulakan dengan bercakap dalam kelompok kecil dahulu. Kalau anda tidak tahu berkomunikasi dengan orang ramai, mulakan dahulu dengan sahabat anda sendiri. Tawarkan diri mengedalikan aktiviti-aktiviti sesama ikhwah. Dalami lebih banyak ilmu. Beritahu masalah anda dengan murabbi masing-masing. Dakwah, Usrah dan Halaqah kita ini bukan semata-mata aktiviti persatuan, mendengar pengisian setiap minggu. Tapi ini cara hidup kita, cara hidup yang menjadikan kita manusia yang lebih boleh bermanfaat kepada ummahnya. Ini cara kita membentuk modal insan atau 'human resource' kepada komuniti kita.


Jadi satu-satunya cara untuk menghadapi bayang-bayang kita sendiri bukannya menutup cahaya sumber panduan kita, bukan juga dengan lari daripadanya. Tetapi adalah berdiri tegap, mata tetap ke hadapan. Anda belum tentu selamat kalau anda berdiam diri, tetapi kalau anda bergerak, anda boleh boleh melakukan banyak benda dan satu perkara perlu diingat:


"Maka akan Kami mudahkan jalan ke arah kebahagiaan" (Maksud firman  Allah-Al Lail 92:7)    

Selasa, Februari 24, 2009

Bulan Amali Muslim 2009

Bulan Amali Muslim '09

Tarikh: Sepanjang Mac 2009

Aktiviti:
1. Kursus Pengurusan Jenazah
2. Kursus Amali Bersolat Yang Betul
3. Pertandingan Hafazan
4. Pertandingan Tulisan Khat
5. Kuiz Silangkata Mingguan
6. Kuiz Agama
7. Pertandingan Mengarang Sajak
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. (Al Imran:191)

*Sila dapatkan maklumat lanjut daripada naqib dan naqibah masing-masing


Sabtu, Februari 14, 2009

Cemburu para Daie

Dakwah ini lahirnya dari rasa cinta
Turun terus dari cinta Allah yang tak terhitung luasnya
Kemudian dari depaan cinta Rasul
Yang fikirnya tidak habis tentang keadaan ummahnya
Menitik air matanya, menitis darahnya
tidak pernah mintanya untuk dibendung

Maka kita selaku para daie
Pada ketika ini
Mewarisi cinta ini
Menerima pemberiaan ini
Mengalas tanggungjawab ini

Sebabnya cinta itu saling berkaitan
Bahagianya kita, tidak pernah rasa enak kalau hanya dinikmati sendiri
Maka datangnya para mad'u daripada insan-insan yang kita sayangi
Kerananya, kita sendiri inginkan mereka faham apa yang kita faham
Berfikir pun serupa, menangis dan ketawa pun sama sebabnya
Alangkah indahnya kalau dapat berlari dalam medan juang yang sama
Bukankah cinta dengan cinta itu saling menguatkan?

Kemudiannya, dari situ kita lihat fajar kekuatan
Pada para daie yang tak kenal erti penat lelah
Tidak pernah henti akalnya terus berfikir
Tidak pernah henti langkahnya terus melangkah

Tapi apa mereka fikir murabbi ini senyum sentiasa?
Pada cinta terselit cemburu
Maka disebalik gembiranya
Hatinya penuh rasa sakit
Jiwa penuh rasa derita

Terpaksa berkongsi kasih
Dipaksa berebut sayang
Dengan cinta dunia
Dengan kesibukan
Dengan main-main mad'unya

Lebih kecewa
Dai'e ini tidak punya utamanya
dia bukan kekasih mad'unya
dia bukan sahabat paling rapatnya
dia bukan kawan seronoknya

Bila tangan bertepuk tidak disambut
Maka di situlah hatinya menangis
Usahkan hendak bercakap
Bertemu pun umpama menunggu hujan sepanjang kemarau

Sungguh, terbit risau pada masa
dalam usaha mendidik menuntut masa
sedangkan masa itu tidak pernah baik dengan kita
perlu banyak masa lagi untuk mengenali
perlu banyak masa lagi untuk mempercayai

tiba-tiba sahaja kita telah terlambat
dan perlu banyak masa lagi untuk perbaiki semula

Kembali para daie pada Ilahi
pemilik cinta hakiki
Doa-doa yang tidak terhenti
Kerana hidayahi hanya Dia yang miliki

Masjid: Antara Syiar dan Tujuan


Pembinaan masjid begitu signifikan dalam sejarah umat Islam.

Malah kita sedia maklum, perkara pertama yang rasullah pilih untuk pertama sekali disegerakan adalah pembinaan masjid.

Kemudiannya kita melihat dalam susur galur sirah nabawiyah, masjid tersebut telah menjadi lebih daripada tempat solat, tetapi juga tempat bermuzakarah, tempat merancang strategi peperangan, tempat ilmu dan sebagainya.

Setelah kurun demi kurun berlalu, sudah semacam menjadi kebiasaan kita untuk membina masjid di mana sahaja tempat yang mempunyai komuniti muslim. Muncullah berbagai-bagai bentuk, pelbagai kubah dan menara. Sampai setiap satu membawa simbolik yang cukup mengkagumkan.

Kemudian setelah beberapa lama, muncul pula masalah; Kenapa masjid tidak berjaya dimakmurkan? Kenapa ia semacam tidak sama seperti di zaman kegemilangan Islam dahulu.

Makanya, kita perlu kembali semula kepada yang asal. Adakah masjid itu satu syiar (lambang)? atau satu tujuan?. Masjid itu ada padanya jiwa atau sekadar namanya?

Rasullah pada awalnya membina masjid bukanlah supaya boleh ada tempat yang baginda hendak jadikan perpustakaan ataupun satu tempat boleh dibuat kenduri-kenduri atau keramaian. Rasullah mahukan satu tempat yang semua umat Islam boleh mendekatkan diri kepada Allah(taqorub ilallah). Satu tempat yang mana, semua umat Islam sedar akan status dia sebagai hamba Allah.

Lihat sahaja asal perkataan masjid tersebut, bukankah ia bermaksud tempat sujud? Satu tempat yang boleh kita sujud, boleh kita bersolat. Hakikatnya, tempat itu boleh diisytiharkan di mana-mana,bukan mesti ada pembesar suara, mimbar dan aksesori yang lain. Orang Melayu sahaja yang membezakan masjid, musolla dan surau.

Maka kalau mengambil pengajaran dari sirah nabawiyah, sewajarnya sesampai kita pada tempat baru, rumah baru atau kawasan baru, seharusnya tempat pertama yang kita harus cari, di mana tempat kita khaskan untuk sujud kepada Allah. Di mana tempat untuk kita jadikan masjid kita kerana di situlah kita diingatkan untuk mendekatkan diri pada Allah, melakukan apa sahaja yang semakin mendekatkan diri pada Allah dan menghalang diri kita untuk semakin menjauhinya.

Ironinya, sampai-sampai dahulu, kita fikir di mana hendak diletak sofa, televisyen, barang itu dan ini. Kalau membuka kawasan kita fikir di mana tempat di letak bangunan itu dan ini. Semacam masjid itu tidak menjadi prioriti lansung atau dengan kata lainnya semacam mendekatkan diri pada Allah itu tidak menjadi penting lansung.

Jadi untuk memakmurkan masjid, bukan menarik orang untuk datang ke masjid tapi lebih dari untuk menarik orang supaya lebih mendekati Allah. Semakin dia dekat pada Allah, faham dengan agamanya, maka dengan sendiri dia tahu ke mana tempat yang harus dituju.

Merujuk kepada situasi pembinaan masjid kirovsky. Jadinya, dalam kempen-kempen kita 'Jangan sekadar kita ceritakan tentang hati budi orang Muslim di sini yang hendak di balas' tetapi lebih daripada itu kita ceritakan dan kenalkan mereka dengan perihal dekat kepada Allah.

Sebabnya bila sampai generasi-generasi awal sudah pergi, cerita-cerita hati budi terasa semakin jauh, tetapi biarkan kita tanamkan dalam hati mereka rasa dekat dengan Allah. Supaya nanti, mereka merasai rasa ikatan yang dihubung dengan tali aqidah Allah dan melalui menimbulkan rasa keinginan mahukan saudara-saudara mereka merasakan nikmat dekat pada Allah seperti mana yang pernah mereka rasai

WaAllahulam

Ahad, Februari 08, 2009

Souvenirs paling bagus





Semua kita membawa balik Souvenirs; buku, baju, poskad, keychain dan sebagainya. Semuanya dari serendah-rendah nilai 1 euro hingga semahal-mahalnya. Tapi tahu tidak kita apa Al-Quran kata tentang souvenirs paling bagus sekali?









وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ






Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! Surah Al-Fussilat Ayat 33






Maka pengalaman, perasaan dan semangat yang kita dapat semasa jaulah di sana kita kongsikan bersama dengan orang lain.






Sebabnya biar secerah mana kita dapat lihat hasil dari pengalaman kita di sana, Ia hanya bakal akan jadi bermakna dan bernilai apabila kita mampu memindahkan cerah diri kita pada orang lain.






Jangan terlalu asyik berlegar-legar dengan idea tinggi, turunlah ke medan dan duduk bersama dengan realiti yang menanti






Sementara semangat kita masih tinggi...






InsyaAllah ini bakal jadi hadiah paling bermakna dan paling diingati daripada anda kepada teman yang anda kenangi.






Selasa, Januari 27, 2009

'Flight Delay'

Satu perkara yang kurang saya suka dan masih lagi belum saya suka adalah flight delay

Yang menyedihkan, ini merupakan satu perkara yang biasa berlaku lebih-lebih lagi musim-musim salji ini.

Dalam 2,3 hari ini, satu-satu mesej saya terima dari kawan-kawan saya yang masih menunggu di lapangan terbang kerana kelambatan kapal terbang masing-masing.

Lebih menyedihkan kalau penerbangan tersebut terpaksa ditunda hingga keesokan harinya.

Kalau kita berada di tempat lokasi, satu dua drama percuma pastinya jadi pemandangan biasa ketika ini.

Saya masih teringat kali pengalaman pertama saya adalah ketika dalam perjalanan pulang untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2 tahun lepas. Saya perlu menaiki 3 penerbangan dengan 2 transit dan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tidak lebih 2 hari telah menjadi 4 hari.

Lebih menguji kesabaran, biasanya semua penumpang perlu menunggu dan bertahan dengan status mesej penerbangan ditunda sejam demi sejam sebelum akhirnya setelah penat menunggu lebih 6 jam kami semua menerima status paling kejam bahawa penerbangan tersebut dibatalkan ataupun ditunda keesokan harinya.

Mengikut pengalaman dan kata-kata orang berpengalaman, perkara lagi selalu berlaku kalau anda mengambil syarikat Aeroflot. Syarikat penerbangan rasmi Rusia.

Setakat ini saya belum ada lagi pengalaman manis semasa penerbangan di tunda. Sekarang, saya bagai telur dihujung tanduk. Menekan butang 'refresh' pada web site status penerbangan. Mana tidaknya, kali ini perjalanan saya dari Volgograd ke Berlin menaiki 2 penerbangan dari syarikat berbeza. Kalau yang awalnya tidak jadi, maka yang seterusnya tak ada nilai jugalah.

Namun, masihnya kita hanya mampu berdoa. Takdir masih Allah yang jadi penentunya.

Isnin, Januari 19, 2009

Pantun dan Nilainya

Ramai kita tidak menyedari tentang perkara ini, pantun merupakan satu khazanah Melayu yang sangat berharga. Orang Melayu yang lupa tentang perkara ini bermakna dia lupa pada jati dirinya sendiri.

Pantun mempunyai nilai lebih daripada satu rangkap puisi yang berima, lebih daripada satu baris yang diselang seli dengan suku kata yang sama. Cuba kita perhatikan satu contoh pantun popular ini;

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong ajarkan.

Kalau kita perhatikan pembayang yang diletakkan bukan sekadar hendak memenuhi maksud menyudahkan rima yang sama pada pemaksudnya. Jika kita sedar buah cempedak biasanya tumbuh rendah, hakikat bahawa budak tersebut terpaksa mengambil galah dan menjoloknya menunjukkan betapa banyak kekurangan yang ada padanya.Mungkin dia rendah, tidak pernah mengambil buah tersebut. Sudah begitu, buah cempedak itu di luar pagar pula, begitu banyak sekali kesukaran. Bukankah ini mesej yang sangat terang bahawa penulis pantun ini betul-betul ingin meminta tunjuk ajar.

Kita perhatikan contoh yang lain:

Siakap Senohong,
Gelama Ikan Duri;
Bercakap Bohong,
Lama-lama jadi pencuri.

Memberi pembayang seperti ini memerlukan penulisnya mempunyai ilmu tentang ikan laut, tahu tentang kumpulan-kumpulannya dan sifat-sifatnya. Kemudian meletakkan ikan duri mempunyai rima yang sama dengan pencuri memberi kita amaran, betapa duri itu boleh melukakan kita, begitu juga dengan perbuatan mencuri tersebut.

Inilah pantun, bukanlah setakat 'Cik Fatimah ke kedai membeli kicap'

Pantun bukan sekadar indah pada bahasanya tapi dia sendiri mempunyai nilai dan akal budinya. Lambang ketinggian martabat bangsanya