Isnin, Januari 15, 2007

Selamatkanlah Komuniti Kita Ini!

Bismillahirrahmannirahim
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah Al-Hujraat Ayat 6)

Beberapa hari yang lepas kalau siapa yang menyedari saya ada sedikit perselisihan faham dengan Helmi. Hakikat manusia, tidak ada yang sempurna. Alhamdulillah, segala-galanya berjaya diselesaikan setelah perbincangan kecil antara kami. Pergaduhan itu sudah sesuatu yang amat menyedihkan tetapi apa yang lebih menyedihkan adalah sebab musabab perkara ini timbul.

Sedar atau tidak, semua ini muncul daripada rasa ketidakpercayaan yang timbul sesama kami, yang sebenarnya tidak pun berpunca dari diri masing-masing tetapi daripada apa yang orang sekitar bercakap-cakap, mengumpat-ngumpat atau berkata-kata samada secara sengaja atau tidak sengaja. Nasib baik, langkah diambil. Cuba bayangkan kalau masing-masing terus berdiam diri. Sampai tahun terakhir pun sesiapa tidak menyedari perkara sebenarnya yang terjadi.



Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah Al-Hujraat Ayat 9)

Saya tidak mahu berdolak dalih lagi, saya merayu selamatkanlah komuniti Volgograd yang kita semua sayangi ini. Berkata-kata tentang orang lain, mengumpat-mengumpat, berkata buruk tentang mereka, mencari keaiban dan kesalahan orang adalah sesuatu yang amat tidak sihat dan sangat salah di sisi agama. Sedar tidak sedar ia sedang memecah belahkan perpaduan yang kita ada selama ini. Lebih teruk kita melakukannya kepada sahabat kita sendiri, orang yang sama-sama kita harungi pahit manis kehidupan di sini. Sama tersenyum dan menangis.

Apa? Tak sayangkah kita pada kawan kita sendiri. Sukakah kita melihat mereka menangis meratap atau gila mengamuk tak tentu pasal? Seronok kita melihat dua sahabat bergaduh? sampai muncul puak-puak yang masing-masing bertelingkah atas sebab remeh yang entah apa agaknya.
Kemudian kita duduk diam macam tiada apa yang terjadi seolah-olah macam selama ini kita tak pernah bertanggungjawab untuk apa yang terjadi. Sedikit pun tidak ada rasa bersalah.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
(Surah Al-Hujraat Ayat 11)

Umpama gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut, api dalam sekam. Benda ini sedang membunuh kita sebenarnya. Hakikatnya, kalau kita selidik semula semua berita yang sampai boleh dikatakan hampit semua tidak benar. Perkara ini bukan baru sebenarnya, Teringat saya macam mana terkejar-kejar Cerap mengira-ngira perbelanjaan masak setiap kali kenduri di buat di tempat kita.

“Fadli, tengok betul-betulnya aku kira. Aku tak nak lah orang cakap aku buat kerja tak betullah, aku ambil duitlah”

Ataupun tanggapan salah semasa Kak Sya memberi teguran, atau PPIM dan Kelab UMNO yang terpaksa sangat berhati-hati dalam membuat apa-apa, takut-takut disalah sangka.Mana tidaknya, tahu tidak tahu, esoknya macam-macam cerita keluar, entah mana datangnya. Sedangkan benda baik pun boleh disalah erti, inikan benda-benda yang lain.

Saya merayu pada diri saya dan anda semua. Jika ada berita yang kita tidak pasti jangan sebarkan. Jika ada benda yang keaiban: anda mahu menegur, buatlah dengan cara terpuji, jumpa dan berbincang. Jangan pula membawa cerita menjatuhkan maruah mereka dan pergi tanpa sedikit rasa tanggungjawab. Jika kita tidak mampu maka diamkan sahaja.

Allah Maha Adil, hari ini kita bercakap-cakap, mengutuk-ngutuk. Sampai masa roda berputar semula, kita pula diperkatakan, dikutuk-kutuk. Waktu itu baru kita tahu bagaimana rasanya. Persoalannya perlukah kita tunggu sampai perkara tersebut terjadi, Sudah terhantuk tak guna nak mengadah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

(Surah Al-Hujraat Ayat 12)

Setiap kali cuti ‘Summer’ saya ke INTEC dan betapa bangganya saya berkata dengan mereka di sana yang kita punya satu komuniti yang sangat hebat, sangat muhibbah. Betapa tanpa embassy pun kita mampu berdiri sendiri. Betapa kita menjaga antara satu sama lain. Saya tidak mahu saya ke sana pada masa akan datang; berkata perkara yang sama tetapi ramai yang meraguinya. Kita sudah pun nak menghantar wakil graduan pertama dari universiti ini. Biarlah mereka pulang dengan rasa lega betapa mereka telah tinggalkan kita dalam keadaan baik.

Untuk kebaikan kita semua saya selaku hamba Allah, teman seperjuangan, adik dan abang: Marilah kita sama-sama berusaha untuk kebaikan semua.

Selamat berjuang.

Ikhlas daripada saya dan saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan

Mohamad Fadli bin Khairie
Januari 2007

Sabtu, Januari 13, 2007

Biarkan Mereka...

Memetik perbualan antara seniman negara A.Samad Said dengan anaknya Helmy Samad yang didokumentasikan dalam blog Helmy Samad-Luluhkan hatiku

"Helmy tahu, perbuatan yang lahir dari keikhlasan selalunya disalah erti.”
Saya tidak ternganga, tetapi terkerut dahi.

Dia tersenyum, “Bapak pernah dan selalu kata orang yang menolak ilmu itu bodoh. Ingat apa yang bapak dapat?”

Saya terangguk. “Mengapa bapak tidak jelaskan?”

Senyum lagi, “Kalau keihklasan semudah itu yang bapak luahkan tidak difahami dan diterima, malah dicerca dan dilabel, fikirkanlah sendiri.”

“Habis, bapak diam saja.”

“Ya, mengapa tidak?”

“Tapi...”

“Helmy, jangan masuk gelanggang mereka yang tidak ikhlas. Jangan masuk gelanggang mereka yang akalnya pendek. Kelak kita jadi bodoh dan tidak ikhlas. Kita akan dikuasai nafsu. Jika itu berlaku, Helmy fikir kita mampu ikhlas?”



Teringat pula kata-kata Zamani dalam blognya(saya terjemahkan dalam bahasa Melayu): Tak perlu dijelaskan, kawan kita tidak memerlukannya dan musuh kita sama sekali tidak akan mendengar.Mungkin bukan musuh(terlalu kasar pula bunyinya) tetapi mungkin mereka yang kurang memahami.

Namun, yalah kalau kita ada sesuatu makanan, orang kata lebih enak kalau dinikmati bersama.

Meskipun begitu, kadangkala manusia ini perlukan bukti baru mereka mahu mengerti, sementara itu, cukuplah Allah untuk menyediakan segala-galanya untuk kita. Allah berikan kita kekuatan,hikmah disebalik peristiwa mahupun teman sejati setia di sisi.

Maka tetapkan hati,jalannya biar satu, jangan membelok-belok lagi.


'Berikan ku tiga saat...Nanti kau faham inilah cinta hati dan ikatan'

Mulanya...(Puisi Saksama Hati)

Datang kita dari daerah-daerah berbeda,
Namun lihat, satu tempat tujunya,
Mulanya kita bertatih,
Bangun, serentak berjalan,
Lalu langkah deras dilatih,

Kami hanya ingin mengatakan sejujur hati,
Berlari pun kita biarlah sama arahnya.

Kerna apakah ertinya meredah lautan,
Andai ada tenggelam tanpa dikesan,
Makanya, apa kegembiraan,
Sekiranya segelintir sahaja bahagia,
Sedang yang lain memendam lara,
Marak prasangka menyala.

Terlupakah kita saat bersama,
Menjejak lapangan yang entah apa janjinya,
Melirik senyuman cuba sama mengerti,
Apa janji dunia menanti.

Makanya, usaha ini janganlah disalah erti pula,
Bangsa kita wataknya menolak permusuhan,
Menyanggah dengan senyum,
Setia dan sabar tiada sempadan.


Bukan niat untuk menaung,
Jauh sekali untuk berlagak sombong,
Cuma ingin menjadi teman,
Sesama meredah pahit maung,
Berharap sedih dan ria berimbang ia.

Merendah kita bukanlah menyembah,
Melonjak juga bukanlah meninggi,
Cuma duduk yang tahu akan dirinya,
Dan tegak masih dengan maruahnya.

Makanya, dipinta suara hati ini diterima,
Suratkan pada air agar tenang tidak
bergelombang,
Hakikatnya di lindungan awan di atas bumi
milik Tuhan saksama ini,Kita berdiri...

Dan Akal itu mesti diperkasa,
Meski badan kerdil, wajanya tidak seberapa,
Meski kudrat jadi penghalang,
Namun jiwa perlu tetap,
Semangat perlu senantiasa tegap.

Supaya mampu tidur luar biasa,
Pun masih mampu bermimpi bahagia,
Lalu bangkit kita sama mekarnya,
Sesama pertahankan perjuangan yang tak
pernah ingin kita hentikan.

Kita ingin makmurkan wasiat ini,
Ke puncak paling peribadi,
Demi kebahagiaan bumi sejagat

Volgograd,Russia
1.1.2007

*puisi ini ditulis untuk keluaran pertama buletin kelab UMNO Volgograd Ulul Albab(permulaan). Tak pasti samada ramai yang menyedari wujudnya buletin, melihat ia bersepah-sepah dan terbiar di bilik dan tak pula ada yang berbincang-bincang tentangnya. Tak boleh menyalahkan sesiapa juga, sudah keluarnya waktu semua orang sudah demam peperiksaan, siapa nak membaca artikel santai? teringat puisi tapi terlupa nama penyakit dengan ubat-ubat adalah sangat tidaklah sesuai.

Tapi saya sangat memohon agar semua orang membaca puisi ini, tinggal di atas kesunyian adalah sangat tidak digemari oleh saya.

Jumaat, Januari 05, 2007

Pengorbanan dan Permulaan...

Tahun baru ini dumulakan dengan serba sederhana. Tidaklah sampai melonjak-lonjak keriangan, tidak juga sampai menangis teresak-esak. Namun cukup sekadar mampu mengukir senyuman tanda syukur kerana masih dipanjangkan umur.

Volgograd, Russia masih sama dengan sambutan tahun baru mereka. Selain menunggu detik 12 malam dan konsert hingga ke pagi, tidak ada apa yang lain. Tapi yang paling meriah dan seronok bila melihat bunga api bermacam-macam warna tak putus-putus. Mana taknya mercun dijual macam menjual ikan.

Tahun ni tahun khinzir semacam mengikut kalendar cina pula. Semua perhiasan tahun baru dalam bentuk binatang ini. Dari sekecil-kecil igrushki sampai lah ke sebesar-besar yang boleh, semuanya khinzir. Jadi tahun ini tak membeli apa-apa. Tahun lepas pun sama sebab tahunnya tahun anjing. Menunggu tahun-tahun depan dengan binatang yang kurang menakutkan sedikit.





Apa-apapun yang lebih penting adalah perayaan Aidiladha. Apa lagi yang lebih menyeronokkan selain dapat bersembahyang raya dan berkumpul beramai-ramai dengan sahabat-sahabat. Dapat melihat lagi, lori sarat membawa biri-biri putih untuk korban. Lagi suka bila mendengar kumpulan nasyid pertama Volgograd membuat persembahan. Malu tapi masih bersemangat!



Ada jamuan kelas keesokan harinya. Jamuan hari raya terbaik rasanya. Saya turut menyumbang rendang istimewa. Ditambah dengan pulut, ayam panggang, chi kut teh, air punch, Brownies, pudding. Macam tak percaya yang kami lakukan semua ini sendiri. Paling mengembirakan sessi membaca kad masing-masing. Terharu dengan ucapan sokongan tak berbelah bahagi sampai tergambar satu perasaan yang tak disangka-sangka.

Bagaikan diminta saya untuk belajar sesuatu pada masa ini. Zulhijjah dan tahun baru. Pergorbanan dan permulaan. Adakah untuk bermula itu kita perlu berkorban? Berapa banyakkah yang perlu dikorbankan untuk sesuatu itu bermula?


Hening pagi aidiladha di satu-satunya masjid di Volgograd,Russia



Saddam Hussein digantung, satu pengorbanan besar bagi dunia umat Islam. Adakah sesuatu akan bermula?

Bagi saya biarlah Allah menentukan. Kalau niatnya masih pada jalan yang benar insyaAllah mana-mana pengorbanan tetap bermakna. Janji Allah tak pernah silap dan tak pernah salah.

Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada mereka yang membantu saya mengharungi beberapa hari susah kebelakangan ini. Afiq kerana tak habis-habis mengingatkan supaya kuat, tak henti-henti mengingatkan tentang niat dan perjuangan. Zamani dengan blognya sejak akhir-akhir ini semacam sedang memberi nasihat kepada saya, tak tahulah kalau kebetulan tapi kalau ya terima kasih banyak, Ia sudah banyak membantu.
Azimah dan rakan serumah-rumahnya (Noor,Dihe,Wadah) yang terang-terangan memberi sokongan sampai habis kredit telefon :) Zakiran yang tegas sekali mengingatkan saya supaya ingat pada pendirian sendiri.



Rakan-rakan kelas Dziannis,Syikin,Zubaidah,Nasrun,Afham,Hanif,Christopher yang sama sekali tidak mengadili situasi sebaliknya membantu dan akhirnya kepada semua rakan-rakan yang percaya pada saya.Keluarga yang sentiasa di sisi dan pastinya yang teratas sekali, rasa syukur kepada Allah atas pengajaran yang sangat bermakna.


Harap-harapnya dipermudahkan perjalanan dan ditenangkan hati ini.