Isnin, Mac 16, 2009

Takut kita dengan Bayang-Bayang


"Ana tak boleh jadi dai'e akh, ana tak cukup ilmu lagi"


"Eh kerja-kerja dakwah tu, kerja ustaz-ustaz, kita orang biasa ni duduk diam-diam sudahlah, nanti kalau salah kita juga berdosa"


Bukanlah mengatakan yang saya ini sangat berpengalaman dalam bidang dakwah tetapi alasan sebegini sudah banyak sekali saya dengar, malah jawapan yang sama boleh kita dengar daripada mereka yang mengikuti usrah bertahun-tahun.


Kali pertama saya dengar, hancur luluh hati saya dibuatnya namun apabila ditimpa dengan jawapan yang sama berulang kali  menyebabkan saya berfikir sendiri. Mungkin sebenarnya ini satu ketakutan yang kita sama alami, satu masalah yang kita sama hadapi.


Setiap daripada kita punya kelemahan sendiri; tidak pandai bercakap dihadapan orang ramai, tidak tahu mengambil hati orang lain, tidak pandai memimpin, tidak punya ilmu agama yang cukup. Senaraikanlah, sampai penuh artikel ini pun belum tentu habis lagi.


Inilah bayang-bayang yang kita bawa dari kecil lagi dan akhirnya membesar bersama-sama dengan kita. Lebih teruk, kalau-kalau ia menjadi lebih sihat daripada kita.


Ketakutan adalah fitrah, satu perasaan yang ada dalam setiap manusia. Kalau ketakutan sudah menjadi terlalu kritikal, kita namakannya sebagai phobia. Tahap kita mampu untuk menguruskannya juga berbeza-beza. Ada orang menganggapnya masalah kecil, ada yang hingga menyebabkannya tidak tidur malam, ada juga yang diburu dengan ketakutannya seumur hidupnya.


Maka untuk itu, Islam tidak pernah sesekali menafikan perasaan tersebut namun apa yang diberikan oleh agama ini adalah satu resolusi bagaimana hendak menghadapinya.


Perhatikan bagaimana Allah berkata dengan kita tentang ketakutan,serahkah rasa itu pada Allah, gantikan dengan penuh rasa berharap dengan Allah, tukarkan dengan keyakinan bahawa Allah itu mengetahui, Allah itu mengasihani dan Allah itu Maha Mendengar dan Mengetahui isi hati hambanya.


"Dan rahsiakanlah kata-katamu atau nyatakanlah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala rasa isi hati" (Maksud Firman Allah-Al Mulk  67:17)


Atau tatapi sahaja tiga surah terakhir Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas, penuh dengan rasa keterikatan kita dengan Allah dan jaminan penuh pelindungan dari Allah.


Bergantung harap pada Allah tidak pernah menjadikan kita lemah. Lihat sahaja hasilnya pada sahabat-sahabat Rasullah, berperang, menyebarkan Islam dengan entah berapa rendah kebarangkaliannya, dengan entah berapa tinggi peratus mustahilnya.


Maka, jangan takut melangkah. Langkah pertama untuk menjadi tuan kepada bayang-bayang kita adalah dengan menghadapinya.  Kalau anda tidak tahu bercakap di hadapan khayalak ramai, maka mulakan dengan bercakap dalam kelompok kecil dahulu. Kalau anda tidak tahu berkomunikasi dengan orang ramai, mulakan dahulu dengan sahabat anda sendiri. Tawarkan diri mengedalikan aktiviti-aktiviti sesama ikhwah. Dalami lebih banyak ilmu. Beritahu masalah anda dengan murabbi masing-masing. Dakwah, Usrah dan Halaqah kita ini bukan semata-mata aktiviti persatuan, mendengar pengisian setiap minggu. Tapi ini cara hidup kita, cara hidup yang menjadikan kita manusia yang lebih boleh bermanfaat kepada ummahnya. Ini cara kita membentuk modal insan atau 'human resource' kepada komuniti kita.


Jadi satu-satunya cara untuk menghadapi bayang-bayang kita sendiri bukannya menutup cahaya sumber panduan kita, bukan juga dengan lari daripadanya. Tetapi adalah berdiri tegap, mata tetap ke hadapan. Anda belum tentu selamat kalau anda berdiam diri, tetapi kalau anda bergerak, anda boleh boleh melakukan banyak benda dan satu perkara perlu diingat:


"Maka akan Kami mudahkan jalan ke arah kebahagiaan" (Maksud firman  Allah-Al Lail 92:7)    

Tiada ulasan: