Sabtu, Julai 07, 2007

Kampung

Saya sampai tepatnya pukul 3.15 ptg waktu Malaysia. Setelah 1 jam berurusan dengan hal-hal imigresen dan bagasi. Saya sampai ke kawasan ketibaan selewat 4.15pm. Meskipun begitu, malang sekali bagi saya, cermin mata tercicir entah ke mana semasa di dalam kapal terbang. Maka tercari-carilah saya mengenal kalau-kalau ada kelibat ayah saya. Untuk itu sahaja saya telah membazirkan masa selama satu setengah jam.

Sesampai sahaja di rumah Sabak Bernam, meskipun mata terasa sangat penat namun saya gagahkan juga lantaran mak sudah pun memanggil untuk makan malam bersama. Hari ini adik lelaki saya yang mengambil kursus Pengurusan Makanan memasak Tom Yam Istimewa. Tak Terkata Lazatnya! Tak sia-sia dia mengorbankan cuti, pergi membuat kerja sambilan di hotel.

Selepas makan malam, saya membahagikan hadiah. Membeli hadiah bukanlah tradisi rasmi keluarga kami sebenarnya. Mak juga tidak mengalakkan. Mak kata kalau dah buat sekali nant kalau dah terbiasa banyak duit dibazirkan. Namun, saya belikan juga. Alang-alang balik setahun, apa salahnya. Saya paling suka reaksi mak, dapat sahaja dompet baru terus dipindahkan barang-barang dari dompet lama ke dompet baru. Tergelak kami dibuatnya.

Jam-jam seterusnya kami habiskan berbual anak beranak. Berkongsi-kongsi cerita masing-masing. Mak banyak bercerita tentang kisah kakak saya yang sekarang mengajar di Mukah, Sarawak. Adik lelaki saya pula banyak bercerita tentang susah senangnya bekerja di dapur hotel. Masing-masing bertukar-tukar pengalaman sampai habis 4 jam dibuatnya.

Malaysia agak panas bahangnya. Namun keesokan paginya saya bangun awal untuk mengalami sendiri nyaman pagi di Sabak Bernam. Hari ini mak ke sekolah awal, ada program di sekolah katanya. Tinggal kami semuanya lelaki menguruskan hal-hal kerja rumah (Senyum! haha). Tidak banyak sebenarnya, sekadar mengampai kain, menyiram pokok-pokok dan memberi kucing makan. Namun begitu, saya ikhlas seronok melakukan ke semuanya.

Banyak sudah berubah di sekeliling rumah, kebun-kebun dibelakang sudah ditarah. Abah kata,tuan punya kebun ada projek nak menanam kelapa sawit. Dahulu dikeliling rumah ada banyak bunga-bunga terbiar tapi sekarang sudah diganti dengan pokok halia, kunyit, peria dan bermacam-macam lagi tanaman yang saya kurang kenal pasti. Dalam banyak-banyak itu, saya paling teringat bila emak menanam pokok sirih dahulu.

Saya bertanya “Buat apa tanam sirih ini mak? Kita bukannya reti makan pun”

“Ala nanti senang, kalau kamu kahwin tak payahlah mak sampai ke rumah nenek nak mengutip daun sirih nak membuat junjungan hantaran nanti” jawab emak berseloroh.

Duduk sepanjang pagi di sini amat tenang. Sambil-sambil saya menaip menyiapkan entri ini. Telinga saya disajikan bunyi-bunyi unggas sambil bunyi decikan-decikan ayam mencari makanan. Tidak dilupa juga beberapa ekor kucing yang sedang bermanja-manja di kaki saya ini.

Seminggu ini saya tetapkan untuk tidak kemana-mana. Minggu hadapan barulah saya ke rumah di Shah Alam pula. Entah apa pula perubahan di sana.

Tiada ulasan: