Satu perkara yang kurang saya suka dan masih lagi belum saya suka adalah flight delay
Yang menyedihkan, ini merupakan satu perkara yang biasa berlaku lebih-lebih lagi musim-musim salji ini.
Dalam 2,3 hari ini, satu-satu mesej saya terima dari kawan-kawan saya yang masih menunggu di lapangan terbang kerana kelambatan kapal terbang masing-masing.
Lebih menyedihkan kalau penerbangan tersebut terpaksa ditunda hingga keesokan harinya.
Kalau kita berada di tempat lokasi, satu dua drama percuma pastinya jadi pemandangan biasa ketika ini.
Saya masih teringat kali pengalaman pertama saya adalah ketika dalam perjalanan pulang untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2 tahun lepas. Saya perlu menaiki 3 penerbangan dengan 2 transit dan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tidak lebih 2 hari telah menjadi 4 hari.
Lebih menguji kesabaran, biasanya semua penumpang perlu menunggu dan bertahan dengan status mesej penerbangan ditunda sejam demi sejam sebelum akhirnya setelah penat menunggu lebih 6 jam kami semua menerima status paling kejam bahawa penerbangan tersebut dibatalkan ataupun ditunda keesokan harinya.
Mengikut pengalaman dan kata-kata orang berpengalaman, perkara lagi selalu berlaku kalau anda mengambil syarikat Aeroflot. Syarikat penerbangan rasmi Rusia.
Setakat ini saya belum ada lagi pengalaman manis semasa penerbangan di tunda. Sekarang, saya bagai telur dihujung tanduk. Menekan butang 'refresh' pada web site status penerbangan. Mana tidaknya, kali ini perjalanan saya dari Volgograd ke Berlin menaiki 2 penerbangan dari syarikat berbeza. Kalau yang awalnya tidak jadi, maka yang seterusnya tak ada nilai jugalah.
Namun, masihnya kita hanya mampu berdoa. Takdir masih Allah yang jadi penentunya.
Selasa, Januari 27, 2009
Isnin, Januari 19, 2009
Pantun dan Nilainya
Ramai kita tidak menyedari tentang perkara ini, pantun merupakan satu khazanah Melayu yang sangat berharga. Orang Melayu yang lupa tentang perkara ini bermakna dia lupa pada jati dirinya sendiri.
Pantun mempunyai nilai lebih daripada satu rangkap puisi yang berima, lebih daripada satu baris yang diselang seli dengan suku kata yang sama. Cuba kita perhatikan satu contoh pantun popular ini;
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong ajarkan.
Kalau kita perhatikan pembayang yang diletakkan bukan sekadar hendak memenuhi maksud menyudahkan rima yang sama pada pemaksudnya. Jika kita sedar buah cempedak biasanya tumbuh rendah, hakikat bahawa budak tersebut terpaksa mengambil galah dan menjoloknya menunjukkan betapa banyak kekurangan yang ada padanya.Mungkin dia rendah, tidak pernah mengambil buah tersebut. Sudah begitu, buah cempedak itu di luar pagar pula, begitu banyak sekali kesukaran. Bukankah ini mesej yang sangat terang bahawa penulis pantun ini betul-betul ingin meminta tunjuk ajar.
Kita perhatikan contoh yang lain:
Siakap Senohong,
Gelama Ikan Duri;
Bercakap Bohong,
Lama-lama jadi pencuri.
Memberi pembayang seperti ini memerlukan penulisnya mempunyai ilmu tentang ikan laut, tahu tentang kumpulan-kumpulannya dan sifat-sifatnya. Kemudian meletakkan ikan duri mempunyai rima yang sama dengan pencuri memberi kita amaran, betapa duri itu boleh melukakan kita, begitu juga dengan perbuatan mencuri tersebut.
Inilah pantun, bukanlah setakat 'Cik Fatimah ke kedai membeli kicap'
Pantun bukan sekadar indah pada bahasanya tapi dia sendiri mempunyai nilai dan akal budinya. Lambang ketinggian martabat bangsanya
Langgan:
Catatan (Atom)