Ahad, Disember 24, 2006

Sejuk!



Satu perkara tentang salji, kalau turunnya pada waktu malam. Kita tak pernah sedar. Mana taknya, kalau hujan ada bunyinya tapi kalau salji apa yang nak berbunyi.

Yang paling saya suka, bangun keesokan harinya kita dapat kejutan. Tiba-tiba semuanya ditutup dengan salji yang putih. Umpama tepung halus diayak di atas kek. Yang lagi saya suka kalau salji pada hari itu turun tanpa ada angin yang kuat, maka kita akan dapat lihat satu taman kristal yang amat besar. Semua salji-salji tersebut akan berkumpul di atas ranting-ranting. Sekali imbas nampak macam pokok-pokok kristal.

Tapi yalah, sudah namanya duduk di Russia. Musim sejuknya tak pernah menentu. 5 hari berturut-turut kita dapat panas sedikit, esoknya terus jatuh sampai ke -7. Dari dalam bilik, kita lihat semuanya nampak tenang, mulalah bercadang-cadang nak memakai baju yang mudah-mudah (палто-winter coat saja tanpa шапка-topi/atau headpon tutup telinga khas saya) . Sampai saja di luar, angin bertiup ganas, rasa macam digigit telinga. Nak patah balik? pastinya tak sempat. Padanlah muka, harunglah satu hari dengan muka yang keras.

2 hari lepas, suhu jatuh tiba-tiba. Ramai kawan-kawan yang selsemalah, demamlah. 3 hari yang lepas pula, saya baru letakkan papan iklan bilik saya dan bilik sab jadi bilik paramedic, membekal ubat-ubat percuma(satu lagi sumbangan PPIM kepada masyarakat). Jadi kebelakangan ini, bilik saya dapat kunjungan tetap tak kira masa. Sila-sila saya tak pernah kisah. Malah saya gembira(bukan sebab mereka sakit!) tapi sebab anda percaya dengan kami. Maknanya sangat besar buat kami.

Jadi, buat pengakhirannya walaupun kawan-kawan saya di negara lain sudah mula bercuti sedang kami belum lagi( sebab krismas di sana 25 dis dan di sini 7 jan) dan bumi Russia makin lama makin sejuk, tapi bagi saya setiap hari tetap hari yang cerah dengan adanya semua yang mengembirakan. Walaupun bendanya tidak banyak tapi kalau itu yang benar-benar kita hargai, tak ada apa lagi yang perlu diminta.

Khamis, Disember 21, 2006

Angin

Ya Allah Ya Tuhanku,
Dengan Nama Mu yang Maha pemurah dan Maha Penyayang,
Datangkan padaku angin,
Agar sampai berita ini padanya,

Bawa bersamanya titisan semangat dari hati ini,
satukan sifatnya biar sebati,
lalu terbang laju,
pantas!

Jika pohon juangnya layu,
biarkan angin itu jadi air,
siram agar tumbuhnya segar semula,
rendang jadi pelindung kepada yang perlu.

Jika sarat mendung di atasnya,
tiup semuanya biar cerah kembali,
agar lapang tidak lagi di landa ribut,
nyaman sentiasa, selesa hendaknya.

Jika gigil jasadnya kesejukan,
jadilah haba selubung dirinya,
Moga bergerak semula,
dapat mengorak langkah besar di hadapan,

Teman,

Kita sedia tahu,
Jalan ini tak pernah mudah,
larinya tak mungkin sentiasa deras,

Namun, kalau tersadung;
Bangun semula,
Jika hendak gunung ditawan,
Andai lautan hendak direntas.

Makanya, dipinta daging yang satu itu
jadi kental, penuh pupukan kesabaran.
Kelak kita sampai,bisa mandi sesama
wangian sinar di tengah tasik asli.

Mengapa jauh di cari kedamaian;
bukankah letaknya di dasar insani,
Mengapa sunyi membawa diri;
teman sejati itu bukan pada lahiriah mata
tapi setia, kekal di dalam hati.

Makanya, di pinta damaikan hati hati ini,
Kami ingin juangkan amanat suci,
demi kesejahteraan seluruh bumi sejagat.

Isnin, Disember 04, 2006

Selamat Hari Lahir Aiza!



Suriram
Suriram
Suriram yang tabah
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis...

dan seterusnya..

petikan daripada 4 baris rangkap pantun dalam kad hari lahir kepada Dihe. Ilham daripada puisi A. Samad Said dalam ucapan jamuan presiden. Tabahnya budak kecil molek ni, sampai terkena air panas, masuk hospital seminggu pun, boleh kembali semula dengan tersenyum.

Katanya Gadis pilihan Volgograd 2006. Mana taknya, setiap hari ada saja melawat, siap dapat macam-macam lagi. Makan hati makcik russia kat sebelah, dengar cerita sampai ada yang meminta ya?

Itulah Dihe, cabaran yang Allah berikan itu bukanlah seberapa berbanding dengan kurniaan yang kadang kala kita sedar. Teruskan usaha.

Selamat hari lahir sekali lagi...

Berperang dengan masa

Kalau ada sesiapa berfikir dan bertanya, kemanalah perginya penulis blog ni, dan berminggu tak menulis. Hidup lagi kah? sudah malas kah? Tak ada idea kah?

Ribuan ampun maaf saya ucapkan atas kelemahan diri yang ada. Baru seminggu yang lepas saya pergi ke Perhimpunan Agung UMNO 2006. Habis sahaja persidangan selama 5 hari terus balik semula ke Volgograd dengan jumlah kelas tertunggak sebanyak 8 hari.

Macam semua sedia maklum atau kepada yang masih tidak tahu, saya perlu mengikuti kelas-kelas tambahan untuk menganti kelas yang tertinggal itu. Bayangkanlah 10 hari hendak di ganti dalam masa yang singkat. Kalau ada masa untuk duduk sejenak dan mencunggap, itu pun sudah cukup bagus.

Sudah lah begitu, ada pula kesan 'jet lag'. Peliknya balik ke Malaysia, gagah pula (rasanya tahu kenapa). Sampai ke sini terus terbayar semua hutang. Kadang-kadang satu malam, tak mampu bangun.

Ringkasnya, saya memanglah sangat berperang dengan masa. Tetapi saya masih ada masa untuk semua orang. Saya mungkin tak mampu nak menulis apa di sini, tetapi kalau ada sesiapa perlukan bantuan, panggil saja saya.

saya sangat berharap ingin menceritakan segala-gala pengalaman di sana. Kalau ada masa, insya Allah saya coretkan semuanya. Buat masa ini, belek-beleklah blog kelab umno Volgograd (ada linknya di side bar), ada saya tuliskan laporan Pak Lah bersama perjumpaan tertutup dengan perwakilan kelab UMNO luar negara. Bacalah, saya sangat syorkan. Saya lihat laporan daripada berita terlalu ringkas, sedangkan amanatnya lebih panjang. Saya siap letakkan petikan ucapan beliau lagi.

Insya Allah saya akan cuba menulis lagi.

Katanya masa itu umpama pedang
Moga-moga pedang itu tidak menghunus
dan saya mampu mengikut rentak
tidak rebah ke tanah
dan berjalan semula...