Selasa, November 25, 2008

Berat Bahu Memikul, Sukar Hati Merasa

Sewaktu kelas surgery kami dulu, ada seorang pensyarah sangat pantang kalau kami menjawab apa-apa symptom penyakit dengan mengayakan pada diri kami. Sakit perut jangan digayakan di perut sendiri, radang hati jangan ditunjuk pada hati sendiri.


Sepanjang tahun saya tidak pernah tahu apa rasionalnya, kemalangan jalan raya adalah kemalangan itu sendiri, andai kata teruk, sekiranya tekanan darah dibawah 70 mm Hg atau denyutan nadi rendah daripada 60 juga tanda-tanda munculnya shock syndrome maka pesakit perlu diberikan rawatan kecemasan, infusion theraphy, full CT dan MRI scan, kalau lebih teruk maka perlu dipantau di wad ICU. Prognosisnya memang tidak sebaik mana dan peluang masih ada.


Itulah yang sering saya dengar setiap kali konferens pagi doktor, satu demi satu mengikut algoritma yang ditetapkan antarabangsa. Kadangkala ada yang tidak selamat maka perbincangan akan lebih dalam, akan lebih teliti tapi lebih dari itu tiada apa rasa yang terselit.


Kami diajar supaya menjadi hampir sempurna, kuat, dan teratur fikirannya.


Sungguh saya tidak tahu apa yang cuba pensyarah tersebut ertikan, sehinggalah satu hari saya menerima satu SMS dari emak. Sangka saya SMS rutin, sekadar bertanya khabar dan berita. Siapa sangka beritanya lebih mengejutkan


"Abah ada di Hospital Besar Ipoh, accident, masuk wad ICU"


Waktu itu saya terdiam. InsyAllah tidak ada apa-apa, turut hati saya. Buat beberapa ketika saya kosong. Hinggalah saya tersedar dan mencari telefon cuba bertanya keadaan sebenar.


"Hello.."


Adik saya yang mengangkat telefon. Dalam ketidakjelasan talian IDD, rupanya keadaan di sana lebih teruk dari apa yang disangka. Satu keluarga saya terlibat dalam kemalangan! Ayah menunggu CT dan MRI scan, mak saya terlantar dengan patah tulangnya. Adik bongsu saya di tahan kerana symptom dyspepsianya.


Sabar Fadly, pujuk diri saya sendiri. Tiba-tiba segala algoritma kecemasan datang tiba-tiba. Fakta-fakta yang begitu sukar muncul ketika peperiksaan diingat dengan begitu mudah tanpa payah. Hati saya meronta-ronta ingin bertanya lebih lagi. Bagaimana vitalnya? Apa keputusan CT dengan MRI? Berapa tekanan darah? Nadi? Reaksi pupil mata?. Sedarnya saya adik saya mengambil food culinary membantut segalanya. Saya terpaksa menelan bulat-bulat dan menerima sahaja jawapan 'Ok' nya.


Malam itu saya tidak boleh tidur. Terpaksa berbalah dengan diri sendiri melawan prasangka buruk. Keletihan, saya tertidur dalam kekalahan sekitar jam 3 pagi. Keesokan pagi saya memaksa diri sentiasa nampak biasa. Saya tahu saya tidak mampu melawan tapi saya mampu menyibukkan diri supaya tidak selalu teringat.


Doa dan bacaan yasin di selang selikan, harapnya segala urusan dipermudahkan.


Memang bila sampai perkara tersebut kena pada diri kita sendiri, kena pada keluarga kita sendiri pada orang tersayang kita sendiri. Jangan terlalu yakin kita mampu mengendalikannya. Kita akan rasa satu perasaan yang kita tidak pernah mahu ia berlaku pada diri kita sendiri. Ketidakpastiaan, resah, takut, keberangkaliaan; satu persatu, setiap satu bertindih dengan yang lain.


Dalam jauh begini, tiada apa lagi yang lebih dekat dari perhatian Allah sendiri.


Ya Latiff Ultuff binaa, Ultuff binaa, Ultuff binaa


Semoga keluarga saya selamat semuanya...


Saya tidak punya sebarang perasaan yang saya rasakan patut, saya hanya mahu berdoa dan kemudiannya tidur. Sungguh saya penat.

Sabtu, November 22, 2008

Istikharah

Dunia ini penuh dengan pilihan,

Kita hidup dan terus hidup kerana kita membuat pilihan,

Sesetengahnya jelas

mudah sampai kita lupa susahnya keputusan di buat

Sesetengah semacam jerangkap samar

Kita tidak tahu di mana dan bila masa kita akan terpijak


Anak bertanya pada ibu dan ayahnya

Isteri bertanya pada suaminya

Kawan bertanya pada sahabatnya

Syarikat besar membelanjakan berjuta wang untuk satu konsultasi


Bila antara emas dengan batu itu soal mudah

Bila antara permata dengan kaca itu bertambah susah


Bila soal emas dengan permata pula

yang kebetulan sama nilainya

yang sama rasa sayangnya

Kita kemudian mula bertanya

Kerana pastinya setiap satu perkara perlu harga yang perlu dibayar

Berapa banyak juga yang mampu kita berikan

dan berapa banyak juga yang mampu kita lupa dan relakan


Sebab itu

Berapa jauh pun kita mampu pergi

Berapa banyak pun kita mampu buat

Sampai masa kita perlu tahu yang kita punya had

Dan kita perlu juga tahu kepada siapa yang layak untuk kita kembali


"Ya Allah ! Aku pohon pilihan daripada Engkau dengan pengetahuan Engkau dan aku pohon ketentuan Engkau dengan kekuasaan Engkau dan aku pohon akan Dikau dari limpah kurniaan Engkau yang besar, maka sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui segala perkara ghaib."


"Ya Allah! Seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini berkebajikan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka takdirlah akan dia baik dan permudahkannya bagiku kemudian berkatkan bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan akibat urusanku cepat atau lambat, maka palinglah akan dia daripadaku dan palinglah akan seberapa yang boleh, kemudian redhalah akan daku dengannya"