Selasa, Februari 13, 2007

Telefon yang berbunyi


Sekadar memandang kepada alat eletronik, dilengkapi dengan butang-butang dan fungsi-fungsi yang nyata telah banyak membantu saya selama ini.

Bila bulan bertukar daripada Januari ke Febuari. Juga semester lama ke semester baru. Tidak lupa peralihan dari musim cuti kepada belajar semula; pengunaan telefon ini juga alami semacam perubahan.

Misalnya dahulunya, waktu cuti tidak pernah pula di’set’kan locengnya pada awal-awal subuh seawal 5.45 pagi, kalau ada pun pada hari-hari saya pergi ke praktikal.

Bercerita tentang praktikal, teringat pula kenangan manis menaiki ambulans sambil berjalan-jalan sekitar Volgograd melawat rumah-rumah masyrakat di sini. Ada sekali itu, saya mengikut ambulans khas untuk kanak-kanak. Yang kelakarnya, ada seorang budak kecil yang demam bila nampak doktor pertolongan cemas (memakai baju biru yang tertulis perkataan skoraya pamosh-pertolongan cemas) duduk diam sahaja tapi bila nampak saya memakai ‘lab coat’ putih melompat macam nampak hantu.

“Mak-mak! Tak nak doktor!” menangis-nangis dia cuba menyorok di belakang emaknya.

Telefon ini juga digunakan untuk mengambil gambar-gambar borang yang kami kena salin semula. Sampai terhafal pula ubat-ubat yang selalu diguna: Analgin, Magnii Sullfatis, Euphylin. Ya, kebanyakan pesakit kami kalau tidak demam pun, darah tinggi, kalau tidak pun sakit-sakit berkenaan dengan jantung.

Sekarang semester baru bermula, setiap Isnin, Jumaat dan Sabtu perlu bangun sebegitu awal. Kadang-kadang perlu juga ditetapkan pada pukul 9.00 malam, setelah tidur sekejap melepaskan penat yang keterlaluan lebih-lebih pada hari-hari yang kelasnya habis pukul 5 ke atas (Isnin, Selasa, Khamis), saya panggil hari-hari ini ‘Hari Kerja Kilang’, seharian ke sana ke mari tanpa rehat. Meskipun begitu, saya begitu menikmati subjek ‘Operative Surgery’ setakat ini, seronok belajar cara-cara mengikat benang semasa menjahit ‘stitching’ cara pakar bedah pada hari pertama; ada video cikgu menunjuk caranya di dalam telefon.

Tema dihadapannya pun sudah ditukar kepada musim sejuk dengan gambar rumah dilitupi salji di atas. Hendak sahaja menukar kepada tema musim bunga, sengaja yang menunjukkan rasa tidak sabar dengan musim sejuk ni. Tapi salji yang kadang-kadang turun membantut keinginan. Sekurang-kurangnya Volgograd masih panas berbanding Moscow. Khabar-khabarnya di sana -10 Celcius.

Dahulunya juga, waktu-waktu begini semasa cuti, SMS banyak dibalas sekadar seronok-seronok. Sekadar bertanya dan bertanya soalan-soalan bergini:

“Petang ni, ada buat apa-apa?”
“Ada apa-apa filem menarik?”
“Nak Makan mana? malam ni?”

Sekarang, bermula sahaja febuari, lenguh pula jari-jari memicit-micit butang-butang kecil. Selalu sangat membalas SMS sampai tutup mata pun, masih menaip. Alhamdulillah, baru sahaja selesai menyiapkan majalah Ulul Albab Kelab UMNO Volgograd yang kedua. Sekarang, masih lagi mengira-ngira bahan-bahan Paramedic PPIM untuk dikemaskini yang semenjak Januari Universiti sudah memberi lampu hijau kepada kami sebagai wakil kesihatan di Hostel. Syukur, kira-kiranya tidaklah kami membuat kerja secara haram di sini.

Masih ada kerja-kerja Mirc (Malaysian Indoor and Recreational Competition) yang menunggu dan yang paling penting SMS bertanya-tanya kerja rumah dan topik-topik yang hendak dibaca. Sibuk macam mana pun saya tetapi menjadi doktor itu impian nombor satu.

Begitulah kisah kehidupan seharian saya yang diringkaskan pada pengunaan telefon.

Meskipun begitu, saya masih menunggu satu SMS yang bakal mempengaruhi keputusan saya seterusnya. Hairannya, kalau dengan orang lain yang lambat membalas SMS, gelisahnya Allah sahaja yang tahu. Tapi dengan seorang ini, saya sabar pula menunggu. Tidak ada harapan saya letakkan, cuma menanti dengan redha jawapannya.

P/S: ada satu butang telefon saya sudah semakin liat untuk di tekan. Alahai! takkan kena tukar baru...