Selasa, Ogos 26, 2008

Kawan Kita Berbaju Baru

Cuti kali ini penuh dengan jemputan-jemputan kahwin. Tengok sahaja entri sebelum ini, cukup rasanya jadi bukti.

Dan daripada timbunan jemputan-jemputan ini. Semuanya daripada kawan-kawan saya yang masih lagi menuntut bersama-sama.

Untuk mereka terjun ke alam baru ini sudah mengunakan tenaga yang cukup banyak. Di sebalik senyuman memanjang tanpa henti ada selautan perasaan yang bertukar-tukar cuacanya di dalam diri mereka. Namun, untuk majlis kekal dengan langit cerah penuh gilang gemilang. Maka segunung kudrat jugalah yang dipertaruhkan.

Selesai majlis, sudah punya 2 keluarga untuk diimbang tara. Cuti ini sudah jadi begitu mencabar. Datang pula perkara-perkara lain lagi. Belum dikira lagi bila mereka sampai ke tempat masing-masing, kembali bergelar pelajar semula. Belum sempat membuka buku, macam-macam lagi yang perlu diselesaikan.
 
Setiap kali kita lihat mereka berjalan, bercakap awal-awal ini penuh dengan usaha mereka membuktikan segalanya dalam tangan mereka, semuanya dalam pandangan mereka.

Empati bukan Simpati

Saya teringat satu hari ketika bersembang-sembang, salah seorang dari kami yang sudah pun berkahwin ada berkata

"Kalau hendak dikatakan apa-apa atau diminta apa-apa, cakap sebelum kahwin. Selepas kahwin bukan masanya untuk kita semua. Itu masa untuk kita memberi"

Sampai sekarang saya masih teringat kata-kata tersebut. Maka empati kita di sini bukan bermakna kita bersimpati dengan susah payah mereka, berwajah murung berhujan air mata. Bukan juga buat biasa sahaja, duduk melihat, berpeluk bahu. Orang yang memikul beban tak akan bergerak sekadar kita merasa peritnya mereka.

Empati di sini menunjukkan prihatin kita dalam gaya paling bersahaja. Permudahkan mereka dalam banyak perkara. Buat mereka jadi seperti biasa semula. Jangan sekadar mengucapkan selamat pengantin baru membiarkan mereka untuk selamat sendiri-sendiri pada hari-hari baru yang lain.

Fahami keadaan mereka. Kalau mereka punya kekurangan saat-saat ini. Maka inilah masa paling baik untuk akan diam. Jangan risau pada keadaan mereka, risaulah pada diri anda yang tak mampu untuk memudahkan perkara untuk mereka. 

Sokonglah mereka, mulakan pertemuan anda dengan senyuman dan sambutlah mereka dengan penuh rasa bahawa anda sentiasa ada untuk membantu.

Hakikatnya, mereka yang di depan kita itu bukan orang asing tetapi sahabat kita yang sama, cuma memakai pakaian yang berlainan sahaja.

Akhir kata, kepada semua sahabat saya yang berkahwin kali ini (Afiq, Rafeeq, Aliff, Akmal, Mat Pih, Dayout, Sikin, Zura). Tahniah untuk anda semua! Beritahu saya sahaja di mana-mana yang boleh saya bantu. Jangan ada di simpan-simpan. Saya ini bukan kawan yang sekadar dijemput untuk membantu menghabiskan nasi minyak dan lauk pauk sahaja ya!