Sabtu, Mac 17, 2007

Persahabatan yang diraikan

Nabi Muhamad s.a.w rasul kita yang tercinta ada bersabda dalam hadisnya

“ Contoh teman yang baik dan sebaliknya adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Maka untuk penjual minyak wangi samada dia akan memberi sebahagian minyak wanginya kepada kamu atau kamu membeli daripadanya atau sekurang-kurangnya kamu dapat menikmati bau yang menyenangkan daripadanya. Manakala tukang besi pula samada dia akan membakar pakaian kamu atau kamu sendiri akan mendapat bau yang tidak menyenangkan daripadanya”

Sebagai permulaan, saya ingin kita semua tahu bahawa tanpa kita sedari nilai persahabatan itu sendiri semakin hilang nilainya dalam dunia kita sendiri. Saya berikan satu bukti. Lihat maksud friendship antara dua zaman berbeza ini:

friend n. 1. A person whom one knows, likes, and trusts. 2. A person whom one knows; an acquaintance.

Terjemahan daripada dictionary.com, 2000 A.D.

friendship n. the highest degree of intimacy.

Terjemahan daripada Samuel Johnsonís Dictionary of the English Language, 1755 A.D.


Maka dalam dunia yang semakin hilang ertinya ini, apabila semakin ramai manusia menuju kearah individualisme dan negara yang semakin menyanjung semangat kapitalisma. Tidak hairan manusia semakin tidak mengendahkan teman yang ada disisinya.

Pada pendapat saya, manusia tidak pernah lari daripada kesilapan. Serupa mana pun kita tetap punyai perbezaan. Hatta, kembar siam pun masih ada yang berlainan. Maka apabila kita bersahabat, walau macam mana kita teliti dan berhati-hati untuk mengelakkan perselisihan faham , perkara tersebut pasti akan berlaku. Daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar konflik, setiap insan mempunyai persepsi berbeza terhadap sesuatu perkara.

Saya berkata sekadar melalui pengalaman. Pada hemat saya, ketika inilah nilai sebuah persahabatan itu boleh dilihat. Sejauh mana setiap kita menghargai persahabatan yang kita ada, bergantung kepada sehebat mana setiap daripada kita mengambil inisiatif untuk memperbaikinya semula.

Namun begitu, Nauzubillah. Sememangnya kalau boleh pastinya kita mahu mengelakkan konflik. Maka amalkan adab ketika bersahabat

1. Jangan bertengkar dengan sahabat
2. Elakkan perselisihan faham antara sahabat
3. Jangan perlecahkan sahabat
4. Jangan menganggap sahabat kita lebih rendah darjat daripada kita
5. Jangan mempermainkan sahabat
6. Jangan kita memperkatakan sesuatu yang tidak disukai oleh sahabat kita
7. Jaga dan mempertahankan maruah sahabat kita
8. Hormati sahabat kita
9. Jangan lakukan perkara yang tidak disukai sahabat kita
10. Jangan menyebarkan perkara buruk tentang sahabat kita
11. Memaafkan kesilapannya

Senarainya berterusan tetapi inilah antara yang saya ingat semenjak saya belajar pelajaran akhlak sewaktu di sekolah rendah lagi.

Hakikatnya, setiap kali saya memulakan perkenalan, setiap itulah jantung saya berdebar takut-takut dugaan yang mendatang merosakkan apa yang telah ada sekarang. Setiap kali itulah saya berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar ikatan ini berkekalan. Apabila sampai masanya, tatkala datang dugaan dan lebih melegakan apabila persahabatan itu masih kekal selepas itu, maka dialah sahabat yang makin saya hormati, makin saya sayangi dan makin saya hargai.

Persahabatan itu bagi saya umpama kita menjumpai sesuatu yang amat berharga, kita jaganya dengan penuh kesederhanaan (tidak melampau dan tidak pula terlalu mengabaikan) kemudian sampai masa kita lepaskan dan sekiranya ia datang semula, makalah itulah yang kita cari-cari sebenarnya.

Allah berfirman dalam Surah Al Zukhruf ayat ke 67 yang bermaksud

“Teman-teman akrab pada Hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”

Ditafsirkan pula oleh Hafidh Ibn Katheer, mengaitkan ayat ini dengan cerita yang disampaikan oleh Ali bin Abi Talib (r.a):

Tersebut satu cerita, 2 kenalan bersahabat kerana Allah dan salah seorang daripadanya meninggal dunia dan diberikan berita gembira bahawa dia bakal dikurniakan al-Jannah, maka dia teringatkan sahabatnya dan memohon pada Allah

“Ya Allah sahabatku sentiasa mengingatkanku untuk mematuhi Mu and Rasul Mu and menyarankanku agar berbuat baik dan meninggalkan kemungkaran dan dia memberitahu yang aku akan menemui Mu. Ya Allah janganlah kau biarkan dia sesat dan tersasar sehingga kau tunjukkan kepadanya apa Engkau tunjukkan pada ku dan sehingga Engkau berpuas hati kepadanya sebagaimana Engkau berpuas hati kepadaku”

Maka dia pun diberitahu oleh Allah

“Kalau kamu tahu apa yang (tertulis) untuk sahabatmu, kamu akan ketawa dengan banyaknya dan sedikit sahaja menangis”

Maka apabila sahabat yang satu lagi meninggal dunia, kedua-dua roh ditemukan maka setiap daripada mereka berkata

“Engkaulah saudara, teman dan sahabat yang terbaik”

Lain pula apabila dua kenalan yang mengingkari Allah bersahabat, apabila salah seorang daripada mereka mati, dia akan memohon Allah agar tidak memberikan petunjuk kepada kawannya supaya nasib mereka serupa. Maka apabila kawan yang satu lagi meninggal dunia dan roh mereka dipertemukan, maka berkata mereka antara satu sama lain

“Engkaulah saudara, teman dan sahabat yang paling teruk”

Rasullah s.a.w juga pernah menunjukkan betapa mulianya persahabatan, bagaimana ketika Zaid ibn Harithah syahid dalam peperangan Mu’tah. Rasullah berkata

“ Zaid berjaya dalam jalan Allah seperti yang sepatutnya layak diterima olehnya”.

Anak perempuan Zaid menjumpai Rasullah bersedih melihat mayat Zaid dan bertanya

“ Apakah yang aku lihat?”

Maka Rasullah menjawab dengan linangan air mata

“Seorang sahabat bersedih ke atas sahabat yang lain”

Maka, bersahabatlah kerana Allah, pada landasan dan garis panduan Islam. Saya percaya dan berani jamin persahabatan kerana Allah lebih syahdu daripada cerita-cerita romantik tipikal yang berlambak di pawagam, lebih suci daripada cinta yang kononnya ‘sejati’ yang kerap kali diuar-uarkan, lebih indah daripada perhubungan yang didasarkan pada harta benda, bunga-bunga ros yang pastinya layu malah lebih bermakna daripada kata-kata puitis cinta.

Kalau kurang yakin. Lihatlah sendiri:

‘Kalau mendengar kisah cinta tak tearah, hati kita jadi lemah, hati kita rasa mual tetapi kalau mendengar pertalian atas dasar Allah semangat kita tambah berkobar-kobar, usaha kita bertambah kuat, keyakinan kita tambah utuh’

Cuba dan Alami sendiri

Sekadar pengalaman sendiri yang ingin dikongsi bersama.

p/s: siapa ada membaca puisi Pertemuan Angin dan Air (Syabab PPIM ke- 3), maka ini susulannya.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam.fadly,
sgt touching.huhu..ni relationshp laki-laki ke laki-pompuan.
tp bolehlah ape saje...

fadly khairie berkata...

dua-dua pun boleh..ini tajuk universal...

Sarah Mohd Shukor berkata...

salam fadly,
sajak pertemuan angin dan air tu siapa yg tulis? kat mana boleh akak dapatkan sajak tu utk dibaca?

fadly khairie berkata...

salam kak sarah,
hehe, sajak tu saya yang tulis nanti insya Allah saya postkan..

Mohafiz MH, M.D. berkata...

hm..makan dalam.. (^_^) pendapat ikhlas dari aku kawan yang tak pandai berkawan

Tanpa Nama berkata...

dihe' pon x pandai berkawan
(tetibe)

fadly khairie berkata...

siapa yang sangat berkawan pun? setiap kita kan manusia, mana ada yang maksum dan sempurna. Makanya apa yang perlu kita lihat adalah pada usaha kawan kita bukannya pada kesalahannya (saya pun banyak kali pernah buat silap) :)

Tanpa Nama berkata...

i came across ur blog accidentally.
but really, i like this post.