Selasa, Julai 27, 2010

Memahami Jiwa Remaja

Berfikir semula bagaimana remaja berfikir adalah sesuatu yang ironi sebenarnya bagi saya. Hakikatnya, lupa bagaimana remaja akan bertindak sudah merupakan sesuatu yang melucukan sebenarnya. Ini seolah-olah menganggap kononnya zaman itu sudah berdekad-dekad meninggalkan saya.

Setiap kali saya pulang semula ke sekolah menengah saya yang dahulu, satu soalan pasti saya akan tanyakan kepada guru-guru yang masih saya kenali

" Cikgu macam mana dengan pelajar sekarang?"

Dahulunya, soalan ini diajukan sekadar mengisi perbualan. Namun kini apabila mendengar cerita demi cerita membuatkan saya sendiri berfikir: Bagaimana sebenarnya hendak menjernihkan jiwa remaja?

Jiwa remaja sekolah menengah berbeza dengan jiwa remaja universiti. Barangkali beban yang di pikul dan stress yang ditanggung berbeza. Harapan mengunung masyarakat dan keluarga mengharapkan anak mereka berjaya dalam SPM, mendapat biasiswa, masuk ke universiti lebih membebankan berbanding remaja universiti yang sudah berbiasiswa yang hanya perlu memikirkan bagaimana hendak menyiapkan tugasan pensyarah dan melepasi exam setiap kali semester berakhir.

Jiwa remaja memberontak. Ketika zaman remaja saya, perasaan bahawa semua cikgu tidak memahami perasaan kami adalah sangat sinonim. Rasa kecewa segala yang dilakukan oleh orang dewasa melawan keinginan kami makin hari makin bertimbun sehingga kebanyakan tenaga digunakan untuk diplomasi mendapatkan ini dan itu. Kepada mereka yang merasakan diplomasi bukan cara mereka maka fizikal jadi pilihan.

Jadi bagaimana hendak membuktikan dan memahamkan kepada mereka bahawa memilih yang baik adalah pilihan yang lebih bijak? Bagaimana hendak memahamkan mereka bahawa mencintai Allah dan mematuhi syariatnya lebih memberi makna?

Maka waktu itu juga saya teringat bahawa betapa semakin mesra cikgu dengan pelajar maka makin mudah dia disenangi dan lebih mudah kata-katanya diikuti. Saya melihat cikgu-cikgu bergurau dengan pelajar dan dari situ saya lihat seolah-olah wujud satu rasa kepercayaan antara guru dan murid. Seolah-olah guru menjadi kawan yang memahami mereka.

Kemudian saya sentiasa mendengar emak saya bercerita tentang pelajar-pelajar yang mengadu dengannya.

"Mak garang-garang pun, budak-budak nak mengadu pergi ke mak juga"

Rasa kepercayaan itu yang saya cari dan yang saya ingin pelajari. Sebab itu saya suka pergi ke sekolah dan suka berbual dengan guru-gurunya.

Apa kata anda?

Jumaat, Julai 02, 2010

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang

Ada satu perasaan berat membebani hati kebanyakan kami menjelang hari-hari akhir di Russia. Tempat ini dengan sukarnya orang, iklim dan kerenahnya biasanya menjadi rungutan kami setiap hari tapi anehnya rasa sayang pula tiba-tiba muncul.

Orang kata tempat jatuh lagikan dikenang. Barangkali kebersamaan sepanjang menempuhi kesukaran itu yang di rindui. Mungkin kehilangan satu ikatan yang dibina itu yang menghantui.

5 Stages of Grief

Mungkin kami sedang mengalami 5 stages of Grief (Kübler-Ross model). Mengandaikan hakikat bahawa selepas ini, sudah sukar untuk kami berjumpa antara satu sama lain menjadikan perpisahan ini lebih dekat dengan kematian sesuatu hubungan berbanding sekadar satu perpisahan sementara.

Sesetengah orang akan melaluinya lebih lama daripada yang lain. Sesetengah kami mungkin berada dalam salah satu fasa Denial, Anger, Bargaining, Depression agak lama sebelum akhirnya kita boleh menerima keadaan dan pergi ke fasa acceptance.

Untuk lansung tidak memikirkannya adalah satu perkara yang tidak sihat. Selalu memikirnya juga tidak sihat. Sokongan dari orang sekitar adalah sangat penting, adalah sangat parah kalau mereka yang berada di sekitar memperkecilkan hal ini.

Reverse Culture Shock

Mungkin juga keadaan ini boleh diterangkan melalui fenomena Reverse Culture Shock. Kalau culture shock berlaku mereka yang sampai di tempat baru. Reverse Culture Shock pula berlaku kepada mereka yang ingin pulang semula ke tempat asal

Seseorang itu mula akan rasa gelisah, murung, mula membandingkan keadaan antara dua tempat. Ia akan berlarutan antara 4 bulan hingga ke 2 tahun

Adakah ini bahaya? Ya sekiranya ia menganggu pekerjaan dan hubungan intersosial. Samada anda seorang doktor, engineer mahupun daie sepenuh masa.

Sebab itu adalah penting untuk kita mencari seberapa banyak bantuan yang membolehkan kita menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru.

Apa-apapun sentiasa yakin dan berfikiran positif. Biarlah kita yang menguasai perasaan kita bukannya sebaliknya. Yang paling utama, halakanlah usaha kita kepada Allah, tuhan yang membolak-bolakkan hati.