Ahad, Disember 27, 2009

Dilitupi Salji, DiPeluk Iman: Kirovsky Islamic Centre

Hari itu tampak tenang. Tiada angin yang mengigit kesejukan, tiada salji yang lewat turun. Suhu di sekitar nampak selesa di sekitar 0 ke -5, 'Teplo' orang Russia kata, suam kata kita. Kebetulan juga hari tersebut merupakan hari terakhir 'Cycle Infection', maka kami pun mengambil keputusan untuk solat jumaat di Masjid Kirovsky.

Ada jarak lebih kurang 15 minit antara Hospital Infection dengan Masjid Kirovsky. Perjalanannya tidak sukar meski kadang-kadang ada salji setinggi buku lali dan anjing-anjing liar berkeliaran. Kami bergelak ketawa di sepanjang perjalanan, berseloroh sambil mengambil gambar satu atau dua dikelilingi pokok-pokok yang beku layak kristal rupanya.



Tidaklah lama kemudian, kami melihat kubah mini biru lembut mengamit pemandangan, dilitupi sebahagiannya dek salji. Beberapa perkara tidak boleh terlepas dari pandangan kami, ada longokan batang-batang kayu di hadapan, sebukit tanah dilitupi salji. Tingkap-tingkap aluminium di tingkat satu melegakan saya, alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya ada persediaan masjid in menghadapi musim sejuk.



Kami membuka pintu perlahan-lahan, ragu-ragu kalau tiada solat jumaat di situ. Kami melangkah masuk dan terus disambut haba hangat dari pemanas, dialu-alukan zikir jemaah yang berada di dalam. Segala-galanya kelihatan sangat sederhana, masih banyak dalam proses penyempurnaan. Ada banyak wayar berjuntaian di atas siling sambil mentol-mentol kuning lembut menyinari dalam masjid. Masih belum ada pemanas radiator cuma deruman pemanas gas, percikan kayu api di bakar menjadi peneman jemaah hari itu. Rata-rata kebanyakan jemaah terdiri daripada orang-orang tua dari sekitar penempatan. Barangkali kebanyakan orang muda solat di 'Masjid Lenkoransyaya' di tengah bandar. Lebih tersedia dari segi fasilitasinya.
 


Kami duduk bersila menyertai yang lain untuk mendengar Imam Rustam menyampaikan Khutbah Jumaat. Imam Rustam mengenakan jubah hijau dengan sulaman 2 bunga berwarna merah di tengah-tengah jubahnya. Mukanya yang cerah, senyumannya yang ikhlas nyata menarik kami untuk setia mendengar. Khutbahnya punya nada yang lebih tegas berbanding khutbah Imam di Masjid Lenkoranskaya yang biasa kami dengar. Lebih banyak penekanan akidah dalam khutbahnya. Beliau mengingatkan sungguh-sungguh untuk membezakan amalan kita ketika melalui Tahun Baru dan Krismas, amalan-amalan yang dibuat mengikut-mengikut penganut agama lain boleh menjejaskan akidah kita, malah terus-terus jelas melanggar syariat. Beliau turut menegur ibu bapa yang membawa masuk budaya-budaya sambutan tersebut sekaligus menjadikan seolah-olah satu kebiasaan yang tidak lansung nampak salah di hati anak-anak.

Usai solat kami menolak-nolak untuk bercakap dengan Imam Rustam. Bukan berebut tetapi takut mungkin kerana ketegasannya ketika solat jumaat sedikit mengentarkan kami (aduhai hati orang Melayu). Namun, setelah beliau menegur kami, nyata beliau sangat ramah. Kami kemudiannya berbual-bual tentang perkembangan pembinaan Kirovsky Islamic Centre. Butir demi butir beliau menerangkan tentang masalah duit yang di alami, pekerja yang tidak dapat digaji, pemanas yang perlu dipasang secepat mungkin dan air yng perlu dibawa masuk. Kira-kira lebih daripada 200 ribu ruble (23 ribu ringgit, 4600 euro, 6700 USD)  diperlukan dalam jangka masa terdekat bagi pemasangan radiator pemanas lebih-lebih lagi mengambil kemungkinan tiba-tiba ribut salji akan datang kembali ke Volgograd, lagi 300 ribu ruble (33 ribu ringgit) lagi diperlukan membayar upah pekerja.

Setelah berbual-bual ringkas, kami mengambil gambar kenang-kenangan bersama-sama. Di  pertengahan jalan keluar, kami menolong jemaah yang lain mengangkat masuk kayu-kayu api yang telah dipotong ke dalam masjid. Hari itu kami akhiri dengan penuh senyuman, doa dan semangat agar Kirovsky ini dapat tersergam lebih seperti masjid, memainkan fungsinya menyuburkan syiar Islam di sini.


DiNaungi Ilahi
Dilitupi salji
Dipeluk semangat Keimanan

Moga Kau subur Nanti
Dapat menyemai benih-benih Islam
Agar tumbuh mekar pohon Ad-Din
Yang membuahkan keberkatan untuk dunia