Rabu, Ogos 16, 2006

Summer Camp PPIM 2006 (Rumusan)

"Apa yang lebih penting bukan tentang apa yang diajarkan tetapi apa yang dapat dipelajari"- Pok Nik, Kem Rebutia

Alamak, dah lambat ni. tergocoh-gocoh saya bergegas ke dewan terbuka. Kelihatan di sana sudah ramai peserta-peserta berkumpul. Dalam minda ini sudah mula memikirkan hukuman-hukuman, kalau tidak pun sekurang-kurangnya pasti di malukan.

Tapi aneh sekali sampai sahaja di sana, Pok Nik yang juga merupakan pakar motivasi untuk program ini hanya tersenyum. Sedikit pun tidak terkeluar kata maki hamun dari mulutnya.

Rupa-rupanya memang begitulah gaya beliau, keseluruhan Summercamp ini diuruskan dalam masa yang fleksibel. Diubah mengikut kesesuaian peserta, 'Zero stress' itulah rasa istilah yang rasanya layak digunakan.

Kalau difikirkan ini sudah pelik, tunggu jika anda tahu bagaimana sepanjang Summercamp ini kami sangat banyak tergelak, seolah-olah sedang menonton cerita bukannya mendengar ceramah. Satu lagi keunikan Summercamp ini apabila Pok Nik menggunakan pendekatan berkongsi pengalaman yang nyata mengurangkan jurang antara kami peserta dengan beliau. Bagi beliau semuanya harus berlansung dalam fitrah bukan sebaliknya.

Andai saya dapat gambarkan. Saya katakan Summercamp ini umpama satu percutian yang amat menyeronokkan dan pada masa yang sama amat berfaedah.

Umpama satu jawapan yang sudah lama saya nantikan, bagi saya keseluruhan Summercamp menjelaskan saya tentang matlamat.

Manusia ini terdiri daripada 4 komponen: Akal, Jasad, Roh dan Emosi. Jasad merupakan manifestasi yang ditonjolkan kepada orang ramai. Melalui jasad inilah masyarakat melihat tentang siapa diri kita sebenarnya. Segala tindak tanduk jasad ini pula ditentukan oleh samada Akal atau Emosi. Kebiasaannya jika Akal mengemudi maka tindakanya positif manakala jika Emosi maka ada sedikit kacau bilau berlaku. Ketiga-tiga elemen ini pula digerak oleh roh yang terdiri daripada nyawa dan kerohanian. (Pok Nik, Mukadimah 11 Ogos 2006)

3 soalan yang membezakan antara orang Islam dan Jahiliyah:

1. Dari mana kita datang.
2. Untuk apa kita di sini
3. Apa yang berlaku selepas ini.

1.) Dari mana kita datang

Mengetahui asal usul kejadian kita adalah penting kerana pada akhirnya di situ jualah kita akan kembali semula. Tahu tentang asal usul ini juga penting bagi menyedari hakikat yang manusia ini dijadikan asalnya dalam fitrah (suci) maka segala tindak tanduk kita sewajarnya tidak menganggu fitrah ini.

2.) Untuk apa kita di sini.

Ad-Dhariyat ayat ke 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"

Korelasi daripada perkara sebelum ini maka sesungguhnya manusia ini dijadikan dengan 2 tujuan utama dalam hidupnya:

1. Sebagai hamba Allah
2. Sebagai Khalifah

Hidup tanpa matlamat umpama berjalan di tengah malam tanpa arah tujuan dan lampu penunjuk arah. Selaku umat islam, sewajarnya kita perlu menjadi hidup ini lebih bermakna, kita perlukan sesuatu yang melebihi sekadar makan, minum, bekerja, berkahwin, beranak pinak. Ia perlukan sesuatu yang menjadikan hidup ini lebih bermakna dan bermanfaat.

Hidup tanpa makna apabila manusia memandang enteng tentang tugas mereka sebagai khalifah. Khalifah secara mudah boleh diertikan sebagai;

1. membantu diri menjadi lebih baik
2. membantu orang lain menjadi lebih baik
3. membantu menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik

Sebagai khalifah di muka dunia ini, kita perlu melakukan apa sahaja yang termampu bagi memastikan ketiga-tiga matlamat itu tercapai dan dengan ini barulah hidup kita terisi.

3.) Apa yang berlaku selepas ini

Jika perkara ini mula dipraktikkan maka lahirlah satu umat terbaik dalam al quran yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Barulah muncul satu umat yang seimbang.

Perjuangan kita masih belum selesai selagi Islam masih belum menjadi satu gaya hidup yang paling berpengaruh dalam dunia. Tiada apa yang mustahil sebenarnya, sejarah telah membuktikan betapa satu ketika dahulu, Islam dijadikan rujukan, orang Islam di beri penghormatan tertinggi dan dijadikan kayu ukur dalam semua perkara. Hakikatnya suatu ketika itu, masih tidak jauh dari kita dan ianya punyai tendesi yang besar untuk direalisasikan semula.

Tiada apa yang perlu dimalukan hidup dalam keadaan Islam sedang ditindas kerana jelasnya berjuang pada ketika inilah lebih manis ketika hasil penat jerih itu masih begitu mahal harganya. Ketika inilah usaha itu umpama satu permata yang amat berharga dan rasa sedihnya begitu lain sekali. Kita harus berbangga kerana kita orang terpilih dan bukannya ditinggalkan.

Umpama melihat satu filem hindustan. Heronya hebat pada permulaan, di tindas di tengah-tengah dan menang semula. Satu fitrah yang sebenarnya cuba ditunjukkan bahawa Islam akan menang semula. Janji Allah itu benar dan tiada apa yang harus ditakutkan kerana nyata Islam tetap akan menang pada akhirnya.

Dr. Abdul Latiff (12 Ogos 2006, Bersama PPIM; matlamat dan tujuan)

Kuasa pada suatu wawasan adalah kita sentiasa bermula dengan suatu pengakhiran di dalam minda.

1.Insan biasa berkata tentang orang lain
2.Insan yang lebih baik berkata tentang peristiwa
3.Insan yang terbaik berkata tentang idea dan gagasan.
Dr. Azhar (12 Ogos 2006, pengenalan tentang MERCY)

Maka apabila wawasan itu sudah jelas, kita perlukan sistem, budaya dan akhirnya doa. Kesemuanya harus berlaku serentak, diadunkan sekali dengan sentuhan ambil berat dan kasih sayang sesama anggota kumpulan khususnya dan umat umumnya sehingga akhirnya kita beroleh kebahagiaan.

WAWASAN->SISTEM->BUDAYA->GAYA->DOA
Pok Nik (14 Ogos 2006, Rumusan)

Moga kita bisa tidur dengan impian dan matlamat yang sama. Amin.

Isnin, Ogos 07, 2006

“Adik kamu tu asyik demam, hampir-hampir mak nak batalkan sahaja rancangan balik kampung ni tapi mengenangkan nenek kamu tu yang sakit dan nak jumpakan kamu juga dengan dia, mak gagahkan jugalah” mak berkata meluahkan perasaaan, tangan kanannya menekan-nekan punat radio, mencari stesen ERA yang sudah berubah frekuensinya di Negeri Sembilan.

“Kena tukar nama agaknya adik kamu tu, nantilah suruh Mak Long kamu angkatkan. Berat sangat agaknya namanya tu, dari kecil demam” cadang ayah tiba-tiba sambil menolong mak mencari.

Keesokan malamnya di rumah Mak Long…

*Perbualan seterusnya adalah dalam bahasa Banjar yang saya terjemahkan untuk kemudahan semua.

“Ada sekali Mak Long petang tadi terfikir nama perempuan petang tadi waktu tengah sibuk-sibuk membasuh kain” kata Mak Long memulakan cerita.

“Jadi apa yang dinamakan ni?” Tanya Pak Long.

“Entahlah abang Ijam, Nina ni asyik demam saja dari kecil. Kami nak tukarkan nama mana bolehkan? Abang dengan kakak sahajalah yang angkatkan”

“Erm, Nur Suhada nak tak?”

Adik mengeleng-gelengkan kepala.

“Susah juga nak tukarkan nama kalau dah besar ni ya? Bayinya dah boleh bercakap” Ayah berkata.

Satu rumah ketawa sakan termasuk adik walau dalam keadaannya yang lemah itu.

“Nurul Suhada nak?”Tanya Mak Long sekali lagi.

Adik diam. Bolehlah tu rasanya.

“Bismillahirahmannirahim…”mulut Pak Long terkumat kamit membaca potongan ayat quran.

“Maka anak ini dinamakan dengan Nurul Suhada” kata Pak Long sambil Mak Long menyapu ubun-ubun rambut dengan minyak kelapa atau minyak tunggul tangga katanya.

“Lepas ni tak panggil nama Aina dah, tukar nama jadi Suhada ya” kata mak sambil mengusap-usap belakang adik yang sudah pun berpeluh, tanda-tanda baik hendak sembuh demam.

“Selebihnya kita tawakal pada Allah sahajalah ya”

Komentar: Sekadar sedikit pendedahan tentang tradisi dan adat keluarga ayah saya yang berlatar belakangkan Kaum Banjar. Dalam Keluarga kami, sudah menjdai kebiasaan untuk seseorang mempunyai dua nama. Ayah saya sendiri dikalangan keluarga dikenali sebagai Fadil sedangkan nama sebenarnya Khairie. Sepupu kami ditukar nama kepada Abdul Khatami daripada Shamsul Hadi. Malahan saya sendiri dikenali sebagai nama Azhar dikalangan keluarga berbanding Fadli.

Kebanyakannya ditukar atas sebab kesihatan. Macam dalam kes saya, mengikut kata mak dan ayah nama saya ditukar oleh arwah atuk dan makcik saya kerana sewaktu kecil badan saya penuh berkudis, selalu sahaja demam dan asyik demam sahaja.

Selalunya nama ini ditukar sewaktu kecil, cuma adik saya ini agak lambat sedikit. Dahulu waktu kecil ada juga penjaga adik saya, saudara kami yang juga berbangsa Banjar menyarankan agar ditukar namanya tapi mak sekadar mendengar sahaja. Fikirnya cuma demam biasa sahaja.

Kini keluarga kami sedang membiasakan diri memanggik adik dengan nama Suhada. Kekok tapi kami ikutkan juga. Berkali-kali tersasul tapi digagahkan juga.

Nota: Sampai kini, banyak lagi saudara saya tidak tahu yang nama sebenar saya Mohamad Fadli, ramai ingatkan Mohamad Azhar. Hihi…

Hadiah ini tanda...

Sudah beberapa hari ini, saya tidak biasa duduk diam. Ada saja yang nak dibuat, bukannya rajin sangat nak keluar. Tapi sekali dah keluar tu, banyak juga barang di beli. Semuanya untuk kerja-kerja gila di rumah bagi mengisi masa yang terlalu banyak terluangnya.

Kali ini saya membungkus hadiah:

1.) Kotak kecil mengandungi hadiah ini dibalut dengan kertas pembalut yang agak sedikit kasar teksturnya. Ditambah seri dengan reben berwarna merah.

2.) Oleh sebab kotaknya kecil dan kertas pembalut masih banyak, maka yang selebihnya dipotongnya dipotong menjadi jalur-jalur kertas kecil dan ditabur disekeliling hadiah supaya nampak ekslusifnya.

3.) Kemudian, untuk tampak elegan Kotak besar ini, dibalut pula dengan kertas biru gelap.

4.) Dan oleh sebab orangnya tidak dapat ditemui maka dibalut sekali lagi dengan kertas putih, sedia untuk dihantar menggunakan pos laju. Di jamin sampai esok!!(sebenarnya terlupa beli kertas ‘mahjong’ maka memohon belas ihsan kakak untuk kertas-kertas A4, 12 kertas A4 terpakai digunakan untuk kerja-kerja membalut ini)

*semua kerja lekat,melekat menggunakan ‘double sided tape’ supaya tampak kemas dan bermakna.

“Erm ambik macam gambar macam ni elok rasanya” kata saya sendirian.

“Lah kenapa diambil atas meja coklat, mari sini ayah tunjukkan. Hamparkan alas meja ni, letak pulak bunga ni. Ha! Baru nampak seri. Jangan belakangkan cahaya nanti gambar gelap” Ayah yang entah dari mana tiba-tiba mengajar.

“Lah kat sini rupanya anak beranak, eh awak ni diikutkan pula perangai jiwang anak awak yang bosan tu. Dah, mari makan” Mak mencelah dari belakang sambil menunjukkan muka pelik.

“Abang bukannya jiwang, saja mengajar anak teknik-teknik mengambil gambar. Kan saya ‘terer’ benda-benda ni”

“Erm kalau buat macam tu elok juga, dah sepuluh tahun tak nampak abah buat benda-benda macam tu kat mak”

Hahaha! Sayatergelak dalam hati. Di luar hanya tersenyum lebar.